Friday, September 06, 2019

~ MEREDA-REDA ~


UNTA hitam diberhentikan. Tiada sebab berhendak atas sesuatu, cuma mahu seketika mereda. Turun naik nafas yang harus ditenang-tenang dengan aman.

Bangunan lapan tingkat itu aku renung-renung. Meski tanpa apa tarikan. Tahu-tahu lena entah ke dunia mana setelah hampir empat puluh lapan jam tidak terkatup mata.

Kurang lebih dua puluh minit barangkali. Dan aku dikejutkan dengan teriakan bunyi hon yang keras. Mungkin amaran, mungkin amarah.

Lalu tiba-tiba unta hitam di halakan ke kedai kopi. Sedang pada tengaharinya, berdegar sahaja aku tekadkan diri untuk menjauh kopi.

Apa mungkin, aku tidak pernah benar pada mahu diri. 

[Setelah ter-katop]

Thursday, September 05, 2019

~ DEGUP DEGUP KENCANG ~


LALU dikeluarkan jantung kamu dari duduknya. Melihat degup-degupnya. Keras, kencang, menekan. Lalu diambil dan direndam dalam ais ketul. Untuk menyejuk, untuk aman ke lena.

Bahasa mudah kamu yang sering diperlekeh. Apa lagi untuk dimengerti. Lalu siapa yang mahu kamu percaya?

[Semerah-merah]