Monday, November 14, 2016

~ SUPERMOOON, DAN HATI KAMI ~


SUPERMOON merupakan satu fenomena astronomi di mana bulan akan berada di kedudukan yang paling hampir dengan bumi (Perigee). Bulan akan kelihatan 14% lebih besar daripada biasa.

Kali ini, ia merupakan Supermoon yang sangat luar biasa kerana kedudukan bulan dikatakan berada paling dekat dengan bumi semenjak 68 tahun yang lalu.

Justeru itu, aku memenuh janji untuk menonton kejadian menakjubkan ini bersama si kecil yang beriya-iya menunggu saat ini sebaik sahaja tahu tentang apa itu Supermoon.

Usai urusan di lantai pekerjaan, aku terus berkejaran pulang untuk menjemputnya. Kami ke jambatan naga, lokasi terbaik untuk menyaksikan fenomena hebat ini. Namun keterujaannya semakin menipis apabila Supermoon tidak keluar menonjolkan diri. 

Barangkali merajuk kerana keadaan cuaca yang tidak begitu menyebelahi semenjak petang tadi yang menyaksikan langit tumpah dengan hebatnya. Langit hitam menutur seluruh ruang yang ada, malah menutup juga Supermoon untuk keluar menunjukkan wajah.

Kami berdua sama-sama kecewa. 

Pada akhirnya hanya mendongak ke langit hitam. Tidak terkalih. Sambil mengira-ngira waktu, sambil masih mengharap-harap lagi.

Supermoon. Dan, hati kami.

[Menunggu]

No comments: