Friday, August 31, 2018

~ KERANA JANJI ~


MELIHAT kepada kondisi diri, hampir sahaja dibatalkan janji ke istana pada malam nanti. Namun alhamdulillah sedikit baik daripada semalam selepas lebih lima belas jam hilang dalam lena yang panjang.

Janji. Yaa, hanya kerana janji, aku gagahkan diri.

Memandu dalam penuh kepayahan.  Biarpun dinasihati untuk tidak memandu sehingga kondisi badan kembali ke sedia ada. Namun apa pilihan yang ada. Malah aku juga perlu memandu ke Shah Alam terlebih dahulu sebelum ke Istana. Maka, memandulah.

Sesuatu yang mudah, namun tidak mudah pada keadaan ini. Soal belakang tabir yang tidak pernah ditahu mereka selain senyum-senyum dan mahu yang dipenuhkan. 

Kerana itu, selalu aku mengenang tentang soal belakang tabir, untuk segala satu mahu dan ingin yang dipenuhkan untukku. Malah dengan itu, kita akan lebih menghargai.

Demi janji.

[Ceritera istana]

~ DI LANTAI PEKERJAAN, DAN KALI KEDUA ~


SEMALAM sekali lagi dalam minggu yang sama, aku mengambil cuti separuh hari dalam kondisi diri yang sering dalam tidak berkeadaan baik setiap kali awal pagi. Beberapa jam pada awal pagi selepas membuka mata.

Jam 1 tengahari tiba di lantai pekerjaan dengan lambak urus pekerjaan yang setinggi KLCC. Sementelah esok cuti sempena Hari Kemerdekaan, di mana segala urus perlu diselesaikan hari ini. Ya, semuanya tanpa berbaki.

Dua jam leka mengadap skrin dengan segala satunya tanpa sedikit membuat ganjak, perut mula terasa tegang. Bermula ulang-alik ke untuk memuntahkan isi perut. Muka mula kebiruan dan aku sudah dapat mengagak kesudahannya.

Doa yang selalu aku harapkan agar tidak berlaku ketika di lantai pekerjaan, namun ia berulang untuk kali kedua.

Lari ke unta hitam. Jatuhkan kerusi pemandu serapat yang boleh ke belakang. Baring. Tiba-tiba segala isi perut menegang seolah baru selesai menjalani pembedahan. Tidak mampu duduk dan berjalan. Ya Tuhann..sakitnya. 

Kurang lebih dua jam, aku tidak mampu bertahan. Memutus untuk naik ke atas meminta izin pulang awal kerana segala ubatan di rumah dan aku perlukan itu.

Dalam kepayahan, terpaksa menguatkan diri ke atas. Bertembung pula bekas rakan sepekerjaan yang kemudiannya menahanku dalam perjalanan ke atas setelah melihat laku anehku barangkali. Diasaknya aku dengan pelbagai tanya melihat keadaan payahku itu. Pelbagai spekulasi ditutur, sedang aku sudah tidak mampu untuk berdiri lebih lama untuk menahan kesakitan yang melampau.

Sang kepala barangkali sedikit terkejut, melihat keadaan yang barangkali tidak pernah dilihat dia. Laju sahaja dia mengangguk dan memberi kelonggaran untuk segala urus kerja yang berbaki. Terima kasih untuk sebuah pengertian meski tanpa jelas-jelas yang terang.

Memandu dengan penuh kepayahan, ke rumah putih dengan penuh rasa keterpaksaan. mematikan diri sehingga hari dan tarikh bertukar ganjak. Alhamdulillah. Masih dipinjamkan.

[Me-mati-kan diri]

Thursday, August 30, 2018

~ MARLBORO HIJAU, KEPUL ASAP DAN SEBUAH PENGKHIANATAN ~


SAAT terlihat kelibatku, dia meluru laju. Memeluk erat seperti terjejak kasih puluhan tahun. Aku membiarkan beberapa ketika, meski tersekat nafas dek kerana kemas dakapnya.

Melihat kepada perlakuannya itu, benarlah degup resah dan bergendangan semenjak siang tadi sehingga membawa aku ke sini untuk menjenguknya.

Meski tidak dia membuat jelas, namun ceritanya dibaca aku tanpa perlu dia bercerita. Hanya menyusun aksara bersenggangan itu, aku sudah tahu hatinya dibelati lagi.

Dan saat dia melepaskan pelukan kejap itu, sempat dibisikkan tentang ranap hatinya. Terpaling ranap. Pantas diseka air  matanya dari menuruni pipi. Setiap kali dia cuba menyambung cerita, matanya penuh dengan kaca-kaca jernih yang mahu gugur.

Tidak pernah aku melihat perlakuan itu sepanjang aku mengenalinya.

Barangkali tidak mahu emosinya pecah, apatah lagi ketika itu bukan hanya aku seorang di situ, dia tidak menjelaskan keranapan yang menghempap dirinya hari ini, atau lebih tepatnya malam tadi yang memebawa ke hari ini.

Dijarakkan sedikit sosoknya daripada tempat aku berdiri, lantas dicapai sesuatu di dalam tas tangan yang dibawanya. Kotak rokok Malboro hijau dibuka dan dipetik satu daripadaya untuk diketap pada bibir sebelum berkepul asap tembakau itu memenuhi ruang udara yang akhirnya menyempitkan ruang pernafasan itu.

Perlakuan itu didahulukan dengan kata maaf daripadanya kerana selama ini tidak pernah aku dipertonton itu.

"Sorry saya merokok, stress sangat dengan benda-benda yang jadi ini,"

Aku senyum. Tanda ok-ok sahaja. Dia masih menyeka air mata. Namun tanpa esak, tanpa gugur titisnya sebagaimana sebentar tadi. Hanya kepul-kepul asap yang meraja pada ruang itu. 

Dia seolah ingin membuka cerita yang banyak, aku juga seperti mahu bertanyakan soalan yang banyak, namun keadaan tidak mengizinkan.

Seorang manusia yang berpaket nilai putihnya. 

Barangkali, kerana paket itu jugalah dia diranap mudah dengan sebuah pengkhianatan. Pengkhianatan yang sangat tidak terduga, daripada teman yang tidak terduga, malah atas alasan yang juga tidak terduga.

Usaha dan pengorbanan yang terhasil perit jerihnya, langsung kabur tidak terlihat. Dia yang sebenarnya berstatus 'raja', ditidak-tidakkan sebagai orang kebanyakan. Diranap-ranapkan mimpi yang dia susun selama tiga tahun ini agar gagal dikenyataankan.

PENGKHIANATAN yang paling jahat dibelatikan untuk dia. Nasib buat dirinya yang sering melihat dunia dengan pandangan yang putih, sedang kenyataannya udaranya terlalu hitam.

Wahai sahabat, saat aku menulis di sini, aku turut menadah tangan mendoakan agar kamu itu tidak sampai ada detik menjadikan pengkhianatan itu sebagai penggalak kamu berperilaku seperti mereka.

Semoga Tuhan sentiasa merahmati kamu.

[Soal-soal kehidopan..]

Monday, August 13, 2018

Sunday, August 12, 2018

~ GARIS ~



INTROVERT di dalam dunia extrovert. Dan, tidak pernah dengan mudah.

Saturday, August 11, 2018

~ SAYAP SENJA ~








Sayap Senja
 KARYA: Arbak othman
 TERBITAN: Dewan Bahasa dan Pustaka
 CETAKAN: Pertama (2016)
 HALAMAN: 108

Friday, August 10, 2018

- UNTUK BAHASA JUJUR ~


GURISAN. Pada satu garis yang sangat kasar. Menyebu rasa. Kalau tidak kerana urus pekerjaan yang meninggi KLCC, aku sudah keluar bersama unta hitam untuk mereda.

[Di-lehat manusia pelik..]