Sunday, January 08, 2017

~ LELAKI YANG SELAMANYA PERTAMA ~


MALAM tadi, aku dan dia menghirup secawan kopi. Bual, dalam bahasa senyap yang hanya terfaham kami. Begitulah selalu kala aku bersama lelaki ini. 

Bibirnya mengepit batang rokok dengan kepul asap yang tidak putus. Sesekali dia berpeluk tubuh, merengkukkan badan tanda selesanya. Sedang aku pula, asyik menyelak-nyelak helai bahan baca sambil menyandarkan badan di kerusi malas yang entah mengapa begitu empuk pada rasaku.

Dia mengepit batang rokok, tanpa tergambar nikmatnya. Aku menyelak  bahan baca, tanpa terhadam sebarang aksaranya. Begitu, Kerana sebenarnya kami ini tidakpun melakukan apa yang kami terlihat sedang melakukan itu.

Membuka mata. Dan, pada sedarnya.. ia hanya igau.

Rindu. Terlalu rindu sehingga hampir terpecah rasa yang di dalam ini ayah. Sesi sama kamu pada hayat yang pernah ada itu terlalu menikam hati. 

Saat ini, aku sedang ranap. Dan, kalaulah ayah masih ada.

"Awak dan anak-anak ayah yang lain bertuah sebenarnya. Bertuah kerana ayah pergi waktu korang semua sudah dewasa dan tahu berdikari dalam hidup. Dia pergi selepas berjaya membesarkan korang semua dengan baik. Bayangkan anak-anak yang lain, yang kehilangan orang tua mereka pada waktu mereka masih tercari-cari jalan hidup? Bayangkan bagaimana kalau Tuhan ambil ayah waktu awak masih anak-anak... saat masih perlu 'dipimpin' tangan. Bersyukurlah.. kerana dia pergi selepas awak dalam keadaaan yang baik-baik sahaja.."  

Diam.

Itu kata-kata yang pernah dituturkan sahabat mei saat memujuk ranap aku saat hari-hari awal perginya ayah. Dan, kata-kata ini aku benar pegang kemas dalam hati dan merasa terpujuk setiap kali mengingat tutur ini.

Dan, hati kembali basah.

[Merah]

No comments: