Thursday, September 22, 2016

~ KARMA ~


KARMA. Dan, yaa hidup ini ada bahagiannya masing-masing. Apa sahaja yang kita lakukan, baik atau buruknya pasti akan kembali kepada diri sendiri menurut pusingannya. Jika tidak hari ini, barangkali esok. Atau lusa. Jika tidak kepada kita, barangkali kepada keluarga. Atau anak-anak kita kelak.

Justeru, pilihlah yang terbaik untuk diri.

Kurang lebih lima bulan lalu, ketika kalut kami mendepan pergolakan melanda lantai-lantai tempat menyaksi kami menari tarian hidup, muncul seseorang ini. Dihadirkan dia kononnya untuk membuat reda pada golak-golak yang ada. Dan, kerana hadirnya dia seseorang dalam barisan kami perlu membuat undur.

Aku kira itu soal biasa di lantai dan tidak pernah mahu untuk tahu sesuatu yang tidak perlu aku tahu. Meski ada rasa terkilan yang banyak. Namun beberapa ketika selepas itu, kerusi dan meja bercakap. Lantai dan dinding juga mula bercerita membuat kisah.

Rupanya ada 'permainan' yang diatur cantik. Untuk suatu hal berkait kepentingan diri. Dan, dia menang dalam permainan itu. Menang dengan cantik juga.

Namun kemenangannya itu hanya untuk dua bulan. Masuk bulan seterusnya, kedudukan yang diraihnya sebelumnya itu terlucut lagi. Lagi bawah dari yang sebelumnya. Aku kira berlaku jauh dari jangkaannya sendiri.

Dan terbaru hari ini, ada berita lain yang membuat singgah. Sekali lagi dia digerakkan ke lantai lain meski hanya sebulan dalam posisi terbaru ini. Barangkali dia belum tahu, cuma aku yang ditakdirkan kebetulan untuk menghidu terlebih dahulu.

Bukan tidak bersimpati, tetapi barangkali itulah karma. Terjatuh dan terperangkap dengan permainan sendiri.

Lalu, simpanlah sedikit ingatan untuk diri. Berbuat baiklah pada hidup, pada manusia sekeliling. Usah mudah merampas hak orang lain hanya kerana kepentingan diri sendiri. Hidup ini ada putarannya.

Wallahualam.

[Roda dan putaran-nya..]

No comments: