Wednesday, August 31, 2016

~ SELAMAT HARI KEMERDEKAAN YANG KE-59 ~



SELAMAT HARI KEMERDEKAAN NEGARA YANG KE-59. 
Semogalah kecintaan dan kesetiaan kepada tanah tumpah darah kita ini sentiaasa hidup ada di dalam jiwa selama-lamanya. Di sini lahirnya sebuah cinta...

[31 Ogos 1957] 

Tuesday, August 30, 2016

~ NGIANG ~



HARI ini aku tidak ke lantai pekerjaan. Sengaja mencari sedikit ruang untuk meringankan soal-soal yang membuat kecamuk selirat semenjak beberapa minggu ini. Aku menghabiskan masa hari ini di suatu ruang yang terjauh. Memilih untuk sendirian.

Namun ketika aku mahu meninggalkan ruang itu, tiba-tiba sahaja lagu Tiada Maaf Bagimu nyanyian Melly Goeslaw mengisi sepenuh ruang kecil ini. Sayu-sayup, tetapi tetap jelas bait-baitnya. Aku kembali menarik kerusi, duduk di balik pintu kaca dan seketika membuat ralit. Ada satu rasa yang menyelinap di dalamnya.


TIADA MAAF BAGIMU

Seperti dalam cerita saja,
Ada yang baik dan ada yang jahat
Tapi ternyata kita sama tak berhati.

Kau menipuku sesuka hati,
Hati ku perit, jantung ku terkoyak
Tak ada pernah aku menyangka
Kau sekejam ini

Kau dan aku, tak berbeda
Engkau manusia, aku manusia
Semua punya hati punya perasaan
Bisa terluka

Mungkin saja
Aku mendendam biar pun ku manis
Tapi aku benci
Dulu kita baik tapi kini lain
Tiada maafku

Jalan kita memang harus begini
Tak usah menyesal
Kau kan yang mahu
Kau yang membuat kesalahanya
Tiada maaf bagimu

[Ceritera]

Monday, August 29, 2016

~ EKSPRESI ~


EKSPRESI. Dan, ya.. sukarnya seorang aku untuk hal yang satu ini. Meski mengerti akan dudukku, tetap juga mereka ini berusaha mahu menjadikan aku sebaliknya. Selalu, terlalu selalu sebenarnya.

Haih.. Teman-teman ini sering sahaja dengan akal mereka.

Malam tadi, aku menghadiri keraian seorang sahabat dekat. Justeru, kebanyakan wajah-wajah yang ada di ruang ini adalah wajah-wajah yang aku kenali. Lalu aku dipaksakan menyertai satu permainan yang pada akhirnya memerlukan aku berada di ruang yang mencuri perhatian. Aghh.. gila. 

Merah padam wajah. Dan, yaa.. aku tetaplah aku. Tetap tiada sepatahpun kata yang aku lepaskan meski diasak dengan segala cara. 

Untuk segala satu yang memerlukan ekspresi rasa, aku selalunya lebih selesa (atau barangkali lebih berani) berbuat demikian menerusi tulisan atau tidak secara lisan. Biarpun aku punya kesempatan untuk bertemu muka, namun tetap juga aku menyimpan hal-hal berbentuk pengucapan begitu secara berdepan. 

Seringkali juga aku menjadi serba salah apabila ada rakan-rakan yang mengharapkan aku mengekspresikan sesuatu secara terbuka di laman sosial. Sukarnya untuk aku melakukan itu. Aku akan lebih merasa senang jika ia dilakukan secara personal atau secara terus untuk yang punya badan dan bukan untuk tahu-tahu orang lain. Aku tidak mengatakan salah untuk sesuatu yang dilakukan secara terbuka seperti itu, cuma ia bukan aku.

Ya, meski hanya ucapan ringkas hari ulang tahun kelahiran apatah ucapan takziah. Aku akan mengirimkan ucapan itu terus kepada yang punya badan tanpa dikongsi baca secara terbuka meski di grup whatsapp sekalipun. Lalu ada yang membacanya sebagai salah.

Apapun, aku okay-okay sahaja.. :)

Lucu juga bila mengenangkan sahabat Mei juga pernah berjauh hati kerana soal yang serupa.

[Ekspresi] 

Sunday, August 28, 2016

~ DAN, LELAKI ITU ~


SIANG hari ini aku ke sebuah acara. Acara buku-bukuan dan pesta-pestaan mengumpulkan mereka dari kecenderungan yang sama.

Usai mengelek beberapa nashkah dari negara seberang yang telah lama aku cari intai, aku dan temanku, siWai memilih untuk mencari tempat duduk dan menonton suatu persembahan di pentas kecil berhadapan kami.

Acaranya bingit. Tumpuanku sebenarnya tidak ke situ, lalu aku mula membelek-belek nashkah yang baru sahaja menjadi milik sehingga mataku terheret pada satu kelibat lelaki separuh abad yang lincah meraikan 'kebahagiannya' dalam dunianya sendiri. Dia menari dengan penuh kegembiraan, tanpa henti tanpa sedikitpun ada riak lelah di wajahnya meski sudah beberapa lagu digemakan sang penghibur pentas. Setiap gerak badannya diatur tepat mengikut 'beat' yang mengisi ruang bingit itu.

Aku pandang dia. Pandang lama-lama, tidak terkalih walau sedikit pun. Lalu, hatiku bercakap-cakap sendiri, apalah agaknya yang pernah dia lalui dalam kehidupannya sebelum ini. Apa ada keranapan yang pernah membunuh jiwanya, sehingga di sini dan begini dia hari ini. Tiba-tiba hati seperti basah. Semogalah ada rasa-rasa kemanusiaan yang sentiasa mendampinginya.

Dan, kelibatnya turut membawa ingatan kepada ayah. Mudah-mudahan Tuhan memelihara kesejahteraan ayah di Sana. Amin.

[Jaoh di-sudot hati..]

Saturday, August 27, 2016

~ CANTIK ITU LUKA ~








 Cantik Itu Luka


KARYA: Eka Kurniawan
 TERBITAN: Dubook Indo
 CETAKAN: Pertama (2002)
 HALAMAN: 479
 HARGA: RM30.00

[Ceritera]

Friday, August 26, 2016

~ MENGALIR ~


UCAP terima kasih yang datang kepadaku hari ini membuatkan senyum manis tidak lekang dari bibirku. Dan, yaa.. semudah itu ia memberi bahagia.

Bukan semua orang mengharapkan balasan daripada apa yang dia lakukan. Tidak semua antara kita yang mengharapkan diri dinilai untuk setiap satu yang terberi.

Namun, rasa terima kasih yang terbagi kepadaku hari ini sepertinya terlalu manis. Manis kerana sepertinya ada keikhlasan yang mengalir.

Dan, sekali lagi... kasih sayang itu mudah dan ada di mana-mana.

[Pada se-buah harga]

Thursday, August 25, 2016

~ BERCERITA SEBUAH CERITA ~


ANGIN sejuk menerkam tajam hingga ke tulang dalam. Malah desirnya juga jelas menyambar telinga di ruang paling sunyi itu. Aku bernafas perlahan, menahan kesejukan, dan menahan rasa seiring dengan atur langkah yang entah mengapa begitu berat terasa.

Assalamualaikum MrLegoman, haii.. aku datang lagi ni.
Harap kau Ok sahaja di Sana. Aku tak OK kat sini. Tak Ok sangat. Rindu lama tak jumpa kau. Bukan sebab kau best sangat, tapi sebab kau selalu ada waktu aku bergelumang rasa ranap. Mungkin kebetulan, atau mungkin juga sebab kau memang kaki sibuk nak ambil tahu tentang life aku. Hehehe.. Tak kisahlah, tapi aku tahu kau memang selalu ada dan suka nak dengar cerita sedih dan tak best dari aku.

So, disebabkan itu.. aku datang sini hari ni nak jumpa kau, sambil-sambil bercerita benda-benda tak best yang aku sedang hadap sekarang ni. Aku tak tahulah kau masih nak dengar lagi macam dulu, atau dah malas nak layan. Tapi, aku ambil cuti separuh hari kerja semata-mata nak datang sini hari ni. Jadi, kau kena dengarlah juga.. Pot pet pot pet pot pet...

Habis bercerita semahunya, aku diam seketika. Sambil memerhatinya suasana keliling yang sentiasa berubah setiap kali aku ke sini. Ada sahaja 'rumah-rumah' baru yang terbina di sebelah menyebelah. Sesak berkeliling sehingga sering kali aku menjadi keliru duduk letak kediaman teman ini.

"Kau tak payahlah nak risau, aku ni kan orang jahat. Orang jahat selalunya mati lambat,"

Terngiang kata-katanya itu beberapa hari sebelum pergi dia. Dan, yaa.. kata-kata itu membuktikan yang sebalik. Wahai sahabat, kalaulah kamu itu masih ada... kalaulah...

[Apalah erti-nya sahabat..] 

Wednesday, August 24, 2016

~ TAFSIR ~


DAN, yaa... bila kesenyapan ditafsir sebagai sesuatu yang bertentang dengan kejujuran, maka, berdunialah kamu sendiri mengikut mahu. 

[Me-mileh sangaka-2 untok men-dahulu]

Tuesday, August 23, 2016

~ KOSONG ~


SESI temuduga. Setelah sekian lama aku meninggalkan itu, hari ini aku berada di suatu ruang untuk hal itu. Tiada gemuruh, cuma tidak begitu berminat pada paket-paket soal yang meleret dan melewakan. 

Tidak berminat.

[Peduli]

Monday, August 22, 2016

~ GAME ~


TERHENYAK. Dan, aku sesungguhnya tidak pernah tahu aturan permainan ini. Aturan yang setiap harinya jadi beda.

Drama.

Lewat tengahari tadi, aku dihubungi seseorang dengan esak tangis di hujung talian. Dia menjadi 'mangsa' termahal permainan yang tidak pernah menunjukkan hujungnya ini. Diluahkan kemarahan yang bergunung-ganang kepadaku. Ya, tanpa sebab. Hanya kerana ingin meluahkan emosinya yang kecewa dan sakit hati (barangkali) kepada seseorang, antara pemain utama.

Aku hanya diam, tetapi menekuni jelas butir-butir bicaranya dalam esak tangis itu satu-satu. Sambil menghujungkan bicara dengan janji ingin menghirup secawan kopi dengannya. Atau yang sebenarnya untuk lebih jelas apakah yang sebenarnya terjadi kepadamya sehingga dia dirasuk emosi sedemikian rupa.

Dan, tidakkah dia juga tahu aku juga terseret dalam situasi serupa? Ranap dengan emosi. Cuma bezanya, aku tidak tahu untuk berkongsi tentang emosi itu. 

Apapun, semogalah Allah melapangkan hatinya.  Hidup ini ada bahagiannya masing-masing.

[Sa-moga kemarahan itu mampu mem-beri-kan dia sediket aman]

Sunday, August 21, 2016

~ OLIMPIK RIO 2016 ~


TAHNIAH untuk semua atlet yang berjuang mengharumkan nama negara di Sukan Olimpik RIO 2016. Pengorbanan anda sangat memberikan inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.

Emas, mungkin belum rezeki. Namun perjuangan dan perpaduan kita semua tidak akan pernah terhenti hanya kerana itu.

Malaysia boleh!!!

[Juara di-hati kami]

Friday, August 19, 2016

~ PAKET ~



HAL-HAL kecil, yang barangkali besar pada orang lain. Kita tidak akan pernah tahu nilainya kepada mereka yang berkeadaan. Tidak pernah tersangka, apa yang kecil-kecil pada pertimbangan kita itu sebenarya mampu memberi senyum yang bukan sedikit kepada yang empunya badan.

Hari ini, seseorang datang menebar salam hanya kerana ingin menyatakan rasa terima kasihnya untuk sesuatu hal yang pernah terlaku aku (yang aku sendiri sebenarnya sudah lupa tentang paketnya).

Tidak pernah mengharapkan balasan, cuma manisnya terasa bila mana tahu kita pernah menggembirakan orang lain tanpa kita sedar..

[Mem-beri doa yang indah-2]

Thursday, August 18, 2016

~ HIBUR ~


AKU bersungguh ketawa tanpa peduli mata yang melirik di kiri kananku. Masih punya manusia-manusia sering mahu membuat hibur dengan hal-hal remeh yang menyenangkan.

*Sengeh.

[Mereka yang maseh mahu ada..]

Wednesday, August 17, 2016

~ 'DIA' ~


KAMI, tidak pernah saling menyukai. Tidak pernah ada dengan senyum dan tidak pernah terjadi dengan hal yang baik-baik. Terlalu banyak babak drama-drama menjengkelkan yang terpaket antara kami dari dulu sehinggalah hari ini.

Hahaha...

Namun entah bagaimana percaturan dan aturannya, aku sentiasa ditakdirkan berkeliling dekat dengan mereka yang sangat 'menyukai' atau 'menggilai' dia. Hampir tidak pernah ada yang serasa denganku.

OK, stress.

Beberapa malam lalu, saat aku berkejaran masa dan mahu segera  pulang ke rumah, dia muncul. Tidak seperi selalu, kali ini dia memilih untuk mengambil angin dan bersantai-santai di bumbung unta hitam tanpa dijemput.

Aku mengundur beberapa langkah pada jarak yang selamat. Puas mengacah dengan pelbagai helah, tetapi dia sedikitpun tidak membuat peduli. Sambil pandang ke arahku tanpa sedikitpun rasa silu apatah lagi untuk gentar dengan acah-acah yang aku suakan.

Agh.. angkuh.

Akhirnya aku duduk bersila di lantai parkir kurang lebih enam meter dari dia. Sambil menekan-nekan nombor telefon, mahu meminta bantuan berupa tip atau helah untuk meloloskan diri dari mereka yang dekat. Namun hasrat itu terhenti, kerana aku tahu pada akhirnya aku akan 'ditazkirahkan' secara percuma hanya kerana itu.

"Kereta rosak ke?" sapa satu suara dari arah belakang yang tiba-tiba sahaja muncul.
"Err.. ehh taklah," terus bangun dan sengeh kerana tidak tahu mahu memberi reaksi yang bagaimana.
"Habis tu kenapa duduk sini sorang2?" soalnya sambil memandang keliling.

Akhirnya insan yang bertanya ini dapat mengagak apa yang bermain di kepalaku saat itu apabila melihat mataku tidak terkalih melihat dia di bumbung unta hitam. Dan, tidak sampai tiga minit anak kecilnya berjaya menurunkan dia dari unta hitam. Yaa, anak kecil yang usianya barangkali dalam lima atau enam tahun. Err.. Dipandangnya aku berkali-kali, bersilih-ganti dengan dia. Argh, terpulang dia mahu menghadamnya bagaimana, apa yang penting aku telah terselamat dari babak 'tebusan' itu. OK, terima kasih untuk misi menyelamat.

Haih... dan yaa. Kami masih saling tidak menyukai. Aku tinggalkan dia dengan pandangan mohon simpati agar tidak mengganggu hidupku lagi.

"Buatlah jahat kat saya, nanti malam saya hantar kucing tu kacau dalam mimpi,"

Entah kenapa kata-kata si Nimrod pula yang terngiang-ngiang di telinga. Kata-kata ugutan yang sering bermain di bibirnya setiap kali aku tidak menurut kehendaknya atau malas mahu melayan hal-hal merepek dari dia. Yaa, satu-satunya manusia yang sering  mengugut aku dengan cara ini. Lalu, setiap kali ada drama begini, memang kelibatnya akan terus nampak dalam kepalaku terlebih dahulu.  Dan, barangkali hari ini dia datang kerana dihantar dari mimpi si nimrod. Haihhh. OK, Tutup buku.

[Ke-jantong]

Tuesday, August 16, 2016

~ MANIS ~


MESKI ia barangkali hanya suatu hal yang remeh, namun keremehan itu telah membuat aku tersenyum panjang hari ini. Seperti yang pernah aku katakan sebelum ini, hal-hal kecil yang mudah membahagiakan.

Kami bermula sebagai kenalan kerana urusan pekerjaan. Dia sentiasa membantu dan seringkali memudahkan kerjasama kami. Meski bukan sebangsa, dia seorang yang sangat-sangat menghormati  dan peka dengan keterbatasan serta kebezaan dalam sesetengah perkara yang melibatkan agama dan budaya dua kami. Dan, aku cukup senang dengan itu.

Hubungan profesional itu kemudiannya bertukar menjadi persahabatan. Manis. Dan, kebahagiaan itu mudah. Maka. hargailah.

Setelah sibuk dengan pelbagai perkara dan menyudahkan segala sesuatu yang berbagi sebelum menutup 'buku' di sini, hari ini aku berkesempatan untuk berkongsi tentang situasi terkiniku di lantai pekerjaan kepadanya. Tentang pertukaran, perubahan dan kebarangkalian aku memilih jalan lain selepas ini. Itupun secara kebetulan setelah  dia menghubungiku tengahari tadi.

Lucu, dan dalam masa yang sama terharu dengan beberapa reaksinya setelah tahu dan mendengar penjelasanku. Ada juga yang dia jelas dan kenang tentang aku rupa-rupanya. Dan, ya, gadis tionghua ini sering mudah membaca sesuatu di kelilingnya.

Senyumlah untuk budi-budi yang terlekat kemas.

[Kaseh sayang itu di-mana2] 

Sunday, August 14, 2016

Saturday, August 13, 2016

~ P.S.I LOVE YOU ~







 P.S.I Love You

KARYA: Cecelia Ahern
TERBITAN: Harper Collins
 CETAKAN: Pertama (2004)
 HALAMAN: 519
 HARGA: RM27.00

[Paket]


Friday, August 12, 2016

~ TEATER MUZIKAL MENCARI SUMAIYAH ~




















BANGUN, berdiri dan memberi tepukan dengan senyum yang terpaling manis seusai menonton teater muzikal Mencari Sumaiyah. Tanda penghargaan, tanda seronok dan tanda terima kasih untuk sebuah persembahan yang cukup-cukup menghiburkan. Tidak keterluan jika aku katakan, ia  merupakan teater muzikal terbaik untuk tahun ini atau untuk dua-tiga tahun ini.

Seronok dan merasa berbaloi membayar RM187.96 untuk dua keping tiket menonton persembahan mantap dari kesemua pelakon-pelakonnya di kerusi empuk Panggung Sari Istana Budaya sebentar tadi. Ruzana Ibrahim, Sherry A-Hadad, Nadia Aqilah, Aisha Hasnaa, NaszSally, Afdlin Shauki, Erra Fazira dan Fauziah Nawi. Tahniah untuk sang pengarah Dira Abu Zahar dan seluruh team belakang tabir yang diketuai oleh Hans Isaac atas usaha dan kerja yang cukup cemerlang.

Jalan ceritanya, aku kira biasa-biasa sahaja. Malah jika ada yang pernah menonton teater Cuci The Musical, naskah Mencari Sumaiyah ini akan mengingatkan kepada itu. Cuma ia versi wanita. Namun kelebihan nashkah yang skripnya ditulis oleh Junad M. Nor yang juga merupakan anak kepada Datuk Lat ini adalah kehebatan persembahan barisan pelakonnya.

Dira sesungguhnya bertuah, meskipun hanya mempunyai tempoh latihan kurang lebih dua minggu, persembahan yang ditampilkan oleh para pelakonnya sangat-sangat membanggakan. Ternyata mereka tidak silap membuat percaturan dalam pemilihan setiap satu pelakonnya. Petanda kejayaan mereka bermula dari sini sebenarnya.

Kesemua pelakon tampil seimbang, tiada siapa yang lebih menonjol antara sesama mereka. Setiap satu watak mempunyai xfactor tersendiri yang mampu mencuri perhati penonton kepada mereka. Mungkin pada awalnya, ada yang datang kerana mahu menonton lakonan Erra Fazira yang namanya mungkin lebih bersifat komersial berbanding yang lainnya, namun aku percaya selepas habis menonton teater ini, ramai yang memberi pandangan yang sebaliknya.

Bukan hanya pada lakonan yang mantap, tetapi kesemua mereka ini mampu menyanyi dengan begitu baik sekali. Bersesuaian dengan konsep teater muzikal sebenar yang mementingkan itu. Semuanya dilakukan secara 'live' dan bukan 'miming' sebagaimana kebanyakan teater muzikal lain sebelum ini. Itulah untungnya membawa pelakon yang benar-benar boleh berlakon. Dan, yaa.. hampir kesemua mereka adalah pelakon pentas yang tidak kisahkan tentang nilai komersial untuk dikenali.

Teringat kata-kata Dira sebelum teater ini dipentaskan, "Saya merasa 'berdosa' untuk memanggil teater ini sebagai muzikal jika nyanyiannya tidak dilakukan secara 'live'. 

Dalam kehebatan kesemua mereka itu, barangkali aku perlu mengatakan rasa kekagumanku kepada Ruzana Ibrahim. Dan, dia benar-benar mencuri perhatian. Dia tampil hampir sempurna dari lakonan, nyanyian sehinggalah kepada tarian (terpana). Dia berjaya mencorakkan watak Mariam yang hanya biasa-biasa sahaja itu dengan caranya yang tersendiri sehingga berjaya mencuri perhatian penonton dengan begitu lekat. Lontaran suara dan pergerakannya di pentas itu tepat untuk watak Mariam. Semuanya berjaya dipaketkan dengan begitu kemas sehingga meninggalkan ingatan yang dalam kepada mereka yang menonton. Pentas itu memang dia punya, tempat permainannya. Mungkin ramai yang belum begitu mengenalinya, namun dia sebenarnya telah lebih 10 tahun bergelumang dengan dunia seni memperdagangkan bakatnya. Semoga 'Mencari Sumaiyah' ini akan lebih membuka mata orang kepada bakat dan kemampuan sebenarnya.

Sukar untuk aku menyembunyikan rasa terujaku setelah berkali-kali dikecewakan oleh sederetan teater yang dipentaskan di panggung Istana ini yang mengangkat nilai komersial secara berlebihan sehingga mengetepikan estetika teater sebenar. Apapun, 'Mencari Sumaiyah' benar-benar mengubat dan seperti memberi sedikit harapan baru untuk dunia pementasan teater tanah air khususnya di pentas agung Istana ini (Ia adalah pandangan peribadiku yang barangkali boleh juga menjadi salah).

Apapun, sekali lagi tahniah untuk seluruh team yang terlibat. Semoga ia menjadi langkah atau contoh yang baik untuk penggiat seni yang lainnya agar kembali mengangkat mereka yang benar-benar komited dan berbakat dalam bidang lakonan pentas.

[Keserasian.]

Thursday, August 11, 2016

~ HADAPI DENGAN SENYUMAN ~



HADAPI DENGAN SENYUMAN 
by dewa 

Hadapi dengan senyuman
Semua yang terjadi
Biar terjadi
Hadapi dengan tenang jiwa
Semua kan baik-baik saja
Bila ketetapan Tuhan
Sudah ditetapkan
Tetaplah sudah
Tak ada yang bisa merubah
Dan takkan bisa berubah
Relakanlah saja ini
Bahwa semua yang terbaik
Terbaik untuk kita semua
Menyerahlah untuk menang..

[Ter-paling manis]

Wednesday, August 10, 2016

~ OLENG ~


SILENT mode. Dan, saat kemalasan untuk berbasa-basi. Lalu biar saja ia berbahasa sendiri di situ. 

[Aman]

Tuesday, August 09, 2016

~ KEPINGAN AKHIR ~

TAMAT. Dan, pestaan untuk suatu teka teki dari cantuman kepingan puzzle yang cantik tersusun. Ya, dari kehasilan selfie yang terpaling sederhana.

[Paket 8.8.16]

Monday, August 08, 2016

~ POLIS SENTRI ~


BERPUSING-pusing aku menukar laluan dan mencari helah untuk tidak bertembung dengan seseorang, jumaat lalu. Ya, seseorang. Lagak seperti penjenayah yang melarikan diri agar tidak terjejak pihak berkuasa. Namun, kadang-kala semakin lari dan mengelak, semakin sering akan berkelibat. Seperti mana hari kelmarin itu.

Aku sendiri tidak tahu mengapa aku memilih untuk bertindak begitu. 

Barangkali kerana aku fikir adalah lebih baik masing-masing tidak berkelibat. Biar jadi tidak pernah kenal atau tidak pernah wujud dalam kehidupan masing-masing sebelum ini. Dan, ya.. aku menulis dalam keadaan akal yang waras dan bukan kerana terdorong dengan emosi atau kemarahan yang belum padam.

Cukup-cukuplah dengan ulangan babak bertahun. Segalanya sudah aku kotakkan dan segala sesuatu di telefon bimbit juga telah dipadamkan. Semogalah..

[Kejelekan sa-orang aku]

Sunday, August 07, 2016

~ BUAL ~


HARI ini aku memilih untuk menghabiskan masa bersama teman jiwa di satu ruang senyap, terjauh dari hingar bingar. Meninggalkan kebiasaan kami yang selalu.

Memilih untuk hanya berbual-bual. Dari jam pertama, jam kedua, ketiga, keempat, kelima dan sehinggallah ke matahari menutup hari.

Berbual, untuk menghilangkan rasa. Untuk melerai hal selirat. Untuk berasa aman. Ya, setelah hampir beberapa minggu ditekan dengan paket-paket yang melelahkan.

Hampir sahaja aku mahu menangis, hampir.

Terima kasih untuk rasa mengerti dan untuk tidak pernah jemu.

[Lelaki sepet selatan semenanjong tanah air]

Saturday, August 06, 2016

~ AYAH ~






Ayah

TERBITAN: Dubook Indo
CETAKAN: Pertama (Mei 2015), Ke-8 (November 2015), Ke-9 (Disember 2015), 
Ke-10 (Januari 2016) & Ke-11 (Mac 2016)
HALAMAN: 396
HARGA: RM35.00

[Rindu]

Friday, August 05, 2016

~ MISI MENCARI PEREMPUAN YANG PATAH HATI ~


SETELAH beberapa kali hasrat untuk ke Pesta Buku Selangor tidak menjadi kenyataan, hari ini barulah bertemu kesempatan untuk ke sana. Sementelah untuk pulang terus mengharungi sesak jalan raya yang melelahkan pada setiap Jumaat, ina barangkali menjadi pilihan terbaik.

Menjelajah dari rak ke rak, tidak ada yang benar-benar mencuri perhatiku. Tidak seperti tahun-tahun sebelum yang mana aku sering bertemu dengan bahan baca yang jarang atau tidak mungkin diperolehi dari tempat selainnya.

Cuba-cuba mengintai, karya Rasyidah Othman, Perempuan Yang Patah Hati dulunya diperolehi sang tuan dari sini, tetapi tidak ada. Begitu juga dengan yang lainnya. Hanya mengadap timbunan bahan baca biasa yang boleh juga didapati di mana-mana toko buku lain di luar sana. Malah harganya juga kebanyakannya menyamai dengan harga toko  buku di luar sana.

Tiada yang istimewa.

[Bosan]  

Thursday, August 04, 2016

~ MUNCUL ~


ENTAH bila kali terakhir kami bersua muka, aku sendiri tidak dapat mengingat. Setahun yang lalu, atau mungkin juga dua atau tiga tahun yang lalu. Sukar terbagi kesempatan untuk bertemu muka. Cuma, sesekali kami akan berhubung bila mana aku atau dia memerlukan bantuan. Bantuan yang luar dari ruang lingkup peribadi.

Kami kenal sudah lama. Lebih beberapa tahun. Tidak terlalu rapat, cuma aku senang melayan bual dan angannya yang kadang-kala banyak memberikan semangat kobar untuk aku melakukan sesuatu perkara. Malah dia juga sering melayan soal tanya aku walaupun bersifat remeh dan kadangkala menjengkelkan. Sesekali memusingkan kembali keremehan itu dengan 'membahankan' aku dengan segala ayat-ayat sarkastiknya. Namun, jujur aku tidak pernah berkecil hati.

Dia seorang penulis yang kreatif dan kritis. Aku sering menggemari tulisannya meski isinya kadang-kala membuat aku menggelengkan kepala. 

Aku menghormatinya lelaki ini meski banyak sekali cerita-cerita gelap yang disampaikan tentang dia. (Juga pernah bersaksi mataku sendiri). Namun, aku tidak pernah mahu menilainya hanya kerana keping-keping sisi peribadinya itu. Batas aku setakat keberadaan kami sebagai kawan. Cukup itu. Apa yang aku tahu, dia melayan aku baik dan menghormati aku sebagaimana aku menghormatinya. Justeru, yang selainnya biarlah dia menguruskan hidupnya menurut perkiraannya.

Hari ini dia menghubungi aku untuk sedikit keperluan, dan kemudiannya secara tiba-tiba mengajak meluangkan sedikit waktu untuk sesi kopi. Aku terus sahaja bersetuju kerana lama tidak terbagi kesempatan untuk membuat sesi soal tanya dengannya, yang aku kira bukan mudah untuk diperoleh. Meski aku tahu bakal berdepan dengan sesi keras beku, 

[Meski akan ada keras beku]

Wednesday, August 03, 2016

~ BAUR ~

HARI ini menjadi hari paling tidak disukai aku. Hari sebelum tragedi yang sudah ditahu susun aturnya. Hari di mana 118 ekor kupu-kupu bertempiaran di perut. Hari seperti mana, getar ophelia menafsir dendam Hamlet pada lebih empat ratus tahun dahulu.

Lalu, saat di mana seluruh mereka di lantai sedang menyusun kepingan puzzle dengan segala penafsiran sebagaimana MacBeth menyusun akalnya untuk sebuah ketamakan kuasa, aku memilih untuk ralit dengan Nina Simone bercerita tentang Sinnerman.

Dan, usai saat di lantai pekerjaan kini aku sedang duduk nyaman dengan secawan dark mocha sambil-sambil mengulang baca Melihat Api Bekerja. Awalnya aku mencari-cari naskah Perempuan Yang Patah Hati bagaimana selalu saat mahu merasa aman sebelum sedar  ke ingatan naskah itu sudah kembali ke tuan beberapa minggu lalu.

Kedai kopi ini sudah menjadi seperti Lantai T.Pinkie. Lantai di mana tempat kasut-kasut bercerita.. Dan, yaa... Aku hanyut di dalamnya sehingga ada nanti yang datang mengetuk meja memberitahu kedai kopi sudah mahu menutup operasi untuk hari ini.. 

Terngiang dialog ringkas Rudy dan Randu dalam keping babak di ruang makan filem Tentang Dia.

"Udah ketemu?"
"Esok barangkali.."

[Gila nombor 28]

Monday, August 01, 2016

~ PADA SUATU TULISAN TAKDIR ~

"Saya tahu segala yang terjadi ini ada hikmahnya.. Saya tahu Tuhan menduga atas kemampuan hamba-NYA.. Saya tahu saya harus berlapang dada menerima qada' qadar-NYA... Saya tahuu... 
Tapi, saya tidak tahu bagaimana mahu berhenti menangis untuk kehilangan ini. Saya tidak tahu bagaimana mahu menahan emosi saya dari terus bertempiaran ini. Saya tidak tahu bagaimana mahu bernafas tenang sebagaimana hari-hari saya yang kelmarin... Sayaa.. Sayaa.."


AKU terus menarik tubuhnya dan memeluknya erat tanpa membiarkan dia meneruskan kata-kata emosinya itu. Lama sehingga sedu sedannya terasa membasahi tudungku. Aku senyap tanpa sebarang kata. Tenggelam dalam esak tangisnya. 

Mujurlah aku bertemu kesempatan untuk ada di sini menyokong punah jiwanya. Itu sahaja yang mampu aku lakukan sebagai sahabat. Aku sedar, semanis manapun kata yang dituturkan saat ini, tiada satupun yang akan mampu meredakan kesakitan emosinya. Justeru, tidak sepatahpun kata pun yang aku berikan untuk menyenangkan hatinya.

Cuma doa terpaling ikhlas jauh di sudut hatiku. Semoga Tuhan sentiasa melindungi dan menjaganya. Semoga Tuhan mengasihaninya. Amin.

[Dugaan yang tidak ter-jangka-kan]