Friday, August 12, 2016

~ TEATER MUZIKAL MENCARI SUMAIYAH ~




















BANGUN, berdiri dan memberi tepukan dengan senyum yang terpaling manis seusai menonton teater muzikal Mencari Sumaiyah. Tanda penghargaan, tanda seronok dan tanda terima kasih untuk sebuah persembahan yang cukup-cukup menghiburkan. Tidak keterluan jika aku katakan, ia  merupakan teater muzikal terbaik untuk tahun ini atau untuk dua-tiga tahun ini.

Seronok dan merasa berbaloi membayar RM187.96 untuk dua keping tiket menonton persembahan mantap dari kesemua pelakon-pelakonnya di kerusi empuk Panggung Sari Istana Budaya sebentar tadi. Ruzana Ibrahim, Sherry A-Hadad, Nadia Aqilah, Aisha Hasnaa, NaszSally, Afdlin Shauki, Erra Fazira dan Fauziah Nawi. Tahniah untuk sang pengarah Dira Abu Zahar dan seluruh team belakang tabir yang diketuai oleh Hans Isaac atas usaha dan kerja yang cukup cemerlang.

Jalan ceritanya, aku kira biasa-biasa sahaja. Malah jika ada yang pernah menonton teater Cuci The Musical, naskah Mencari Sumaiyah ini akan mengingatkan kepada itu. Cuma ia versi wanita. Namun kelebihan nashkah yang skripnya ditulis oleh Junad M. Nor yang juga merupakan anak kepada Datuk Lat ini adalah kehebatan persembahan barisan pelakonnya.

Dira sesungguhnya bertuah, meskipun hanya mempunyai tempoh latihan kurang lebih dua minggu, persembahan yang ditampilkan oleh para pelakonnya sangat-sangat membanggakan. Ternyata mereka tidak silap membuat percaturan dalam pemilihan setiap satu pelakonnya. Petanda kejayaan mereka bermula dari sini sebenarnya.

Kesemua pelakon tampil seimbang, tiada siapa yang lebih menonjol antara sesama mereka. Setiap satu watak mempunyai xfactor tersendiri yang mampu mencuri perhati penonton kepada mereka. Mungkin pada awalnya, ada yang datang kerana mahu menonton lakonan Erra Fazira yang namanya mungkin lebih bersifat komersial berbanding yang lainnya, namun aku percaya selepas habis menonton teater ini, ramai yang memberi pandangan yang sebaliknya.

Bukan hanya pada lakonan yang mantap, tetapi kesemua mereka ini mampu menyanyi dengan begitu baik sekali. Bersesuaian dengan konsep teater muzikal sebenar yang mementingkan itu. Semuanya dilakukan secara 'live' dan bukan 'miming' sebagaimana kebanyakan teater muzikal lain sebelum ini. Itulah untungnya membawa pelakon yang benar-benar boleh berlakon. Dan, yaa.. hampir kesemua mereka adalah pelakon pentas yang tidak kisahkan tentang nilai komersial untuk dikenali.

Teringat kata-kata Dira sebelum teater ini dipentaskan, "Saya merasa 'berdosa' untuk memanggil teater ini sebagai muzikal jika nyanyiannya tidak dilakukan secara 'live'. 

Dalam kehebatan kesemua mereka itu, barangkali aku perlu mengatakan rasa kekagumanku kepada Ruzana Ibrahim. Dan, dia benar-benar mencuri perhatian. Dia tampil hampir sempurna dari lakonan, nyanyian sehinggalah kepada tarian (terpana). Dia berjaya mencorakkan watak Mariam yang hanya biasa-biasa sahaja itu dengan caranya yang tersendiri sehingga berjaya mencuri perhatian penonton dengan begitu lekat. Lontaran suara dan pergerakannya di pentas itu tepat untuk watak Mariam. Semuanya berjaya dipaketkan dengan begitu kemas sehingga meninggalkan ingatan yang dalam kepada mereka yang menonton. Pentas itu memang dia punya, tempat permainannya. Mungkin ramai yang belum begitu mengenalinya, namun dia sebenarnya telah lebih 10 tahun bergelumang dengan dunia seni memperdagangkan bakatnya. Semoga 'Mencari Sumaiyah' ini akan lebih membuka mata orang kepada bakat dan kemampuan sebenarnya.

Sukar untuk aku menyembunyikan rasa terujaku setelah berkali-kali dikecewakan oleh sederetan teater yang dipentaskan di panggung Istana ini yang mengangkat nilai komersial secara berlebihan sehingga mengetepikan estetika teater sebenar. Apapun, 'Mencari Sumaiyah' benar-benar mengubat dan seperti memberi sedikit harapan baru untuk dunia pementasan teater tanah air khususnya di pentas agung Istana ini (Ia adalah pandangan peribadiku yang barangkali boleh juga menjadi salah).

Apapun, sekali lagi tahniah untuk seluruh team yang terlibat. Semoga ia menjadi langkah atau contoh yang baik untuk penggiat seni yang lainnya agar kembali mengangkat mereka yang benar-benar komited dan berbakat dalam bidang lakonan pentas.

[Keserasian.]

No comments: