Saturday, August 19, 2017

~ RUNWAY GIRL ~








 TAJUK: Runway Girl
 KARYA: Casey Watson
 TERBITAN: Harper Element
 CETAKAN: Pertama (2016)
 HALAMAN: 277
 HARGA: UK£7.99

Thursday, August 17, 2017

~ UNTA HITAM.. DAN, ANGIN..~


KEJADIAN. Semenjak semalam aku bertangguh untuk mengisi angin unta hitam kerana waktu pulang yang begitu lewat memungkinkan kepada risiko yang tidak terjangkakan.

Lalu, saat pulang dari lantai pekerjaan hari ini, aku membuat putus untuk singgah di stesen minyak untuk tujuan yang sama. Sementelah unta hitam juga seakan tidak selesa bergerak berikutan masalah itu.

Sebolehnya aku mengelak untuk membuat singgah di ruang berkenaan pada waktu malam begini, namun kali ini aku tidak berdepan pilihan.

Memberhentikan unta hitam di tempat yang disediakan dan aku mengambil masa beberapa minit untuk mengingat cara bagaimana peralatan itu digunakan dengan betul sambil mata tercari-cari panduan yang boleh membantu.

Jujurnya selama ini aku tidak pernah melakukan sendiri melainkan dengan bantuan orang lain.

Saat aku terkial-kila mencari panduan untuk melakukan proses itu, dua buah motorsikal yang masing-masing tanpa pembonceng memperlahankan motor mereka berdekatan aku dan unta hitam. Sangat mencurigakan kerana mereka tidak kelihatan punya tujuan di situ.

Aku mengalihkan pandangan, seolah-olah tidak menganggap kehadiran mereka sebagai sesuatu yang mencurigakan. Sedang dalam hati, Tuhan sahaja yang mampu mendengar.  Peralatan tadi diletakkan tanpa sempat aku menggunakannya.

Tergesa-gesa aku ke unta hitam dengan menggunakan pintu penumpang dan terus menghidupkan unta hitam untuk meninggalkan tempat tersebut. Mungkin kerana panik dan ketakutan aku sedikit cuai sehingga melanggar pembahagi jalan di sebelahnya.

Saat itu kedua buah motorsikal tadi segera berlalu sambil beberapa kali menoleh ke arahku.

Berbaur perasaan. Dan, sepatutnya aku berbuat demikian pada tengahari tadi.

[Tangan yang di-atas..]

Wednesday, August 16, 2017

~ PADA KESEMPATAN MELIHAT BULAN, BINTANG.. ~



JIKA orang lain sibuk menghidupkan alarm untuk waktu bangkitnya setiap pagi, aku pula dalam situasi yang berbeza apabila mengharapkan alarm untuk memberi peringatan kepada  aku meletak lena pada waktu yang telah ditetapkan.

Ia telah aku lakukan semenjak beberapa bulan lalu. Semenjak kondisi diri yang sepertinya mahu kembali mengulang saat-saat payah yang telah lama membuat damping pada segala urat saraf yang sedang menjalar di likat darah merah.

Lalu, lenalah untuk penyembuhan... lenalah untuk aman. Amin.

[Bulan dan bintang]


Monday, August 14, 2017

~ SESI SINGKAT ~


AKU kira semua orang berdepan risoki depresi. Cuma bezanya bagaimana kita mengawal dan mengurus segala sesuatu yang menekan itu ia tidak mendahului waras diri.

Benar, dan yaa.. ia tidak semudah yang ditutur pada kata, namun terapi itu kita sendiri yang terpunya.

Semogalah terjauh dari segala sesuatu yang di luar atur fikir, tidak hanya untuk diri tetapi juga buat semua kita ini.

Terngiang cerita terkongsi auntie phia beberapa minggu lalu tentang bagaimana harus kita berwaspada pada segala tanda awal yang menjengok risiko kepada itu dan kembali aku kongsikan kepada teman yang seorang ini.

Pada sesi singkat siang tadi, aku sekali lagi mencadangkan teman ini jalan mencari terapi. Bukan kerana berlebih tahu, cuma membantu atas ruang mampu yang tidak terluakkan.

Jujurnya, aku juga sering berdepan ketekanan yang mengacah-acah aman setiap kali berdepan simpul seratus yang tersengaja membuat pecah meski hanya pada sekecil keping puzzle. Dan, yaa.. kerana kita ini manusia biasa semestinya tidakkan terlepas dari kekalutan seperti itu.

Namun, kewarasan itu harus tetap berada di asalnya.

[Doa kesejahteraan buat kamu..]  

Sunday, August 13, 2017

~ KETEWASAN DAN SEBUAH KEPOLOSAN ~


BUKAN kopi biasa. Namun kopi yang bersahut air mata yang terlekap seribu satu cerita yag dipuzzlekan dengan dengan keras sekali.

Aku menatap wajah teman yang seorang ini. Dirundukkan wajahnya tidak mahu bertentang mata, tersekat-sekat dia membuat tutur cerita cerita tidak seperti lajunya air mata yang deras menuruni wajah polosnya.

Awalnya aku dipelawa untuk ke rumahnya, namun atas keberadaanku yang sedikit keberatan untuk menjadi tamu di persekitaran bangsawan itu, aku mencadangkan kedai kopi terdekat sebagai ganti.

Sedang adik-adik barista baru hendak memulakan cerita mereka, kami berdua sudah membuat lekat di situ, pada suatu sudut yang yang sering menjadi setiap kali aku membuat singgah.

Kaca  mata hitam tidak dibiar lekang dari untuk menutup sugulnya wajahnya, meski pada hakikat tidak tertutupkan sugul emosinya yang membuat pecah.

Dua hari lalu dia terawangan, melarikan diri dari kenyataan keras yang harus dihadap telan. Memilih jalan yang pernah dipilihnya lebih setahun yang lalu.

Puncanya masih serupa. Lelakinya masih juga yang sama. Dan, dia terbenam pada berat emosi yang berulangan. 

Aku fikir, malah dia juga fikir sesi pulih bersama sang profesional lebih setahun lalu itu memberi ruang, rupanya tidak.

Depresi. Yaa.. sekali lagi soal ini menghambat-hambat pada ruang fikir yang sebelum ini terjarang amat aku membuat peduli. Dan, apabila lagi dan lagi kejadiannya melingkar pada manusia dekat sekitar, aku menjadi semakin takut dengan kekejaman dunia.

Dia menelan pil untuk lari daripada segala yang menekan hidupnya lebih smeinggu lalu. Tidak tertanggung tahan katanya. Bukan untuk mengakhiri hidup, tetapi mahu lari seketika katanya.

Dan, aku tanpa berselindung membantah jawapan itu. Mendiamkan dia dari kerasukan rasa yang jelas masih bersisa.

Berganti kopi. Bersama Mud Muffin mississippi yang kembali dipanaskan lagi dan lagi.

[Men-chari harga yang ber-harga]

Saturday, August 12, 2017

~ DAUN YANG JATUH TAK PERNAH MEMBENCI ANGIN ~







TAJUK: Daun Yang Jatuh Tak Pernah Membenci Angin
 KARYA: Tere Liye
 TERBITAN: PT Gramedia Pustaka Utama Jakarta
 CETAKAN: Ke- 25 (June 2016), Ke-26 (Ogos 2016), Ke-27 (Sept 2016), Ke-28 (Okt 2016), Ke-29 (Dis 2017), Ke-30 (Mac 2017) & Ke-31 (April 2017)
 HALAMAN: 256
 HARGA: Rp53.000

Friday, August 11, 2017

~ TELAH TIADA ~



BERULANG kali aku membaca baris status yag tertera di laman media sosialnya. Pertama kali melihat tulisan itu, aku pantas  merasakan ia didedikasikan buat aku.

Namun, entah kenapa aku membacanya tanpa rasa.

Andai dulu, mungkin iya. Aku melekat pada mahu untuk sentiasa menjaga segala sesuatu demi harmoni.

Namun hari ini rasa itu telah tiada.

Lalu usah ditutur lagi bicara tentang harga yang sudah tidak duduk pada harganya lagi. Tidak perlu juga memuji untuk suatu pujian yang sudah tiada erti.

Moga kebangsawanan kamu itu tidak lagi tercemar dengan gaulnya aku. 

Jujur, sukar aku membaca apa yang sedang disusun-susun kemas dalam kepalamu. Namun, aku telah lama memilih untuk tidak mempeduli, kerana kamu menarik aku ke lubang yang sama.

[Timbang kati]

Thursday, August 10, 2017

~ SURAT KECIL UNTUK TUHAN ~


AKU juga punya surat kecil untuk Tuhan. Telah lama aku kirim, dan kini masih juga mengirim. Aku tahu, malah yakin sekali surat itu dibaca, cuma yang tidak aku tahu bila mungkin isi surat itu aku peroleh balasannya. 

Surat kecil untuk sebuah mahu yang begitu besar. Aku tulis dengan ratap tanpa air mata, aku sampulkan dengan harapan tanpa putus asa. Semoga didengari.

[Mudah-mudahan Allah setuju]

Wednesday, August 09, 2017

~ BELUM KE AKHIRAN ~


AKU pernah punya, tidak sempat menghabis baca, dan kini sudah tidak punya. Terkilan kerana tidak menjejak ke pengakhirannya.

Justeru, tiap kali melihat buku ini berkelibat di gedung, aku seringkali akan capai dan baca helai-helai yang masih berbaki menurut keluangan yang tersempat. Begitu yang aku lakukan hari ini pada waktu-waktu mengisi tunggu lewat petang tadi.

Namun, aku tidak membelinya. Kerana aku pernah punya walaupun kini sudah tidak punya.

[Tidak juga habis..]

Tuesday, August 08, 2017

~ ULANGAN KEGILAAN ~


HARI ini aku punya kesempatan untuk pulang lebih awal di rumah. Turut membolehkan aku bersesi-sesi dengan kakak yang jarang sekali bertemu muka pada hari bekerja lantaran masa kami yang tidak pernah sepadan pada satu ruang yang serupa.

Dia membuka cerita yang panjang tentang viral tentang Myvi Hijau, pembuli jalan raya yang hangat menjadi bualan selama beberapa hari ini. Begitu dan begini. 

Turut dipesannya aku dengan seratus lapan belas panduan jika  nanti berkeadaan serupa.

Aku hanya senyum, dengar dan angguk-angguk tanpa sedikitpun ada keinginan untuk berkongsi tentang apa yang telah aku lalui petang Sabtu lalu. Biarlah babak itu tanpa tahunya, kerana jika dalam tahunya, pasti sahaja aku perlu menghadap dua puluh lapan syarat tertambah.

Dan, yaaa... kisah pembuli jalan raya ini kini semakin berleluasa. Menunjuk hebat tidak terlayak. Semoga ada sesuatu yang boleh dilakukan untuk menghentikan kegilaan ini.

[Buli] 

Sunday, August 06, 2017

~ SANG PENGHEBAT DI JAGAT ALAM RAYA ~


SELAMA lebih sepuluh tahun memandu, siang hari tadi aku mengalami pengalaman pertama menjadi mangsa pembuli jalan raya yang aku kira tidak bersebab tujuan untuk menunjuk lagak hebat menagih hormat yang tidak terlayak.

Aku tidak mengejar masa, apatah lagi tergesa-gesa mengejar sesuatu.. membolehkan aku memandu dalam keadaan yang aman dan tenang-tenang sahaja. Sementelah destinasi singgahan sebelum menyambung perjalanan ke KLPAC itu hanya mengambil masa kurang lebih tiga puluh minit sahaja dari rumah.

Namun, baru sepertiga memula perjalanan ketika mahu mengambil exit untuk merentasi jaluran ke tol, aku tiba-tiba dihonk secara berterusan oleh sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki Melayu yang kemudiannya memotong keras dan memberi isyarat agar aku berhenti di depan.

Jujurnya aku tidak tahu atas sebab apa, namun mungkin kerana panik dan tidak mahu dia berterusan mengejar sambil membunyikan honk, aku tanpa berfikir panjang menurut arahannya untuk berhenti. Ya, berhenti di laluan yang amat sibuk dengan kenderaan yang laju menuruni jalan raya yang sedikit tinggi menjurus ke jaluran tol.

Aku keluar dan berdepan dengannya untuk bertanyakan apakah yang berlaku sehingga dia bertindak sedemikian rupa, dan jujurnya ketika itu aku tidak fikirkan tentang soal bahayanya tindakan aku itu (sehingga pulang ke rumah dan berfikir kembali) kerana mungkin ketika itu aku benar-benar tidak tahu apa yang berlaku dan panik apabila diperlaku begitu.

Katanya dengan suara yang tinggi, aku telah menghimpit keretanya ketika mengambil lalauan sehingga hampir (atau telah) melanggar keretanya, sambil dia mengacah membuat pemeriksaan di bahagian depan keretanya. 

Hampir (atau telah) melanggar??? Aku turut melihat bahagian kereta yang dia tengokkan, namun tiada langsung kesan atau tanda berlaku perlanggaran, tidak juga ada segaris calar baru yang diberikan (andai benar). Dan dia masih mengomel panjang.

Oh Tuhan.. drama apakah.. sedangkan kereta kami terjarak pada laluan berbeza dan paling penting aku sendiri tidak tersaksi sebarang kejadian salah laku, kalau benar ada kejadian itu berlaku, mana mungkin aku tenang-tenang sahaja memandu di depannya sebelum dia memotong laju dan memberhentikan aku di bahu laluan paling sibuk itu.

Aku mendengar sahaja segala yang suarakan, dan yang hanya ditutur aku hanya ucapan maaf sekiranya benar aku berlaku salah. Dua kali aku ucapa kata serupa kerena tidak mahu berlama-lama di laluan itu seolah mahu emnggadai nyawa sendiri.

Dia masih berkata-kata itu dan ini, namun aku sudahkan dengan menganggap bahu dengan isyarat tangan tanda bingung apa sebenarnya yang dia mahukan dari aku sebenarnya.

Hujungnya dia berlalu begitu sahaja, dan aku menggelengkan kepala kebingungan.

Apapun, doa kesejahteraan buat kamu sang pemandu yang paling berhemah dalam jagat alam raya.

Dan, aku belajar daripada kebodohan dan kenaifan diri yang berani menrisikokan diri berkonfran sedemikian rupa, sedang aku tidak sepatutya berbuat demikian (kata teman jiwa bernada marah).

[Gila nombor dua puloh lapan] 

Saturday, August 05, 2017

~ MY LADY DECEIVER ~







TAJUK: My Lady Deceiver
 KARYA: Freda Lightfoot
 TERBITAN: Allison & Busby Ltd
 CETAKAN: Pertama (2012)
 HALAMAN: 351
 HARGA: UK£19.99

Friday, August 04, 2017

~ BAHASA DETIK DETAK ~


SEPANJANG perjalanan hampir dua jam aku membuat bual dengan ibu di hujung talian telefon bimbit. Macam-macam tanyanya berlebih dari biasa yang seringnya terarah kepada perkara rutin sahaja. Berlain hari ini seolah mahu aku bercerita tentang apa yang dia tidak tahu.

Barangkali..

Ibu, kamu itu sentiasa istimewa. Sentiasa tahu detik-detak dilalui aku meski berjauh jarak dan pandang. Tidak perlu aku isyaratkan, apatah lagi nyatakan, kamu pastinya dapat merasa hanya menerusi naluri yang bermilik kamu itu.

Terima kasih untuk sebuah kasih sayang yang tidak pernah berpenghujung. Dan, doa-doa kesejahteraan buat aku untuk setiap nafas dihela.

[Naluri]

Thursday, August 03, 2017

~ HELAI HELAI ~


SEHARIAN. Menulis, menulis dan menulis. Semoga suatu hari nanti, tulisan ini mampu bercerita segenap yang dilalu. Meski tidak setepat rasa, namun ia terpaling hampir pada setiap bahagiannya.

Helai-helai. Dan, aku.

[Nyaman.. di-rumah, tanpa selirat di-lantai pekerjaan..]

Wednesday, August 02, 2017

~ TANPA ISYARAT ~


ALHAMDULILLAH. Masih tertangguh sehingga tiba pada detik yang tidakkan terawal mahupun terlewat meski sesaat.

Awal pagi tadi, berdepan saat sukar yang hanya Tuhan sahaja yang tahu. Yaa.. hanya Tuhan. Terima kasih Tuhan kerana mengasihani seorang yang namanya aku.

Muka biru, darah terhenti. Lembik umpama kain buruk.

Aku bergegas ke unta hitam. Mahu meletak diri pada posisi yang menyelesakan dan merehat ketegangan agar terkurang beban kesakitan yang tidak tergambar pada kata yang membuat singgah secara tiba-tiba tanpa sebarang isyarat sebagaimana selalu.

Entah bila kali terakhir aku dalam keadaan yang seperti ini..  Ku kira doa yang termakbul agar terelakkan kejadian seumpamanya. Namun, hari ini babaknya terulang. Lebih parah berlaku di lantai perkerjaan.

.........

Tidak ada daya untuk bertahan, lalu di bawah sedar aku menyerah diri ke rumah putih. Yaa... dalam keadaan yang separuh mati memandu ke sana. Letakknya beberapa kilometer dari lantai pekerjaan ini.

Bergelut sendirian tanpa tahu sesiapa, malah tidak juga aku maklumkan pada sang kepala mahupun rakan-rakan di lantai pekerjaan. Telefon bimbit juga di meja, tidak tersempat aku capai kerama pandangan sudah semakin kelam.

Beberapa jam kemudian di rumah putih dengan perhatian, alhamdulillah deritanya berkurang dengan keringnya air mata. Segalanya berjaya dicairkan.

Usai segala rutin, aku dibenarkan pulang. Bermaksud segalanya sudah dalam kawalan. Jika sebaliknya, pasti sahaja  ada arahan mandatori yang menyusul.

Diberi cuti sakit selama dua hari.

Aku kembali ke lantai pekerjaan seolah tiada apa yang berlaku. Energi yang belum terpulih dengan wajah yang tidak bermaya. Tidak mampu tersorokkan. Malah bengkak mata kerana menahan kesakitan beberapa jam tadi juga masih terlihat jelas.

"Ehh kenapa mata bengkak nangis.. gadoh dengan bf ker"

??? Itu sahajakah yang terfikir mereka? Aku hanya menggelengkan kepala, senyum, menarik kerusi dan mengadap skrin. Yaa, besarnya pengaruh drama TV kepada mereka. Pagi petang, siang malam.. drama TV semakin mempengaruhi babak-babak kehidupan kita.

Dan, aku bukan dalam drama itu.

Tidak berdaya untuk memandu pulang ke rumah yang terjarak dengan lebih satu jam perjalanan. Lalu aku membuat putus untuk mereda di lantai pekerjaan sahaja dan hanya menggunakan cuti sakit itu pada hari esok sahaja.

Sakit yang menghapus dosa. Amin.

[Separoh nyawa]

Tuesday, August 01, 2017

~ KOLAJ ~


RESIPROKAL, Perempuan Satu Malam dan Kandang. Bersilih ganti, merentap tumpu. Semogalah lekat menjadi pelajaran.

[Pentas]