Friday, May 19, 2017

~ PELUANG KEDUA ~


LEBIH tujuh bulan lalu, aku menyaksikan dia terbujur kaku di katil rumah putih dengan selirat wayar melingkari sekeping tubuh kurus berkerangka.

Tidak mampu membuka mata, bersuara apatah lagi untuk bergerak badannya walaupun sedikit.

Terngiang kata-kata sang penjaga agar kami bersedia menerima sebarang kemungkinan yang bakal terjadi kepada dirinya dalam masa yang terdekat itu.

Pernah air mataku tertumpah di birai katil putih itu, pernah aku terkumat-kamit membacakan ayat-ayat suci mendoakan kesembuhannya, pernah juga aku membayangkan diri dalam keadaan yang serupa itu.

Suatu yang pernah.

Dan kini selepas tujuh bulan berlalu, sekujur tubuh lemah yang aku saksikan di katil putih itu berada di depan mataku dalam keadaan yang sihat walafiat. Senyum lebar dengan wajah tanpa kerangka seolah tidak pernah berlaku apa-apa kepadanya sebelum ini.

Syukur alhamdulillah. Betapa Tuhan itu maha pengasih, maha mendengar dan maha mengasihani. Diberi kesembuhan yang tidak terbayangkan pada rasa dan mata.

"Tuhan belum bagi saya mati kerana saya terlalu banyak sangat dosa. Barangkali dia mahu memberi saya peluang membersihkan dosa menerusi taubat sebelum mengambil nyawa saya.."

Laju saja dituturkan kata itu sebaik aku mula bertanyakan tentang khabar dan proses penyembuhannya.

Lama kami meluang masa untuk sesi bual hari ini. Lama. Aku mendengar tekun, dan dia bercerita ralit. Cerita yang bukan biasa pada pendengaranku meski bunyinya seperti biasa pada orang lain.

Apa yang pasti, kejadian yang berlaku ke atas dirinya sebelum ini sangat-sangat memberi pengajaran yang begitu besar buat aku.

Semogalah dia (dan juga aku serta kita semua) semakin mengerti tentang apa yang dimaksudkan dengan PELUANG.

[Cherita kehidopan yang ter-pinjam]

No comments: