Tuesday, May 23, 2017

~ MUDAH-MUDAHAN ALLAH SETUJU ~


KURUS, cengkung, pucat dan keberadaannya jelas sangat berlainan sama sekali dengan dia yang aku kenali sebelum ini. Hampir sahaja aku tidak dapat mengecam wajahnya.

"Kenapa kurus sangat ni.."
"Hehe.. dietla dah semua baju tak muat.."

Laju dia memberikan jawapan dalam nada seloroh. Perbualan itu kemudiannya dialihkan ke lain, tanda dia tidam mahu memanjangkan bicara tentang itu.

Aku menurut. Dan, yaaa.. dia akan bercerita bila dia mahu bercerita. Tidak perlu aku mendesak untuk dia memberikan jawapan atas dasar kemahuan soalanku. Cukup sekadar aku beritahu tanpa memberitahu akan keprihatinanku atas keberadaannya sebagai sahabat yang aku hargai dalam hidupku.  

Lama kami hilang dalam kesibukan urusan perkerjaan masing-masing dan hanya hari ini kesempatan itu ada pada ruang yang tak tersangkakan. Pertemuan yang tidak dirancang dan tersangat kebetulan atas dasar gerak hati yang membawa aku kepadanya.

Semogalah Tuhan melindungi sahabat yang seorang ini. Aku tidak pernah menjadi yang terbaik buat dia, mahupun terbaik buat sesiapapun namun aku benar-benar berharap agar sahabat-sahabat yang berkeliling turut mendoakan yang terbaik buatnya.

Manusia yang sangat mulia hatinya pernah aku kenali.

[Luloh] 

Monday, May 22, 2017

~ TERHENTI PADA DUA PULUH SATU HARI ~


SELAMA tiga minggu berterusan bergelumang dengan urusan pekerjaan tanpa cuti hujung minggu, apatah lagi cuti ganti mahupun tahunan. Ya, tiga minggu.

Bukan kerana terlalu mahu mengutamakan pekerjaan, tidak juga kerana senang dengan keberadaan keliling namun aku tidak berdepan pilihan untuk menentukan mahu atau tidakku.

Barangkali kerana tidak pernah mendengar keluh mahupun rungut diriku, maka aku disangka baik-baik sahaja. Sedang pada hakikatnya, kudrat sekerat yang ada ini bergelimpangan saat berada di empuk katil.

Mati. 

Ya, mati jika aku sendiri tidak bangun mengejutkan diri dari mimpi.

Semogalah ada sedikit ehsan. Biarpun tidak terkongsi lelahku, berilah sedikit rasa kemanusiaan dan keadilan.

[Ter-sepit dan ter-sempit]

Sunday, May 21, 2017

~ POTRET ~



POTRET 
by akim & the majistret

Terangi malamku dengan syair indahmu
Menenun kasih dalam sepi yang terasing
Saat kau pergi, lemasku bila tiadamu

Jauh terbawa lukisan hatimu
Hilang mencari di mana kau pergi
Tinggal aku menahan luka ini
Sampai harus ku pergi

Engkau bagaikan bintang-bintang di angkasa
Hanya mampu melihat kamu yang terbiar
Walaupun sakit, walaupun pedih tak berdaya

Berjalan tenang menghampiri persisiran
Melakar namamu di sisi pasir pantai
Pastinya hilang, tidak rasaku kepadamu

Jauh terbawa lukisan hatimu
Hilang mencari di mana kau pergi
Tinggal aku menahan luka ini
Sampai harus ku pergi

Jauh terbawa lukisan hatimu
Warna pelangi hiasan terindah

Hati ini tak akan terbahagi

Sampai harus ku pergi
Menuju aku kepadamu jadi satu
Meraih kasih kita

Jauh terbawa lukisan hatimu
Hilang mencari di mana kau pergi
Tinggal aku menahan luka ini
Sampai harus ku pergi

[Nun di-dalam sana..]

Saturday, May 20, 2017

~ SOUTH OF THE BORDER, WEST OF THE SUN ~







 TAJUK: South Of The Border, West Of The Sun
 KARYA: Haruki Murakami
 TERBITAN: Vintage Books
 CETAKAN: Pertama (2003)
 HALAMAN: 187
 HARGA: RM39.90

[View]

Friday, May 19, 2017

~ PELUANG KEDUA ~


LEBIH tujuh bulan lalu, aku menyaksikan dia terbujur kaku di katil rumah putih dengan selirat wayar melingkari sekeping tubuh kurus berkerangka.

Tidak mampu membuka mata, bersuara apatah lagi untuk bergerak badannya walaupun sedikit.

Terngiang kata-kata sang penjaga agar kami bersedia menerima sebarang kemungkinan yang bakal terjadi kepada dirinya dalam masa yang terdekat itu.

Pernah air mataku tertumpah di birai katil putih itu, pernah aku terkumat-kamit membacakan ayat-ayat suci mendoakan kesembuhannya, pernah juga aku membayangkan diri dalam keadaan yang serupa itu.

Suatu yang pernah.

Dan kini selepas tujuh bulan berlalu, sekujur tubuh lemah yang aku saksikan di katil putih itu berada di depan mataku dalam keadaan yang sihat walafiat. Senyum lebar dengan wajah tanpa kerangka seolah tidak pernah berlaku apa-apa kepadanya sebelum ini.

Syukur alhamdulillah. Betapa Tuhan itu maha pengasih, maha mendengar dan maha mengasihani. Diberi kesembuhan yang tidak terbayangkan pada rasa dan mata.

"Tuhan belum bagi saya mati kerana saya terlalu banyak sangat dosa. Barangkali dia mahu memberi saya peluang membersihkan dosa menerusi taubat sebelum mengambil nyawa saya.."

Laju saja dituturkan kata itu sebaik aku mula bertanyakan tentang khabar dan proses penyembuhannya.

Lama kami meluang masa untuk sesi bual hari ini. Lama. Aku mendengar tekun, dan dia bercerita ralit. Cerita yang bukan biasa pada pendengaranku meski bunyinya seperti biasa pada orang lain.

Apa yang pasti, kejadian yang berlaku ke atas dirinya sebelum ini sangat-sangat memberi pengajaran yang begitu besar buat aku.

Semogalah dia (dan juga aku serta kita semua) semakin mengerti tentang apa yang dimaksudkan dengan PELUANG.

[Cherita kehidopan yang ter-pinjam]

Thursday, May 18, 2017

~ PENAWAR PERCUMA ~


SEMUA orang melakukan kesilapan, sama ada dengan sengaja atau sebaliknya. Namun apabila kita menyedari kesilapan itu telah menjejaskan seseorang tidak kira adalam bentuk apapun, mengapa tidak dijernihkan dengan kata maaf.

Tidak kiralah kecil atau besar, remeh atau tidaknya sesuatu kesalahan itu, percayalah maaf sering mampu menjadi penawar. Meski tidak dapat menarik balik segala yang telah terlakukan baik dari kata mahupun perbuatan, namun ia mampu meringankan rasa untuk kedua belah pihak.

Maaf itu percuma. Ego juga percuma.

Buatlah pilihan mengikut mahu dan rasa kerana setiap daripada kita berhak kepada pilihan tanpa keraguan.

[Timbang kati]

Wednesday, May 17, 2017

~ PERCUMA ~


SELALUNYA aku yang berdepan situasi tersalah menghantar mesej kepada mereka yang tidak berkenaan. Terjadi bila mana ada mesej lain yang masuk ketika kamu sedang asyik dengan mesej sedia ada atau yang sebelumnya.

Namun sebentar tadi, berlaku sebaliknya.

Aku menerima segerombolan mesej yang nyata dan jelas bukan ditujukan kepada aku, namun daripada seseorang yang aku kenali.

Mesej yang bukan biasa-biasa.

Disebabkan notifikasi mesej tersebut tidak disedari aku, maka aku langsung tidak membukanya sehinggalah beberapa notifikasi baru naik bertalu.

Ada permohonan maaf beserta belas ihsan agar aku mengabaikannya dan tidak berkongsi mesej tersebut dengan sesiapa.

Aku senyum sahaja. Tiada sebab untuk aku kongsikan sesuatu tentang orang lain kepada orang lain. Anggap sahajalah aku tidak pernah membaca mesej tersebut.

Dan, yaa.. Scorpio sentiasa berada di paling atas dalam soal-soal itu. 

[Scorpio]

Thursday, May 11, 2017

~ NAFAS TERAKHIR UNTUK HELAIAN TERAKHIR ~


EMPAT tahun lalu, pada hari ini. Hari di mana buku amalan kita diangkat untuk digantikan dengan buku baru, ayah juga dijemput ke dunia baru yang abadi.

Perginya bersama buku amalan yang ditutup benar-benar pada helaian terakhirnya. Nafas terakhir pada helaian terakhir.

Alfatihah.

[Se-moga tenang di-sana wahai ayahanda, cinta abadi kami]

Monday, May 08, 2017

~ MELAIN KITA ~


AKU melepaskan pelukan ibu sambil senyum. Ibu juga melaku hal yang sama. Dia menepuk-nepuk pipi kananku sambil mengulang-ulang pesan serupa.

Aku geleng kepala. Namun dalam masa yang sama, jauh di sudut hati aku tekun mengangguk pada setiap satu yang ibu tuturkan.

"Insya-ALLAH ibu... AL tidak punya apa-apa dalam hidup AL hari ini, melain kita.." kumat kamit bahasa senyap yang aku tuturkan di dalam hati.

Ibu kembali ke kampung halaman kami nun jauh di pantai timur utara semenanjung tanah air awal pagi hari ini. Meninggalkan bau-baunya yang mudah benar menjadi rindu.

Kata ibu, dia membuat putus untuk menjenguk kami di sini kerana sudah agak lama aku tidak punya kesempatan untuk pulang ke dia. Urus pekerjaan sering menjadi sebab sehingga kadang kala membuat aku terlupa suatu hal yang di nama tanggungjawab dan rindu.

Sigh.. Hidup yang tidak pernah ada dalam ramalan kita. Hari ini kita bertepuk tampar dengan senyum melebar dada, esok pula jadi lain cerita.

Semogalah masih berbaki kasih sayang untuk kejelekan aku.

[Bau dan rindu..]

Sunday, May 07, 2017

~ TIDAK DALAM RAMALAN ~


TAHUN lalu aku buat pertama kalinya aku tidak memilih untuk berada di tengah bingar manusia dalam timbun buku yang sering menerujakan.

Justeru, kesempatan yang terbagi kali ini sementelah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 telah kembali ke asalnya, aku benar-benar mendedikasikan diri.

Ralit mencari tulisan Rasyidah Othman, mencelah naskhah-naskhah sastera tulen DBP dan ITBM, juga himpunan bio manusia-manusia terbilang, selain segala sesuatu tulisan dari tanah seberang.

Selebih itu, barangkali di toko buku sahaja.

Dalam ralit-ralit yang aku cerna itu, rupanya ada ceritera lain yang mengganggu keterujaan yang tumbuh. Pilihan lain yang menjadi lain. Tidak tersenang pada rasa.

Lalu, aku menulis sekeping surat di dalam hati. Panjang isinya. Isi-isi dari bahasa senyap serta tekad yang tidak pernah menjadi.

[Me-nidak senang] 

Saturday, May 06, 2017

~ P.S I LOVE YOU, IF YOU COULD SEE ME NOW ~







 TAJUK: P.S I Love You & If You Could See Me Now
 KARYA: Cecelia Ahern
 TERBITAN: Harper Collins Publishers
 CETAKAN: Pertama (2008)
 HALAMAN: 913
 HARGA: RM49.90

[What if..]

Friday, May 05, 2017

~ KOPI, IBU DAN KLCC ~


HARI ketiga ibu di sini, namun baru ini aku punya pelepasan dari urus kerja di lantai perkerjaan untuk meluang waktu membawa ibu keluar mengisi santai di celah hiruk pikuk kota besar ini.

Ibu memilih KLCC. Ya, KLCC yang pertama dalam pilihannya. Barangkali ada sesuatu yang menggamitnya di sana.

Aku menurut, tanpa soal-soal yang banyak, asal saja ibu senang. Senang dalam larut senyum senang dan takutnya kepada KLCC.

Saat melalui deret kedai kopi yang harum aromanya sehingga menusuk rongga, pandangan ibu beberapa kali terhenti pada susun atur jenis kopi yang ada di dalamnya. Tekun. Dan, pandangannya sangat melekat.

Aku mempelawa ibu untuk singgah, tapi dia menggeleng. Namun kerana tahu, ada sesuatu yang ibu rindukan di situ, aku membuat helah untuk masuk ke dalam kerana  perlu menghidupkan telefon yang telah mati dari tadi. Ibu angguk, barangkali kerana helah itu bunyinya seperti masuk akal. 

Kami atau lebih tepatnya aku mencari sudut terbaik untuk agar tidak terganggu dengan lalu lalang pelanggan yang lain di ruang tenang itu. Juga agar kami sama-sama boleh menikmati aroma kopi dengan putaran cerita lain yang ada di dalamnya.

Ibu hirup kopi panas yang aku hulur. Meski panas, cawan kopi tidak dilepaskannya walau sesaat sambil perlahan-lahan menghirup. Ada satu dua bual aku yang tidak diendah ibu, kerana larut dengan panas kopi yang melepaskan aromanya.

Sebenarnya, aku dapat merasakan apa yang sedang bermain di fikir aku dan ibu saat itu terkongsi tentang soal yang serupa. Ya, kopi seringkali membawa ingatan kami kepada seseorang. Seseorang yang sangat tegar kepada kopi dan aromanya.

Lalu, kami sama-sama diam tanpa sebutir tutur membuat celah. Lama, lamaa... sehingga kopi di tangan menjadi sejuk tanpa ke separuh.

Ahh.. kita sama-sama rindu pada dia ibu. Bicara aku  di dalam hati. Sambil kopi dan ayah bersilih ganti mengisi pandang.

Jika yang ada di depan ibu ini adalah kakak, pasti sahaja ada ceritanya yang terkongsi tentang itu. Namun mengenal aku, ibu sendiri jelas akan kebisuanku yang suka menyimpan segala rasa hanya di dalam hati. 

Usai itu, kami mengambil angin di ruang luar sambil meminjam mata burung untuk mengamati menara berkembar ini. Beberapa foto ibu aku bidik, sehingga suatu saat ditolak ibu kerana kurang selesa dihadapkan lensa tanpa henti.

Senyum. Ibu tidak lepas mendongak-dongak melihat menara besi yang gagah tersergam di depan kami. Ini bukan kali pertama atau dua ibu di depan menara ini, tetapi terujanya seperti masih sama sebagaimana suatu masa pertama dia mengadapa menara besi ini.

Aku senyum saja melihat senang-senang pada raut wajah ibu. Meski sedikit penat, aku tahu dia gagahkan rasa mengisi keluangan yang jarang-jarang ada buat kami dua.  

Kopi, buku, wayang, KLCC. Asam Pedas.

Ibu baik-baik saja,malah senang meneman-neman kami walau pada benarnya kami yang harus meneman-neman dia.

Love.

[Datang ibu kerana aku tidak datang kepada-nya.. Maaf untok itu ibu]

Thursday, May 04, 2017

~ ANGKUH ~


KEMAAFAN dan keangkuhan. Tersekat pada ungkapan 'harap maklum' yang terpaling angkuh. Bangga memilih keangkuhan berbanding ucap maaf  atas sesuatu yang berlaku di luar mahu. Sigh..

[Pada bila-2]

Wednesday, May 03, 2017

~ BUKIT MONYET DAN, ANGKUHNYA KEBERADAAN ~


USAI dengan urusan tergempar di menara berkembar pada awal pagi, aku pulang ke rumah lama. 
Mencari monyet. Mencari buku merah. Mencari lengkong.

Namun, penghujungnya tetap sama! Kemarahan pada angkuhnya keberadaan tanpa silu.

[Rumah tinggal]

Tuesday, May 02, 2017

~ BAGAIMANA ~


BAGAIMANA mampu kita melelapkan mata dengan aman, sedang dalam masa yang sama kita sedar telah memperlaku kiri pada seseorang yang lain dengan jelas. Bagaimana?

[Se-kati adil]

Monday, May 01, 2017

~ PADA BILA BILA ~


LAMA... tidak mempunyai kesempatan di sini. Hambatan dengan segala satunya. September kepada Februari yang membuat kalut seribu. Mei juga.

Jadi, hari ini aku kembali ke sini. Tidak dengan aman, tetapi bersama sebuah kemarahan yang seakan diseru-seru. Semoga dengan ralit jari-jari ini menari di sini, kemarahan yang dirasai aku ini mampu mendiam-diam sendiri.

Wahai kamu, 
Sama ada pada kekirianku, atau pada kekirianmu, aku tetap menjadi orang yang akan memohon maaf demi sebuah rasa yang aman-aman.

Malah, selagi waras aku, kamu itu sering saja aku maafkan meski kamu sendiri tidak akan pernah mahu menutur maaf atas segala satu kekirian yang kamu berikan pada sedekat kamu. Tidak akan pernah. Dan, demi rasa yang aman-aman, aku sering menerima keangkuhan kamu itu.

Hanya kerana tahu aku tidak akan mampu ke mana, lalu angkuh kamu itu meraja. Hanya kerana tahu aku tidak akan daya menjawab angin-angin kamu, lalu tinggi suara kamu sering tanpa usul. 

Pada bila-bila. Pada suatu hal yang tanpa apa-apa. 

Aku tidak akan berkata-kata lagi tentang itu, kerana akhirnya serupa. Aku tidak akan menampal-nampal lagi baju itu, kerana akhirnya koyak juga.

Cuma,  semogalah Tuhan terus beri aku kewarasan saat berdepan keangkuhan kamu itu. 

[Benar-lah kata sahabat mei..]