Thursday, June 30, 2016

~ RAMADAN DUA PULUH LIMA ~


YAA... Mengapa tidak bertentang mata jika kesempatan itu ada. Mengapa mahu memilih laman sosial dan selainnya, jika jaraknya boleh dicapai fizikal. Dan, sebenarnya.. pertanyaan untuk diri sendiri juga.

Belajarlah menghargai untuk peluang-peluang yang masih terbagi.

Hal-hal yang kecil, namun manis.

[Selamat Hari Raya.. untok yang sengaja tidak mahu ber-temu]

Wednesday, June 29, 2016

~ RAMADAN DUA PULUH EMPAT ~


MINGGU terakhir Ramadan. Menopang dagu. 

Insya-Allah, esok atau lusa aku akan pulang mengisi hujung Ramadan bersama ibu dan jika ada umur yang panjang meraikan Aidilfitri nun di pantai timur semenanjung tanah air. Lebih awal dari kebiasaan selalu.

Semoga ada kesempatan untuk untuk bertentang mata, meleraikan khilaf yang tergunung. Terhanya untuk hujung Ramadan yang masih berbaki.

[Kesempatan yang ber-baki]

Tuesday, June 28, 2016

~ RAMADAN DUA PULUH TIGA: SELAMAT HARI ULANG TAHUN CANCERIAN ~


28 JUNE. Selamat hari ulang tahun kelahiran Nimrod. Semoga memperoleh apa yang kamu mahukan. Semogalah. Amin.

"Eh minggu depan birthday sayaaa.."
"Haaa.. Happy Birthday.."
"Ehh.. belum lagi. Tak naklah wish sekarang. Wish nanti.."
"Ahh.. Sama jer. Dah wish sekarang, so tak payahlah wish lagi nanti.."
"Tanak sudah.. "

Ya.. seperti tahu apa yang berlaku hari ini.. Kerana eloknya kami tidak pernah lama.

#LepasTu

[Cherita anjing dan kucing yang tidak perenah mahu habes]  

Monday, June 27, 2016

~ RAMADAN DUA PULUH DUA ~



KELUANGAN bersama sahabat-sahabat dekat. Rutin selalu, pada minggu akhir Ramadan. Aku tidak punya ramai, yang ada hanya terbilang jari. Justeru, kalaulah ini menjadi Ramadan terakhir, buat aku atau kamu... semogalah yang yang manis untuk dikenang-kenang.

Mudah-mudahan kasih sayang dan persahabatan ini tidak berkurang.

[Sahabat, dan kesempatan Ramadan..]

Sunday, June 26, 2016

~ RAMADAN DUA PULUH SATU ~


SETIAP kali raya, stesen TV berlumba-lumba menyiarkan drama-drama Melayu yang bertemakan kesedihan. Tentang ibu bapa yang dilupakan, tentang anak-anak yang terbiarkan, tentang manusia-manusia yang teraniayakan, tentang hidup yang terkucar-kacirkan dan segala satu cerita yang bertemakan air mata.

Dan, yaa... tolonglah hentikan. Atau barangkali, kurangkan.

Hari raya adalah hari kemenangan, hari untuk kita meraikan. Cukup-cukuplah mengumpan emosi penonton untuk hal-hal seperti itu. Secara keterlaluan.

Tiadanya kisah-kisah seperti itu bukanlah bermakna kita tidak mahu mengambil peduli, hanyut dengan keberuntungan diri atau menafikan babak-babak yang wujud dalam kehidupan. Namun, rayakan hari raya sebagai hari yang benar-benar kemenangan.

Siang tadi, teman jiwa mempersoalkan hal yang sama. Dan membuat perbandingan dengan Tahun Baru yang diraikannya saban tahun. Ya, kata-katanya ada benar. Malah sebelum inipun aku emnyedari akan itu.

Semogalah ada yang mahu membuka mata.

[Bosan]

Saturday, June 25, 2016

~ RAMADAN DUA PULUH ~


JAMBATAN naga. Suatu ketika, aku sering ke sini. Datang untuk bercakap-cakap dengan sang naga kala fikiran berselirat dengan rasa yang kecamuk. Namun setelah berpindah kediaman  di Ampang beberapa tahun dahulu, aku tidak lagi ke sini.

Lamaaaaa.

Dan, hari ini aku kembali di sini.. untuk mengadu domba.

[Jelik]

Friday, June 24, 2016

~ RAMADAN SEMBILAN BELAS ~


MEMUJUK. Suatu hal yang terpaling susah untuk aku lakukan. Keras dan segalanya tidak pernah menjadi mudah.

Namun semalam dan hari ini, aku cuba untuk melakukan hal yang tidak mudah itu. Ya, dengan caranya aku. Mungkin tidak secara terang-terangan, tetapi mereka yang bergaul dekat, pasti mudah tahu bila mana aku melakukan sesuatu yang jarang-jarang atau tidak pernah aku lakukan.

Dan, yaa.. ia tidak berhasil. Cubaan yang payah dan tidak mudah untuk aku lakukan itu diperlekehkan. Malah kata-kata yang cukup menjengkelkan singgah di telinga.

Justeru, cukuplah setakat itu sahaja percubaan itu. 'Bercuti' lagi barangkali. Sebulan, setahun.. atau mungkin lebih lagi. Penat. Penat sangat.

[Ber-chuti atau ber-henti..?]

Thursday, June 23, 2016

~ RAMADAN LAPAN BELAS ~


23 JUNE, Sudah pergi tiga Ramadan kami tanpamu, ayah. Dan, setiap kali tibanya detik ini perasaan aku sering sahaja menjadi tidak menentu. Seluruh hati menjadi terbawa untuk saat-saat ada bersama ayah.

Paling tidak terlupakan sehingga akhir nyawaku, bila mana aku yang menjadi satu-satu anak yang berada di sisi ayah ketika nafas terakhir ayah. Detik di mana aku diminta untuk memperkemaskan kedudukan ayah selepas nyawa ayah tidak lagi di badan.

Paket-paket yang tidak pernah mahu padam dari ingatan. Paket jam 10.15 pagi, 23 June 2013, iaitu 1097 hari yang lalu.

Semogalah hati ini tenang-tenang sahaja. Semogalah aku baik-baik sahaja. Semogalah.

Dan, kalaulah kamu itu masih ada mr legoman, kamulah yang paling sudi mahu mendengar tentang ini kecamukan aku ini. Meski tidak aku kongsikan apa, kamu itu tetap melayan-layan bualku kerana kamu itu tahu betapa seliratnya aku di dalam sana.

[Terima kaseh untok yang ada..]

Wednesday, June 22, 2016

~ RAMADAN TUJUH BELAS ~


SESEKALI aku merasakan diri tidak diadilkan. Biar dihadap sering dengan sebuah kemarahan, kegilaan, kejelikan dan segala satunya, aku diharapkan bersikap menerima. Namun bila aku sesekali yang terarah serupa, dianggap membuat jenayah terbesar tanpa ada hitungan akan sebab dan musababnya.

Marah. Ada kemarahan dari singgung yang menjalar. Namun rasa amarah itu tidak tersampaikan. Aku pula yang menjadi sakit hati sendiri. Bagaimana lagi mahu menyampaikan kemarahan seadanya aku?

Singgung. 

[Dengan penoh emosi]

Tuesday, June 21, 2016

~ RAMADAN ENAM BELAS ~


RUTIN. Temujanji di rumah putih. Terganggu dengan ucap-ucap di dengar pada sesi tadi. Diam, senyap.

Ketika mengatur langkah kosong ke parkir, sebuah motorsikal tiba-tiba meluru dan tanpa sengaja menjamah tangan kananku. Hanya sedikit dan tidak terkesankan apa, lalu menerima maaf yang dihulur lelaki itu.

Dan, sebenarnya cuai diri sendiri juga.

Apapun, ketika memandu untuk ke lantai pekerjaan, aku mula merasakan sesuatu pada bahagian siku kanan. Menekan dan menyakitkan. Tiada sebarang luka atau kesan mencurigakan, cuma barangkali kesan hentakan yang baru membengkak membuatkan kesakitannya begitu terasa.

Dan, dalam pada itu.. ada pula yang mengacah-acahkan ketekanan yang telah sedia ada. Tutur-tutur yang membuatkan aku tiba-tiba menjadi tersinggung. Ermm.. sabarlah hati.

[Tekan]

Sunday, June 19, 2016

~ RAMADAN EMPAT BELAS ~

SELAMAT hari bapa. Ayah sentiasa menjadi kecintaan kami dari mula kami kami tumbuh nyawa, sehinggalah ke saat ini. Cerita cinta ini biarlah terus hidup di hati kami. Amin.

[Rindu yang tidak perenah habes]

Saturday, June 18, 2016

~ RAMADAN TIGA BELAS: PERAHU ~





Perahu

KARYA: Ramlah Abdul Rashid
CETAKAN: Pertama (2013)
PENERBIT: Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad
HALAMAN: 35
HARGA: RM15.00

[Hanyot..]

Friday, June 17, 2016

~ RAMADAN DUA BELAS ~

TERHAMBAT dengan urus kerja yang punya tarikh mati. Hari ini, aku dan beberapa teman di lantai pekerjaan perlu menghabiskan urusan kerja sehingga lewat malam.

Dan, yaa.. pertama kali berbuka puasa di lantai pekerjaan untuk tahun ini. Memang ia bukan sesuatu yang baru buat kami, namun ia menjadi hal yang tidak mudah kali ini apabila salah seorang teman kami tidak lagi bersama kali ini setelah dia dipindahkan ke pasukan lain. Jika ada dia, pasti sahaja dia akan sibuk meminta untuk ke bazaar dan berbuka puasa bersama-sama. Cerita tahun-tahun lalu.

Tiba waktu berbuka, masing-masing mencari arah tuju sendiri. 

Aku memilih untuk menghalakan unta hitam ke kedai kopi, sendiri. Lebih mudah dan ringkas untuk diriku. Cukuplah dengan secawan Mocha dan Mud Muffin (Bukan pilihan selalu) untuk juadah berbuka puasa hari ini. 

Ada perasaan lain yang menyelinap senyap di dalam sana. Ermm..

[Dark Mocha Frappucino]

Thursday, June 16, 2016

~ RAMADAN SEBELAS ~

SELALUNYA, aku hanya akan mencapai juadah yang terdekat dan mudah. Biarpun puluhan jenis juadah yang mengisi ruang berbuka puasa di tengah keramaian, aku hanya menmilih yang paling minimal. 

Malas untuk beratur panjang, malas untuk memilih-milih, malas untuk menurut kehendak mata. Segalanya malas bila berada di tengah keramaian dan bingit manusia. Lagak selalu aku, hanya duduk keras di meja tanpa membuat peduli akan sapaan tentang sejenis juadah yang kerap menjadi pilihan. Hahaha...

Justeru, aku lebih selesa untuk berbuka puasa di rumah bersama keluarga atau wajah-wajah yang dikenal dan tidak asing buat aku.

[Perangai..]

Wednesday, June 15, 2016

~ RAMADAN SEPULUH ~

BERADA di bawah sang nombor dua. Dan, kami mula menyesuaikan diri. Sudah diamati, sudah dikhatami.. dan ramalan benarlah belaka.

Semogalah kami ini, atau lebih tepatnya aku mampu menghadami dengan sewarasnya akal. Dan, tiada pilihan yang tersua. Maka, hadaplah.

[Dan, begitu-lah roda-nya..]

Tuesday, June 14, 2016

~ RAMADAN SEMBILAN ~

HAMPIR tiga jam terperangkap di perut jalan raya yang lazim selalu hanya tercapai kurang satu jam untuk ke destinasi urus pekerjaan petang tadi. Berkejaran dengan masa sehinggakan 'pening' unta hitam dibuat aku.

Dan, yaa... aku hanya mampu di destinasi tiba kurang lebih 10 minit sebelum waktu berbuka puasa. Bermakna, majlis yang aku perlu hadiri sebelumnya sudahpun berakhir. 

Dengan hanya membasahkan tekak, aku kembali ke parkir untuk mengalihkan unta hitam yang tidak diletak aku di tempat sepatutnya. Hampir sahaja unta hitam dikunci pihak pengurusan dan jika aku terlambat, barangkali ia akan tersadai di situ buat beberapa ketika.

Terima kasih tuan, atas budi bicaranya.

Dan, aku berlalu tanpa sempat berbuka puasa kerana terhenyak lelah yang panjang dengan omelan yang masih tidak mahu habis akibat terperangkap dalam kesesakan sebelumya.

[Serba tidak kena]

Sunday, June 12, 2016

~ RAMADAN TUJUH ~


TANAH perkuburan Taman Ehsan, Kepong. Apa khabar mr legoman? Mudah-mudahan kamu tenang-tenang sahaja di sana. Kalau kamu itu masih ada di sini bersama aku, kalaulah... ermm.. pasti sahaja ada agenda remeh yang akan kita selusuri senyap..

[Paket-2 memori]

Saturday, June 11, 2016

~ RAMADAN ENAM: KUMPULAN PUISI TENTANG PERTANYAAN ~




Kumpulan Puisi Tentang Pertanyaan

KARYA: Hani Salwah Yaakup
CETAKAN: Pertama (2013)
PENERBIT: Institut Terjemahan Negara
HALAMAN: 48
HARGA: RM15.00

“Tulisan yang datangnya dari hati, akan jatuh ke hati yang lain..”

[Dan, jawapannya..]

Thursday, June 09, 2016

~ RAMADAN EMPAT ~


LENGKONG susu. Suatu kemestian ayah saat mengadap juadah berbuka puasa. Ibu tahu dan kami semua juga tahu. Kegemaran ayah, dan hal-hal yang menyelerakan ayah. Malah, itulah juga makanan terakhir yang menjadi santapan ayah sebelum dia pergi buat selama-lamanya pada 1083 hari yang lalu.

Tiada lagi juadah itu untuk Ramadan kami selepas itu.

Namun jauh di sudut hati, aku rindukan semua itu. Malah secara senyap, aku sering mencari juadah itu tanpa tahu ibu dan kakak. Dan, hari ini aku menjamahnya dengan linangan air mata.

[Rindu]

Wednesday, June 08, 2016

~ RAMADAN TIGA ~



[a good one... a good one...............]

Tuesday, June 07, 2016

~ RAMADAN DUA ~


SAAT berkejaran dengan urus kerja yang menjadi rutin, kami terhadap satu lagi berita yang tidak terduga. Team kami dikecilkan lagi. Salah seorang dari kami ditukarkan ke pasukan lain yang kononnnya lebih memerlukan. Secara mengejut dan secara tiba-tiba.

Dan, yang tinggal hanya kami. Hanya tiga kami yang perlu memikul segala beban kerja yang sebelum ini dilunas tujuh kepala.

Gila.

[Permainan]

Monday, June 06, 2016

~ RAMADAN SATU ~


SELAMAT menyambut Ramadan 1437H. Alhamdulillah, bertemu lagi Ramadan untuk kesekian kalinya. Mudah-mudahan ia memberi lebih makna buat semua kita, insya-Allah.

Dan, untuk kami.. ia merupakan tahun tiga Ramadan tanpa ayahanda. Kecintaan kami yang telah pergi bertemu sang pencipta.

Rindu. Terlalu rindu untuk setiapnya dia. Dari rutin selalu dia, sehinggalah kepada kesukaan remehnya.

Semoga ayah datang ke mimpi kami sepanjang Ramadan ini. Amin..

[Sinema agong]

Sunday, June 05, 2016

~ HARAPAN RAMADAN ~


HARAPAN RAMADAN
by raihan

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah…
Dengan rahmatMu oh Tuhanku…
Ku tempuh jua

[Harapan..]

Saturday, June 04, 2016

~ MELIHAT API BEKERJA ~







Melihat Api Bekerja

KARYA: M Aan Mansyur
TERBITAN: Dubook Indo
CETAKAN: Pertama (2015)
HALAMAN: 118
HARGA: RM30.00

[Mengerah rasa..]

Thursday, June 02, 2016

~ BAHANG ~


TERSADAI. Hari ini aku tidak ke lantai perkerjaan kerana punya rutin di rumah putih. Mengadap paket-paket yang membosankan. Itu dan ini.

Usai segala, aku menghalakan unta kita ke rumah. Mahu mencuri sedikit lena agar segala yang dimasukkan ke tubuh sebentar tadi larut dengan sebaiknya.

Namun, saat mengharungi sesak jalan raya di laluan panjang tengahari saat tegaknya matahari di kepala, unta hitam membuat rajuk. Memberi isyarat agar aku memberhentikan dia di laluan panjang penuh bingit itu.

Tersadai. Lama. Lencun. Kepanasan. Di tepi jalan, seorang diri.

Sesekali aku sudah seperti tidak mampu menampung kudrat. Terlalu panas dengan keadaan diri yang belum begitu stabil. Mujur ada sahabat june yang mahu melayan bual di telefon, sekurang-kurangnya aku tidak hanyut dalam bahang yang menekan itu. 

Kurang lebih 48 minit berlalu, si penyelamat datang. Terima kasih mr dauchebag. Sepanjang hari kami berada di bengkel menunggu unta hitam di rawat.

Kepala sudah terlalu sakit dan mata juga mula membengkak.  Hampir sahaja mahu menangis, kerana tidak tertanggungkan. Aku terlena di celah bau minyak dan deru enjin jentera bersilih ganti.

[Hidup.. ahhh]

Wednesday, June 01, 2016

~ TERHAMBAT ~


MENGADAP kerja-kerja yang punya tarikh mati. Apatah lagi dengan kudrat sekerat yang semakin menipis lelah.

Lelah juga mengadap permainan yang tidak sudah dari pemain-pemain hebat di arena lantai perkerjaan ini.

Semogalah.

[Lupa meng-isi perot]