Wednesday, January 31, 2018

~ BERLALU TIGA PULUH SATU HARI ~


PANTAS waktu berlalu. Berlangsung tiga puluh satu hari mengisi Januari. Dan, hari ini adalah hari terakhir untuk bulan pertama dua ribu lapan belas.

Azam?

1. Mahu mengurangkan kopi, gagal 
2. Mahu kembali beragresif dengan bahan baca, gagal.
3. Mahu  tidur yang cukup, gagal.

Yaa, gagal secara nyata pada tiga puluh satu hari bulan pertama ini.

Dan, yaa.. gagal untuk menjadi lebih baik.

[Gagal]

Tuesday, January 30, 2018

~ HANYA BEBERAPA AKSARA ~


HANYA beberapa aksara yang tertutur sepanjang hari ini. Rumah-lantai perkerjaan-rumah. Belum  jam di dinding putih kosong mengarah ke angka sembilan, aku sudah senyap hilang di dunia bawah sedar.

Mengelak detak.

[Mohon di-beri mimpi]

Monday, January 29, 2018

Sunday, January 28, 2018

~ TERSAKITI ~


UNTA hitam tersakiti. Keras. Calar dan kemek. Babak yang berlaku dengan begitu pantas, dan aku hanya mampu melihat tanpa sepatah kata ditutur.

Turun seorang lelaki sepet, menilik-nilik dan menganggar sendiri kos rawatan menurut perkiraannya. Aku hanya pandang, angguk. Setuju dalam tidak bersetuju.

Malas.

Malas untuk menimbang-nimbang. Malas untuk membantah-bantah. Malas untuk meminta-minta. Malas untuk berlengahan waktu.

Paling selalu, malas untuk menutur bual.

Aku melihat unta hitam. Merenung-renung. Menilik-nilik,

Belum menggenap setahun dalam jagaku, sudah tersakiti. Belum sempat membuat sebarang janji, sudah berkelana.

Hidup ini.. ya hidup bersamaku, beginilah..

[Aku juga ter-sakiti]

Saturday, January 27, 2018

~ FALSAFAH HIDUP ~




 

Falsafah Hidup

KARYA: Prof Dr. Hamka
 TERBITAN: PTS Publications
 CETAKAN: Pertama, Kedua & Ketiga (2017)
 HALAMAN: 419
 HARGA: RM24.00

Friday, January 26, 2018

~ DUA PULUH EMPAT JAM YANG PANJANG ~


HARI yang paling panjang dan paling sukar sepanjang hampir dua tahun dalam pasukan ini.

Paket kecemasan yang secara kebetulannya berlaku pada masa yang sama. Umpama drama di TV, tetapi inilah kejadian sebenar yag dilalui aku.

Seawal pagi Jumaat sehingga ke hampir tengah malam, berada di lantai pekerjaaan seorang diri kerana perlu menyiapkan segala tugasan mesti selain membantu menguruskan segala satu yang berganda dari hal kecemasan secara berdikari.

Hilang nafas.

Tidak tahu bagaimana lagi harus menyusun atur segala tugasan dengan sebaiknya bagi mencukupkan waktu untuk urus kerja yang punya tarikh mati ini.

Hal-hal yang berada di luar jangkaan dan tidak ada dalam bayangan langsung sebelum ini.

Apapun, semoga mereka baik-baik sahaja dan dapat mendepani saat sukar itu dengan sebaiknya. Semoga Allah permudahkan segalanya. Aminnn..

Tiba ke rumah pada saat tarikh bertukar dan hari berganti. Hari yang paling panjang dan paling sukar. 

Pengsan! 

[Rindu pasukan lama..]

Thursday, January 25, 2018

Wednesday, January 24, 2018

~ MENJADI SEBAHAGIAN ~


MESKI pada awalnya aku terikat dengan segala satu urus pekerjaan yang sudah diatur pada hari ini, sekaligus menidakkan aku untuk berada di keramaian ini, alhamdulillah ada kuasa ghaib yang memberi ruang lalau membawa aku ke sini.

Yaa, untuk memberi sokongan dan memenuh janji kepada seorang sahabat yang mahukan aku menjadi sebahagian daripada sejarah yang dilakar dia pada hari ini.

Bagaimana aku berkejaran dan bersesakan meninggalkan segala urus terikat, hanya Tuhan yang tahu. Namun segalanya berbaloi apabila kehadiran kita mampu memberi senyum kepada insan lain. Meski kecil, namun punya erti.

Usai keraian aku terus berlalu tanpa sempat bertemu empat mata kerana perlu berada di lokasi lain untuk urus pekerjaan.

Apa yang penting, sahabat itu tahu aku berada di situ untuk merai dan menjadi saksi kejayaannya itu.

Terima kasih untuk persahabatan manis, meski beza pada latar hidup dan budaya.

[Tumpang bangga]

Tuesday, January 23, 2018

~ AWKWARD ~


SEBELUM berada di ruang ini, aku sudah bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan. Dalam erti kata lainya, menyerah diri sahajalah.

Sehingga bilapun mahu lari.

Namun, mana mungkin untuk berlagak biasa setelah lama bersenyapan dan berdinginan untuk satu tempoh yang lama.

Awkward.
Dan, kami bersandiwara dalam dunia yang berasingan.

[Masa... tidak akan pernah kembali.]

Monday, January 22, 2018

~ BUKAN KERANA BULAN DAN BINTANG ~


HAL-HAL kecil yang meninggalkan impak pada hati. Bukan kerana bulan dan bintang, sekadar rasa saling menyokong untuk suatu hal yang punya erti pada yang selain kita.

Senyum sahaja melihat tulisnya yang jujur. Tidak pernah berubah dia saat pertama mengenalinya sehingga hari ni.

Apresiasinya sentiasa tidak lekang.

Dia sedang dalam perjalanan mengejar  mimpinya yang sudah hampir menjadi kenyataan. Sungguh, jauh di sudut hati, aku sangat-sangat berbangga dengan usaha dan pencapaiannya itu.

Terngiang-ngiang, perbualan kami yang bercakap tentang impiannya hampir tiga tahun lalu, dan siapa sangka dia hampir menggenggam impian itu.

Terima kasih, kerana mengingati aku dalam perjalanan impian yang sudah hampir ke puncak itu.

Tahniah wahai sahabat yang baik budi pekertinya. Semoga Tuhan merahmati dan mengizinkan mahu-mahu kamu itu. 

[Harga]

Sunday, January 21, 2018

~ LEBIH TIGA KALI ~



THE GREATEST SHOWMAN, sebuah muzikal yang sangat-sangat memikat dan memberikan impak pada hati baik pada kali pertama menontonnya sehingga ke kali ketiga yang aku sudahkan hari ini.

Mengisahkan perjalanan hidup P.T. Barnum yang serba kekurangan sebagai anak kepada seorang tukang jahit.

Kedaifan menjadi motivasi terbesar buatnya dirinya untuk mengejar impian dan mengubah nasib agar mampu menjalani kehidupan lebih baik dan sempurna, apatah lagi selepas berjaya menikahi gadis pilihannya, Charity, anak bangsawan.

Barnum berjaya membina sebuah gelanggang sarkas di tapak muzium lama dengan mengumpulkan mereka yang mempunyai fizikal unik untuk membuat persembahan di situ sehingga mencetuskan rasa kurang senang sesetengah masyarakat terutamanya golongan kaya.

Ia mendedahkan Barnum kepada pelbagai cabaran dan dugaan sehingga membuatkan dia hampir kehilangan keluarga dan perniagaan.

Menariknya filem arahan Michael Gracey ini adalah filem inspirasi daripada kisah benar seorang tokoh perniagaan terkenal, Phineas Taylor Barnum yang berjaya membangunkan sarkas tiga gelanggang, Ringling Bros. dan Barnum & Bailey Circus sehingga dikenali di seluruh dunia.

Indahnya cerita ini apabila ia disampaikan melalui muzikal dengan susunan muzik dan seleksi lagu-lagu yang sangat memberikan impak pada emosi sekaligus mencetus inspirasi.

Sepanjang menonton, hati turut berlagu mengikut rentak yang lekat mengisi ruang-ruang yang berkebarangkalian turut merasa hal serupa.

Aku sangat sukakan The Greatest Showman, dan masih mahu terus menontonnya.

[Ulangan yang meng-ingat-kan T. Pinkie]



Saturday, January 20, 2018

~ ELIZABETH AND MICHAEL: THE QUENN OF HOLLYWOOD THE KING OF POP, A LOVE STORY ~

 



Elizabeth And Michael: The Quenn Of Hollywood The King Of Pop, A Love Story

KARYA: Donald Bogle
 TERBITAN: Atria Books
 CETAKAN: Pertama (Ogos 2016)
 HALAMAN: 391
 HARGA: USD$26.00

Friday, January 19, 2018

~ CERITA DARI ARWAH SAHABAT SAYA ~


KEBETULAN berada di satu ruang yang menemukan aku dengan YB (pembangkang) dari Kepong yang sebelum ini aku hanya mendengar nama dan ceritanya sahaja.

Cerita dari arwah AA, anak jati Kepong yang tidak pernah berpihak kepada mana-mana parti politik, tetapi mengakui menghormati YB ini.

Semenjak dari dulu AA sering memuji-muji personaliti YB ini yang disifatkan sangat berjiwa rakyat dan mempunyai kepimpinan yang sangat tinggi.

Hari ini aku bertentang empat mata dengannya. Tidak menuturkan sebarang kata, cuma memerhatikan dia dari jauh. Pada bicaranya, pada laku dan pada kerendahan hati yang jelas dipamerkan tanpa perlu diacah tunjuk.

Kalau benar niat itu mendahului segala, semoga usaha YB dipermudahkan. 

Politik sentiasa kotor, namun semoga kekotoran itu tidak sampai menutup hati yang tersedia bersih.

[YB meng-ingat-kan saya kepada aruwah AA, sahabat baek saya.. sahabat yang saya rindui..]

Thursday, January 18, 2018

Wednesday, January 17, 2018

~ SEREMPAK ~


SEREMPAK. Bukan berdepan pun, hanya berkelibat di dalam kereta masing-masing dengan rutin beza dan cerita yang tidak pernah sama.

Dan, aku sudah melupakan, lalu biarlah terus terlupakan.

[Oktober teraahir]

Tuesday, January 16, 2018

~ NOTIFIKASI ~


KALUT. Baik pada fikiran, hati mahupun perlakuan membuatkan semenjak beberapa hari ini, rutin menjadi tidak teratur.

Dan, semalam aku tertinggal telefon bimbit yang terselit dalam buku nota di meja lantai pekerjaaan. Ia hanya disedari selepas beberapa jam ketika ingin membuat reminder tentang satu urus berkait pekerjaan.

Hais.

Tidak sanggup meredah sesak jalan raya pada saat waktu puncak apatah lagi dari jarak lebih hampir ke rumah berbanding ke lantai pekerjaan. Lalu aku memutus untuk 'melupakan' sahaja tentang telefon bimbit walaupun ia bukan satu kebiasaan.

Nahhh.. Awal bagi beratus notifikasi tertanda pada telefon bimbit. Begitu juga panggilan yang tidak berjawab.

Lebih lucu, ada teman sepekerjaan yang memberitahu alarm di telefon bimbit berbunyi tanpa henti seawal pagi sehingga mereka terpakasa mencari dari mana datang bunyinya. Lalu sebaik sahaja aku muncul hari ini, pelbagai usikan yang diterima dari awal pagi berpanjangan sehingga ke petang.

Tenang juga sebenarnya tanpa telefon bimbit... Nyaman dan aman.

[Mem-biarkan notifikasi]

Monday, January 15, 2018

~ DAN, LAGI ~


LAGI dan lagi. Bermula September 2016, sehinggalah ke hari ini berselang bulan ada sahaja perubahan dan rombakan yang melibatkan pasukan kami di lantai pekerjaan.

Yang masuk akal, dan yang tidak, bertembung gabung atas alasan mencari solusi terbaik  untuk meneruskan kesinambungan reputasi.  

Entah keberapa kali.

Penat.

Dan, hari ini sekali lagi menerima perkhabaran serupa. Lagi percubaan demi percubaan yang, sumpah sangat melelahkan.

Entah sampai bila mampu  bertahan.

[Reshuffle]

Sunday, January 14, 2018

~ BILA TIBA ~



BILA TIBA
by ungu

Saat tiba nafas di hujung hela
Mata tinggi tak sanggup bicara
Mulut terkunci tanpa suara

Bila tiba saat berganti dunia
Alam yang sangat jauh berbeda
Siapkah kita menjawab semua
Pertanyaan

Bila nafas akhir berhenti sudah
Jatung hatipun tak berdaya
Hanya menangis tanpa suara

Mati tak bisa untuk kau hindari
Tak mungkin bisa engkau lari
Ajal mu pasti menghampiri

Mati tinggal menunggu saat nanti
Kemana kita bisa lari
Kita pastikan mengalami
Mati

Mati tak bisa untuk kau hindari
Tak mungkin bisa engkau lari
Ajal mu pasti menghampiri

Mati tinggal menunggu saat nanti
Kemana kita bisa lari
Kita pastikan mengalami
Mati

Saturday, January 13, 2018

~ TUN M, INILAH PERJUANGAN ~

 




Tun M, Inilah Perjuangan

 KARYA: Sabaruddin Hussien
 TERBITAN: PTS Publications
 CETAKAN: Pertama (2016)
 HALAMAN: 104
 HARGA: RM30.00

Friday, January 12, 2018

~ KESIHATAN MENTAL ~


HARI ini masyarakat digemparkan dengan insiden penahanan seorang selebriti popular yang 'mengamuk' di sebuah balai polis tanpa sebab yang jelas sehingga mengejutkan ramai pihak.

Selepas ditahan dan disiasat, difahamkan pelaku tersebut mengalami masalah mental selain disyaki mengambil bahan terlarang.

Menurut salah seorang ahi keluarga terdekat, si pelaku tertekan kerana merindu kedua anaknya yang sudah lama tidak ditemui.

Diam. Lama diam untuk menghadam segala satunya.

AZ: Mental illness di mana-mana, dan boleh terjadi pada siapa saja.
A: Yaa.. tapi kita kadang2 tak sedar ada tanda2, sehingga jadi melarat.
AZ: Family atau kawan2 penting, alert dengan orang dekat n bantu bila perlu 

Ya, semenjak kebelakangan ini terlalu banyak hal seumpama berlaku kepada mereka yang dalam kenal. Yang ada kalanya langsung tidak tersangkakan. Begitu dan begini.

Mudah-mudahan sejahtera kepada mereka yang sedang bertarung untuk ini. Terpulih dengan aman-aman. Semoga meraka yang dekat-dekat sentiasa membantu. Amin.

[Dunia hari ini kejam, dan kita ter-dedah kepada-nya]

Wednesday, January 10, 2018

~ KEDAI KOPI ~


ENTAH kenapa beberapa hari ini aku asyik membicarakan tentang sahabat secara terus-terus.

Begitu juga hari ini.

Seorang sahabat mencariku di ruang kedai kopi selalu tanpa tahu. Dia sekadar mencuba nasib, mengintai kalau-kalau aku berkelibat di sana.

Hanya kerana melihat kedai kopi, dan terkenang aku.

Manisnya kamu ini.

Sayangnya aku tidak berada di sana. Pulang terus ke rumah untuk istirehat.

Bual kamu itu terlalu jujur lurus, dan terima kasih untuk itu.

[Ingatan] 

Tuesday, January 09, 2018

~ REUNION ~


REUNION. Tanpa dirancang-rancang atur, hari ini menjadi paling manis saat ditemukan sama rakan-rakan lama yang kini sudah berbeza lantai aliran.

Siapa sangka acara lewat malam tadi mempertemukan kami secara sekaligus setelah lama tidak punya kesempatan seperti ini.

Rindu. 

Sangat-sangat rindu pada sebuah memori lalu yang berpaket-paket itu. Betapa saat yang tidak mungkin akan terulang.

Bukan tidak pernah bergaduh, bermasam muka, berkecil hati.. namun akhirnya tetap merindukan.

Dewasa kita pada sebuah kehilangan. 

[Baik buruk, dan seadanya kita..] 

Saturday, January 06, 2018

~ THE JAPANESE LOVER ~









 The Japanese Lover
 KARYA: Isabel Allende
 TERBITAN: Atria Books
 CETAKAN: Pertama (November 2015)
 HALAMAN: 321
 HARGA: USD$28.00

Thursday, January 04, 2018

~ PALING LUKA ~

MEMORI menjadi hal yang paling luka untuk sebuah cerita kehilangan.

[Paket]

Wednesday, January 03, 2018

~ BIPOLAR DISORDER ~


BIPOLAR Disorder (Manic Depression Stage Two). Itu pendedahan yang dibuatnya secara terbuka  hari ini.

Aku sudah lama mengetahui tentang itu, namun tidak pernah bertanya atau cuba membawa bual ke arah itu sementelah dia sendiri tidak pernah menyebutnya.

Namun, hari ini diluahnya. 

Allah maha mendengar. Semoga dia dilindungi dari segala satu yang membenam dek kerana bebanan yang bukan dalam pinta. Amin.

Di mana-mana.. dan dunia hari ini sangat menekan-nekan setiap harinya. Justeru, jagalah orang-orang yang kita sayangi. Keluarga, kekasih, sahabat dan manusia-manusia penting dalam hidup kita.

[Jaga diri]

Tuesday, January 02, 2018

~ SATU DEKAD ~


SUDAH lebih 10 tahun rupa-rupanya jari-jari ini bercerita di sini. Tidak terasa begitu pantasnya masa berlalu. Tidak tersedar betapa banyaknya cerita terkongsi di ruang ini.

Dua ribu tujuh sehingga dua ribu tujuh belas, menggenap satu dekad.

Dan, aku masih lagi di sini, sehingga hari ini. Apa mungkin sudah tiba masanya untuk meletak titik noktah?

[Satu dekad]

Monday, January 01, 2018

~ DUA RIBU LAPAN BELAS ~


SELAMAT TAHUN BARU 2018. Semoga dipemermudahkan kita untuk menjalani kehidupan yang lebih baik dan aman sepanjang tahun ini.

Alhamdulillah, masih ada yang bersetia dalam kehidupanku untuk 2018 dan semoga masih ada untuk tahun-tahun yang akan datang.

Pada yang hilang dan terhenti di tahun 2017, semoga ia yang terbaik untuk kita semua dan insya-ALLAH bertemu kehidupan yang lebih baik. Aminn.

Tiada azam baru.

Cuma, mahu mengurangkan kopi. 
Cuma, mahu kembali beragresif dengan bahan baca.
Cuma, mahu  tidur yang cukup.

Selamat pergi 2017, pahit kelatnya tetap tersimpan kemas bersama manis-manis yang ada.

[Cheritera bunga api di-klcc dan kesah-nya]