Sunday, June 23, 2019

~ DUA PULUH TIGA JUNE ~



DUA PULUH TIGA JUNE, Ahad, sepuluh pagi, pada enam tahun lalu. Ayah pergi meninggalkan kami dengan segala rasa yang tidak mampu diungkap bahasa dan laku.

Ranap yang tida pernah ada pulihnya. Ya, sehingga ke hari ini, saat ini.

Beberapa hari lalu, ayah hidup di dalam mimpiku. Benarnya sehingga aku percaya itu hidup yang di luar mimpi. Ayah tidak pernah datang bertemuku di mimpi kecuali pada awal perginya, namun pada beberapa hari lalu dia meluang masa yang panjang sehingga bertemu pagi.

Rindu, terlalu.

Dan, aku tidak pernag bermain tentang itu. Rasa yang keras membelati sehingga aku beberapa kali menarik nafas yang dalam untuk kembaki ke dunia nyata.

Aku mahu bercerita tentang ayah, mahu memberitahu isi-isi tentang mimpiku. Namun, tidakkan pernah mampu dimengerti sesiapa.

Yaa, semua kita melalui kehilangan. Namun kehilangan aku ini, begitu meranapkan. Mohan Tuhan sentiasa mengerti. Amin.

[Rindu]

Saturday, June 22, 2019

~ CERITERA JUN, UNTUK SEORANG MEI ~


SELEPAS beberapa tahun hilang dari radar, awal tengahari Khamis nama sahabat Mei muncul di skrin. Tiba-tiba ke asal.

Aku mencongak tutur-tutur yang seharus patut, agar suasananya tidak jadi ketat. Sedang sahabat Mei seperti dia yang selalu, sebelum perginya.

Ingatannya kerana buku, urusannya juga kerana buku, dan pertemuan yang diatur juga untuk halnya buku.

Lalu awal pagi ini di kediamannya, kami bertentang mata untuk itu. Setelah sekian tahunnya terhambat senyap yang mendingin.

Hujan berat membasah bumi. Seawal lima pagi, sehingga jam lapan mengikut ketetapan juga langit masih tumpah dengan begitu berat.

Dia datang dengan senyuman damai yang sememangnya dia. Memulangkan beberapa nashkah buku milik aku yang telah beberapa tahun dalam simpanannya. Dia menutur bual-bual yang menyenangkan, terjauh daripada sangka-sangka yang bermain di kepalaku semenjak Khamis lalu.

Paling tidak pernah ada dalam jangkau, dia mengusung hal-hal kecil yang telah menyentuh hati. Meski nampak remeh, namun ingatannya untuk hal itu sangat membekas. Pada awal pagi dalam berat langit tumpah, dia memberi 'mesej' yang benar-benar aman.

Hilang kata.

Aku tidak mengharap ke asal, cukup sekadar kami mampu aman. Benar-benar itu paling tulus dari aku.   

"Janganlah menghilangkan diri lagi," kata akhir sebelum unta hitam memeula langkah.
"Ohh tak boleh hilang yaa.." jawab dia pantas, seperti punya lapan belas maksud di sebalik.

Terima kasih untuk sebuah rasa aman, setelah beberapa tahun bersimpul seratus. Ada doa ikhlas yang sampai, ada ingin tulus yang menyentuh dan barangkali ada ceritera benar yang bercantum. 

[Random]