Tuesday, January 03, 2017

~ SUATU DULU YANG PERNAH ~


ENTAH bagaimana mahu memulakan. Namun, ceritanya barangkali begini. Aku mula mengenali seorang teman ini semenjak di bangku persekolahan lagi. Kami tidaklah bersahabat dekat, cuma saling mengenali ketika sama-sama mewakili sekolah masing-masing dalam pertandingan akhir deklamasi puisi.

Ketika itu dia dinobatkan sebagai juara.

Sempat berkenalan dan berbasa-basi, atas paksaan guru yang sering mahu mendedahkan pelajar mereka untuk bergaul dan bertukar pendapat dengan pelajar dari sekolah lain. Tapi ia hanya cukup untuk sekadar itu.

Itu merupakan pertandingan terakhir yang aku sertai kerana setelah itu, aku tidak pernah lagi menyertai sebarang pertandingan deklasmasi puisi. Pernah dipaksa guru, namun mereka akhirnya akur aku sememangnya tidak pernah selesa untuk berada di pentas dan menjadi tumpuan ramai.

Sesekali kami terserempak dalam aktiviti yang melibatkan acara sekolah, tetapi tidaklah selalu kerana kami pun bukanlah satu batch. Bagaimanapun perkembangan tentang dirinya sentiasa sampai kepadaku kerana namanya begitu popular bukan sahaja di sekolahnya sendiri tetapi juga di sekolah-sekolah lain. Ini kerana dia seorang yang begitu aktif aktiviti dalam pelbagai aktiviti kesenian peringkat sekolah.

Beberapa ketika selepas itu, aku kemudiannya berpindah sekolah baru di daerah lain dan kemudiannya tidak pernah lagi terserempak dengannya.

Namun, rupa-rupanya dia turut dikenali beberapa rakan di sekolah baru kerana dia sering mengharumkan nama sekolahnya dengan meraih kejayaan bukan sahaja di peringkat negeri, tetapi juga kebangsaan.

Selepas tamat persekolahan, khabarnya dia terus mendapat tawaran bekerja di sebuah organisasi terkenal. Dan, ketika aku menyambung pelajaran di Uni, namanya masih lagi singgah di telingaku menerusi berita pencapaiannya dalam aktiviti kesenian yang masih aktif disertainya.

Ceritanya beberapa kali  mendapat liputan di dada akhbar baik ketika zaman kegemilangannya di sekolah mahupun ketika sudah di alam pekerjaan. Aku hanya mengikuti perkembangannya dari jauh. Kagum dan bangga juga kerana dia berjaya membina nama pada peringkat yang begitu tinggi.

Namun siapa sangka, selepas bertahun tidak bersua, kami ditakdirkan kembali berada di ruang yang sama. Bukan pada acara deklasmasi puisi sebagaimana zaman persekolahan, tetapi pada ruang yang bersenab urusan pekerjaan. Dia kini berada di kedudukan yang cukup selesa dalam kerjayanya.

Meski lama tidak bertemu muka,  aku masih dapat mengenalinya kerana dia memang seorang yang dikenali dalam masyarakat.

Apapun, aku tidak pernah bertegur sapa dengannya, begitu juga dia. Pada aku, mana mungkin dia mengingat lagi zaman persekolahan yang telah lama kami tinggalkan itu. Sementelah, kami pun bukanlah rapat atau bersahabat baik.

Justeru, bila kebetulan berada di ruang yang sama, kami hanya saling memberi senyum.

Namun baru-baru ini, aku terlibat dalam satu urusan yang turut melibatkan dia. Aku hanya memberi reaksi seperti selalu, senyum dan mengganggukkan kepala tanda hormat. Dia juga membalas dengan reaksi yang sama seperti biasa.

Namun pada pertengahan urusan, ketika kami kelam kabut berkejaran memastikan segala urusan usai menurut yang diatur, dia tiba-tiba menarik tanganku ke tepi sambil menyebut namaku dengan jelas. Ya, nama panggilan zaman persekolahan yang telah lama aku tinggalkan. Malah nama itu terlalu  asing buatku kini. Hahahaha..

Panik. Malah sempat terpinga-pinga menjawab soal-soal asas yang diajukan kepadaku dalam bingit ruang yang dipenuhi manusia itu. 

Aku menepuk dahi. Tertanya-tanya, adakah dia baru mengingat atau cuma kali ini dia sempat untuk membuat imbas di radar.

Setelah itu, aku tergesa menghilangkan diri di celah orang ramai. 

Dan, yaaa... jauhnya keberadaan dia berbanding aku hari ini. Saat dia sudah punya segala, aku masih tanpa apa. Sedang dulu, ketika masing-masing masih di bangku sekolah, kami ini sama duduk dan berdirinya. Tapi, lihatlah dia hari ini. 

Ermm... dan, Tuhan itu maha mengetahui dan maha menentukan di atas segalanya.

[Dunia puisi yang telah lama di-tinggal-kan]

No comments: