Friday, September 06, 2019

~ MEREDA-REDA ~


UNTA hitam diberhentikan. Tiada sebab berhendak atas sesuatu, cuma mahu seketika mereda. Turun naik nafas yang harus ditenang-tenang dengan aman.

Bangunan lapan tingkat itu aku renung-renung. Meski tanpa apa tarikan. Tahu-tahu lena entah ke dunia mana setelah hampir empat puluh lapan jam tidak terkatup mata.

Kurang lebih dua puluh minit barangkali. Dan aku dikejutkan dengan teriakan bunyi hon yang keras. Mungkin amaran, mungkin amarah.

Lalu tiba-tiba unta hitam di halakan ke kedai kopi. Sedang pada tengaharinya, berdegar sahaja aku tekadkan diri untuk menjauh kopi.

Apa mungkin, aku tidak pernah benar pada mahu diri. 

[Setelah ter-katop]

Thursday, September 05, 2019

~ DEGUP DEGUP KENCANG ~


LALU dikeluarkan jantung kamu dari duduknya. Melihat degup-degupnya. Keras, kencang, menekan. Lalu diambil dan direndam dalam ais ketul. Untuk menyejuk, untuk aman ke lena.

Bahasa mudah kamu yang sering diperlekeh. Apa lagi untuk dimengerti. Lalu siapa yang mahu kamu percaya?

[Semerah-merah]

Sunday, June 23, 2019

~ DUA PULUH TIGA JUNE ~



DUA PULUH TIGA JUNE, Ahad, sepuluh pagi, pada enam tahun lalu. Ayah pergi meninggalkan kami dengan segala rasa yang tidak mampu diungkap bahasa dan laku.

Ranap yang tida pernah ada pulihnya. Ya, sehingga ke hari ini, saat ini.

Beberapa hari lalu, ayah hidup di dalam mimpiku. Benarnya sehingga aku percaya itu hidup yang di luar mimpi. Ayah tidak pernah datang bertemuku di mimpi kecuali pada awal perginya, namun pada beberapa hari lalu dia meluang masa yang panjang sehingga bertemu pagi.

Rindu, terlalu.

Dan, aku tidak pernag bermain tentang itu. Rasa yang keras membelati sehingga aku beberapa kali menarik nafas yang dalam untuk kembaki ke dunia nyata.

Aku mahu bercerita tentang ayah, mahu memberitahu isi-isi tentang mimpiku. Namun, tidakkan pernah mampu dimengerti sesiapa.

Yaa, semua kita melalui kehilangan. Namun kehilangan aku ini, begitu meranapkan. Mohan Tuhan sentiasa mengerti. Amin.

[Rindu]

Saturday, June 22, 2019

~ CERITERA JUN, UNTUK SEORANG MEI ~


SELEPAS beberapa tahun hilang dari radar, awal tengahari Khamis nama sahabat Mei muncul di skrin. Tiba-tiba ke asal.

Aku mencongak tutur-tutur yang seharus patut, agar suasananya tidak jadi ketat. Sedang sahabat Mei seperti dia yang selalu, sebelum perginya.

Ingatannya kerana buku, urusannya juga kerana buku, dan pertemuan yang diatur juga untuk halnya buku.

Lalu awal pagi ini di kediamannya, kami bertentang mata untuk itu. Setelah sekian tahunnya terhambat senyap yang mendingin.

Hujan berat membasah bumi. Seawal lima pagi, sehingga jam lapan mengikut ketetapan juga langit masih tumpah dengan begitu berat.

Dia datang dengan senyuman damai yang sememangnya dia. Memulangkan beberapa nashkah buku milik aku yang telah beberapa tahun dalam simpanannya. Dia menutur bual-bual yang menyenangkan, terjauh daripada sangka-sangka yang bermain di kepalaku semenjak Khamis lalu.

Paling tidak pernah ada dalam jangkau, dia mengusung hal-hal kecil yang telah menyentuh hati. Meski nampak remeh, namun ingatannya untuk hal itu sangat membekas. Pada awal pagi dalam berat langit tumpah, dia memberi 'mesej' yang benar-benar aman.

Hilang kata.

Aku tidak mengharap ke asal, cukup sekadar kami mampu aman. Benar-benar itu paling tulus dari aku.   

"Janganlah menghilangkan diri lagi," kata akhir sebelum unta hitam memeula langkah.
"Ohh tak boleh hilang yaa.." jawab dia pantas, seperti punya lapan belas maksud di sebalik.

Terima kasih untuk sebuah rasa aman, setelah beberapa tahun bersimpul seratus. Ada doa ikhlas yang sampai, ada ingin tulus yang menyentuh dan barangkali ada ceritera benar yang bercantum. 

[Random]

Wednesday, April 03, 2019

~ BERPUTIH MATA ~


AKUR dengan kesilapan diri sendiri yang akhirnya memberi ruang kepada manusia lain untuk mengambil kesempatan.

Lalu hari ini aku terpaksa berputih mata merelakan perginya sejumlah wang yang nilainya melebihi gaji sebulan kepada manusia yang nipis rasa timbang rasanya sesama insan.

Ya, begitu sahaja sekelip mata. 

Meski ia mungkin kecil jumlahnya pada sesetengah individu, namun ia merupakan nilai yang agak besar buat seorang marhaen seperti aku.

Paling buat aku merasa terkilan apabila jumlah itu beralih tangan begitu sahaja secara percuma tanpa rela. 

Apapun.. pada akhirnya akur. Barangkali ada sesuatu yang lain sedang hadir dari Tuhan yang maha adil. Aamin.


[Sa-moga tenang mimpi mereka atas rakos yang ter-beri..]

Sunday, March 31, 2019

~ RAKUS MAC ~


KALENDAR Mac yang terakhir hari ini. Semoga semua yang kelat-kelat juga berlalu pergi sama Mac yan gtiada timbang rasa itu.

Sepanjang yang namanya Mac, aku terumbang ambing berdepan segala satu yang bersahutan sehingga merenggut tenang-tenang hari yang ada.

Berkejaran dengan lelah yang dahsyat membuat damping setiap saatnya.

Ampuni aku, andai benar banyak silap laku dan tindak yang dibuat tanpa sedar sehingga harus mendepani semuanya dalam rupa yang begini.

[Meng-harap April datang dengan penawar..]

Saturday, March 30, 2019

~ CHARLIE CHAPLIN ~








 Charlie Chaplin

KARYA: Peter Ackroyd
 TERBITAN: Nan A. Talese
 CETAKAN: Pertama (2014)
 HALAMAN: 278
 HARGA: USD$25.95

Monday, February 25, 2019

~ PAKET DRAMA ~

MENGHARUNGI hari yang begitu dramatik hari ini. Bermula seawal pagi sehingga lewat petang ini, segalanya berbaur pada taut emosi yang bergantungan.

Awal pagi ini aku menemani seorang sahabat yang juga ibu kepada anak kecil, Emran yang berjuang untuk terus mendapat peluang hidup. 

Pada ratusan minit saat dada kecil Emran dibuka sang doktor di bilik pembedahan, aku bersaksi drama air mata sang ibu untuk kesekian kalinya. Berkali-kali bersaksi, dan berkali-kali juga membekas di hati. Syukur dana mencukupi, mempercepat tamat sengsara hati.

Meski tidak berkesempatan menunggu sehingga si kecil Emran membuka matanya kerana perlu memenuh temujanji berkait soal rumah, namun aku lega apabila mendapat tahu Emran operasi Emran berlangsung sukses. 

Ya, aku hanya berani meninggalkan ruang emosi itu selepas berita gembira Emran disua pada si ibu. Berita yang menjadi penamat segala duka lara. Alhamdulillah.. Emran selamat. Denyut jantungnya kembali ke asal. Sukses atas doa sang ibu yang tiada hijabnya.

Surat untuk kamu 
Wahai anak kecil yang namanya Emran,
Semoga besarmu kelak menjadi manusia yang tahu mengenang
Tentang perjuangan ibu mempertahankan kamu
Kisah pengorbanan ibu menyelamatkan kamu
Juga cantum tangis ibu mendoakan kamu
Wahai anak kecil yang namanya Emran,
Kalaulah kamu tahu 
Bagaimana sukar ibu mengumpul dana untuk nyawa kamu 
Kalaulah kamu tahu 
Bagaimana sakitnya ibu melihat sengsara kamu
Kalaulah kamu tahu bagaimana debarnya ibu menunggup degup kamu
Percayalah,
Kamu tidak akan pernah menginginkan lain,
Melainkan ibu sebagai jambatan syurgamu.

Dalam seka tangis yang masih berbaki, aku berkejaran pula pada urusan yang tiada sudahnya semenjak dua minggu yang lalu. Rumah, rumah dan rumah. Berurusan dengan manusia-manusia yang mengambil kesempatan atas ketidakpunyaan orang lain.

Pada lewat petang usai segala drama, dan emosinya berakhirnya di kedai kopi.

Barangkali, esok drama bersambung lagi. Di mana aku perlu berada di acara penghargaan berkaitan pemilihan bahan tulis yang kongsikan beberapa hari lepas. Semoga aku tidak beraksi yang tidak-tidak pada saat tercuri tumpuan banyak mata. Amin.


[February sering dengan hal yang tidak-tidak..] 

Wednesday, February 20, 2019

~ MAMAI ~

AWAL pagi, dikejutkan dengan satu mesej dari sebuah organisasi. Jemputan menghadiri majlis pelancaran kalendar mereka untuk tahun 2019.

Tidak hanya itu, tetapi mereka menyampaikan sesuatu yang aku fikir hanya satu gurauan untuk memula hari pada minggu-minggu yang dilalui dengan cukup menekan ini.

Katanya, aku perlu hadir. Wajib hadir. Ini kerana majlis tersebut dalam masa yang sama adalah majlis  penghargaan untuk pemenang. Pemenang?

Katanya lagi, penulisan aku untuk sebuah artikel (bukan penulisan dari ruang ini) dipilih sebagai artikel terbaik untuk satu kategori yang dipertandingkan. Dipertandingkan???

Aku hanya memberikan respons ringkas, mamai,
“Uiksss..” Hanya itu. Sehingga saat aku tulis di sini, isi kandungan mesej selanjutnya masih juga belum aku balas.

Lucu. Entah betul entahkan tidak. Memang benar itu dari aku, tetapi entah siapa yang memasukkan penulisan itu. Tiba-tiba sahaja.

Tulisan yang benar-benar ditulis dengan mahu, hanya di ruang ini.

[Rumah.Rumah.Rumah.Rumah baru lagi..]

Thursday, January 31, 2019

~ JALAN AMPANG ~

JALAN yang sudah tidak lagi rata. Tidak perlu memaksa diri untuk terus merata-ratakan, kerana tidak akan wujud rataan yang cantik atas acah-acahan.

[Awkward]