Saturday, December 31, 2016

~ SEKEPING CERITERA ~


MENCARI udara segar di luar lantai pekerjaan. Dan lagi. Sementara 2016 masih berbaki, Disember sering sahaja mahu memberi rasa.

Di rembang petang.

Membersihkan unta hitam dari tragedi kopi semalam di ruang selalu, sejak bertahun dulu. Entah mengapa aku sering memilih di situ biarpun aku jelas tahu mereka tidak pernah mahu memberi indah yang harus sewajar ada.

Bersaki baki pada rupa setiap kalinya. 

Namun aku baik-baik sahaja. Tetap datang membuat ulangan lagi dan lagi tanpa pernah mempersoal kewajaran mereka meskipun sekali.

Sesuatu yang aku sendiri kurang mengerti tentang diri.

Sementara menunggu unta hitam diselesaikan, aku membelek baki helaian yang lama telah aku tinggalkan. Semenjak menginjak ke lantai T. Pinkie, September lalu. Lama. Lama aku tidak punya kesempatan untuk menekuni seperti selalunya.

Dalam riuh suara kenderaan mengisi hiruk pikuk, aku akhirnya memutus untuk kembali ke halaman pertama. Memulakan kembali dengan ulangan. 

Namun pada saat ingin membuat tumpu,  ada perbualan yang membuat singgah dengan begitu jelas di pendengaran. Dari ekor mata, aku pasti suara itu datangnya dari seorang wanita tinggi lampai yang duduk bersebelah. Dan, dengan wajah yang berkerut seratus.

Perbualan itu dituturkan dengan seseorang menerusi telefon bimbitnya. Meski lembut butir-butir yang dilepaskan dari bibirnya, jelas ada ketegangan dalam perbualan itu. Satu demi satu masuk ke telinga.

Dan, aku membiarkan sahaja begitu, tanpa ada fikir untuk berganjak menjarakkan ruang agar butir-butir berbaur peribadi itu tidak membuat singgah dengan jelas. Entah kenapa aku membuat putus yang begitu.

Selang beberapa minit, dia kemudiannya berdiri melepaskan amarah secara tiba-tiba kepada lelaki muda yang sedang menguruskan cucian keretanya yang segak itu. Dia menegur dengan suara yang sedikit keras kerana terlihat pada matanya (barangkali) lelaki itu tidak menyempurnakan tugasan itu dengan sebaiknya.

Ya, aku juga bersetuju dengan tegurannya itu kerana jelas lelaki tersebut bersambil lewa tanpa menekuni baik ketika membersihkan ruang belakang kereta milik wanita ini.

Suaranya tinggi. Tidak menengking tetapi sudah cukup mampu memecah bingit ruang paling sibuk itu.  Cukup berbeza sekali ketika dia menuturkan perbualan di telefon bimbitnya sebentar tadi meskipun sesi itu terlihat tegang dengan jelasnya.

Lelaki muda itu memohon maaf, menerima teguran (kemarahan) itu tanpa sebarang bantahan. Malah dia terus membuat ulangan pencucian tanpa ada riak keruh tidak berpuas hati.

Wanita ini kemudiannya menghempaskan duduknya dengan keras di bangku panjang yang kami duduki sambil menekup wajah. Dan, kemudiannya ada esak tangis yang mengiringi. Esakan yang bercampur dengan bingit kenderaan yang semakin deras di jalan raya paling sibuk  bersebelahan kami ini.

Aku seperti mengerti rasa-rasa yang ada itu. 

Mengerti bagaimana kita cuba untuk mengawal amarah dan dalam masa yang sama mahu melepas rasa yang bersarang itu kerana tiada daya untuk menanggung. Dan, ia tidak pernah mudah. Tidak akan pernah mudah.

Aku percaya, bukan lelaki muda itu yang ingin dimarahinya. Sebaliknya ia hanyalah satu cara dia melepaskan bungkam di dada. Mencari alasan untuk membenarkan lakunya yang dalam selirat seratus.

Meski bersaksi babak begitu, aku hanya diam keras di situ.  Ya, tanpa sebarang reaksi. Seolah tidak menyaksi apa. Sengaja dengan laku begitu untuk tidak terarah menilik kepingan cerita hidup orang lain.

Atau barangkali juga, aku sebenarnya memang tidak tahu untuk memberikan aman yang bagaimana kepada mereka  yang berdepan hal-hal yang pecah begitu.   

Dan, yaa.. itulah aku yang selalu. Yang tidak pernah tahu bagaimana untuk memberi rasa senang yang selari dengan ingin-ingin yang ada di dalam sana.

Tuhan sahaja yang mahu mengertikannya.

[Dongak langit]

Friday, December 30, 2016

~ TRAGEDI ~


TUMPAHNYA kopi. Dan unta hitam menjadi luka. Bersaksi langit hitam yang menatap menunggu tutur. Tidak sempat menongkat tumpah atas sebuah takdir yag sudah tertulis.

Lalu, kopi grande yang sudah mencair terbiar dalam tatap membuat hampar pada lantai unta hitam. Memenuh ruang kecil empat persegi itu. Tanpa baki. Cuma kerak sisa pada dinding tertulis namaku itu. 

Aku memberhentikan unta hitam. Di bahu jalan yang senyap. Cuma ada simbahan cahaya lampu limpah lebuhraya. 

Terlihat tumpahan itu sudah membuat lukis, meninggal bau, mengusik rasa dan sekaligus meletak luka. Berselangan dengan sengaja.

Dan, tiba-tiba kopi yang sering membuat terapi menjadi benci.

[Ber-bicara-lah kamu pada langit yang me-nadah]

Thursday, December 29, 2016

~ NEGATIVITI ~


BUKAN pertama kali. Mengirimkan mesej personal kepada seseorang, namun diterima oleh seseorang yang lain kerana kecuaian diri sendiri yang tersilap memberi arah tuju.

Dan, seseorang yang lain itu adalah manusia yang tidak pernah mengenal kamu secara dekat.

Malu.

Dan, yaa... mungkin aku perlu mengelakkan bertemu muka dengannya selama 100 tahun.

[Clumsy]

Wednesday, December 28, 2016

~ DIREMEHKAN ~


SCORPIO. Keras hati, degil dan jarang mahu mengalah bila mana merasa jelas dia berada di situasi benar. Ego mendulu kerana tidak mahu diri diperlaku sewenang.

Namun, masa merobah.

Demi kerana rasa sayang pada suatu hal yang dinama persahabatan. Bukan yang sehari dua, tetapi dari sepertiga bahagian yang ada.

Tidak mudah. 

Dicuba-cuba meski dengan beberapa kali berdepan gagal kerana tidak tersokong dan diremehkan. Sehingga semalam, aku masih dengan usaha untuk menjernih, namun tidak bersambut.

Jadi, cukuplah di situ sahaja cuba-cubaan itu. Barangkali, Scorpio itu harus kekalnya begitu sahaja.

Barangkali.

[Ter-kenang bual-bualan sahabat mei tentang  sahabat ini, yang hampir ter-nyata begitu kesamaan-nya] 

Tuesday, December 27, 2016

~ PENGLIPUR ~


CERITERA dan paket terbuka yang sering kali membuat aku ketawa sendiri. Suatu hal yang tidak masuk akal itu barangkali mampu menjadi sebalik. Geleng kepala. Macam-macam.

[Hibor]

Monday, December 26, 2016

~ DAN, BUMI KENYALANG ~


JUMAAT lalu aku membeli tiket untuk terbang ke bumi kenyalang. Hanya kerana nasib yang menyebelahi, tiket berada di tangan meski tidak mudah.

Aku memilih untuk ke sana secara tiba-tiba. Tanpa sebab, tanpa tujuan. Perasaannya cuma mahu berada di persekitaran yang senyap dari orang keliling.

Biarpun tiga hari berada di sana tanpa sebarang perancangan, aku baik-baik sahaja. Mencari masa untuk bersenang-senang. Membidik dan menatap helaian-helaian yang perlu disudahkan.

Dan, hari ini sudah kembali ke hiruk pikuk kota. Semoga aku tidak memberatkan keremehan lagi.

[Paket bidik]

Sunday, December 25, 2016

~ MERRY CHRISTMAS ~


SELAMAT menyambut Hari Natal buat semua yang meraikan perayaan ini. Semoga kegembiraan sentiasa mengiringi rutin hingga ke akhirnya.

Dan, yaa... Christmas dinner!

[Si sipet dan santa-nya] 

Saturday, December 24, 2016

~ HINGGA KE MIMPI ~


TERBAWA ke mimpi. Barangkali kerana pulang malam tadi aku terus meletak lena. Lazim selalu bila mana aku tidak mahu membiarkan kepala dari ligat berfikir soal yang menekan.

Dalam mimpi tanpa sepatah tutur yang kedengaran itu, aku dipeluk erat seseorang. Ibu barangkali, atau sahabat mei sepertinya. Aku tidak begitu jelas. Cuma yang aku tahu, aku ditenangkan dari rasa amarah yang membenam.

Saat membuka mata awal pagi ini, perasaan semalam menjadi sedikit ringan. 

[Menyenyap degop]

Friday, December 23, 2016

~ PERATURAN ~


DO and don't. Usai segala urus pekerjaan dan ketika berada di parkir lantai, aku kembali membuka telefon bimbit. Membaca kembali satu-satu perdebatan tadi untuk dihadam baik. Sementelah siang tadi aku tidak dapat memberi tumpu secukup kerana terbagi dengan beberapa urusan segera yang perlu dilangsaikan di lantai.

Ulang baca. Beberapa kali. Banyak kali sebenarnya.

Sedih.

Memandu pulang dengan rasa kekesalan yang keras. Sambil diri bertanta-tanya mengapa aku sering membenarkan diri diperlaku sewenang.

Menarik nafas yang panjang. Dan, bersungguh aku menutur dalam diam. Banyak sekali kata-kata yang aku luncurkan. Semogalah Allah mahu mendengarnya.

[Se-makin me-nipis, dan sudah ter-lalu nipis sebenar-nya. Namun demi janji..]


Thursday, December 22, 2016

Wednesday, December 21, 2016

~ RAMALAN CUACA


SAAT baik-baik, semuanya menjadi terlalu baik. Seolah menyebelah pagi petang siang malam. Dan, di celah-celah itu, aku seperti dapat merasakan ada ribut yang bakal mengisi ruang. Entah ribut yang bagaimana, namun bila situasinya begini, lazim ada petanda taufam mahu menerpa.

Apa sahajalah.

[Amaran ribut petir dan hujan lebat]

Tuesday, December 20, 2016

~ TULISAN ~


SENYUM, dan menggeleng-gelengkan kepala. Membaca sebuah tulisan yang didedikasikan khas buat aku. Tanpa pengetahuan di penulis tentunya.

Entah bagaimana perasaan yang ingin digambarkan.

Cuma yang mampu aku katakan di sini, si penulis ini hanya mengenal aku pada luarannya sahaja. Justeru hanya yang manis-manis sahaja terlihat dia. Sedang paling benar, aku ini sebahagian besar bersisi kelam juga. Sifat-sifat kiri turut mendominasi. 

Cuma barangkali ia lebih mudah dibaca mereka yang benar dekat sahaja.

Apapun, terima kasih untuk segala sangka baik dan anggapan-anggapan manis yang diberikan untuk seorang aku. 

Barangkali begini rasanya canggung itu.

[Aku ini tidak seperti mana yang di-lihat kamu]


Monday, December 19, 2016

Sunday, December 18, 2016

~ CERITERA ~


SEMENJAK dia berhijrah, kami jarang berhubung, apatah lagi bertemu. Sesekali aku cuma melihat perkembangannya menerusi medium laman sosial.

Semalam dia tiba-tiba muncul kembali menghubungiku dengan perkhabaran gembira tentang  hari bahagianya menjelang awal tahun depan.

Alhamdulillah, semoga kali ini dia bertemu dengan lelaki yang betul.

Namun tidak sampai dua puluh empat jam, dia sekali lagi menghubungiku. Memberitahu ada insiden yang berlaku antara dia dan bakal keluarga mertua.

Bunyinya seperti serius seolah-olah majlis tersebut akan dibatalkan. 

Santunnya yang sering memberi cerita berbeza.

[Dalam santon-nya]

Saturday, December 17, 2016

~ THE TREASURE OF MOZART ~





 The Treasure Of Mozart

KARYA: John Irving
 TERBITAN: Andre Deutsch
 CETAKAN: Pertama (2012)
 HALAMAN: 60
 HARGA: £20.00

[Terapi]

Thursday, December 15, 2016

~ KEJUTAN ~


NYAWA yang masih dipanjangkan. Akibat kecuaian dan kelemahan sendiri, aku dan seorang sahabat terlibat dalam kemalangan yang tidak terjangkakan sebentar tadi.

Kejadiannya berlaku terlalu pantas sehingga aku tidak dapat mengingat apapun dalam tempoh itu.

Mujurlah aku hanya mengalami kecederaan kecil di bahagian bahu, dan sedikit luka di tangan kanan. Sementara, si pemandu pula hanya cedera ringan di bahagian kepala akibat hantukan  yang dialaminya. 

Apapun kami berdua baik-baik sahaja dan hanya dirawat sebagai pesakit luar. Cuma kereta sahaja yang mungkin perlu dirawat secara serius.

Kejadianya berpunca daripada pemanduan sahabat ini yang berada di bawah pengaruh alkohol tanpa aku sedari. Di suatu selekoh, dia hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan. Mujur sahaja ia tidak melibatkan kereta lain dan mendatangkan kemalangan yang lebih teruk.

Berkali dia memohon  maaf, dan yaa.. aku kehilangan kata. Apapun, apa yang berlaku sudahpun berlaku dan tidak ada niat untuk aku menuding jari menyalahkan dia. Biarlah peristiwa ini menjadi pengajaran buat kami berdua.

Dan, suatu yang menjadi kebetulan, esok aku tidak ke lantai pekerjaan kerana perlu menguruskan unta hitam. Justeru, dapatlah aku menyembunyikan diri seketika agar kecederaan diri tidak terhidu sesiapa. 

Kejadian yang berlaku ini hanya dalam tahu kami berdua. Malas untuk bersoal jawab apatah lagi mengingat-ingat kembali saat menakutkan itu.

Ujian.

[Nyawa]

Wednesday, December 14, 2016

~ UNTA HITAM ~


UNTA hitam membuat rajuk. Yaa.. lagi. Berkejaran aku dengan kudrat yang sekerat sementelah hari ini aku terikat dengan beberapa urusan setelah beberapa hari tidak di lantai.

Kenapalah mesti hari ini kamu membuat rajuk wahai unta hitam. Kasihanilah aku.

Rasanya seperti mahu menangis mengenangkan lelah yang bersahutan mengisi tempat dan menguji rasa sabar diri yang semakin menipis.

Ada rakan yang beriya mahu menghulurkan bantu sehingga memberi kesanggupan untuk mengambil cuti semata-mata untuk itu. Aku senyum sahaja dan menolak pelawaannya penuh hemah. Bukan tidak sudi, namun barangkali bukan untuk hari ini. 

Aku lebih selesa 'menyusahkan' mereka yang lebih dekat kecuali benar-benar pada suatu keperluan yang mendesak.

Apapun, terima masih untuk niat dan kesanggupan membantu.  

[Belum ketika-nya.]

Tuesday, December 13, 2016

~ LELAH ~


MASIH bercuti. Namun, pesanan urus pekerjaan bertalu masuk ke telefon bimbit. Tanpa henti dari seawal pagi. Dan, sebahagian daripada hari ini aku habiskan untuk urusan itu.

Haih.

[Bosan]

Monday, December 12, 2016

~ KE SELATAN SEMENANJUNG TANAH AIR ~


HAMBATAN urusan kerja yang beratur panjang sehingga tiga minggu berturutan aku bekerja tanpa cuti hujung minggu, Hanya pada minggu ini aku berjaya mencuri sedikit masa untuk lari seketika dari hingar bingar urus pekerjaan.

Dan, aku memilih untuk ke selatan semenanjung tanah air.

Setelah beberapa minggu lelaki sepet ini membuat rajuk dan mengungkit ketidakpedulianku terhadap perkara selain dari urus pekerjaan, aku akhirnya akur. Bukan untuk memujuk, cuma untuk sedikit berlaku adil.

Justeru selama tiga hari berada di sana, aku cuba dengan sebaiknya mengisi luang yang ada untuk suatu hal yang menyenangkan. Ia bukanlah sebuah percutian istirehat, cuma mungkin sekadar kesempatan untuk menghabiskan masa bersama aku kira.

Selalunya, dia yang akan turun ke ibu kota, atau paling tidak bertemu di tanah Hang Tuah. Cuma kali ini aku pula yang berasa perlu untuk memanjangkan langkah ke sana sebagai tanda meminta maaf atas kesempitan waktu yang mengekang rasa sebuah kepedulian.

Alhamdulillah, semua baik-baik. Tidak terlalu manis, namun cukuplah kami saling menyenangkan. Tiga hari yang entah bila berkembali serupa.

[Telok Danga yang menyimpan cherita lama]
 

Sunday, December 11, 2016

Saturday, December 10, 2016

~ THE SIGNATURE OF ALL THINGS ~






 The Signature Of All Things

KARYA: Elizabeth Gilbert
 TERBITAN: Bloomsbury Publishing Plc
 CETAKAN: Pertama (2013)
 HALAMAN: 580
 HARGA: £8.99

[Eat Pray Love]

Friday, December 09, 2016

~ TIGA RATUS ENAM PULUH DARJAH ~


AKU mendengar ceritanya. Setiap hari. Itu ini. Bising dia tidak pernah berubah. Merungut dan membilang untuk segala yang mencetus rasa kurang senangnya.

Namun jauh di sebalik itu, aku sebenarnya cukup kagum dengannya. Kagum di atas segala kemampuannya menguruskan situasi yang 360 darjah telah memusing segala rutin bertahun yang dia lalui.

Segala kebergantungannyanya bertukar menjadi sebalik. Dari sebelum ini dimanjakan untuk segala satu, dia kini perlu pelindung.

Benar seperti mana katanya, dia tidak punya pilihan selain mengambil tanggungjawab yang ada itu meski begitu berat untuk dia sempurnakan. 

Apapun yang dia katakan atau bebelkan, aku tetap berbangga dengan kemampuannya menguruskan tanggungjawabnya dengan baik. Meski barangkali tidak sempurna, namun aku yakin dia jauh lebih baik daripada aku.

Semoga Allah permudahkan urusan sahabat ini, semoga keikhlasan memenuh sarang jiwanya. Insya-Allah ada kesembuhan yang diizinkan.

Dan, aku berusaha untuk tidak membebaninya dengan sebarang keremehan agar selirat yang membuat cambah dalam dirinya saat ini tidak tertambah.

Ingat, aku ini sahabat yang ada dan wujud. Andai ada yang berada di dalam keperluan, insya-Allah.

[Doa untuk se-buah kesembohan]

Thursday, December 08, 2016

Wednesday, December 07, 2016

~ LELAKI KESAYANGAN ~


ADIK sememangnya merupakan anak lelaki kesayangan ayah. Semenjak dulu dan sehingga sekarang kami cukup maklum akan itu. Meski ayah sudah tiada, dia masih berada di posisi yang sama dan ibu menjadi galang ganti.

Aku tidak pernah mahu mempersoalkan tentang itu, cuma semenjak kebelakangan apabila dia sering memudahkan kasih sayang ibu, aku menjadi marah.

Dan, lewat hari ini ada sesi keras antara kami.

Haih.

[Keberuntongan]

Tuesday, December 06, 2016

~ TIDAK DIADILKAN ~


YA. Memang tidak mudah menjadi sang kepala yang baik. Tidak mudah untuk memenang hati semua orang yang tahap kepuasannya berbeza tinggi rendahnya.

Namun, kamu akan menjadi sang kepala yang dihormati, jika mampu berlaku adil dan mengamalkan profesionalism tanpa mengendong sebarang unsur peribadi di antaranya.

Seringkali kita merasa sudah berlaku adil dengan sebaiknya, namun sebenarnya tanpa kita sedar kebocoran emosi membuatkan kita bertindak sebaliknya.

Aku mengangguk-angguk, tanda faham. Meski tidak berada di kasutnya, aku jelas akan itu.

[Di-hormati]

Monday, December 05, 2016

Sunday, December 04, 2016

~ MARILYN MONROE, THE FINAL YEARS ~







 Marilyn Monroe, The Final Years

KARYA: Keith Badman
 TERBITAN: Thomas Dunne Books
 CETAKAN: Pertama (2010)
 HALAMAN: 332
 HARGA: USD$15.99

[Paket]

Saturday, December 03, 2016

~ DIKENAKAN ~


SEBELUM hadir di majlis ini, aku diingatkan seorang teman supaya aku memakai pakaian yang formal dan sopan kerana majlis yang bakal dihadiri ini bersifat begitu, apatah lagi diturut dihadiri oleh beberapa VIP yang agak mementingkan itu.

Aku menurut, meskipun pada awalnya mencari pelbagai alasan untuk menolak.

Mengenakan persalinan formal merah hati yang sebelum ini hanya aku gayakan ketika majlis personal  sahaja, aku beberapa kali tersasar menjadi lokasi sebenar majlis berlangsung sehingga terlewat kurang lebih setengah jam.

Kalut kerana mengejear waktu dan tidak mahu merasa canggung andai tiba lewat di majlis yang formal dan penuh protokol sebagai mana yang diperkatakan itu.

Akhirnya, kala tiba di majlis tersebut aku terkejut melihat tetamu yang hadir memakai pakaian apa adanya, termasuk teman yang seorang itu.

OMG.

Sudahnya aku hanya duduk di kerusi dan tidak berganjak sehingga selesai majlis. Segan kerana sepertinya agak berlebihan untuk seorang aku, meskipun ia sebenarnya mungkin hanya biasa-biasa pada mereka yang lain. Haih.. betul-betul sudah terkena dengan teman yang senang sekali mengusik-usik aku dengan pelbagai cara dan helah.

[Merah padam] 

Friday, December 02, 2016

~ MENJINJING EMPAT BULAN ~


SEMENJAK bertukar lantai dan kini sudah masuk bulan empat bertugas di Lantai T. pinkie, entah kenapa semangat kerja semakin menurun hari ke hari. Jumaat paling dinantikan dan Isnin seolah-olah menjadi suatu hari yang paling menjengkelkan.

Penat.

Meski sebenarnya lantai lama yang lebih menimbun tugasan bersilih ganti tanpa henti, namun kami senang-senang sahaja di sana. Menyelesai dengan senyum dan penuh aman. Dan ia berbeza sekali di sini.

Semogalah mampu bertahan baik.

[Meng-hitong lelah]

Thursday, December 01, 2016

~ SUATU YANG NAMANYA KEBETULAN ~


KATA bual kosong yang aku langsung tidak menyangka rupa-rupanya mempunyai kebenaran di sebaliknya. Gurau pendek yang tanpa diduga mempunyai cerita panjang di luar tahu.

Lalu aku diberi penjelasan dan dikongsikan paket cerita yang jauh dari jangkau akalku. Sedangkan aku sebenarnya langsung tidak tahu tentang apa yang berlaku di antara mereka.

Dan, sungguh.. entah bagaimana kata-kata yang aku tuturkan dengan gurau senda itu rupa-rupanya benar wujud di alam nyata terhadap manusia yang aku kenali di depan mata.

Lucu. Kebetulan yang sebenar kebetulan.

Dan, insiden ini membawa ingatan kepada ayah. Ayah juga sering berdepan dengan situasi itu. Firasat dan nalurinya yang seringkali membawa ke wujud tanpa dia sendiri sangkakan.

Untuk kamu berdua, usah digusarkan. Aku tidak pernah melihat ia dengan rasa yang kiri. Malah sebenarnya kamu tidak perlu membuat sebarang penjelasan kerana aku sememangnya tidak pernah tahu apa-apa tentang paket wujud itu. 

Biarlah ia kekal rahsia antara kamu. Dan, percayalah ia tidak akan pernah sampai kepada yang selainnya di luar aku.

Sekali lagi, ia cuma kata tutur kosong yang berkebetulan menyampai tepat tanpa aku sendiri menduga kebersamaan itu.

Chill.

[Ke-betolan]