Sunday, August 06, 2017

~ SANG PENGHEBAT DI JAGAT ALAM RAYA ~


SELAMA lebih sepuluh tahun memandu, siang hari tadi aku mengalami pengalaman pertama menjadi mangsa pembuli jalan raya yang aku kira tidak bersebab tujuan untuk menunjuk lagak hebat menagih hormat yang tidak terlayak.

Aku tidak mengejar masa, apatah lagi tergesa-gesa mengejar sesuatu.. membolehkan aku memandu dalam keadaan yang aman dan tenang-tenang sahaja. Sementelah destinasi singgahan sebelum menyambung perjalanan ke KLPAC itu hanya mengambil masa kurang lebih tiga puluh minit sahaja dari rumah.

Namun, baru sepertiga memula perjalanan ketika mahu mengambil exit untuk merentasi jaluran ke tol, aku tiba-tiba dihonk secara berterusan oleh sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki Melayu yang kemudiannya memotong keras dan memberi isyarat agar aku berhenti di depan.

Jujurnya aku tidak tahu atas sebab apa, namun mungkin kerana panik dan tidak mahu dia berterusan mengejar sambil membunyikan honk, aku tanpa berfikir panjang menurut arahannya untuk berhenti. Ya, berhenti di laluan yang amat sibuk dengan kenderaan yang laju menuruni jalan raya yang sedikit tinggi menjurus ke jaluran tol.

Aku keluar dan berdepan dengannya untuk bertanyakan apakah yang berlaku sehingga dia bertindak sedemikian rupa, dan jujurnya ketika itu aku tidak fikirkan tentang soal bahayanya tindakan aku itu (sehingga pulang ke rumah dan berfikir kembali) kerana mungkin ketika itu aku benar-benar tidak tahu apa yang berlaku dan panik apabila diperlaku begitu.

Katanya dengan suara yang tinggi, aku telah menghimpit keretanya ketika mengambil lalauan sehingga hampir (atau telah) melanggar keretanya, sambil dia mengacah membuat pemeriksaan di bahagian depan keretanya. 

Hampir (atau telah) melanggar??? Aku turut melihat bahagian kereta yang dia tengokkan, namun tiada langsung kesan atau tanda berlaku perlanggaran, tidak juga ada segaris calar baru yang diberikan (andai benar). Dan dia masih mengomel panjang.

Oh Tuhan.. drama apakah.. sedangkan kereta kami terjarak pada laluan berbeza dan paling penting aku sendiri tidak tersaksi sebarang kejadian salah laku, kalau benar ada kejadian itu berlaku, mana mungkin aku tenang-tenang sahaja memandu di depannya sebelum dia memotong laju dan memberhentikan aku di bahu laluan paling sibuk itu.

Aku mendengar sahaja segala yang suarakan, dan yang hanya ditutur aku hanya ucapan maaf sekiranya benar aku berlaku salah. Dua kali aku ucapa kata serupa kerena tidak mahu berlama-lama di laluan itu seolah mahu emnggadai nyawa sendiri.

Dia masih berkata-kata itu dan ini, namun aku sudahkan dengan menganggap bahu dengan isyarat tangan tanda bingung apa sebenarnya yang dia mahukan dari aku sebenarnya.

Hujungnya dia berlalu begitu sahaja, dan aku menggelengkan kepala kebingungan.

Apapun, doa kesejahteraan buat kamu sang pemandu yang paling berhemah dalam jagat alam raya.

Dan, aku belajar daripada kebodohan dan kenaifan diri yang berani menrisikokan diri berkonfran sedemikian rupa, sedang aku tidak sepatutya berbuat demikian (kata teman jiwa bernada marah).

[Gila nombor dua puloh lapan] 

No comments: