Saturday, September 24, 2016

~ BERTAHAN ~


UNTA hitam merajuk lagi. Malam tadi tiba-tiba senyap tidak mahu memberikan sebarang respon usai mendapatkan coffee di  sekitar Bangsar. Berjalan kaki untuk beberapa kilometer sebelum berjaya mendapatkan taxi untuk mendapatkan bantuan. Haih..

Dan, hari ini aku tidak dapat ke lantai pekerjaan kerana perlu menguruskan unta hitam untuk dibaikpulih. Disebabkan situasi lantai baru ini sentiasa terhambat dengan urus dua puluh empat jam tanpa henti, maka aku terpaksa mengusung komputer riba untuk menyiapkan urus kerja yang punya tarikh mati.

Nah.. sepanjang hari ini aku berada di bengkel berkelek timbunan kerja yang dibawa bersama. Menyiapkan kerja di dalam bingit enjin jentera yang tidak henti, dalam nafas aroma minyak yang menusuk keras, di celah-celah timbunan besi dan segala satu tentangnya.

Mujur sahaja pemilik bengkel ini sudi memberikan sedikit aku ruang yang selesa untuk duduk menyiapkan urus kerja. Beberapa kali dia melemparkan senyum dan kemudiannya menggelengkan kepala. Pada akhirnya membuat tanya, urus kerja apakah yang membuatkan aku perlu menekuni sehingga begitu rupa.

Aku hanya memberikan jawapan dengan senyuman.

[Yang punya tarikh mati..]

No comments: