Tuesday, January 10, 2017

~ TIDAK DIADILKAN ~


SESI yang tidak selalu ada dengan teman yag seorang ini. Teman Julai. Namun hari ini, aku diajak mendengar.

Tentang sahabat.

Diluah rasa lelahnya pada paket luka berulangan yang terberi sahabat dekatnya. Seseorang yang barangkali tidak sepatut memberi laku begitu. Berat, dan berlapis kisahnya.

Aku angguk-angguk (meski bual itu sebenarnya hanya menerusi skrin kecil telefon bimbit), hampir pada setiap yang dituturkan dia. Kerana aku benar mengerti apa yang dikatakan dia.

Similariti.

Aku tekan aksara-aksara yang menyusun maksud menyenangkan. Juga emoji yang memberi rasa senang. Dari awal hingga akhir bual.

Namun pada realiti di luar skrin, aku sangat terkesan dengan paket cerita itu. Kerana ia terlalu serupa dengan rasa yang sedang aku juga rasakan.

Rasa bila mana diri seperti tidak dimahukan seseorang yang kamu sebutkan sebagai sahabat, sahabat dekat.

Dan, atas apa yang kita persembahkan meski tidak pernah terlaku dengan rasa inginkan balasan, diri merasa tidak diadilkan.

Justeru itu, aku terlalu amat mengerti akan itu.

[Semoga Tuhan sentiasa menutup lelah ini..]

No comments: