Monday, November 21, 2016

~ KONSERT WAJAH, KOIR KEBANGSAAN MALAYSIA ~












KOIR Kebangsaan Malaysia memang merupakan satu kumpulan koir unik yang menjadi kegemaranku semenjak sekian lama. Selama lebih enam tahun aku mengikuti perkembangan dan tidak pernah sekali terlepas konsert mereka.

Termasuklah yang terbaru, Konsert Wajah, P. Ramlee yang berlangsung di Melaka, Ipoh dan penutupnya di Kuala Lumpur. 

Konsert Wajah mengangkat himpunan lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee untuk dipersembahkan dalam genre muzik baru yang sangat mengasyikkan. Apatah lagi dengan kewibawaan KKM di bawah pimpinan penyanyi dan guru vokal tersohor, Syafinaz Selamat.

Sepanjang hampir dua jam setengah persembahan berlangsung, mereka menyampaikan 21 buah lagu P. Ramlee yang dipilih dan digubah semula kepada pelbagai genre muzik seperti jazz, tango, klasik, accapela dan sebagainya.

Bayangkan bagaimana lagu-lagu indah seperti Getaran Jiwa, Bertemasya, Azizah, Gelora, Di Mana Kan Ku Cari Ganti, Bunyi Gitar, Tunggu Sekejap, Madu Tiga, Dengar Ini Cerita, Menceceh Bujang Lapok, Berkorban Apa Sahaja, Ali Baba dan sebagainya digubah semula serta diberi nafas baru menerusi pelbagai genre muzik semasa.

Apatah lagi 22 orang ahli koir yang terlibat ternyata memberikan persembahan yang sangat hebat dan mengasyikkan. 

Tahniah untuk KKM yang tidak pernah gagal memberikan persembahan terbaik  dalam setiap konsert yang melibatkan mereka.

[Tahniah Syafinaz Selamat]

No comments: