Friday, September 30, 2016

~ ENERGI NEGATIF MENDOMINASI ~


DIAM tidak diam, sudah genap sebulan aku di ruang baru. Namun dalam tempoh itu, entah kenapa diri tidak terasa dalam aman.

Energi negatif terlalu mendominasi. Sehinggakan setiap kali membuka langkah untuk ke ruang ini, pasti ada keluhan yang membuat singgah.

Saban hari.

Dan, masih sehingga hari ini. Haih.

Apapun, terima kasih untuk sahabat-sahabat yang sudi membuat hibur.. membuat aku senyum dalam kejaran-kejaran rasa. Yang mahu ada kala aku merasa perlu.

[Semoga-lah]  

Thursday, September 29, 2016

~ DISUA-SUA ~


BAGAIMANA harus memberi reaksi kepada suatu hal yang kamu sudah tidak berminat untuk bercakap tentangnya lagi. Tentang koyak rabak yang sudah jadi asing.

Dan, hampir saban hari kamu disuakan dengan soal-soal berkaitan itu.

[Kelmarin]

Wednesday, September 28, 2016

~ SAPA ~


SUDAH hampir sebulan aku di ruang baru. Hadap semua yang ada dalam mahu dan tidak.

Siang hari tadi, saat kalut mengejar masa untuk keluar membuat urus pekerjaan di luar, aku disapa seseorang. Mencari-cari wajah yang menyapa, dan terkejut apabila suara itu datangnya dari kakak cleaner yang tidak pernah sekalipun berbual denganku sebelum ini.

"Lama tak nampak, cuti ke?"
"Err.. taklah.. takk.. Sy sekarang dah kat bangunan sebelah.."
"Oh yaa ker. Patutlah. Akak cari2 xde.."
"Akak cari saya? Kenapa kak"
"Tak ada apa. Selalu nampak jer. Bila lama tak ada, hairan juga.. ingat tak sihat ke apa.."

Aku senyum. Rupa-rupanya ada yang menyedari akan wujud tidaknya aku di sini. Aku dan kakak ini sebenarnya langsung tidak saling mengenali, berbual pun tidak pernah sekali.

Cuma aku sering mengucapkan terima kasih setiap kali dia membersihkan tempat kami. Dan, kadang-kala memudahkan kerjanya dengan membersihkan sendiri tempat kami jika punya kesempatan.

[Senyom]

Tuesday, September 27, 2016

~ STRANGER ~


MENGADAP kebetulan yang sangat-sangat mahu aku elakkan. Tidak ada drama. Saling tidak mengenali. 

Tutup buku.

[Sa-buah harga yang telah hilang nilai-nya]  

Monday, September 26, 2016

~ SELALU ADA ~


KALAU tidak dia yang mengadu-adu, aku. Kalau tidak aku, dia. Dan begitu kami semenjak saling kenal. Sahabat yang sering sahaja membuat aku tersenyum sendiri dengan sikapnya yang kadangkala terlalu ke anak-anakan, kadangkala seperti nenek tua yang serba sempurna.

Senyum.

[Sahabat Leo]

Sunday, September 25, 2016

~ HUJAN ~





Hujan

 KARYA: Tere Liye
 TERBITAN: PT Gramedia Pustaka Utama
 CETAKAN: Pertama (Januari 2016), Ke-10, Ke-11 & Ke-12 (Februari 2016)
 HALAMAN: 318
 HARGA: RM30.00

[Langit tumpah..]

Saturday, September 24, 2016

~ BERTAHAN ~


UNTA hitam merajuk lagi. Malam tadi tiba-tiba senyap tidak mahu memberikan sebarang respon usai mendapatkan coffee di  sekitar Bangsar. Berjalan kaki untuk beberapa kilometer sebelum berjaya mendapatkan taxi untuk mendapatkan bantuan. Haih..

Dan, hari ini aku tidak dapat ke lantai pekerjaan kerana perlu menguruskan unta hitam untuk dibaikpulih. Disebabkan situasi lantai baru ini sentiasa terhambat dengan urus dua puluh empat jam tanpa henti, maka aku terpaksa mengusung komputer riba untuk menyiapkan urus kerja yang punya tarikh mati.

Nah.. sepanjang hari ini aku berada di bengkel berkelek timbunan kerja yang dibawa bersama. Menyiapkan kerja di dalam bingit enjin jentera yang tidak henti, dalam nafas aroma minyak yang menusuk keras, di celah-celah timbunan besi dan segala satu tentangnya.

Mujur sahaja pemilik bengkel ini sudi memberikan sedikit aku ruang yang selesa untuk duduk menyiapkan urus kerja. Beberapa kali dia melemparkan senyum dan kemudiannya menggelengkan kepala. Pada akhirnya membuat tanya, urus kerja apakah yang membuatkan aku perlu menekuni sehingga begitu rupa.

Aku hanya memberikan jawapan dengan senyuman.

[Yang punya tarikh mati..]

Friday, September 23, 2016

Thursday, September 22, 2016

~ KARMA ~


KARMA. Dan, yaa hidup ini ada bahagiannya masing-masing. Apa sahaja yang kita lakukan, baik atau buruknya pasti akan kembali kepada diri sendiri menurut pusingannya. Jika tidak hari ini, barangkali esok. Atau lusa. Jika tidak kepada kita, barangkali kepada keluarga. Atau anak-anak kita kelak.

Justeru, pilihlah yang terbaik untuk diri.

Kurang lebih lima bulan lalu, ketika kalut kami mendepan pergolakan melanda lantai-lantai tempat menyaksi kami menari tarian hidup, muncul seseorang ini. Dihadirkan dia kononnya untuk membuat reda pada golak-golak yang ada. Dan, kerana hadirnya dia seseorang dalam barisan kami perlu membuat undur.

Aku kira itu soal biasa di lantai dan tidak pernah mahu untuk tahu sesuatu yang tidak perlu aku tahu. Meski ada rasa terkilan yang banyak. Namun beberapa ketika selepas itu, kerusi dan meja bercakap. Lantai dan dinding juga mula bercerita membuat kisah.

Rupanya ada 'permainan' yang diatur cantik. Untuk suatu hal berkait kepentingan diri. Dan, dia menang dalam permainan itu. Menang dengan cantik juga.

Namun kemenangannya itu hanya untuk dua bulan. Masuk bulan seterusnya, kedudukan yang diraihnya sebelumnya itu terlucut lagi. Lagi bawah dari yang sebelumnya. Aku kira berlaku jauh dari jangkaannya sendiri.

Dan terbaru hari ini, ada berita lain yang membuat singgah. Sekali lagi dia digerakkan ke lantai lain meski hanya sebulan dalam posisi terbaru ini. Barangkali dia belum tahu, cuma aku yang ditakdirkan kebetulan untuk menghidu terlebih dahulu.

Bukan tidak bersimpati, tetapi barangkali itulah karma. Terjatuh dan terperangkap dengan permainan sendiri.

Lalu, simpanlah sedikit ingatan untuk diri. Berbuat baiklah pada hidup, pada manusia sekeliling. Usah mudah merampas hak orang lain hanya kerana kepentingan diri sendiri. Hidup ini ada putarannya.

Wallahualam.

[Roda dan putaran-nya..]

Wednesday, September 21, 2016

~ LIVE DRAMA ~


SELAMA lebih dua puluh tahun aku mendengar segala satu cerita tentang dia, tentang mereka. Menonton drama demi drama yang sedikitpun tidak pernah meninggalkan kesan untukku.

Dan, tidak pernah tersangka hari ini situasi menemukan aku dengan mereka secara empat mata. Berada di dalam babak yang selama ini hanya ditonton di kava TV mahupun di medium lainnya. Ya, buat pertama kalinya.

Apapun, aku tidak meninggalkan ruang itu sebagai tanda menghormati majlis. Duduk mendengar sesi mereka sehingga selesai. Meski hampir empat jam berada di ruang yang tidak sepatutnya aku berada, aku cuba selesakan diri. Menekuni diri dengan ulangan cerita mereka yang sudah masuk dua dekad itu.

Drama tetaplah drama.

Apapun, di sebalik itu aku cukup berterima kasih kepada seorang pengawal keselamatan, lelaki separuh abad berbangsa India yang prihatin akan keselamatan aku sepanjang berada di premisnya.

Memandangkan aku hadir seorang diri pada acara yang berlarutan sehingga tengah malam itu, aku bertanya kalau-kalau ada parkir terdekat yang memudahkan aku. Dia kemudiannya memberikan aku parkir VIP  yang betul-betul di depan premis. Parkir yang hanya terhad kepada dua kereta dan salah satu darinya telah diisi.

Usai acara dan mahu pulang aku terkejut melihat kereta tetamu VIP yang menjadi tumpuan pada acara malam ini berada si sebelah unta hitam. Ya, di luar kotak parkir. Rupa-rupanya ruang yang diambil aku itu sebenarnya dikhaskan untuknya. 

Aku terus menoleh ke belakang dan mencari-cari kelibat pengawal keselamatan lelaki separuh abad tadi. Dari jauh dia tersenyum dan mengangkat ibu jari ke arahku sambil mengangguk.

Owhh...

[Budi]

Tuesday, September 20, 2016

~ SENYUM KELAT ~


MENOPANG dagu. Melihat sederetan tugasan yang terbagi. Senyum kelat. Timbangannya ternyata senget ke arahku. Namun, telan sahaja. Apa lagi pilihan yang ada.

Apatah lagi apabila mendengar jawapan yang aku kira bukan satu jawapan yang baik diberikan kepada soalan yang aku ajukan sebaik sahaja keluar daripada bilik kaca siang hari tadi.

Analoginya, oleh kerana masakan kamu pernah mendapat pujian maka segala satu perkara tentang masakan tergalas dibahu kamu meskipun kamu perlu membersihkan rumah, mencuci kereta dan sebagainya. Kononnya tugas di dapur itu tidak akan sempurna jika dilakukan oleh orang lain. 

???

Alasan, yang terdorong oleh angggapan.

Apa sahajalah.

[Tiada rasa peduli]  

Monday, September 19, 2016

Sunday, September 18, 2016

~ SEDERET TUJUH ~


TUJUH hari seminggu. Cuti umum dan cuti hujung minggu kali ini menyaksikan aku bergelumang dengan kerja-kerja di lantai pekerjaaan seawal gelapa tanah dan selewat gelap tanah juga.

Dan, yaa.. esoknya aku masih perlu bekerja seperti biasa menyambung minggu baru.

Lunyai. 

Semogalah yang waras-waras ini masih masih mahu membuat damping. Kudrat sekerat yang entah sehingga bila sudinya untuk terus ada.

[Me-nopang dagu, mengira kapal terbang dalam langit gelap]

Friday, September 16, 2016

~ 16 SEPTEMBER ~



SELAMAT HARI MALAYSIA... 
Di sini bermula sebuah cinta. 
Semoga Tuhan terus memberkati dan memberikan kesejahteraan kepada seluruh yang menumpah cinta di tanah tumpah darah ini.

[Ku-ingin kota-kan sabuah janji.. sepanjang ke-dewasaan ini..]

Thursday, September 15, 2016

Wednesday, September 14, 2016

~ GILA NOMBOR LAPAN ~


BULI. Ya. Barangkali bunyinya sedikit lucu. Namun, itulah yang dilalui aku untuk hari ini. 

Dan, yaa.. Sesuatu yang paling menakutkan aku apabila dalam diri sudah mula terbit rasa-rasa yang negatif.

Mendapat dosa-dosa percuma untuk suatu hal yang sepatutnya tidak terkutip mudah.

Sering melihat putih, sehingga aku terlupa hitam juga adalah sebahagian warna yang wujud dalam kehidupan.

Tarik nafas sedalamnya.

[Mula mem-bilang kapal terbang yang me-lintas di-ruang udara..]

Tuesday, September 13, 2016

~ CERITERA DI PUSARA ~


AKU menjenguk ayah. Berseorangan. Senyap. Dingin. Sunyi,

Usai melakukan rutin selalu, aku duduk senyap sambil merenung nisan ayah. Renungan yang cukup bersungguh. Tiada bual yang aku tuturkan sebagaimana selalu, cuma kesenyapan yang mengisi ruang sunyi itu. Hati juga senyap.

Kurang lebih lima puluh minit aku berkeadaan begitu. Rindu. Sepertinya kehilangan yang baru semalam. Ngiang yang menusuk dengan tangis. 

[ALfatihah]

Monday, September 12, 2016

~ AIDILADHA 1437H ~



SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA buat seluruh umat Islam yang meraikan. Semoga pengorbanan yang terbagi lahir dari ketulusan dan pengertian yang dalam tentangnya. Amin.

Alhamdulillah punya kesempatan untuk meraikan bersama ibu yang amat-amat kami cintai dunia akhirat. Meskipun kali ini tidak semua antara kami dapat pulang, namun sekurang-kurangnya ibu tidak keseorangan.

Terima kasih untuk senyuman itu ibu..

[Hanya Ibu..]

Sunday, September 11, 2016

Saturday, September 10, 2016

~ AKU ~





Aku

KARYA: Sjuman Dhaya
TERBITAN: PT Gramedia Pustaka Utama
CETAKAN: Pertama (April 2016), Kedua (Mei 2016) & Ketiga (Jun 2016)
HALAMAN: 155
HARGA: RM25.00

[Kamu]

Friday, September 09, 2016

~ DI DALAM KOTAK ~


AKU sebenarnya tidak mahu bercakap tentang ini. Langsung tidak mahu lagi menyebut. Agar mudah terlupakan hal-hal yang melukakan. Dan, ya kali ni tidak sama sebagaimana sebelumnya.

Namun hal hal ini sepertinya sudah terhidu rakan-rakan. Lalu beberapa hari ini, aku disua tanya-tanya serupa. Tanya-tanya yang sukar untuk dielak helahkan. 

"Masing2 buat tak tahu n buat xsedar kehadiran masing2.. apakah..,"
"Dah memang xperasan,"
"Menipu sgt xperasan.. sah2 laa nampak aku g singgah situ"
"Aghh.. Malas nak layan.."


"Ehh.. jom singgah kat kawan ko jap"
"Alaa next time laa.. nk cepat ni,"
"Aiiiiiiii... nk cepat g manaa?? sesuatu sgt. Adalaaa tuu.."

Cukuplah dengan segala satu kehuruharaan yang sedang dihadap aku. Cukup itu. 

Huhu.. kalaulah, yaaa kalaulaaaa.. kau masih ada mr legoman. Aku cukup pasti kau akan menyua dirimu siang malam pagi petang untuk mengadap kehuruharaanku. Malah, pada bila-bila masa putaran dua puluh empat jam itu, kamu sentiasa sudi ada untuk mendengar, meski tidak mampu menyelesai.

[Sudah di-kotak-kan]

Thursday, September 08, 2016

~ KEGEMBIRAAN YANG MUDAH ~


SEPERTINYA ada jiwa lain yang mendoakan yang manis-manis untukku. Menghantar hal-hal yang menyenangkan disebalik kelat-kelat yang membuat damping.

Hari ini aku bertemu sesi yang menyenangkan. Kesempatan yang terbagi tentang soal-soal yang menjadi kecintaan aku. Soal-soal yang sering begitu mudah memberi aku senyum.

Sesi bual kedai kopi (sepatutnya lebih formal) bersama seseorang yang cukup amat sangat aku kagumi bakat dan kebolehannya dalam bidang dia. Bidang yang bukan semua orang boleh jujur di dalamnya.

Sepatutnya sesi itu hanya berlangsung sekitar tiga puluh minit sahaja. Namun, di luar jangka ia berlarutan sehingga lebih dua jam. Aku yang seringnya lebih selesa memainkan peranan sebagai patung cendana ini mengisi watak sebaliknya secara tiba-tiba.

Jarang sekali aku mempunyai 'kebolehan' seperti itu, sementelah dengan orang yang tidak dikenali atau baru pertama kali bertemu muka. Kami membuat tutur sepertinya telah lebih sedekad kenal.

Dan, yaaa.. aku percaya barangkali dia menafsir aku bertentangan dengan aku yang sebenar. Dia melihat aku dengan watak yang hari ini.

Apapun, sesi hari ini adalah sesi yang cukup menyenangkan dan seperti terapi tanpa diduga-duga.

Kegembiraan yang mudah untuk seorang Scorpio seperti aku.

[Dan, kami ber-naung di-bawah Scorpio]

Wednesday, September 07, 2016

~ BUKAN DARI SELALU ~


AKU orangnya tidak mudah untuk bercerita. Tidak mudah juga untuk diajak bercerita. Kunyah dan hadam sendiri meski apapun rasanya.

Namun, aku telah melakukan sebaliknya petang siang hari tadi. Meluahkan rasa yang terbuku tentang kehuru-haraan yang dilalui seminggu dua (masih dalam fasa) ini kepada seorang teman di lantai pekerjaan.

Kami telah lama saling kenal, cuma tidak terlalu mengenali dekat. Hanya semenjak kebelakangan ini banyak sapa-sapa yang terberi.

Beberapa langkah meninggalkan lantai pekerjaan, telefon bimbitku memberi isyarat notifikasi.

"Dalam berhijrah, ada banyak benda yang perlu kita korbankan.."

Aku senyum, membaca bait ringkas itu. Mesej kiriman teman tadi yang barangkali mempunyai banyak perkara yang ingin ditutur tentang itu kepadaku.

Meski bukan kenal dekat. Terima kasih.

[Se-moga September cepat ber-lalu..]

Tuesday, September 06, 2016

~ SEKOSONG ~

KEMAS barang-barang, beserta memori yang ada. Meja dan ruang kerja yang penuh dengan paket cerita ini dikosongkan seperti asalnya dia. Kosong-sekosongnya.

Usai segala itu, aku duduk di kerusi merah itu. Duduk sambil memusing-musingkan kerusi yang empuknya hanya terasa aku. Pejam mata sambil menarik nafas yang dalam.

Namun ia tidak lama. Sengaja aku sedarkan diri agar tidak terjauh ke paket memori lalu. Semalam yang sudah habis.

Kosong, dan bermula semula.

[Cepat-lah berlalu wahai September..]

Monday, September 05, 2016

~ CERITA KECIL ~


HARI yang agak sibuk dengan tugasan baru di lantai T. Pinkie. Berkejaran dengan waktu dan dalam masa yang sama cuba membiasakan diri. Bermula hari ini dan barangkali hari-hari seterusnya, aku bakal melakukan segalanya secara sendiri. 

Larian solo.

Namun dalam berkejaran dengan rutin baru ini, aku sempat mengisi sedikit permintaan kecil sahabat yang seorang ini. Hal-hal kecil yang membuat dia gembira. Dan, hari ini dia menghiburkan aku hanya kerana hal-hal kecil juga. Dan, yaa.. dia tidak pernah habis dengan pelat Melayunya yang sering mengundang lucu.

Tangan kanan sibuk melunaskan urus pekerjaan, tangan kiri pula mengepit telefon bimbit untuk sedikit memberi perhatian buatnya. Tetapi itu manis. Manis kerana aku tahu aku punya sahabat yang mahukan aku. Sahabat yang ada untuk memberikan aku senyum, saat kelat-kelat datang membuat damping.

[Kamu..]

Saturday, September 03, 2016

~ TERASA MASIH DIMAHUKAN ~


KAMI telah lama tidak berhubung, apatah lagi bertemu muka. Senyap kerana berjauh hati, dingin kerana singgung yang menjalar dalam.

Setiap panggilan dan segala mesej kirimannya tidak aku jawab. Bukan kerana telah tumbuh benci, tetapi kerana tidak mahu lagi mengingat tentang itu.

Menyedari dirinya langsung tidak dapat menembusi radar aku untuk berhubung, dia membuat helah lain. Mencari aku di tempat selalu secara random. Tanpa ada janji, tanpa pemberitahuan. Dia hanya mencuba nasib kalau-kalau aku ada di tempat selalu. Dan, akalnya meneka tepat kerana aku sememangnya ada di situ. 

Usahanya untuk membuat pulih, amat sangat menyentuh rasaku. Meski tidak aku nyatakan dengan kata-kata, namun jauh di sudut hati aku sangat-sangat menghargai apa yang dilakukannya itu. Apatah lagi bila mengetahui dia mencari aku kerana tahu aku dalam kehuru-haraan emosi dek gerhana di lantai T. Pinkie.

Terima kasih sahabat, kerana kau membuat aku terasa dimahukan.

[Kemarahan ter-padam dengan penuh rasa kaseh sayang]

Friday, September 02, 2016

~ GILA NOMBOR LAPAN BELAS ~


GILA. Bak kata Andrea Hirata, gila ini punya kategori yang segala satunya. Kegilaan yang menggilakan orang lain, gila no 18.

Dan, yaa.. hari ini aku mengadap manusia yang punya kegilaan ini. Dan, aku hampir gila juga hari ini dek kerana kegilaan itu.

Putaran 24 jam yang berdetak hari ini sangat menggilakan. Terkesan sehingga saat jari-jari ini bercerita di sini. Namun, aku tidak mahu menjadi gila seperti kamu, terima kasih.

[Pem-buka September yang gila]

Thursday, September 01, 2016

~ DI SEBALIK CERITERA MERDEKA ~


1 SEPTEMBER 2016, buku baru terbuka. Saat mengangguk dan menggeleng yang sudah tidak menjadi beza. Maka akurlah pada sebuah ceritera yang telah terpaketkan.

Di saat kebingitan mereka di luar sana meraikan Merdeka ke-59, aku dan teman di lantai pekerjaan beriuhan sesama sendiri setelah menerima hitam putih letak duduknya kami. Ya, berita yang diterima kurang lebih satu jam sebelum sambutan hari kemerdekaan.

Masing-masing membawa haluan yang bercabangan. Dan, bebebrapa hari ini pastinya kesedihan berat yang bakal menyelubungi kami yang sudah sekian lama bersama 1 team berkongsi susah dan senang. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan dalam tempoh 24 yang ada pada hari bekerja, kadangkala hanya beberapa jam sahaja yang terhabis bersama orang lain. Selebihnya bersama team. Siang malam pagi petang.

Dan, mulai hari ini.... Maka secara rasminya kami,

TAMAT.

[Dunia sendiri]