Thursday, July 20, 2017

~ SOLID, DAN... SIMBOLIK SEBUAH KEPEDULIAN ~


AKU renung papan rasa yang senyap lama di sisi lukis langit merah yang semakin memudar.

Beberapa kali aku angkat letak.

Akhirnya setelah lama bermundar mandir tanpa sudah, aku ambil juga untuk kelek. Duduk, dan perlahan-lahan meletak di riba.

Aku tenung permukaannya yg penuh dengan kesan lubang dari tusukan paku yang membuat lukis. Ada yang dalam, ada juga yang sudah hampir tertimbus.

Aku kelek, bawa ke kedai kopi. Kali ini bukan kerana inginku pada aroma kopi yang pekat likat itu, tetapi atas rasa kepedulian yang bukan diatur acah pada duduk Mississippi Mud Muffin yang mengisi ruang.

Jarum jam berada di fungsinya dengan detak-detak Mozart yang betul. Lega, kerana harus difungsi begitu. Namun hanya sekilas kelip mata, ia tersangkut pada suku terakhirnya. Tiba-tiba bergerak pada arah  berlawanan.

Gerak hati sedari awal sudah memberi isyarat agar berjaga dengan kemungkinan datangnya ini. Ini kerana meski benar pada kepedulianku yang berjujur, kamu itu tetaplah kamu. 

Itu yang sering aku lupa atau berbuat lupa.

Lalu dapatlah kepadaku apa yang terjadi hari ini. Barangkali inilah mesej terima kasih yang selayak untuk sebuah rasa kepedulian.

Benarlah, kata-kata itu mampu menghunus jauhhh lebih pedih dari sebilah pedang yang maha tajam. Terus tembus tepat ke jantung.

Penghargaan yang paling solid diperoleh aku hari ini dengan teriring pelajaran yang begitu keras. Keras yang solid juga.

Maka selesailah.

Seketika aku mencuri waktu untuk menarik nafas di unta hitam sebelum membuka pintu rumah yang tidak mahu diusik amannya.

Aku keluarkan papan rasa yang dikelek sebelumnya tadi. Kelihatan beberapa pucuk paku baru tertusuk ke atasnya. Ada pada ruang yang sama, ada juga pada ruang baru yang bersisa.

Memenuh janji, aku tarik paku-paku itu satu demi satu dengan susah payah. Usaha yang tidak mudah tentunya. Namun pada paku yang terakhir, cubaan untuk menariknya keluar, gagal. Terlalu menusuk lekat di situ sehingga segala cubaan tidak berhasil.

Justeru, aku biarkan yang satu itu di situ sambil cuba menyimpannya di beg agar tidak terlihat mudah di mataku. Namun dek kerana cuai diri, papan yang tertancap paku keras berkilat itu telah menyangkut pada beg sehingga membuat rabak.

Rabak.

Maka, belajarlah. 

Belajarlah...

[Kopi akhir]

No comments: