Saturday, September 30, 2017

~ MESIN KIRAAN ~

AMAL jariah. Ringkas perkataannya, namun maksudnya sangat menjelas. Betapa kalau tentang yang namanya aku, mudah sekali kamu bersapa sama mesin kiraan.

Kalau tidak kamu katakan sekalipun, aku sendiri terpaling pasti yang  keringat kamu itu tidak akan pernah percuma untuk yang namanya aku. Tidak akan pernah. 

Belum sempat mengalih singgung semalam, hari ini dicuit lagi..

Oktober sering bersambut begitu barangkali..

[Kamus: keikhlasan]

Friday, September 29, 2017

~ TERJEMAHAN DIA ~

DIBAWANYA aku melihat laut. Langit merah kalau ada untungnya. Atau bau harum kopi yang membuat lega.

Yaa, tiba-tiba tanpa perlu aku minta sua, atau terfikir dengan mahu untuk diatur-atur pada babak seperti itu.

Aku pandang dia. 

Dia yang tidak pernah tahu untuk menzahirkan kata kemaafan untuk setiap canggung yang terlaku dirinya.

Dia yang tidak pernah bijak menutur bahasa-bahasa mudah untuk aku ertikan sebagai penarikan balik laku canggung yang terberi.

Namun, dia berdiri dengan adanya dia. Menggantikan segala yang 'tidak pernah dia', kepada sesuatu yang tidak diduga-duga atur babaknya.

Dan, itu sebenarnya adalah terjemahan kata maafnya untuk setiap canggung yang terlaku dia.

Begitu cara dia menyatakan maaf. Dan, aku tentu saja mengerti. 

Itu cara dia, seorang sahabat Scorpio yang telah tiada namun pernah sentiasa ada kala aku mahu mendengarkan rasa.

Dan, kalau dia masih ada... barangkali dia masih lagi akan menterjemahkan kata maafnya dengan hal-hal yang seperti itu.

Terjemahan dia.

[Bahasa bukan tutur]

Thursday, September 28, 2017

~ DUA ~

DUA kejadian, dari dua orang yang berbeza dengan dua singgung yang terasa.

Dihadap aku hari ini.

Kebodohan dari kejujuran yang terpaling lurus.

Nasiblah.

Nafas turun naik. Tidak marah, tidak juga kesal. 

Cuma sedar... yang barangkali aku perlu menjadi adil untuk diri sendiri, bukan orang lain.

[Di-bodoh-kan]

Wednesday, September 20, 2017

~ SEKECIL MANA ~

CERITA-CERITA kehilangan. Semoga kita sentiasa dekat dengan cinta yang terbagi daripada mereka yang menjadi sebahagian hidup.

Sekecil manapun kasih yang dihulur, harga bahagianya tidak mampu diletak harga.

Menopang dagu, dan merenung koyak tampal jalan Ampang.

[Hanya ter-bilang jari]

Tuesday, September 19, 2017

~ PROSES ~

BAHASA dan proses terjemahannya. Rasa dan  kesembuhan lukanya.

Aku cuba buka simpul, agar selirat tidak bergelumang membuat kusut ketat pada ikat mati yang tidak terleraikan.

Harus lebih tenang-tenang saja hidup aman.

[Mata burung]

Monday, September 18, 2017

~ BUKAN HANYA TENTANG KITA ~

TERIMA kasih kerana melihat yang tidak dilihat aku di dalam diri. Bertemu kesempatan yang membuk ruang sedar agar aku lebih menghargai segala yang terpunya.

Hidup ini saing bergantungan, dan bukan hanya tentang kita.

[Seperti di-beli jutawan]

Sunday, September 17, 2017

~ AMAN ~

HARI yang aman. Mengisi kebiasaan-kebiasaan yang telah lama ditinggalkan dek hambatan urus pekerjaan yang bersambungan membuat rentang.

Jambatan Naga yang masih lagi memberi rasa serupa.

Nafas. 

Membawa ke lereng bukit Cameron Highland saat mata terpejam. Perjalanan rasa. Semoga punya kesempatan menghirup udara tanah hijau itu di celah kesibukan yang terbagi.

[Menadah di-dada langet]

Saturday, September 16, 2017

~ OCTAVIA'S WAR ~







 TAJUK: Octavia's War
 KARYA: Beryl Kingston
 TERBITAN: MPG Books Ltd
 CETAKAN: Pertama (2009)
 HALAMAN: 478
 HARGA: UK£19.99

Friday, September 15, 2017

~ BUKAN PEMERAN ~


BAHASA senyapku sering kali terlalu bising untuk mereka yang dekat denganku. Barangkali. Kesenyapan itu juga telah mencetus babak yang di luar jangka awal petang ni.

Lelaki sepet itu muncul di lantai pekerjaan sebagai tanda protes kesenyapanku dek cerita minggu lalu yang belum sendik pada duduk elokya.

Cerita minggu lalu begitu menyesakkan untuk aku timbang kati membuatkan aku memilih senyap biarpun ia sepertinya sedikit ketertaluan bertahan dalam tempoh itu.

Aku tidak menjawab sebarang panggilan daripadanya, terhanya sepatah dua mesej yang tidak melibatkan soal kami atau kejadian minggu lalu.

Justeru, lantai pekerjaan menjadi pilihan terbaiknya agar aku tidak mampu untuk menolak atau bersenyap lagi kerana maklum benar dia akan situasiku.

Drama. Dan, yaa... aku tidak akan pernah senang untuk menjadi  peran di dalamnya.

Kejutan yang tidak menambak-baik, namun berlapis menjadi tebal lebih dari sedia ada. Usah ditekan desak, kerana pada akhirnya Scorpio akan membuat laku di luar sangka-sangka kamu.

Meninggalkan lantai pekerjaan sekitar jam empat, memenuh ingin dramanya yang terhala ke hiruk pikuk kota dan pada akhirnya berhujung di bukit Ampang. 

Sesi menyusun aksara senyap yang panjang.

Aku diperhati pada asyik jari yang sengaja menekan-nekan telefon bimbit, tanpa mempedulikan indah panorama remang petang di hutan batu yang sayup dari pandang.

Dan, aku pasti si sepet ini dapat membaca tepat laku yang terbagi ini. 

[Scorpio x Scorpio] 

Thursday, September 14, 2017

~ TRAGEDI EMPAT BELAS SEPTEMBER ~


AWAL pagi 14 September 2017 yang membawa duka terpaling keras dengan berita tragedi kebakaran yag berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah, Jalan Keramat Hujung, Kuala Lumpur yang telah mengorbankan 23 mangsa di tempat kejadian.

Innalillahiwainnailaihirojiun. Alfatihah. Salam takziah untuk seisi keluarga anak-anak dan penjaga yang telah terkorban dalam tragedi ini dan semoga roh mereka ditempatkan di kalangan para solihin. Tenanglah kalian di sana, di Syurga yang dijanjikan Tuhan. Amin.

Kehilangan.

Dan, benarlah... berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Meski kata apa yang terpaling manis sekalipun kita tuturkan untuk menyenangkan hati 'mereka yang ditinggalkan' ini tidak akan pernah mengubah pecah di hati mereka.

Benarlah... Hanya mereka yang pernah merasai kehilangan sahaja yang akan benar-benar mengerti tentangnya.

Aku tidak mampu untuk terus membicarakan tentang tragedi ini dan, cukup sahaja ini. 

[Al-Fatihah]

Wednesday, September 13, 2017

~ ENERGI CAFFE LATTE ~

SEHARIAN bergelumang dengan urus perkerjaan di luar lantai semenjak awal pagi sehinggalah lewat petang. Lelah, namun merasa cukup senang dengan tugasan hari ini yang begitu banyak menyebelahiku selain berkesempatan mengisi perbincangan serius tentang hal-hal yang tepat dengan orang-orang yang tepat. 

Exciting.

Lebih manis, seusai itu bersambung di kedai kopi bersama 'teman lama' yang lebih setahun tidak bersapa temu. Drama yang berlaku siang tadi turut menarik beberapa mata yang memandang saat dia memberi reaksi umpama babak jejak kasih yang tidak dirancang-rancang.

Hari yang panjang.

Namun penuh warna-warni yang memberi energi baru untuk hari-hari muram yang terlalui beberapa hari terkebelakangan ini. 

[Cafe Latte.]

Tuesday, September 12, 2017

~ HOBI ~

PADA suatu kebersahajaan, ada bicara kecil yang begitu memberi kesan buat aku hari ini. Membuat lekat dalam fikir sehingga ke hampir lenanya.

"Hobi mak apa waktu sihat sebelum ni?"
"Hobi buat air milo saya.."

Lekat, dengan mesej kecil namun besar pengertiannya ini.

Doa kesejahteraan yang paling sungguh buat kamu wahai anak dan ibu. Doa ikhlas dari aku, dan hanya Tuhan saja tahu itu.

Bertabahlah untuk sebuah ujian yang tidak berpilihan ini. Semoga dihadap dengan waras cinta yang terbibit hidup tanpa pernah ada syaratnya.

Mudah-mudahan ada kesembuhan yang terizinkan. Amin.

[Kebiasaan yang men-jadi sa-buah kebiasaan... yang baru]

Sunday, September 10, 2017

~ CANGGUNG ~


AKU cuba bersikap senatural yang mungkin. Menghargai untuk hal-hal manis yang disua mereka yang dekat biarpun belum terdekat pada rasa.

Terima kasih untuk rasa yang penuh perhati.

Namun jujur aku katakan, perhati yang diberi-beri ini sedikit berjanggalan kepadaku. Bahasa tingkah itu membuat aku banyak membuat nafsir-nafsir yang kurang enak. 

Mungkin benar pada susun rasaku atau barangkali juga kurang tepat menurut yang lainnya. 

Namun, tingkah-tingkah yang berkecenderunganku itu membuatkan aku seperti kurang selesa meski sebaiknya aku terlihat beraksi natural demi memberi kebersahajaan. 

Lalu, berhentilah... kerana aku bimbang akan menjauhi kamu tanpa tersengajakan, meski kamu itu terlalu manis menyua tingkah.

Berpadalah wahai teman. 

Maaf yang didulukan andai aku menafsir salah, namun tingkahmu semenjak akhir ini sedikit membuat canggung.

[Natural] 

Saturday, September 09, 2017

~ ATHIRAH ~









TAJUK: Athirah
KARYA: Alberthiene Endah
TERBITAN: Noura Fiksi
CETAKAN: Pertama (Ogos 2016), Kedua Sept 2016) & Ketiga (Nov 2016)
HALAMAN: 383
HARGA: Rp79.000

Friday, September 08, 2017

~ BUAL ~


ADA satu-satu ketika,  kita merasa begitu mahu membuat bual dengan seseorang tanpa meski ia bukan suatu kebiasaan yang terlakukan. 

Bukan kerana mahu berkongsi cerita atau meluah berat dada, namun sekadar mahu menutur bual agar ternipis emosi yang mengacah-acah rasa.

Dan, yaa.. hari ini aku terlalu merasakan itu lantaran hampir terpecah menahan rasa. 

Kusut dan simpul seratus sehingga hilang segala tumpu di lantai pekerjaan dan pada akhirnya aku membuat putus meninggalkan lantai pekerjaan lebih awal pada hari ini dengan memohon pertimbangan dari sang kepala.

Sedangkan Jumaat seringnya menjadi hari terpaling sibuk dalam rutin seminggu pada lazmim selalu.

Unta hitam bergerak tanpa hala tuju terancang awalnya, namun pada setengah perjalanan hati membawa ke arah Kepong, atau lebih tepatnya ke Tanah Perkubuan Kepong.

Pada langit tumpah dengan begitu berat mengiringi, aku sampai juga ke puncaknya tanpa hati berbolak-balik.

"Assalamualaikum W. Saya datang ni... saya rindu awak. Saya sangat pecah saat ni. Dan, awak saja yang akan faham apa saya rasa. Dan, saya percaya awak masih nak paham saya kan walaupun awak dah ada kat dunia lain. Saya.. saya.."

Payung merah yang aku kepit sambil tangan menyelak bacaan untuk hadiahmu di sana terkuak dek angin keras yang mengiring langit tumpah membuat kurung biruku separuh lencun membawa sejuk menyucuk ke tulang.

Tidak sempat terhabis bacaan, dan aku lari ke unta unta hitam. Sambil percik-percik lumpur melekat membuat tanda pada kurung biru polos.

Aku mengangkat muka, melihat wajah sendiri di cermin. Antara tangis dan langit tumpah entah mana yang benarnya pada rasa hari ini. 

Apapun, saat mengucapkan selamat tinggal sambil unta hitam menuruni puncak yang cerun itu, ada sedikit kelegaan yang membuat singgah.

Lega kerana aku aku dapat membuat bual dan melepaskan rasa-rasa yang membuat singgah pada berantakan yang dicetus teman jiwa beberapa hari lalu.

Entah kenapa W, kamu itu masih menjadi tempat yang ingin aku tuju untuk membuat bual saat dalam pecah. Barangkali kerana hanya kamu yang mahu memahami aku meski terlalu sukar difahami kesenyapan aku ini.

Terima kasih kerana menjadi sahabat yang inginkan aku meski apapun aku..

[Lencon..]

Thursday, September 07, 2017

~ BISIK PADA LANGIT ~


BISIK Pada Langit. Benar-benar membisikkan sesuatu yang sangat dalam menyelinap dalam segenap rasa yang melingkar ke urat sarafku tanpa disua-sua keras.

Aku seperti melihat aku dalam Siti Hajar. Aku seperti melihat ayah dalam diri Pakcik. Terlalu hampir pada rasa yang ada. 

Dan aku percaya, jika kakak mahupun adik ada bersama sebentar tadi, mereka juga akan berasakan hal yang sama. Aku cukup yakin mereka akan terdetik rasa yang serupa pada segala bacaan yang 
terkongsi pada frame ini.

Aku dan ayah sebenarnya tidak pernah mempunyai hubungan yang begitu rapat dan dekat sehingga akhir perginya kerana sifat garang ayah yang menjadi batas halang yang terlaku keras semenjak awal aku mengenalinya sebagai lelaki pertama.

Namun sungguh terjelas dalam hidupku, akulah anak ayah yang paling mewarisi serba satunya dari dia, kecuali bengis dan garangnya.

Ibu sering menyebut tentang itu saat aku pmengomel-ngomel pada ketidaksetujuanku tentang ayah yang keras membataskan aku dengan segala satu mahunya.

Malah aku sering juga mengungkit akan cemburuku pada sikap ayah yang mendahulukan anak lelaki ayah berlebih dari perlu yang kadang-kala membuat hati membuat bantah.

Meski begitu, segala rasaku sentiasa dekat dengan ayah. Kasih yang tidak akan pernah teranjakkan walaupun seinci. Malah selepas akhir perginya dia, aku begitu lekat dengan kebiasaan-kebiasaan ayah yang sebelum ini tidak aku terlihatkan.

Kopi, tulisan, ceritera langit sehinggalah kepada hal yang terpaling kecil tentangnya dapat melekat tanpa disedar aku.

Tuhan, sampaikanlah rasa kasih yang terabadi buat lelaki pertama yang aku cintai ini. Semoga terjaga dia untuk kami yang terlalu amat mencintainya dengan segenap rasa yang ada.

Yaa... air mata tumpah tanpa mampu diseka-seka lantaran emosi yang terusik keras dengan sosok berbahasa senyap di sinema agung ini.

Bisik Pada Langit. Sebuah cinta yang sentiasa dibisikkan tanpa terdekat sedar dengan mahu.

Babak-babaknya digarap ringkas memperlihat jelas kebersahajaan yang seperti tidak punya apa yang menyentak. Namun pada saat mata dan hati kamu tidak terkalih mendengar suara-suara yang ada, air mata kami akan tumpah tanpa termahukan.

Pada babak Siti Hajar dan ayah memancing di jeti, aku melihat aku dan ayah sedang menyiapkan tukangan besi yang disenikan ayah. Yaa.. dengan jelas sekali bayangannya terlihat. Agh.. rindu yang tahun mahu digambarkan sebagai apa.

Tiada kata yang tepat untuk mengatakan tentangnya, melainkan rasa.

[Sedekat kita..]

Wednesday, September 06, 2017

~ LANGIT HITAM ~


LAMA kami tidak bertentang pendapat begini. Entah bila kali terakhirnya. Namun kejadian awal pagi semalam membuat cetus amarah yang bukan sedikit baik kepadaku mahupun teman jiwa.

Dia dengan alasannya, dan aku dengan pendirianku.

Bukan kerana tidak mahu kalah, aku cuma mahu dia mengerti yang sesetengah hal tentang aku, tidak harus dia tetapkan menurut mahunya tanpa terlebih dahulu membuat hitung.

Aku bukan sendiri, aku dipunyai. Meski apapun yang aku kejarkan, tidak akan pernah aku cicirkan dengan sengaja yang terpunya aku semenjak pertama mengenal dunia. Dia harus tahu itu.

Lalu bila dia mendahulu itu, aku menjadi kecil hati yang bukan kepalang.

Lalu terbatal segala yang diatur dia tanpa tahu aku meski segalanya sudah tersedia.

Pertama kalinya aku bertegas tanpa mengambil perkiraan yang diusul kerana terdahulu sebelumnya pada babak serupa aku telah memberi ruang sehingga hari ini ia terulang.

Amarahnya meraja, dan aku juga pada situasi yang sama. Tidak ternampak surutnya buat ketika ini.

Aku pandang pada langit hitam. Tidak lepas walau sekelip. Semoga surut rasa yang memukul hebat jantung ini. Semoga reda. Semoga mampu aku menghela nafas dengan setenang langit malam ini.

[Tanpa hitung]

Tuesday, September 05, 2017

~ CERITERA MIMPI YANG HIDUP ~


MIMPI itu percuma, maka bermimpilah. Itu yang pernah aku katakan kepada seorang teman saat kami menutur bual tentang masa yang terdepan pada ingin dia raikan.

Dan, hari ini doa teman ini dimakbulkan Tuhan dengan  membenarkan mimpinya itu yang terlihat pada realiti benarnya pada semua yang bersaksi.

Tahniah, untuk mimpimu dan keberanian itu.

Semoga hari ini menjadi pemula yang sempurna kepada angan yang lebih agung untuk jaluran babak depan teman ini.

Aku menumpang bahagia untuk kejayaan awal ini. Mudah-mudahan dia tidak akan pernah berhenti bermimpi meski sesekali terigau babak buruk yang membuat singgah pada atur jalannya.

Dan, aku juga percaya kerana mimpi itu bermula pada niat membahagiakan kedua orang tuanya yang menegak harap dalam kondisi yang tidak begitu membuat izin pada kesihatannya, ia mudahkan.

Mudah-mudahan Allah setuju.

[Berani ber-mimpi..]

Monday, September 04, 2017

~ BERAT ~


MEMBERIKAN ucap sampai bertemu lagi pada ibu sentiasa yang menjadi saat yang terberat untuk aku, meski terdekat sahaja jaraknya dengan hujung jari pada setiap saatnya.

Terbawa emosi itu sehingga tiba ke hiruk pikuk kota. Namun secawan dark mocha memberi sedikit tenang dari rasa yang meresahkan pada tepat waktunya.

Barangkali kerana kondisi ibu kali ini.

Tidak sering bersituasi begini, lalu aku merasa seperti berpetanda yang kurang enak pada rasa. Semoga tidak untuk yang tidak-tidak.

[Semoga-lah]

Sunday, September 03, 2017

~ LAUT LUAS ~


PAGI petang siang malam. Laut sentiasa memberi perasaan yang indah dan tenang buat aku. Mampu membuat reda mudah kepada segala sesuatu yang membuat haru.

Dan, hari ini aku mengadap laut luas dengan suatu yang rasa aman yang tidak tergambarkan pada kata. Deru ombak yang keras itu tetap sahaja menjadi terapi.

Keresahan semalam ditinggal hanyut dalam deru.

[Terapi]

Saturday, September 02, 2017

~ SESI, DAN BUKAN YANG HARUS AKU TEKUNI ISINYA ~


SESI yang tidak harus aku ikut, kurang lebih beberapa jam yang lalu. Tidak harus ada. Namun sikap naif itu sering sahaja menjerat aku pada suatu hal yang tidak aku terlihatkan akibatnya.

Barangkali benar, disedang 2017 ini, kenaifan 'sebegitu' sukar diterima percaya. Apatah lagi pada usia matang yang  mana mungkin seorang seperti aku ini tidak mampu mengerti sendiri, atau paling tidak, mencari sendiri jawapan kepada tanya-tanya yang polos itu.

Namun, itulah yang sebenar aku. 

Masih berbodohan dalam soal-soal mudah yang menurutku, bukan dunia yang harus aku tekuni isinya. Lalu naifnya itu tidak aku lihat sebagai satu 'kesalahan' meski pada akhirnya aku sendiri yang punya rasa kurang senang itu.

Menopang dagu seusai sesi. Yaa... bukan dunia yang harus aku tekuni isinya.

Tapi aku telah terlakukan itu, biar bukan kerana ingin menekuninya, namun ia tetap juga salah walau atas apa jua alasannya. Kerana pada suatu hakikat yang jelas, kenaifan itu tidak membenarkan apa-apa.

Barangkali benar... biarlah kita kekal tidak tahu untuk sesuatu hal yang kita  tidak perlu mengambil tahu tentangnya.

Dan, meski pada suatu kebersahajaan yang aku reaksikan, bukan bererti aku menerima, apatah lagi menyokong untuk segala satunya. Cuma kerana aku menerima keberadaan kamu sebagai yang aku namakan sahabat dekat. Tidak terlebih itu.

Aku mohon kemafaan untuk sesi yang tidak tersengajakan itu meski sebenarnya aku lebih melihat jawab-jawab yang diberikan spontan itu sebagai suatu hal yang tidak bertujuan seriusnya, malah sekadar bual kosong untuk menghibur. Begitu saja.

Ini kerana sesi itu seperti itu hanya wujud pertama kali sama mereka yang aku tidak silukan untuk berbodohan.

[Semoga aku ini tidak ter-lalu luros melihat sesuatu..]

Friday, September 01, 2017

~ AIDILADHA, DAN SEBUAH CINTA ~


SALAM AIDILADHA. Tanpa ayah bersama kami untuk tahun-tahun yang kelabu ini. Namun, semangat pergorbanan yang terbawa ini sering bersama-sama rasa kasih ayah sepanjang terpinjam buat kami semua.

Semoga ayah tahu, kami sentaisa menghargai segala pengorbanan ayah yang pernah terbagi dari hari pertama mengenal dunia sehingga hari ini yang memisah kita kepada kepada dua dunia yang berbeza.

Selamat Aidiladha ayah.

[AlFatihah]