Friday, July 22, 2016

~ SAPA ~



SEORANG wanita Punjab separuh abad tiba-tiba menghampiriku di sofa kecil paling hujung di kedai kopi yang menjadi singgahan kerap seusai waktu pekerjaan semenjak beberapa hari ini. Aku mendongak dan kemudiannya memandang tepat ke wajahnya sambil memberikan senyuman. 

Senyuman pertama setelah lebih dua jam menekuni tulisan-tulisan rasaku di dada buku merah yang sering terkelek itu dengan kerut wajah yang bukan sedikit. Santun dia meminta izin dariku untuk menumpang duduk di sofa kosong yang berhadapan aku. Bukan tidak ada kerusi kosong yang lain, tetapi katanya sofa kecil itu sedikit menyelesakan dirinya berbanding kerusi kosong lain yang berkayu keras.

Aku sekali lagi memberikan senyuman sambil mengangguk dan mempersilakan dia. Sememangnya sofa kecil itu kosong kerana aku hanya bersendiri. Dia mengambil tempat sambil memesan-mesan kepada anak atau mungkin juga cucunya yang di meja sebelah menu minuman yang dia mahukan. 

Tidak terganggu dengan kehadirannya, aku kembali kepada tumpu dengan menulis-nulis sesuatu di buku merah. Menulis dan menulis sesuatu yang entah apa isinya.

Kurang lebih 20 minit kemudian, dia sekali lagi bersuara. Juga dengan penuh hemah dan santun, bertanyakan apa minuman atau makanan yang aku mahukan. Dia mahu membelikan untuk aku, barangkali sebagai balasan aku memberi keizinan untuk dia duduk di sofa kecil itu. Atau barangkali juga atas sebab yang hanya dia sahaja yang tahu.

Aku senyum lagi, kemudian menolak dengan alasan minumanku masih belum ke separuh. Malah Mud Muffin di piring kecil bersebelah deretan buku yang aku usung juga belum berusik.

Dia menyambung tutur, nadanya penuh hemah. Katanya, biarkanlah minuman dan makanan yang telah sejuk itu. Bukankah lebih baik menjamah sesuatu yang lebih hangat dari itu. Aku senyum. Hanya membalasnyna dengan senyum tanpa sebarang tutur yang menyusul.

Tiba minuman dan makanan yang dipesan (yang menurut pilihannya), dia menyuakan sambil memberi senyuman. Senyum ibu-ibu.. senyum yang mencairkan. Aku menutup buku merah. Menghirup minuman panas yang disuakan dan langsung bersandar membetulkan posisi badan.

"Feeling better?" Soalnya pendek.

Aku angguk dan senyum.

[Stranger]

2 comments:

Anonymous said...

berbuat baik itu mudah kan?
kelmarin aku jumpa anak kucing yg hampir dilenyek motor
rasanya sudah tidak mahu lagi aku kutip stray kitten selepas kematian yg lepas
walau kepala berdenyut sakit, walau serabut kerja yg bertimbun menghimpit
aku dukung dan kelek dia berjalan dalam mall (org pun tgk kegilaan aku)
hinggalah aku usung dia ke rumah...

tanpa aku sedar sepanjang jalan ketika sebentar tadi kepala bagai ingin pecah kerana denyut yg melampau, tp kemudiannya hilang dan hati yg serabut kembali lapang
hanya kerana aku kutip nyawa kecil Allah ambil apa yg menyesakkan
berbuat baik itu mudah, ganjarannya infiniti mungkin tak terlihat dek mata sendiri

kudos to the auntie, moga sihat tubuh badannya, moga sentiasa bahagia...


sfg

Ophe said...

Itulah dia.. Hal2 yg seringnya tidak terlihatkan. Dan, yaaa.. Aku juga terluncurkan doa dan harapan yg sama buatnya.

Sekecil perhatian drpd org asing yg tidak dikenali, tetapi brjaya mencuit senang aku.. Sedang yg berdekat, belum tentu..