Tuesday, January 31, 2017

~ LANGIT TUMPAH, DAN BASAHNYA HATI ~


LANGIT tumpah. Seluruh bumi Kuala Lumpur basah dari petang membawa ke malam. Setelah lebih satu jam tertangguh menjemput adik, aku meredah juga basah hujan.

Perjalanan kami berlalu sangat perlahan dengan keadaan jalan raya yang basah dan penuh sesak dengan kenderaan melimpah.

Lalu, banyak perkara yang sempat dibual-bual kami berdua, sambil sesekali menyanyi melepaskan perasaan mengikut lagu yang berkumandang di corong radio.

Beza jika aku memandu berseorangan dengan pilihan lagu-lagu klasikal Mozart dan Beethoven yang mengisi ruang.

Adik, aku tahu kamu itu tertalu rindukan ayah. Aku juga, malah ibu pastinya turut berkeadaan sama merasai kerinduan itu. Kita semua rindu saat keberadaaan ayah. Kita semua!

Sepanjang perjalanan tadi, segala cerita dan bual yang keluar dari mulutnya, semuanya terselit tentang ayah. Malah lebih 18 kali, dicontohkan ayah dalam cerita-ceritanya yang tidak sengaja itu.

Ayah itu, ayah ini... dan segala satunya.

Meski aku menyedari situasi itu, namun aku sengaja tidak memberikan respon seolah tidak perasan atau tidak terkesankan apa. Seolahnya ia tidak pernah menyangkupi sesuatu yang serius mahupun sensitif. 

Aku tahu adik rindu. Dan, kami juga rindu.

Semoga ayah baik-baik sahaja di sana dan tenang dalam dunia abadi itu. Semogalah kami tidak putus dengan doa buat ayah di sana. Muadh-mudahan Allah setuju. Amin.

[Rindu]

Monday, January 30, 2017

~ DUNIA KECIL ~


USAI sessi mocha bersama seorang kenalan atas urusan pekerjaan di kedai kopi jalan Ampang kurang lebih dua jam, aku bergegas mahu pulang. Demam dan hilang suara akibat batuk yang keras turut menyeru asthma membuat dekat semenjak tiga hari lalu.

Sedang aku berkemas bahan-bahan kerja beserta komputer riba, tiba-tiba namaku disapa beserta kelibat dua manusia yang terus menarik kerusi duduk mengadapku.

Dua sahabat yang jarang sekali bertemu kesempatan untuk bersua muka, kini sedang menyengeh di depan mata. Dan, yaa.. betapa kecilnya dunia ini kerana aku tidak mengetahui, dua sahabat ini sebenarnya merupakan sahabat baik dan sudah saling mengenali semenjak mereka kecil lagi.

Lebih lucu,  kami ini juga tidak pernah sedar atau tahu bahawa antara kami bertiga ini juga sebenarnya saling mengenali antara sesama dan bersahabat baik.

AKU: Macamana korang boleh ada sekali ni?
ARIES: Ehh.. ehh dah kitorang bff. Nape pulak tak boleh sekali
AKU: ??? Tak pernah tahu pun
CAPRI: Saya pun tak tahu yang awak selama ni kenal si Aries ni.. haaha
AKU: Uikss.. haa laa kann..
CAPRI: Kecik betul KL ni. Pusing2 rupa-rupanya kawan dengan orang yang sama
AKU: Tak pernah nampak pun gamba korang sama kat IG masing-masing
ARIES: Eleh, gambar aku pun ko tak pernah letak gak kat IG ko kan..
AKU: Hahahaha..
CAPRI: Sumpah tak sangka awak ni kawan baik juga dengan perempuan gila ni
ARIES: Aku dan Capri ni, kitorang BFF since umo 12 tahun. Satu sekolah dan jiran tetangga terbahagia. Kawan dari muka dia hodoh sampai cantik, sampai kembali hodoh.. hehehe
AKU: Adoii.. macam tak boleh nak percaya korang ni kawan jugak
ARIES: Itulah.. tak pernah plak ko atau aku popup nama minah ni selama ni kan. yerlah mana nak tahu korang saling kenal
AKU: Lamaaaaa korang kenal, hebat betul boleh kawan lelama gini. Maksud aku kawan yang konsisten, bukan kawan pastu hilang jumpa balik 10 tahun kemudian
CAPRI: A'ahh konsisten. Tak pernah berpisah jauh. Semua benda jadi nampak depan mata. Dah kawin pun, dia masih tak menempek juga haa..
AKU: 20 tahun lebih kot.. huhu gila lamaa
ARIES: Kitorang stuck, tak boleh buat apa daa.. haha

Aku membatalkan hasrat untuk pulang, menyambung kembali sessi kopi bersama mereka berdua. Manis sungguh rasa pertemuan ini. Setelah beberapa tahun bersahabat, baru hari ini kami mengetahui ketiga kami ini saling mengenali. 

Aku bersahabat baik dengan si Aries, dia pula merupakan sahabat semati dengan Capri dan rupa-rupanya si Capri ini pula bersahabat dekat denganku tanpa kami semua saling menyedari.

Mendengar cerita mereka, aku ketawa sendiri. Betapa tempoh 20 tahun itu masih lagi mengikat mereka sebagai sahabat. Suka duka dihadap bersama. Malah si Aries ini sudah lebih lima tahun tahun bergelar isteri dan punya anak, namun mereka masih sentiasa ada untuk diri masing-masing pada saat apapun.

Pada saat ibu si Aries meninggal dunia, dan pada kejadian serupa dilalui si Capri tiga tahun kemudian sehingga kepada sekecil perkara yang membuat singgah, mereka saling ada.

AKU: Korang tak pernah gaduh ker? Perangai masing-masing boleh tahan jelik jugak.. hahhaha
ARIES: Hahaahaha.. melampaunya perkataan jelik tu.
CAPRI: Gaduhlaaa... hebat sangat tu kalau tak gaduh. Tapi gaduh sehari jer, tak boleh lebih. Kalau tak, macam kena sumpahan
ARIES: Selalu jer gaduh, cuma tak lama jer. Sebab bila gaduh rasa pelik.. kerja sekolah/assingment nak tiru sapa.. nak ngumpat boyfriend dgn sapa.. bahhaha
CAPRI: Semoga esok-esok boleh berbesan, walopun anak dia 4 tahun, saya belum kawin2 lagik..

[Persahabatan]

Sunday, January 29, 2017

~ THE MABLE COLLECTOR ~







The Marble Collector

 KARYA: Cecelia Ahern
 TERBITAN: Harper Collins Publishers
 CETAKAN: Pertama (2015)
 HALAMAN: 365
 HARGA: UK£6.99/RM36.90

[Beautiful]

Saturday, January 28, 2017

SELAMAT TAHUN BARU CINA 2017


HAPPY Chinese New Year 2017. Semoga kegembiraan dan tuah sentiasa menyebelahi sepanjang Tahun Ayam ini diraikan.
Reunion.

Paket-paket pahit manis tersusun dalam sebuah perjalanan yang dilalui lewat beberapa tahun ini. Seperti manis dan masamnya limau Mandarin yang tidakkan terlihat pada kulit luarnya.

Huat Ah! Antara LKH, limau dan angpau.

[Semerah] 

Friday, January 27, 2017

Thursday, January 26, 2017

~ KAMU, TETAPLAH KAMU -


SEKALI lagi. Dan, sikap kamu itu seperti fitrahnya curahan air di daun keladi. Segala kata tidak pernah dipegang baik oleh kamu, dan hari ini sekali lagi kamu membuktikan itu.

[Se-kali lagi]

Wednesday, January 25, 2017

Tuesday, January 24, 2017

~ SAMPUL DAN SIMPUL ~


ADA suatu ketika di mana kamu benar-benar perlukan seseorang untuk bercerita dan mendengarkan. Seseorang yang kamu selesa untuk itu, dan bukan seseorang dari yang banyak sentiasa menyudikan diri.

Dan, ada ketikanya bukan si sepet itu.

Hari ini, aku merasakan itu. Mahu mendengarkan keseliratanku. Kemahuan yang jarang-jarang ada kerana seringnya aku memilih untuk menyimpannya disampul.

Sampul yang suatu masa nanti, akan ku hantarkan keapda Tuhan.

[Simpol saratos]

Monday, January 23, 2017

~ TINGKAP, DAN PENGHUNINYA ~


PERASAANNYA seperti mahu mencampakkan telefon bimbit ke dahi apabila tersilap mengirimkan pesanan pada tingkap yang salah. Dan, tingkap itu adalah tingkap penghuni yang mahu kamu hindari seboleh-bolehnya.

Yaa, aku mengulangi cuai yang sama hari ini. 

Sighh..  

Seringkali yang mahu dielakkan aku itu akan menjadi sebalik.

[Haiss..]

Sunday, January 22, 2017

~ LELAKI TERAGUNG ~


[Kekaseh di-dunia dan di-syurga.... kami merindui-mu ayahanda..]

Saturday, January 21, 2017

~ BERSETIA ~

 




 Bersetia

KARYA: Benny Arnas
 TERBITAN: Qanita
 CETAKAN: Pertama (2014)
 HALAMAN: 604
 HARGA: RM35.00

[Rupa]

Friday, January 20, 2017

~ AKUR ~


KEBIASAAN yang terhenti, dan semestinya tidak akan pernah ada rasa senang untuk itu.

Kebiasaan yang kamu lakukan sehari-hari, bertahun-tahun dan kemudiannya terhenti. Tidak kiralah apapun kebiasaan itu, namun untuk suatu hal yang terhenti itu pasti benar mengganggu rasa.

Namun, kalaulah ia mampu memberi kebaikan kepada dua pihak atau berapapun pihak, relakanlah.

[Dari cherita tingkat empat, sehingga-lah ke-tingkat tiga dan satu]

Thursday, January 19, 2017

Wednesday, January 18, 2017

~ JARANG, DAN PENGAKHIRAN ~


SAHABAT kecil. Lama kami tidak bertemu muka. Selepas dia ditukarkan ke utama semenanjung tanah air, memang kami terlalu jarang punya kesempatan untuk bertemu.

Hambatan kerja juga membuatkan kami jarang berhubung, dan dari jarang akhirnya membina jarak yang jauh antara kami sehingga kemudiannya tidak berhubungan lagi. Jarak benar-benar menjarakkkan kami tidak hanya secara fizikal, tetapi juga pada ingatan.

Kekesalan yang tidak mampu memutarkan kembali masa yang telah berlalu.

Dan, kemunculan semulanya membuat aku berasa cukup sebak. Kami ini dua sahabat dekat, tetapi apabila masing-masing tidak begitu mengambil kisah persahabatan terjarak dengan jarak yang ada, maka beginilah jadinya kami.

Sedangkan pada era serba moden ini hujung dunia manapun kita mampu sahaja untuk berhubungan. Namun lumrah manusia, kita sering sahaja tidak mengendahkan apa yang kita telah ada dan sibuk mahukan sesuatu yang bukan bermilik kita. Hingga pada akhirnya, kita kehilangan.

Dan, pada ketika usia menjamah kematangan, aku semakin sedarkan itu.

Bersyukurlah atas segala yang punya.

[Lima tahun lalu]

Tuesday, January 17, 2017

~ RASA SENANG YANG MUDAH ~



CHOWRASTA. Setiap kali menjengah pulau utara ini atas apa jua tujuan sekalipun, aku akan pastikan untuk mempunyai kesempatan membuat singgah di sini.

Helai-helai yang juga pintu perjalanan untuk mengembara ke dunia luar.

Tidak semua pun yang sempat diselak, tidak banyak juga yang dipilih beli, namun melihat dan memandang  timbunan dan susun-susun helaian ini juga sudah cukup membuat aku senang.

Dan ya.. benarlah apa yang pernah dikatakan seorang sahabat suatu masa dulu. Betapa mudahnya untuk membuat aku senyum dan senang,  jika sudah mengenal siapa aku.

[Rasa senang]

Monday, January 16, 2017

~ BERSAMBUNGAN LELAH ~


MELALUI perjalanan enam jam ke ibu kota, pulang ke rumah untuk menukar pakaian, ke lantai pekerjaan dan kemudiannya menyelesaikan acara yang lazim dikepalai aku setiap kalinya.

Mujur sahaja perjalanan panjang itu disupirkan lelaki sepet tanpa sebarang rungut. Cuma bisingnya kerana aku tetap memilih untuk ke acara ini meski sebenarnya masih dalam cuti yang halal sehingga esok.

Tanggungjawab, dan berlepas tangan dengan mudah yang begitu pastu sahaja mwujudkan rasa kurang senang meraka yang lain. Dan, itu yang cuba aku elakkan.

Benar lelah menggunung, sementelah acara ini hanya berakhir sekitar jam 12 tengah malam. Namun, aku OK sahaja atas pilihan.

#Pitam.

[Jam tanpa henti]

Sunday, January 15, 2017

~ SEPERTI PERTAMA KALI ~


KEGHAIRAHANNYA seperti pertama kali, walaupun sebenarnya seluruh pelosok tanahnya sudah dijejaki sebelum ini. Dan, perasaan itulah sebenarnya yang mudah memberi rasa luar biasa pada bilangan warna yang pernah ada.

Aku memulakan sekali lagi.

[Indah pada segala satu-nya] 

Saturday, January 14, 2017

~ NEON DAN RASA ~


PENANG. Meraikan hari bahagia sahabat dekat lelaki sepet. Selalunya aku menolak untuk berada di tengah keraian masyarakat mereka yang serba 'tentang' itu, namun kali ini tidak.

Keluarga pengantin memilih sederhana. Tidak terlalu tradisi, tidak juga terlalu moden. Lalu, senang sekali aku berada di dalam keraian ini. 

Usai segala itu, kami menelusuri neon malam Feringgi. Pengantin 'gila' itu menurut serta. Hahaha...

Senyum-senyum lama yang kembali terkutip. Seperti lama benar dalam mendung selerak.

Kegembiraan dibagi Tuhan.

[Feringgi dan malam-nya]

Friday, January 13, 2017

~ ESOK BUKAN KITA PUNYA ~


HUJUNG minggu ini sederetan aktiviti seni yang terpaling dinantikan merebut tarikh yang sama seperti tiada hari esok. Pada suratan yang telah disusun, rezeki itu tidak memihak kepadaku meski lama menunggu nanti.

Tiga hari yang datang ini, aku tidak hiruk pikuk kota.

Merancang lari mencari nyaman untuk soal-soal selain yang ada mengisi selirat saban hari semenjak beberapa bulan terkebelakang ini.

Memilih sesuatu yang sudah tidak ada di dalam pilihan lagi. Owh.. ophie..

[Kerana esok itu bukan kita punya..]

Thursday, January 12, 2017

~ CANTUMAN KEPINGAN AKHIR ~


RASMI dan pada kebenaran hitam putihnya. Kepingan akhir puzzle di lantai T. Pinkie ini telah memberikan jawapan pada gambar yang harus ada pada ruang lopongan yang selama beberapa hari ini menjadi bahan bual yang panjang.

Setelah hampir empat bulan bertukar tuan, aku kini kembali ke lubuk. Ya, ke tuan asal.

Mengutip lelah, dan bertimbunan selirat membuat singgah. Sering sahaja aku ini berada pada persimpangan yang terhanya ada satu pilihan. Atau barangkali tidak perlu lagi dinamakan sebagai pilihan.

Maka terserahlah.

Kesenyapanku yang paling bising andai mampu terdengarkan. Mahu bicara pada yang ingin dengar. Dan, hanya kuburanmu yang mahu mendengarkannya mr legoman.

Permainan di lantai pekerjaan sangat mengujakan semua orang, barangkali.

[Selirat]  

Wednesday, January 11, 2017

~ AWKWARD ~


LEO kadang-kala sering mengumam rasa yang serupa denganku. Bezanya, dia mudah meluahkan untuk dimengerti, sedang aku pula sebaliknya. Dalam banyak situasi, aku sering sahaja melihat dia jurucakap untuk suatu hal yang aku juga ingin suarakan.

"Aku sampai hari ni tak paham, kenapa perempuan kalau nak salam, mesti naaak juga laga pipi. Salam dahlah. Capai matlamat juga kan?"

Status yang dia naikkan di laman sosialnya, buat aku ketawa sendiri. Betapa itu jugalah yang sering aku soalkan. Hal yang terpaling remeh, tetapi seringkali membuat aku merasa rimas.

Ia sering dirasakan apabila diperlakukan begitu oleh seseorang atau mereka yang bukan dekat dengan kamu, stranger apatah lagi. Biarlah atas apa juga alasan, jujurnya aku kurang selesa diperlakukan begitu. 

Babak-babak begitu bagi aku, terhanya untuk mereka yang ada dalam sebahagian aku atau pada situasi yang perlu kepada itu. Ya, yang perlu kepada itu.

Selainnya, aku merasa seperti diajak untuk 'berlakon' bermanis muka. Dan, yaaa.. lakonan itu sangatlah 'kayu'. Haih..

[Manusia dan keanehan]

Tuesday, January 10, 2017

~ TIDAK DIADILKAN ~


SESI yang tidak selalu ada dengan teman yag seorang ini. Teman Julai. Namun hari ini, aku diajak mendengar.

Tentang sahabat.

Diluah rasa lelahnya pada paket luka berulangan yang terberi sahabat dekatnya. Seseorang yang barangkali tidak sepatut memberi laku begitu. Berat, dan berlapis kisahnya.

Aku angguk-angguk (meski bual itu sebenarnya hanya menerusi skrin kecil telefon bimbit), hampir pada setiap yang dituturkan dia. Kerana aku benar mengerti apa yang dikatakan dia.

Similariti.

Aku tekan aksara-aksara yang menyusun maksud menyenangkan. Juga emoji yang memberi rasa senang. Dari awal hingga akhir bual.

Namun pada realiti di luar skrin, aku sangat terkesan dengan paket cerita itu. Kerana ia terlalu serupa dengan rasa yang sedang aku juga rasakan.

Rasa bila mana diri seperti tidak dimahukan seseorang yang kamu sebutkan sebagai sahabat, sahabat dekat.

Dan, atas apa yang kita persembahkan meski tidak pernah terlaku dengan rasa inginkan balasan, diri merasa tidak diadilkan.

Justeru itu, aku terlalu amat mengerti akan itu.

[Semoga Tuhan sentiasa menutup lelah ini..]

Monday, January 09, 2017

Sunday, January 08, 2017

~ LELAKI YANG SELAMANYA PERTAMA ~


MALAM tadi, aku dan dia menghirup secawan kopi. Bual, dalam bahasa senyap yang hanya terfaham kami. Begitulah selalu kala aku bersama lelaki ini. 

Bibirnya mengepit batang rokok dengan kepul asap yang tidak putus. Sesekali dia berpeluk tubuh, merengkukkan badan tanda selesanya. Sedang aku pula, asyik menyelak-nyelak helai bahan baca sambil menyandarkan badan di kerusi malas yang entah mengapa begitu empuk pada rasaku.

Dia mengepit batang rokok, tanpa tergambar nikmatnya. Aku menyelak  bahan baca, tanpa terhadam sebarang aksaranya. Begitu, Kerana sebenarnya kami ini tidakpun melakukan apa yang kami terlihat sedang melakukan itu.

Membuka mata. Dan, pada sedarnya.. ia hanya igau.

Rindu. Terlalu rindu sehingga hampir terpecah rasa yang di dalam ini ayah. Sesi sama kamu pada hayat yang pernah ada itu terlalu menikam hati. 

Saat ini, aku sedang ranap. Dan, kalaulah ayah masih ada.

"Awak dan anak-anak ayah yang lain bertuah sebenarnya. Bertuah kerana ayah pergi waktu korang semua sudah dewasa dan tahu berdikari dalam hidup. Dia pergi selepas berjaya membesarkan korang semua dengan baik. Bayangkan anak-anak yang lain, yang kehilangan orang tua mereka pada waktu mereka masih tercari-cari jalan hidup? Bayangkan bagaimana kalau Tuhan ambil ayah waktu awak masih anak-anak... saat masih perlu 'dipimpin' tangan. Bersyukurlah.. kerana dia pergi selepas awak dalam keadaaan yang baik-baik sahaja.."  

Diam.

Itu kata-kata yang pernah dituturkan sahabat mei saat memujuk ranap aku saat hari-hari awal perginya ayah. Dan, kata-kata ini aku benar pegang kemas dalam hati dan merasa terpujuk setiap kali mengingat tutur ini.

Dan, hati kembali basah.

[Merah]

Saturday, January 07, 2017

~ AKU NAMAKAN KAU ANGIN ~






Aku Namakan Kau Angin

KARYA: Adinata Gus
TERBITAN: Selut Press
CETAKAN: Pertama (2016)
HALAMAN: 116
HARGA: RM25.00

[Kumpulan puisi]

Friday, January 06, 2017

~ DAN LAGI..


GELOMBANG lagi. Aku kira September lalu sudah memberi jarak yang sedikit jauh, namun rupanya tidak.

Bersusun desas yang meminta cantum.

Sebagaimana selalu aku, memilih kerusi yang berkecuali. Tidak berminat dengan sebarang puzzle yang indah dan tidak. Lebih mahu pada gambaran yang sudah siap ada.

[Dan, lantai t. pinkie]

Thursday, January 05, 2017

~ SETABAH ~


AKU melihat dia dari kejauhan. Lama. Diam tanpa kata. Ibu kepada dua anak kembar autistik, yang sendiri membangun diri dan jiwa dalam melunaskan tanggungjawab dan kasih sayang.

Tidak mudah. Ya, tidak akan pernah mudah.

Seawal dua anak syurga itu menjengah dunia, sehingga kini telah meninggi sebarisnya, 1001 rasa-rasa telah dilalui dan dicantum menjadi karangan panjang yang barangkali menunggu masa untuk disampulkan dan diberikan kepada yang di atas sana.

Dia pernah menangis, dia pernah dalam kegilaan. Dia pernah untuk segala satu yang hanya dia sahaja yang tahu.

"Doa saya setiap hari, janganlah Tuhan mengambil nyawa saya terlebih dahulu dari mereka.. kerana tiada siapa yang akan mampu mengerti keberadaan anak-anak ini, melainkan saya, ibunya sendiri.. "

Dan hari ini, anak syurga yang tidak mengerti apa-apa ini, mengasarinya secara fizikal dengan penuh emosi yang bertempiaran.

............................................... :(

[Ibu]

Wednesday, January 04, 2017

Tuesday, January 03, 2017

~ SUATU DULU YANG PERNAH ~


ENTAH bagaimana mahu memulakan. Namun, ceritanya barangkali begini. Aku mula mengenali seorang teman ini semenjak di bangku persekolahan lagi. Kami tidaklah bersahabat dekat, cuma saling mengenali ketika sama-sama mewakili sekolah masing-masing dalam pertandingan akhir deklamasi puisi.

Ketika itu dia dinobatkan sebagai juara.

Sempat berkenalan dan berbasa-basi, atas paksaan guru yang sering mahu mendedahkan pelajar mereka untuk bergaul dan bertukar pendapat dengan pelajar dari sekolah lain. Tapi ia hanya cukup untuk sekadar itu.

Itu merupakan pertandingan terakhir yang aku sertai kerana setelah itu, aku tidak pernah lagi menyertai sebarang pertandingan deklasmasi puisi. Pernah dipaksa guru, namun mereka akhirnya akur aku sememangnya tidak pernah selesa untuk berada di pentas dan menjadi tumpuan ramai.

Sesekali kami terserempak dalam aktiviti yang melibatkan acara sekolah, tetapi tidaklah selalu kerana kami pun bukanlah satu batch. Bagaimanapun perkembangan tentang dirinya sentiasa sampai kepadaku kerana namanya begitu popular bukan sahaja di sekolahnya sendiri tetapi juga di sekolah-sekolah lain. Ini kerana dia seorang yang begitu aktif aktiviti dalam pelbagai aktiviti kesenian peringkat sekolah.

Beberapa ketika selepas itu, aku kemudiannya berpindah sekolah baru di daerah lain dan kemudiannya tidak pernah lagi terserempak dengannya.

Namun, rupa-rupanya dia turut dikenali beberapa rakan di sekolah baru kerana dia sering mengharumkan nama sekolahnya dengan meraih kejayaan bukan sahaja di peringkat negeri, tetapi juga kebangsaan.

Selepas tamat persekolahan, khabarnya dia terus mendapat tawaran bekerja di sebuah organisasi terkenal. Dan, ketika aku menyambung pelajaran di Uni, namanya masih lagi singgah di telingaku menerusi berita pencapaiannya dalam aktiviti kesenian yang masih aktif disertainya.

Ceritanya beberapa kali  mendapat liputan di dada akhbar baik ketika zaman kegemilangannya di sekolah mahupun ketika sudah di alam pekerjaan. Aku hanya mengikuti perkembangannya dari jauh. Kagum dan bangga juga kerana dia berjaya membina nama pada peringkat yang begitu tinggi.

Namun siapa sangka, selepas bertahun tidak bersua, kami ditakdirkan kembali berada di ruang yang sama. Bukan pada acara deklasmasi puisi sebagaimana zaman persekolahan, tetapi pada ruang yang bersenab urusan pekerjaan. Dia kini berada di kedudukan yang cukup selesa dalam kerjayanya.

Meski lama tidak bertemu muka,  aku masih dapat mengenalinya kerana dia memang seorang yang dikenali dalam masyarakat.

Apapun, aku tidak pernah bertegur sapa dengannya, begitu juga dia. Pada aku, mana mungkin dia mengingat lagi zaman persekolahan yang telah lama kami tinggalkan itu. Sementelah, kami pun bukanlah rapat atau bersahabat baik.

Justeru, bila kebetulan berada di ruang yang sama, kami hanya saling memberi senyum.

Namun baru-baru ini, aku terlibat dalam satu urusan yang turut melibatkan dia. Aku hanya memberi reaksi seperti selalu, senyum dan mengganggukkan kepala tanda hormat. Dia juga membalas dengan reaksi yang sama seperti biasa.

Namun pada pertengahan urusan, ketika kami kelam kabut berkejaran memastikan segala urusan usai menurut yang diatur, dia tiba-tiba menarik tanganku ke tepi sambil menyebut namaku dengan jelas. Ya, nama panggilan zaman persekolahan yang telah lama aku tinggalkan. Malah nama itu terlalu  asing buatku kini. Hahahaha..

Panik. Malah sempat terpinga-pinga menjawab soal-soal asas yang diajukan kepadaku dalam bingit ruang yang dipenuhi manusia itu. 

Aku menepuk dahi. Tertanya-tanya, adakah dia baru mengingat atau cuma kali ini dia sempat untuk membuat imbas di radar.

Setelah itu, aku tergesa menghilangkan diri di celah orang ramai. 

Dan, yaaa... jauhnya keberadaan dia berbanding aku hari ini. Saat dia sudah punya segala, aku masih tanpa apa. Sedang dulu, ketika masing-masing masih di bangku sekolah, kami ini sama duduk dan berdirinya. Tapi, lihatlah dia hari ini. 

Ermm... dan, Tuhan itu maha mengetahui dan maha menentukan di atas segalanya.

[Dunia puisi yang telah lama di-tinggal-kan]

Monday, January 02, 2017

~ SEMOGA TIDAK BERLEBIHAN ~


AWAL pagi ini, dan beberapa hari yang lalu, ada kalangan teman yang menulis sesuatu tentang aku di laman sosial mereka dengan sedikit penghargaan. 

Aku menggelengkan kepala. Merasakan seperti hal kecil yang diangkat berlebihan.

Tidak pernah aku minta dilihat begitu. Ia hanya perbualan spontan dan pastinya atas satu rasa kejujuran pada sebuah ikatan yang namanya persahabatan.

Tidak akan pernah bersebab lain.

Apapun, terima kasih kerana membuka lembaran 2017 dengan paket-paket manis begini.

[Paket kechil]

Sunday, January 01, 2017

~ SELAMAT TAHUN BARU 2017 ~


SELAMAT membuka lembaran baru, ceritera untuk tahun 2017. Entah bagaimana mahu digambarkan rasa, cuma berharap 364 hari seterusnya nanti berlangsung dengan tenang dan aman dalam setiap deru nafas.

2016 terlalu banyak menyimpan cerita yang melelahkan.

Justeru, semoga tidak terulang dengan sengaja selagi ada waras akal yang dipinjamkan Tuhan. Sesungguhnya, sejarah itu adalah lampu suluh yang paling terang untuk kita mendepani laluan seterusnya.

Mudah-mudahan Allah setuju.

Helaian terakhir untuk 2016 beberapa jam tadi, aku dan  lelaki sepet yang sama ini memilih untuk mengisi keluangan di kedai kopi. Meraikan tahun baru di sini bersama-sama strangers yang juga punya cerita mereka yang tersendiri.

Bukan di bawah percikan bunga api yang penuh warna indah, tetapi ralit dalam aroma kopi sambil mengomel ceritera sama tentang kami. Sehingga satu lima puluh pagi, sebelum kedai kopi menutup operasi.

Selamat menghimpunkan aksara baru di buku merah baru!

[Benar-2 buku baru. Baru untok setiap satu-nya]