Tuesday, December 26, 2017

~ SEJAHTERA ~


SAMPAI awal daripada waktu yang dijanjikan, aku memutuskan untuk berada di kereta sambil menghabis bahan baca baru baru dimulai kelmarin.

Saat asyik menghadam isinya, aku ternampak kelibat seorang  nenek (sekitar usia 70an) berkelibat di belakang keretaku di sisi troli yang sarat berisi barangan. 

Aku melihat sekitar apa mungkin dia menunggu anak atau cucu atau siapa yang sahaja yang barangkali turut bersamanya ketika itu.

Tiada.

Pada mulanya aku hanya memerhatikan dari cermin belakang, namun selepas beberapa minit dia masih lagi terbongkok-bongkok di belakang. Lalu aku menyangkan kereta kami mungkin terlalu rapat sehingga menyukarkan dia membuka bonet keretanya untuk mengisi barangan yang dibeli.

Aku turun dari kereta untuk melihat keadaannya.

Rupa-rupanya dia tidak larat mengangkat kesemua barangan yang dibeli, malah terkial-kial untuk memindahkan satu demi satu barangan di troli.

Aku menyapa dan menawarkan diri untuk membantu dengan keadaan yang sebaiknya agar tidak mengejutkan dia yang sedang asyik membuat tumpu. Dia  mengangguk-angguk, namun tanpa sepatah kata.

Aku memindahkan barangan di troli ke keretanya. Kesemuanya barangan keperluan dapur.

Usai segala, dia mengucapkan terima kasih dengan senyuman ibu-ibu yang terpaling manis, sambil menundukkan sedikit kepalanya. Tanpa sebarang suara.

Dia masuk ke kereta dan duduk di kerusi pemandu sambil mengangkat tangan.

Aku fikir ada yang memandu untuknya, namun rupanya tidak.  Bagaimana dia boleh memandu dalam keadaan fizikalnya yang tidak begitu mengizinkan pada  pandangan mata kasarku. Malah keretanya juga, bukan kereta kompak yang mudah dihala.

Semogalah sejahtera dia.

[Kederat]

No comments: