Sunday, April 24, 2016

~ GEROMBOL BABAK ~


SAHABAT mei memberikan keluangan waktunya untuk menghiburkan aku yang sedang bersimpul seratus. Didedikasikan khusus hari kosongnya yang jarang-jarang ada ini untuk mendengar aku.

Untuk tidak meletak aku pada rasa yang tersalah atas waktu yang terbagi itu, dia menjadikan diskusi projek X sebagai alasan. Aku OK sahaja meski tahu ia hanya alasan manisnya.

Sebelum menunggu waktu tayangan mula di ruang ada-ada itu, kami mengisi bual. Dari setengah ke satu, satu ketiga, tiga ke lima. Kali ini dia begitu banyak sekali mendengar. Sesekali memberi pandangan, banyak cuba hanya dengan senyum selain diam dan angguk.

Dan, entah bagaimana hari ada satu rasa keselesaan (atau mungkin juga kerana ketekanan yang menekan) membuatkan aku begitu laju membuat tutur pada soal-soal yang terlalu amat jarang aku kongsikan meski pada yang membuat dekat. Bukan tidak pernah, cuma jarang sekali.

Usai mengalas perut sekadarnya, kami mengadap layar lebar untuk suatu cerita kehidupan yang terpinjam. Aku buat pertama, dan keempat kali buat sahabat ini. Ya, demi kerana menemankan aku.

Tepat dua belas jarum jam di dinding putih, kami selesai dan tentunya sekali lagi mencari ruang untuk didengar-dengar lagi. Kali ini ke ruang kegemarannya yang kecil di tengah riuh. Usai membuat pesan segala, sahabat ini meminta aku mencari informasi tentang tontonan kami di layar lebar tadinya.

Nahh.. ketika itu baru tersedar aku bahawa telefon bimbit tidak ada bersama. Lalu terimbas aku bagaimana ia ditinggalkan di restroom ruang ada-ada itu. Terus sahaja terkaku aku kerana yakin benar tidak akan ada harap untuk mendapatkannya kembali. Apatah lagi untuk kecuaian diri sendiri. Dan, sahabat ini juga punya kepercayaan yang sama.

Namun, melihat sudah terdiam keras sepertinya terhenti kehidupan yang berlangsung, diusahakan dia mencari-cari nama kenalan yang barangkali mampu menghulur bantu. Dan, yaa.. atas kelebihan dirinya yang tersohor nama pada lapangannya itu, maka ada insan-insan yang sudi untuk membantu. Lalu berlakulah proses untuk mendapatkan balik telefon bimbitku itu pada jarak berpuluh kilometer dari tempat yang kami singgahi ketika itu.

Hampir ke jam dua pagi, seorang lelaki berbangsa India menyatakan telefon bimbitku itu selamat dalam simpanannya. Dan, kurang lebih tiga pagi kami kembali bergegas ke ruang orang ada-ada di tengah-tengah neon Bukit Bintang itu untuk mendapatkan telefon bimbit yang menyimpan segala satu macam kebergantungan itu.

Terima kasih, ia masih masih mahu bermilik aku.  Untuk sahabat mei juga, kerana aku percaya kalau bukan kerana keberadaannya, mungkin tidak semudah itu mereka mahu menghulurkan bantu hanya untuk kehilangan biasa sebuah telefon bimbit.

[Babak]

No comments: