Monday, July 18, 2016

~ RM85 DAN ISNIN YANG DRAMATIK ~



ISNIN yang cukup dramatik. Aku hanya mampu menggelengkan kepala. Betapa aku sering sahaja berdepan dengan babak-babak sebegini bila mana aku memaksa diri untuk melakukan sesuatu kerana sesuatu. Dan, seringnya apabila melibatkan manusia yang satu ini.

Semenjak seminggu yang lalu sebagaimana yang aku kongsikan di entri yang lepas, aku keluar masuk sederetan toko buku yang ada semata-mata untuk mendapatkan senaskhah buku yang menjadi hidup mati seseorang. Yang nilainya mengatasi nilai persahabatan yang termiliki.

Setelah hampir habis usaha, muncul seorang kenalan yang menghulurkan bantuan. Atas usahanya, dia berjaya membantu aku membeli naskhah tersebut dari tempat ia diterbitkan. Justeru setelah beberapa kali aturan, siang tengahari tadi aku perlu ke lantai pekerjaannya untuk mendapatkan buku yang sangat-sangat dikejarkan itu.  

Namun ketika segala janji diatur, ada babak lain lain yang sedang menunggu. Perjalananku terhenti kurang lebih 5km jaraknya daripada lokasi yang dijanjikan gara-gara unta hitam membuat ragam. Lebih dramatik babak itu berlangsung dalam keadaan hujan lebat di bahu jalan yang terhimpit laluan lori tanah yang kebetulan punya perkerjaan di situ.

Seorang lelaki asal tanah seberang yang kebetulan ada di situ, sudi menghulurkan bantuan meski dia sebenarnya langsung tidak tahu apa yang perlu dibantunya. Namun dia mencuba sehabis baik. Apapun, ia tidak merubahkan apa. Sehinggalah tiba-tiba datang seorang lagi manusia yang tidak aku kenali menghulurkan kunci keretanya agar aku dapat mencari bantuan dari bengkel terdekat. Tanpa usul tanya, tanpa ragu dan curiga dia menawarkan aku menggunakan keretanya tanpa sebarang syarat.

Aku yang terkial-kial dan tidak sempat berfikir apa itu mengangguk sahaja dan melakukan seperti apa yang disuruh. Meski pada awalnya aku hanya mahu menunggu sahabat dekat hadir menghantar misi menyelamat, aku akhirnya menurut sahaja. Alhamdulillah, pencarian bengkel berlangsung mudah dan mereka juga tidak banyak bersoal tanya, malah menguruskan segalanya dengan sehabis baik (menurut pandanganku). 

Terima kasih kepada manusia-manusia mulia yang sudi menghulurkan bantu. Rupa-rupanya masih wujud lagi manusia-manusia yang putih hatinya.

Usai pulih unta hitam, aku kembali ke Jalan Tun Razak memenuhi komitmen kerja yang tertunda kerana aku mendahulukan janji untuk mendapatkan buku tersebut yang akhirnya turut tertunda kerana babak tidak tersangkakan itu. Hanya selepas itu, barulah aku kembali menuju ke Hulu Klang untuk tujuan itu.

Dan, saat memperoleh buku itu... perasaannya umpama menjadi juara acara lari. Dan, ia sebenarnya juga berbaur antara marah, kecewa, kecil hati dan entah apa lagi rasanya.

Lalu, sedarlah aku nilai persahabatan yang pernah ada sebelumnya itu hanya berharga RM85. 

[Harga..]

No comments: