Monday, October 30, 2017

~ CERITERA KUBURAN, OKTOBER TIGA PULUH ~


OKTOBER tiga puluh. Berada di lantai pekerjaan pada awal pagi, jauh dari kebiadaan untuk melunaskan kerja yang masih  berbaki sebelum meninggalkan lantai pekerjaan pada tengaharinya.

Cuti sentengah hari.

Untuk satu sesi yang dirindui bersama sahabat untuk setiap Oktober tiga puluh.

Seperti selalu, kebetulan yang terlalu selalu, langit tumpah yang sentiasa mahu menjadi saksi pertemuan. Dan, begini jugalah pada hari ini.

Tanah perkuburan Taman Ehsan Kepong yang duduk di puncak bukit senyap ini basah dengan detap-detap keras dari langit yang keras ini tidak memungkinkan aku berlama-lama kali ini.

Selamat hari ulang tahun sahabat. Semoga baik-baik sahaja kamu di dunia abadi sana. 

Aku masih datang ke sini, masih belum melupa meski tahun sudah berlalu dua. Mahu menidakkan kata yang pernah luncur dari bibir kamu yang berasakan tidak akan ada yang mengenang kamu sebagai sahabat selepas pergimu.

Aku masih di sini. Kerana sepanjang hayat hidup kamu,  kamu adalah sahabat yang paling berbudi paling dikenal aku. Tiada sebab yang mudah untuk melupa hal-hal baik yang pernah menjadi sebahagian.

Hari ini, aku tenang-tenang sahaja. Meski langit bergegak gempita menumpahkan isi awan, aku masih punya senyum bersama kemboja kuburan yang basah menyapa angin.

Alfatihah. Selamat Hari Ulang Tahun. Dan terima kasih untuk kenang-kenangan yang pernah terbagi.

[Ceritera di-kuburan]

No comments: