Sunday, July 31, 2016

~ KUBURAN DAN RENYAI HUJAN ~


HUJAN renyai sebaik sahajaaku tiba di kuburanmu. Titik hujan yang berterusan memandikan tanah merah di sekitarnya membuat sebahagian kain kurungku terpalit warna dengan segala satu corak.

Bertemankan sekaki payung, aku masih mahu keras di situ. 

Berbicara sama hati, yang di dalamnya turut ada suara kamu. Berbual seolah-olah kita membuat sesi di kedai kopi sambil menghirup pekat kopi panas di kedai kopi selalu.

Sebagaimana selalu sehingga ia terhenti pada 18 April, setahun yang lalu.

Semoga kamu itu baik-baik sahaja di sana, dan semoga aku akan selalu baik-baik juga di sini. Baik-baik selalu, meski pernah terdetik di hatiku mungkin lebih baik juga kalau aku tidak lagi di sini.

Ahh.. Hidup ini sentiasa mahu menguji.

[Kecamuk]

Saturday, July 30, 2016

~ MY NAME IS HASMAH ~







 My Name Is Hasmah

PENULIS: Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali
PENERBIT: Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd
HALAMAN: 244
HARGA:RM80

[Bonda]

Friday, July 29, 2016

~ RUANG ~


TEMBUNG. Tergamam tanpa sempat aku terfikir bagaimana mahu memberi reaksi yang sepatut. Otak lambat berfikir kerana degup jantung kencang lebih mendominasi.

Berbalas senyum di depan pintu Istana.

Lamaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa tanpa khabar berita. Semoga hidup yang kita dua jalani baik-baik sahaja.  

[Dan, setelah itu]  

Thursday, July 28, 2016

Wednesday, July 27, 2016

~ JIWA ~


AKU sedar, kemarahan itu tidak pernah sekalipun memberi senang dan tenang pada jiwa. Meski rasa itu menular sebagai zahirnya kemanusiaan adanya, namun aku tetap percaya ia bukanlah perasaan yang harus dibiarkan tumbuh meraja. Kemarahan yang hanya akan merosakkan seketul hati merah kamu!

Dan, beberapa malam kelmarin aku terjaga di lewat malam hanya kerana itu. Terganggu rasa yang bukan kepalang. Lalu hari ini aku berjanji pada diri untuk meniup  jauh api kemarahan yang tumbuh lewat hari-hari kelmarin. 

Malah dalam masa yang sama entah kenapa kali ini, terluncur kata mohon yang bersungguh dari bibirku semoga seseorang yang memunca kemarahan itu tidak lagi berkelibat di pandang aku. Pertama kali.

Semoga lebih mudah kemarahan itu pergi tanpa bersisa ingat. Biar benar-benar habis. Semoga tiada babak ulangan koyak tampal. Kerana, ruang koyak tampal itu sudah hampir habis. 

Habis.

Namun itu tidak bererti aku menghitamkan yang putih-putih yang pernah ada. Atau mengkelatkan yang manis-manis yan pernah terbagi. Cuma, untuk menerus hidup kita tidak harus memaksa merah menjadi biru atau biru dibaca merah jika ia tidak sedikit pun ada kesepadanan. Adil pada hidup barangkali mampu memberi lebih banyak senyum, bukan sahaja untuk kita, tetapi orang lain juga.

[Realistik]

Tuesday, July 26, 2016

~ INTAI ~


TIDAK ada yang teralu peribadi yang aku kongsikan di media sosial milikku melainkan hal-hal cenderungku berkaitan bahan baca atau dunia bidik. Terlalu jarang aku kongsi yang selainnya.

Tiada yang menarik.

Justeru, ia mengundang penuh tanya kepadaku apabila ada di antara mereka yang secara senyap begitu mahu mengambil tahu. Malah cuba meninggalkan komen yang mengacah-acah tanda soal yang begitu banyak buatku.

Oh manusia...

[Marhaen]

Monday, July 25, 2016

~ JADI SELAIN ~


SEPATAH ditanya, sepatah dijawab aku. Berterusan untuk sesi kurang lebih 30 minit itu. Puaslah mereka mengacah-acah dengan sederet tanya termasuk soal-soal santai berkenaan kehidupan harianku. 

Namun, aku tetaplah aku. Keras.  

"Dia memang senyap sikit, tak banyak cakap.." ujar sang kepala atas, memaklumkan kepada sang kepala dari lantai sana. Entah dari mana dia tahu pun aku tidak tahu kerana aku sendiri tidak pernah berurusan kerja secara langsung dengannnya.

Dan, terus sahaja aku mengendurkan kata. Meski ia benar, namun aku tidak begitu senang dimaklumkan begitu untuk mereka yang baru mengenaliku.

Pernah suatu ketika aku terfikir mahu menjadi orang lain dan hidup dalam kebisingan seperti mana banyak mereka. Yang aku anggap sebagai satu kelebihan. 

Namun sukarnya mengubah diri.

[Bosan]

Sunday, July 24, 2016

~ ACARA KECIL SYAWAL ~


TERIMA kasih untuk yang sudi menjadi tamu acara kecil makan-makan sempena syawal di rumah kami siang hari tadi. Lelah yang tidak terasa apabila senyum-senyum manis terbagi bersulam tawa riang yang tidak terkutipkan.

Dalam keramaian dan bingit bual-bual manis yang mengisi ruang, aku tiba-tiba disapa satu suara yang begitu aku kenali. Saat menoleh, terus sahaja tubuhku didakapnya kemas. Sahabat lama yang tiba-tiba muncul setelah beberapa tahun tidak bertemu muka. Lebih tidak disangka, dia hadir sebagai tetamu kakak dan bukan aku. Owhh.. betapa kecil rupa-rupanya dunia ini. Kami berkongsi kenalan yang sama tanpa disedari.

Sahabat-sahabat, terima kasih untuk semuanya. Semoga Tuhan memberi yang manis-manis hendaknya dalam silaturrahim ini.

Terlari seketika daripada resah dan kecamuk jiwa yang membuat damping hari kelmarin.

[Menolak soal tanya si-kecil tentang C.A/dolphin.. ]

Saturday, July 23, 2016

~ TSUKURU TAZAKI TANPA WARNA ~






Tsukuru Tazaki Tanpa Warna (Terjemahan)

PENULIS: Haruki Murakami
PEMERBIT: Buku Fixi
HALAMAN: 336
HARGA:RM30

[Mem-bawa ingatan ke se-seorang]

Friday, July 22, 2016

~ SAPA ~



SEORANG wanita Punjab separuh abad tiba-tiba menghampiriku di sofa kecil paling hujung di kedai kopi yang menjadi singgahan kerap seusai waktu pekerjaan semenjak beberapa hari ini. Aku mendongak dan kemudiannya memandang tepat ke wajahnya sambil memberikan senyuman. 

Senyuman pertama setelah lebih dua jam menekuni tulisan-tulisan rasaku di dada buku merah yang sering terkelek itu dengan kerut wajah yang bukan sedikit. Santun dia meminta izin dariku untuk menumpang duduk di sofa kosong yang berhadapan aku. Bukan tidak ada kerusi kosong yang lain, tetapi katanya sofa kecil itu sedikit menyelesakan dirinya berbanding kerusi kosong lain yang berkayu keras.

Aku sekali lagi memberikan senyuman sambil mengangguk dan mempersilakan dia. Sememangnya sofa kecil itu kosong kerana aku hanya bersendiri. Dia mengambil tempat sambil memesan-mesan kepada anak atau mungkin juga cucunya yang di meja sebelah menu minuman yang dia mahukan. 

Tidak terganggu dengan kehadirannya, aku kembali kepada tumpu dengan menulis-nulis sesuatu di buku merah. Menulis dan menulis sesuatu yang entah apa isinya.

Kurang lebih 20 minit kemudian, dia sekali lagi bersuara. Juga dengan penuh hemah dan santun, bertanyakan apa minuman atau makanan yang aku mahukan. Dia mahu membelikan untuk aku, barangkali sebagai balasan aku memberi keizinan untuk dia duduk di sofa kecil itu. Atau barangkali juga atas sebab yang hanya dia sahaja yang tahu.

Aku senyum lagi, kemudian menolak dengan alasan minumanku masih belum ke separuh. Malah Mud Muffin di piring kecil bersebelah deretan buku yang aku usung juga belum berusik.

Dia menyambung tutur, nadanya penuh hemah. Katanya, biarkanlah minuman dan makanan yang telah sejuk itu. Bukankah lebih baik menjamah sesuatu yang lebih hangat dari itu. Aku senyum. Hanya membalasnyna dengan senyum tanpa sebarang tutur yang menyusul.

Tiba minuman dan makanan yang dipesan (yang menurut pilihannya), dia menyuakan sambil memberi senyuman. Senyum ibu-ibu.. senyum yang mencairkan. Aku menutup buku merah. Menghirup minuman panas yang disuakan dan langsung bersandar membetulkan posisi badan.

"Feeling better?" Soalnya pendek.

Aku angguk dan senyum.

[Stranger]

Thursday, July 21, 2016

~ KOPI KOPI KOPI ~


ULANGAN kali ketiga ke kedai kopi dalam tempoh tidak sampai 24 jam untuk hari ini. Ya, kali ketiga. Cafe Latte seolah menjadi penawar sementara. Tentu sekali bukan minuman selaluku, tetapi ia akan menjadi pilihan selalu saat emosiku di luar arah. Sepertinya ada sumpahan menutur protes diri.

"Plis, chill kejap dari coffee caffein awak.." 

Tiba-tiba kata-kata sahabat mei terngiang-ngiang di telinga. Berulangan sebagaimana lagu sinnerman dari nina simone mengisi ruang senyap.

"Kopi itu adalah kesenyapan yang membunuh".

[Pejam..]

~ PERASAAN DI TEMPAT TERAKHIR ACARA LUMBA LARI ~




DAN, tiba juga pada giliranku. Berita yang tidak begitu mengejutkan, cuma mengelirukan. Dan, perasaanku hari ini umpama mendapat tempat terakhir dalam acara lumba lari. Begitupun, aku akur dengan aturan sebuah permainan yang aku sendiri tidak pernah tahu akan syarat dan cara permainannya.

Hidup.

Apapun, terima kasih buat sahabat yang sentiasa sudi memahami bahasa senyapku. 

[Entah apa rasa]

Wednesday, July 20, 2016

~ KERANA ESOK BUKAN KITA PUNYA ~


ALFATIHAH. Petang siang hari tadi, aku mendapat perkhabaran tentang pemergian seorang kenalan setelah 80 hari bertarung nyawa di katil hospital.

Aku tidaklah begitu mengenali dekat arwah, cuma kami jadi kenal kerana sering bertemu atas sebab urusan kerja. Setiap kali melihat kelibatku, dia pasti menegur dan bertanya khabar. Setiap kali. Lebih-lebih lagi apabila mengetahui kami berasal dari negeri yang sama.

Namun, aku tetaplah aku. Mulutku sentiasa berat untuk melayan bual-bual orang dengan mudah. Soalan-soalan dan sapa yang arwah berikan untuk aku kadang-kala hanya aku reaksikan dengan senyum atau anggukan kepala. Pun begitu, dia masih sentiasa mahu mendekati dan berbual-bual dengan aku. Aku sendiri tidak tahu kenapa arwah begitu suka menyapa dan mengajakku berbual, meski dia tahu aku tidak menunjukkan mahu ke arah itu.

Justeru, saat menerima perkhabaran mengejutkan itu, aku terus terduduk. Merasa berdosa mengenangkan kembali perlakuanku kepadanya.

"Kakak, semoga perjalananmu ke sana dipermudahkan. Semoga diterima sang pencipta dengan sebaik-baik keadaan. Dan, dari sudut hati yang dalam... aku memohon kemaafan atas segala apa dariku yang memberikan singgung kepadamu... alhatihah.."

Dan, yaaa.. kita tidak akan pernah tahu entah esok, entah lusa... entah siapa antara kita yang akan pergi.

[Pemergian..]

Tuesday, July 19, 2016

~ TIDAK SAMA SEPERTI YANG PERNAH-PERNAH ~


LEGA. Sudah ke tuan. Semoga ketenangan menyebelahi kamu dengan terlaksananya mahu yang sengaja itu.

Semogalah.

[Tidak sama..]

Monday, July 18, 2016

~ RM85 DAN ISNIN YANG DRAMATIK ~



ISNIN yang cukup dramatik. Aku hanya mampu menggelengkan kepala. Betapa aku sering sahaja berdepan dengan babak-babak sebegini bila mana aku memaksa diri untuk melakukan sesuatu kerana sesuatu. Dan, seringnya apabila melibatkan manusia yang satu ini.

Semenjak seminggu yang lalu sebagaimana yang aku kongsikan di entri yang lepas, aku keluar masuk sederetan toko buku yang ada semata-mata untuk mendapatkan senaskhah buku yang menjadi hidup mati seseorang. Yang nilainya mengatasi nilai persahabatan yang termiliki.

Setelah hampir habis usaha, muncul seorang kenalan yang menghulurkan bantuan. Atas usahanya, dia berjaya membantu aku membeli naskhah tersebut dari tempat ia diterbitkan. Justeru setelah beberapa kali aturan, siang tengahari tadi aku perlu ke lantai pekerjaannya untuk mendapatkan buku yang sangat-sangat dikejarkan itu.  

Namun ketika segala janji diatur, ada babak lain lain yang sedang menunggu. Perjalananku terhenti kurang lebih 5km jaraknya daripada lokasi yang dijanjikan gara-gara unta hitam membuat ragam. Lebih dramatik babak itu berlangsung dalam keadaan hujan lebat di bahu jalan yang terhimpit laluan lori tanah yang kebetulan punya perkerjaan di situ.

Seorang lelaki asal tanah seberang yang kebetulan ada di situ, sudi menghulurkan bantuan meski dia sebenarnya langsung tidak tahu apa yang perlu dibantunya. Namun dia mencuba sehabis baik. Apapun, ia tidak merubahkan apa. Sehinggalah tiba-tiba datang seorang lagi manusia yang tidak aku kenali menghulurkan kunci keretanya agar aku dapat mencari bantuan dari bengkel terdekat. Tanpa usul tanya, tanpa ragu dan curiga dia menawarkan aku menggunakan keretanya tanpa sebarang syarat.

Aku yang terkial-kial dan tidak sempat berfikir apa itu mengangguk sahaja dan melakukan seperti apa yang disuruh. Meski pada awalnya aku hanya mahu menunggu sahabat dekat hadir menghantar misi menyelamat, aku akhirnya menurut sahaja. Alhamdulillah, pencarian bengkel berlangsung mudah dan mereka juga tidak banyak bersoal tanya, malah menguruskan segalanya dengan sehabis baik (menurut pandanganku). 

Terima kasih kepada manusia-manusia mulia yang sudi menghulurkan bantu. Rupa-rupanya masih wujud lagi manusia-manusia yang putih hatinya.

Usai pulih unta hitam, aku kembali ke Jalan Tun Razak memenuhi komitmen kerja yang tertunda kerana aku mendahulukan janji untuk mendapatkan buku tersebut yang akhirnya turut tertunda kerana babak tidak tersangkakan itu. Hanya selepas itu, barulah aku kembali menuju ke Hulu Klang untuk tujuan itu.

Dan, saat memperoleh buku itu... perasaannya umpama menjadi juara acara lari. Dan, ia sebenarnya juga berbaur antara marah, kecewa, kecil hati dan entah apa lagi rasanya.

Lalu, sedarlah aku nilai persahabatan yang pernah ada sebelumnya itu hanya berharga RM85. 

[Harga..]

Sunday, July 17, 2016

Saturday, July 16, 2016

~ KOTA SEHABIS HUJAN ~






Kota Sehabis Hujan

KARYA: Gea Xena Levina
TERBITAN: Indie Book Corner
CETAKAN: Pertama (2015)
HALAMAN: 153
HARGA: RM25.00

[Menung..]

Friday, July 15, 2016

~ CERITA KANVAS ~


KE KOTAK, ke tuan.

[dan, si-kucing yang tidak sempat mem-beri ucap selamat]

Thursday, July 14, 2016

~ MOMEN KAMI ~


AKU antara mereka yang suka berkongsi bidik di laman sosial, terutamanya instagram. Imej-imej rambang yang dibidik mata dan hati. Namun tidak untuk momen-momen peribadi yang dimilik. Terlalu jarang untuk aku berkongsi tentang keluarga dan manusia-manusia dekat dalam kelilingku di ruang terbuka seperti itu.

Justeru, dalam keghairahan rakan dan kenalan memuat naik momen hari raya mereka di laman sosial masing-masing, aku pula sebaliknya.

Pada mereka yang mengenali, pastinya sedia maklum. Namun untuk yang tidak tahu, sering sahaja mempersoalkan tentang itu termasuklah babak sebentar tadi. Keinginan untuk tahu itu seperti mendesak.

Senyum.  Dan, beralasan. 

[Momen]

Wednesday, July 13, 2016

~ BADI ~


DEMAM. Namun kerana sudah lebih seminggu bercuti, aku ke lantai pekerjaan juga hari ini. Mujur juga rutin kerja harian masih belum begitu rancak membuatkan kami hari ini lebih banyak bersantai-santai.

Hari ini juga kami menerima jemputan istimewa majlis rumah terbuka dari sang kepala selepas waktu pekerjaan. Namun atas dek kerana demam yang masih belum kebah dan tidak mahu mengganggu mood raya orang lain, aku menolak untuk menyertai majlis tersebut dan memilih untuk pulang ke rumah sahaja. 

Bagaimanapun, disebabkan hujan dan keadaan jalan raya yang sesak melimpah, aku tiba-tiba menghalakan unta hitam ke kedai kopi. Sekadar mahu mendapatkan secawan mocha untuk membuat segar sepanjang perjalanan pulang. Namun kerana hujan yang masih belum teduh, aku menghirup mocha tersebut di situ saja sambil membelek buku di beg kecilku.

Kurang lapan minit selepas itu, tiba-tiba ada satu kelibat yang duduk di kerusi kosong mengadap diriku.
"Aikk, tadi kata demam tak larat pergi open house.."
"Err.."

Haih......... Dan, ya.. aku akan sering berdepan dengan situasi begini.

[Teros leka dengan bunyi detak hujan...]

Tuesday, July 12, 2016

~ KEMBALI KE TUAN ~



PEREMPUAN Yang Patah Hati. Aku sangat-sangat sayangkan buku ini. Merasa terlalu dekat dengan isinya yang terkandung kerana ia seolah menceritakan tentang rasa-rasaku yang pernah ada dengan begitu intim. Begitu aku.

Semenjak pertama kali membacanya kurang lebih lima tahun lalu, dikeleknya aku ke sana dan ke mari. Jika tidak di unta hitam, pasti sahaja dalam galasan beg kecilku. Ia sentiasa dibawa aku ke mana pun agar ia boleh dibaca pada bila-bila ketika aku mahukan. Dek kerana itu, hampir lunyai rupa parasnya.

Namun hari ini, buku ini terpaksa dilepaskan kembali ke tuan. Dan, dengan berat hatinya.................... 

Jika ada di antara kamu di luar sana yang tahu di mana aku boleh mendapatkan judul serupa sebagai gantinya, mohon sunguh-sungguh agar aku dimaklumi. Budi baik kamu ini didahului dengan ucapan terima kasih.

[Berat hati..]

Monday, July 11, 2016

~ WALAU APA JUA CARA ~



MENCARI buku biografi Tan Sri Jins Samsudin: Kembara Seorang Seniman. Sepanjang hari ini, teman jiwa membantu mencarinya di beberapa toko buku, namun masih belum terlihat kelibatnya. 

Hari ini, aku menempuh kesesakan yang panjang dalam perjalanan menuju ke hiruk pikuk kota setelah lebih seminggu berada di kampung halaman meraikan Aidilfitri. Justeru tidak berkesempatan untuk menjengah ke toko buku sebagaimana perancangan awalnya. Insya-Allah, esok aku akan  ke beberapa lokasi lagi untuk menyambung pencarian. Semoga berhasil walau apa jua caranya.

[Cherita yang akan keras dalam ingat]

Sunday, July 10, 2016

~ KE TAHAP ITU ~


HARI baik, bulan yang baik... aku mengharapkan yang baik-baik sahaja untuk semua mereka yang berkeliling dalam hari-hariku. Namun, ia terjadi sebaliknya.

Sebaik-baiknya aku cuba membaik keadaan, mengelak suatu yang mengarah kepada hal-hal koyak yang sudah terlalu penat untuk dilalui. Syawal untuk kesekian kalinya ini diharap mampu menjahit dan menampal-nampal segala koyak yang pernah ada dengan secantik-cantiknya.

Namun, itu hanya mahu aku. Ya, hanya mahunya aku. 

Lewat petang tadi, ada bual yang telah membuat guris. Lalu tutur-tutur kosong antara dua sahabat ini akhirnya mengheret kepada pertengkaran yang begitu berat. Yang bukan biasa-biasa. Isunya kerana sikap mementingkan diri sendiri sehingga nilai persabahatan menjadi galang ganti. Kecil hati... yang bukan sedikit, yang bukan biasa selalu.

[Dalam kejotan..]

Saturday, July 09, 2016

~ HAMKA ~





Hamka

KARYA: Abdul Latip Talib
TERBITAN: PTS
CETAKAN: Pertama (2014), Kedua &Ketiga (2015)
HALAMAN: 486 
HARGA: RM27.00

[Dari sudot pandang-nya..]

Friday, July 08, 2016

~ RAYA KAMI ~


RAYA kami sekeluarga adalah raya yang cukup sederhana. Kemeriahan raya kami hanya bersama adik-beradik dan ibu, dan tiga tahun terdahulunya bersama ayah.

Raya kami yang cukup tersendiri. Raya Rock n Roll.

Kami tidak mempunyai hubungan yang begitu rapat dengan saudara-mara. Justeru, tiadalah sesi ziarah yang penuh kemeriahan sebagaimana lazim keluarga lain lakukan. Kami tidak punya itu semua, malah tidak pernah merasa.

Kalau adapun, hanya kunjungan ke rumah dua adik ibu pada hari Syawal empat atau lima atau enam. Itu sahaja. 

Raya kami selalunya hanya bersama-sama kami sekeluarga. Usai solat sunat aidilfitri, sesi bersalaman raya menjadi hal yang mesti. Diikuti sesi makan-makan. Disudahi dengan sesi bergambar kenangan. Selebihnya menunggu tetamu datang (kalau ada). Dan, itu sahaja acara raya kami saban tahun.

Namun kami bahagia begitu.. kerana itulah raya kami selama ini.

[Raya Rock n Roll]

Thursday, July 07, 2016

~ UCAPAN RAYA ~



TELEFON bimbit tidak henti-henti menerima  ucapan raya dari kenalan dan rakan taulan jauh dan dekat. 

Terima kasih untuk ingatan. 

Apapun, kadang-kala ada sedikit rasa terkilan. Mengapa kita yang dekat-dekat ini, yang punya kesempatan untuk berjabat tangan secara realiti dan memberikan ucap selamat secara berdepan tanpa sebarang halangan, memilih untuk berbuat demikian menerusi telefon bimbit dan seumpamanya.

Ermm..

Aku mengamati satu-satu ucapan yang diterima. Manis. Dan, sebanrnya ia menjadi suatu hal yang begitu menarik minatku setiap kali tibanya Aidilfitri. Meneliti isi ucap. Ada suatu hal yang menggemberikan di situ. Meski bagaimanapun bahasa yang disusun, asal maksudnya sampai ke hati, ia menjadi manis. 

Justeru, tidak perlulah kita 'menyalin' ucapan yang berjela dengan bahasa terpaling cantik semata-mata untuk menarik keterujaan si pembaca. Adalah lebih baik menulis sendiri dengan penuh rasa ikhlas meski hanya sebaris. Ia lebih memberi makna.

[Selamat Hari Raya Aidilfitri..]  

Wednesday, July 06, 2016

~ SALAM 1 SYAWAL 1437H ~


SALAM 1 SYAWAL 1437H. Salam Aidilfitri untuk seluruh kita yang merai. Alhamdulillah, sekali lagi kita bertemu kesempatan merai hari kemenangan ini. Semoga lebaran kali ini lebih memberi makna kepada kita semua, insya-Allah.

Mohon dimaafkan atas segala yang pernah membuat singgung di hati. Maaf zahir dan batin.

[Keluarga-ku Sorga-ku..]

Monday, July 04, 2016

~ RAMADAN DUA PULUH SEMBILAN ~


AIDILFITRI kali ini menyaksikan abang tidak dapat pulang beraya bersama kami sekeluarga kerana tuntutan kerja. Sementara kakak pula hanya akan pulang ke kampung pada malam raya atas sebab yang sama.

Justeru, segala persiapan raya untuk rumah harus dikendalikan aku untuk ibu.

Selalunya ibu suka membuat persiapan lebih awal. Namun dek kerana anak-anak terikat dengan urus pekerjaan yang menghambat, hanya hari ini kesempatannya bertemu. Sepanjang hari ini aku menemani ibu untuk keluar membeli barang-barang keperluan untuk persiapan raya.

Mujur juga ada adik yang turut membantu dan mengiringi kami ke setiap pelusok. Ada senyum di wajah ibu. Barangkali terkenangkan sesuatu. Atau mungkin juga kerana senang dengan keluangan tiga kami yang tidak selalu itu.

Dan, Ramadan dua puluh sembilan ini kami berbuka puasa dengan hal yang manis-manisa.

[Keluangan]

Sunday, July 03, 2016

~ RAMADAN DUA PULUH LAPAN: AYAH ~






Ayah

KARYA: Irfan Hamka
CETAKAN: Pertama (Mei 2013)
PENERBIT: Republika (Indonesia)
HALAMAN: 320

[Rindu..]

Saturday, July 02, 2016

~ RAMADAN DUA PULUH TUJUH ~


ANTARA perkara pertama yang dilakukan sebaik tiba di kampung halaman adalah menziarah pusara ayah. Melepaskan rindu yang terbuku, sementelah tiga tahun Ramadan dan Syawal berlalu tanpa ayah.

Segalanya seperti baru semalam berlalu. Seperti ayah masih ada di setiap penjuru rumah dengan segala kebiasaan ayah.

Lama berteleku di pusara. Segala rasa bersatu dengan penuh emosi.

Semoga ayah tenang bersemadi di sana, dan Tuhan jagakan ayah untuk kami. Amin.

[Emosi]

Friday, July 01, 2016

~ RAMADAN DUA PULUH ENAM ~


MEMINTA nyawa. Terima kasih Tuhan. Juga untuk tangan-tangan yang memberi rasa kemanusiaan. 

Seperti babak di drama televisyen. 

[Lencun]