Wednesday, July 18, 2018

~ TERAPI TOL ~


URUS di luar lantai pekerjaan dipermudah untuk hari ini. Justeru, aku memutus untuk pulang awal ke rumah. Memasak? Yaa terlalu asing untuk disebut. Namun, mungkin akan menjadi kebiasaan nanti-nantinya kerana hanya itu pilihan tersisa.

Bagaimanapun, awal yang dihasratkan itu menjadi sebalik. Entah apa perhitungan yang silap, unta hitam terbawa ke laluan Ipoh, meski hala yang dituju sama sekali bertentangan hujung ke hujung. 

Diletak harap pada aplikasi Waze, namun akhirnya menambah jarak panjang pada halanya. Lalu  bersiar aku sama si unta hitam dari lebuh ke lebuh.

Dan, tiba melihat bumbung rumah pada hampir tiga jam kemudian. Tenang-tenang saja.

[Makan angin, yang aman-2]

Tuesday, July 17, 2018

~ BERTERAPI MOZART ~



LAMA tidak bersituasi seperti hari ini. Tiba-tiba datang membuat singgah. Tidak seberat selalu, hanya yang sedang-sedang sahaja. Namun hampir setengahari aku hilang di unta hitam untuk mengembali ke nafas tenang.

[Damping] 

Monday, July 16, 2018

~ UNTUK DENGAR ~


BANYAK perkara yang berlaku semalam dan hari ini. Bersusun deret. Bersimpul seratus. Semampunya cuba untuk tidak mendahulukan emosi agar laku tetap duduk pada waras akal.

Namun, menjadi lumrah untuk sebuah kesenyapan yang sering dipergunakan. Kesabaran yang sering menjadi sasaran untuk ditunjalkan.

Aku menopang dagu. Hadap pandang terus ke redup langit luar jendela. Seperti mahu membuat bual, sama siapa-siapa sahaja. Asal lepas selirat seratus yang menguji-uji ini untuk melega. 

Sama di meja menghidang teriyaki, mungkin di char kuetiaw yang menggamit, atau barangkali kopi di tepi sungai sambil kumandang muzik raggae memecah buntu.

Mahu bual, saat ini. 

Dan, akhirnya saat matahari membuat condong ke separuh hari, aku memilih untuk membuat hala ke Tanah perkuburan Islam Kepong sama unta hitam. 

Datang untuk bual sama kamu Lego. Kamu yang selalu ada mendengar sejak dulu meski tidak aku minta-minta. Aku aku percaya, sehingga saat ini pun kamu masih sudi mendengar-dengar.

Usai menghadiahkan bacaan, aku bual sama kamu sehingga lewat petang. Sehingga terlupakan pada mahu charkuetiaw. Pusara kamu tenang-tenang sebagaimana pertama aku menziarah kamu di sini. Lalu, aku juga tenang-tenang saja bercerita sama kamu seperti selalu.


[Sering salah pergi, dan salah tempat..]

Wednesday, July 04, 2018

~ BUAL-BUAL YANG HANYA DALAM HATI ~


HAMPIR dua minggu menjalani hidup berdikari yang tidak pernah dirasai sepenuhnya sebelum ini. Kali pertama dan terakhir ketika berada di uni. Sebelum dan sesudah itu, aku menjalani hidup yang dipapah pimpin kembali selama bertahun-tahun sehinggalah hari ini.

Bunyinya seperti agak keterlaluan, namun itulah hakikat perjalanan seorang aku.

Selepas Aidilfitri lalu, aku bebas pimpin dan harus berjalan sendiri. Huru-hara dan kelam kabut untuk segala satunya, namun hanya aku sendiri yang tahu tanpa terbocor di mata mereka yang berkeliling.

Namun beberapa hari ini, aku berkongsi tentang kehidupan baru ini dalam bual-bual kecil. Sekadar berkongsi untuk menghibur diri, untuk bergelak tawa sebagai usaha memberi semangat agar aku segera mengubah dan menasimilasikan diri dengan rutin-rutin baru itu.

Itu sahaja tujuannya. 

Tidak ada sedikitpun bual-bual pada perkongsian itu punya niat untuk menyusahkan orang lain agar memberi menghulur bantu. Bukan juga dengan sengaja meluah rungut-rungut kekalutan itu tanda aku tidak punya rasa syukur dengan keberadaanku yang masih baik-baik ini berbanding orang lain yang bergelandangan.

Dan, yaa..
Tidak pernah aku meminggirkan rasa syukur menerusi bual-buat yang ditafsir sebagai rungut itu. 

Lewat hari ini, tumbuh sedikit rasa terkilan bila mana bual-bual kecilku dalam tempoh dua minggu ini dibaca salah dengan begitu sekali. Barangkali aku sememangnya tidak pernah bijak menyusun kata dengan baik  bagi memudah faham atau menyenangkan sang pendengar sehingga mereka sering tersasar baca. 

Barangkali.. kerana ketidakbijaksanaan itulah, aku menghindar untuk banyak membuat bual. Pada rakan, stranger apatah lagi. 

"Baik cakap dalam hati jer.." kata yang sering meniti di bibir dalam olahan gurau untuk menghibur-hibur, namun pada niatnya benar-benar aku maksudkan.

Dan, yaa.. masih terngiang bual-bual kecil siang hari tadi.

Bertuahlah kamu kerana terhadir pengalaman-pengalaman besar yang memanusiakan kamu dalam segala satunya. Keberuntungan hidup yang dipunya kamu yang jauh beda dari seorang aku.

Namun, usahlah kamu samakan keberuntungan kehidupan kamu itu sama orang lain. Jalan hidup kita ini beda. Tahap kesukaran yang aku rasakan juga, barangkali jauh sasar dari istilah kesukaran kamu. 

Hal-hal dalam bualku itu, memang benar terlihat besar menggunung di mataku atas ukuran kemampuanku yang serba dipimpin sebelum ini. Ketidakbiasaan aku kepada segala sesuatu yang barangkali pertama itu, memang benar-benar besar pada galas bahuku.

Namun, bual-bual kecil aku tentang kekalutan yang dilalui aku saat ini, terlihat sebagai hal-hal yang menurut kamu sengajakan dibesarkan aku.

Lalu pengkongsian kecil aku itu, dianggap sebagai rungut-rungut manusia yang tidak punya rasa syukur atas keberadaan. Malah dianggap seperti tidak pernah mahu berubah menguruskan hidup sendiri dengan sebaiknya tanpa kebergantungan.

Menopang dagu, dan menghala pandang ke dada langit hitam. 

Dan, sesudah hari ini barangkali aku  harus berhenti membuat bual-bual kecil tentang proses keberdikarian yang sedang aku usaha tanpa meminggirkan syukur ini.

[Senyom sa-indah suria yang mem-bawa cahaya.. senyom-lah dari hati, donia-mu ber-seri..]