Sunday, January 21, 2018

~ LEBIH TIGA KALI ~



THE GREATEST SHOWMAN, sebuah muzikal yang sangat-sangat memikat dan memberikan impak pada hati baik pada kali pertama menontonnya sehingga ke kali ketiga yang aku sudahkan hari ini.

Mengisahkan perjalanan hidup P.T. Barnum yang serba kekurangan sebagai anak kepada seorang tukang jahit.

Kedaifan menjadi motivasi terbesar buatnya dirinya untuk mengejar impian dan mengubah nasib agar mampu menjalani kehidupan lebih baik dan sempurna, apatah lagi selepas berjaya menikahi gadis pilihannya, Charity, anak bangsawan.

Barnum berjaya membina sebuah gelanggang sarkas di tapak muzium lama dengan mengumpulkan mereka yang mempunyai fizikal unik untuk membuat persembahan di situ sehingga mencetuskan rasa kurang senang sesetengah masyarakat terutamanya golongan kaya.

Ia mendedahkan Barnum kepada pelbagai cabaran dan dugaan sehingga membuatkan dia hampir kehilangan keluarga dan perniagaan.

Menariknya filem arahan Michael Gracey ini adalah filem inspirasi daripada kisah benar seorang tokoh perniagaan terkenal, Phineas Taylor Barnum yang berjaya membangunkan sarkas tiga gelanggang, Ringling Bros. dan Barnum & Bailey Circus sehingga dikenali di seluruh dunia.

Indahnya cerita ini apabila ia disampaikan melalui muzikal dengan susunan muzik dan seleksi lagu-lagu yang sangat memberikan impak pada emosi sekaligus mencetus inspirasi.

Sepanjang menonton, hati turut berlagu mengikut rentak yang lekat mengisi ruang-ruang yang berkebarangkalian turut merasa hal serupa.

Aku sangat sukakan The Greatest Showman, dan masih mahu terus menontonnya.

[Ulangan yang meng-ingat-kan T. Pinkie]



No comments: