Monday, February 25, 2019

~ PAKET DRAMA ~

MENGHARUNGI hari yang begitu dramatik hari ini. Bermula seawal pagi sehingga lewat petang ini, segalanya berbaur pada taut emosi yang bergantungan.

Awal pagi ini aku menemani seorang sahabat yang juga ibu kepada anak kecil, Emran yang berjuang untuk terus mendapat peluang hidup. 

Pada ratusan minit saat dada kecil Emran dibuka sang doktor di bilik pembedahan, aku bersaksi drama air mata sang ibu untuk kesekian kalinya. Berkali-kali bersaksi, dan berkali-kali juga membekas di hati. Syukur dana mencukupi, mempercepat tamat sengsara hati.

Meski tidak berkesempatan menunggu sehingga si kecil Emran membuka matanya kerana perlu memenuh temujanji berkait soal rumah, namun aku lega apabila mendapat tahu Emran operasi Emran berlangsung sukses. 

Ya, aku hanya berani meninggalkan ruang emosi itu selepas berita gembira Emran disua pada si ibu. Berita yang menjadi penamat segala duka lara. Alhamdulillah.. Emran selamat. Denyut jantungnya kembali ke asal. Sukses atas doa sang ibu yang tiada hijabnya.

Surat untuk kamu 
Wahai anak kecil yang namanya Emran,
Semoga besarmu kelak menjadi manusia yang tahu mengenang
Tentang perjuangan ibu mempertahankan kamu
Kisah pengorbanan ibu menyelamatkan kamu
Juga cantum tangis ibu mendoakan kamu
Wahai anak kecil yang namanya Emran,
Kalaulah kamu tahu 
Bagaimana sukar ibu mengumpul dana untuk nyawa kamu 
Kalaulah kamu tahu 
Bagaimana sakitnya ibu melihat sengsara kamu
Kalaulah kamu tahu bagaimana debarnya ibu menunggup degup kamu
Percayalah,
Kamu tidak akan pernah menginginkan lain,
Melainkan ibu sebagai jambatan syurgamu.

Dalam seka tangis yang masih berbaki, aku berkejaran pula pada urusan yang tiada sudahnya semenjak dua minggu yang lalu. Rumah, rumah dan rumah. Berurusan dengan manusia-manusia yang mengambil kesempatan atas ketidakpunyaan orang lain.

Pada lewat petang usai segala drama, dan emosinya berakhirnya di kedai kopi.

Barangkali, esok drama bersambung lagi. Di mana aku perlu berada di acara penghargaan berkaitan pemilihan bahan tulis yang kongsikan beberapa hari lepas. Semoga aku tidak beraksi yang tidak-tidak pada saat tercuri tumpuan banyak mata. Amin.


[February sering dengan hal yang tidak-tidak..] 

Wednesday, February 20, 2019

~ MAMAI ~

AWAL pagi, dikejutkan dengan satu mesej dari sebuah organisasi. Jemputan menghadiri majlis pelancaran kalendar mereka untuk tahun 2019.

Tidak hanya itu, tetapi mereka menyampaikan sesuatu yang aku fikir hanya satu gurauan untuk memula hari pada minggu-minggu yang dilalui dengan cukup menekan ini.

Katanya, aku perlu hadir. Wajib hadir. Ini kerana majlis tersebut dalam masa yang sama adalah majlis  penghargaan untuk pemenang. Pemenang?

Katanya lagi, penulisan aku untuk sebuah artikel (bukan penulisan dari ruang ini) dipilih sebagai artikel terbaik untuk satu kategori yang dipertandingkan. Dipertandingkan???

Aku hanya memberikan respons ringkas, mamai,
“Uiksss..” Hanya itu. Sehingga saat aku tulis di sini, isi kandungan mesej selanjutnya masih juga belum aku balas.

Lucu. Entah betul entahkan tidak. Memang benar itu dari aku, tetapi entah siapa yang memasukkan penulisan itu. Tiba-tiba sahaja.

Tulisan yang benar-benar ditulis dengan mahu, hanya di ruang ini.

[Rumah.Rumah.Rumah.Rumah baru lagi..]