Friday, July 07, 2017

~ SAHABAT YANG BERBAHAGIA ~


MENATAP sekeping foto yang sangat-sangat manis. Sahabat kecil yang kini telah menang dalam perjuangannya merebut bahagia.

Lama tidak bertemu dia. Lama. Setelah mendapat pekerjaan baru di sebuah negeri terjauh, kami sepertinya terputus khabar. Jarak seringkali mudah memisahkan jika tidak dijaga ingat dan itu yang dua kami lalui.

Kurang lebih lima tahun lalu, kami sering bicara tentang perjuangan cinta kami bersama orang dicintai. Aku bersama teman jiwa dan dia pula bersama lelaki teragungnya. Kisah kami sama, yang beza cuma penyebab halangan.

Cintanya ditentang keluarga kerana lelaki yang dicintainya itu seusia bapanya. Yaa.. lelaki itu lebih separuh daripada usianya sendiri. Fizikal juga mencerita hal serupa. Malah lebih menambah rumit lelaki itu juga merupakan suami orang dan bapa kepada anak-anak yang sedang membesar. Justeru halangan jadi berganda, baik daripada keluarganya sendiri mahupun pihak si lelaki.

Namun cinta mereka berdua mengatasi segala itu. Meski perlu menunggu masa yang lama dan berkorban jiwa dan raga, sahabat kecil menyanggupi kerana hatinya sudah dipasak. Aku sendiri tidak pernah menyangka, sejauh itu dia bertahan.

Semalam aku terlihat sekeping foto bahagia di laman sosial yang mana sosok duanya terlalu amat aku kenali. Ya, sahabat kecil dan Abang S. Mereka merakam foto bahagia yang tersangat manis pada pandang mata dan hati, apatah lagi dengan perut sahabat kecil yang terlihat 'terisi'. Sungguh, aku gembira sehingga mahu menitiskan air mata.

Dan, kurang dua puluh empat jam selepas itu, aku diberitakan pula tentang kelahiran cahaya mata pertama mereka selepas lebih setahun bersatu sebagai pasangan suami isteri. Yaa, bersama lelaki yang sama yang dicintainya lebih lima tahun lalu. Akhirnya....

Wahai sahabat, meski aku belum punya kesempatan mengucap tahniah dan memeluk kamu dengan kerinduanku, aku akan sentiasa mendoakan bahagia buat kamu berdua yang kini bertiga. Semoga ada kesempatan untuk kita duduk-duduk bercerita seperti dulu. Cuma kali ini bersaksi si kecil kamu itu. Biar aku ceritakan tentang kesetiaan ibunya yang begitu hebat terhadap si ayah.

Kembali kepada diri sendiri. Sahabat ini telah menang dalam perjuangan cintanya. Sedang aku dan teman jiwa masing belum ke pengakhiran. Kami bicarakan tentang ini semalaman. Bicara dari hati. 

[Se-kaseh sayang]

No comments: