Saturday, December 31, 2016

~ SEKEPING CERITERA ~


MENCARI udara segar di luar lantai pekerjaan. Dan lagi. Sementara 2016 masih berbaki, Disember sering sahaja mahu memberi rasa.

Di rembang petang.

Membersihkan unta hitam dari tragedi kopi semalam di ruang selalu, sejak bertahun dulu. Entah mengapa aku sering memilih di situ biarpun aku jelas tahu mereka tidak pernah mahu memberi indah yang harus sewajar ada.

Bersaki baki pada rupa setiap kalinya. 

Namun aku baik-baik sahaja. Tetap datang membuat ulangan lagi dan lagi tanpa pernah mempersoal kewajaran mereka meskipun sekali.

Sesuatu yang aku sendiri kurang mengerti tentang diri.

Sementara menunggu unta hitam diselesaikan, aku membelek baki helaian yang lama telah aku tinggalkan. Semenjak menginjak ke lantai T. Pinkie, September lalu. Lama. Lama aku tidak punya kesempatan untuk menekuni seperti selalunya.

Dalam riuh suara kenderaan mengisi hiruk pikuk, aku akhirnya memutus untuk kembali ke halaman pertama. Memulakan kembali dengan ulangan. 

Namun pada saat ingin membuat tumpu,  ada perbualan yang membuat singgah dengan begitu jelas di pendengaran. Dari ekor mata, aku pasti suara itu datangnya dari seorang wanita tinggi lampai yang duduk bersebelah. Dan, dengan wajah yang berkerut seratus.

Perbualan itu dituturkan dengan seseorang menerusi telefon bimbitnya. Meski lembut butir-butir yang dilepaskan dari bibirnya, jelas ada ketegangan dalam perbualan itu. Satu demi satu masuk ke telinga.

Dan, aku membiarkan sahaja begitu, tanpa ada fikir untuk berganjak menjarakkan ruang agar butir-butir berbaur peribadi itu tidak membuat singgah dengan jelas. Entah kenapa aku membuat putus yang begitu.

Selang beberapa minit, dia kemudiannya berdiri melepaskan amarah secara tiba-tiba kepada lelaki muda yang sedang menguruskan cucian keretanya yang segak itu. Dia menegur dengan suara yang sedikit keras kerana terlihat pada matanya (barangkali) lelaki itu tidak menyempurnakan tugasan itu dengan sebaiknya.

Ya, aku juga bersetuju dengan tegurannya itu kerana jelas lelaki tersebut bersambil lewa tanpa menekuni baik ketika membersihkan ruang belakang kereta milik wanita ini.

Suaranya tinggi. Tidak menengking tetapi sudah cukup mampu memecah bingit ruang paling sibuk itu.  Cukup berbeza sekali ketika dia menuturkan perbualan di telefon bimbitnya sebentar tadi meskipun sesi itu terlihat tegang dengan jelasnya.

Lelaki muda itu memohon maaf, menerima teguran (kemarahan) itu tanpa sebarang bantahan. Malah dia terus membuat ulangan pencucian tanpa ada riak keruh tidak berpuas hati.

Wanita ini kemudiannya menghempaskan duduknya dengan keras di bangku panjang yang kami duduki sambil menekup wajah. Dan, kemudiannya ada esak tangis yang mengiringi. Esakan yang bercampur dengan bingit kenderaan yang semakin deras di jalan raya paling sibuk  bersebelahan kami ini.

Aku seperti mengerti rasa-rasa yang ada itu. 

Mengerti bagaimana kita cuba untuk mengawal amarah dan dalam masa yang sama mahu melepas rasa yang bersarang itu kerana tiada daya untuk menanggung. Dan, ia tidak pernah mudah. Tidak akan pernah mudah.

Aku percaya, bukan lelaki muda itu yang ingin dimarahinya. Sebaliknya ia hanyalah satu cara dia melepaskan bungkam di dada. Mencari alasan untuk membenarkan lakunya yang dalam selirat seratus.

Meski bersaksi babak begitu, aku hanya diam keras di situ.  Ya, tanpa sebarang reaksi. Seolah tidak menyaksi apa. Sengaja dengan laku begitu untuk tidak terarah menilik kepingan cerita hidup orang lain.

Atau barangkali juga, aku sebenarnya memang tidak tahu untuk memberikan aman yang bagaimana kepada mereka  yang berdepan hal-hal yang pecah begitu.   

Dan, yaa.. itulah aku yang selalu. Yang tidak pernah tahu bagaimana untuk memberi rasa senang yang selari dengan ingin-ingin yang ada di dalam sana.

Tuhan sahaja yang mahu mengertikannya.

[Dongak langit]

No comments: