Monday, April 18, 2016

~ 18 APRIL YANG PERNAH RANAP ~



HARI ini, 18 April 2016, bergenaplah setahun perginya sahabat yang paling amat aku sayangi, mr legoman. Dan, pada tarikh ini setahun yang lalu, aku berdepan pecah yang begitu membuat luluh di jiwa.

Yaa.. setahun yang lalu.

Dan, betapa pantasnya waktu berlalu. Selama itu rupa-rupanya kamu sudah tidak lagi bersama aku. Tidak lagi mendengar dan melayan segala satu kebosanan tentang aku. Tidak lagi ada meminjamkan bahu kala aku tersakiti hati. Dan tidak lagi untuk segala apapun tentang aku.

Rindu.

Alfatihah wahai sahabat yang paling amat aku kasihi.. Moga-moga kamu masih melihat dan mendengar aku di sini, meski beda pada caranya. Amin..


Entri setahun yang lalu, kala hati memuntah segala isi ranap yang bertembung di dalamnya.


SEMINGGU yang lalu (18 April 2015), pada hari dan waktu yang berulang hari ini (Sabtu, 10.15 pagi), sahabat yang paling amat aku sayangi telah pergi meninggalkan aku dan seluruh manusia yang menyayanginya. Perginya dia untuk mengadap Sang Pencipta kala janjinya dengan yang diatas sana tiba pada ketikanya. Tidak terawal dan tidak juga terlewat meski sesaat.

Paling jujur harus aku katakan di sini, akal dan hati terlalu tersentak dengan pemergian sahabat yang seorang ini. Bukan kerana menidak takdir, dan sesungguhnya kematian itu adalah sesuatu yang pasti untuk setiap sesuatu yang bernyawa di bumi Allah ini. Cuma kenyataannya aku ini hanyalah manusia biasa.. manusia yang seringnya gagal untuk menahan pecah yang tidak terjangka. 

Dan, setelah genap seminggu.. aku meratapi, mengenangi dan mendedikasi rasa pecah ini atas kehilangannya, baru hari ini aku punya kekuatan untuk membicarakan tentang dirinya. Itupun hanya cukup di ruang ini dan bukan untuk mengisi soal tanya segala macam manusia lain yang merujuk aku atas rasa ingin tahu mereka. 

Aku dicari lantaran setakat dalam tahu mereka, aku adalah antara manusia yang paling dekat dengan sahabat ini. Tidak kurang juga yang menyangkakan aku sebagai teman istimewanya. Malah mereka juga tahu, seminggu sebelum perginya juga, telah diamanahkan aku dengan segala kerahsiaannya untuk aku simpan. Sayangnya, kebodohanku membaca isyarat yang diberikan itu telah membawa aku kepada rasa pecah yang lebih berat sehingga hari ini.

Hampir lapan tahun aku mengenali dan mengikat silaturrahim dengan sahabat ini. Hubungan baik kami terjalin pantas sehingga tanpa sedar banyak perkongsian yang telah beralih tangan.  Sifat-sifat kemanusiaan yang dimilikinya itu mungkin antara sebab mengapa kami mudah menjadi dekat. Sementelah kami menaungi zodiak yang sama, justeru keserasian lekat mudah.

Di ruang ini sahaja, entah berapa puluh ratus kali entri yang aku dedikasikan untuknya. Sebahagian besarnya cerita tentang kemuliaan hatinya, tentang hal-hal murni yang dia miliki. Antara yang terakhir bagaimana dia sanggup datang dari hujung ke hujung semata-mata satu panggilan telefon daripadaku yang memberitahu tentang unta hitamku yang tersadai di tepi jalan baru-baru ini. Begitu juga, bagaimana kesanggupannya menemaniku di Bukit Monyet saat aku melarikan diri dari lantai pekerjaaan dek kerana ranap dengan tsunami seorang sahabat awal Mac lalu. Dia ada... ya, sentiasa ada untuk setiap ketika di mana perlunya aku kepadanya. Semenjak awal saling kenal, sehinggalah seminggu sebelum ajal menjemputnya.

Ya, Allah... bagaimana harus aku menerima semua ini..

Seminggu aku tidak membuka mulut untuk bercakap mengenai dia. Tidak satupun tanya daripada pelbagai orang itu aku endahkan apatah lagi mengisinya dengan jawapan. Biar sahaja jawapan itu diperolehi bukan dari aku. Malah sepanjang tempoh itu juga membuat diam yang jauh dari kesengajaanku. 

Pada hari akhir hayatnya, aku ditakdirkan Tuhan berada di luar hiruk pikuk kota. Malah, kala tiba pada perkhabaran hiba yang pada mulanya aku kira hanya gurauan semata, aku sedang berada di tengah keramaian manusia dengan mata yang penuh perhati. Lalu pada ketika berita itu menjadi benar pada akal, emosiku rabak tidak tertahankan. Segalanya menjadi bingit dan kasar seolah tiada pertimbangan yang mampu aku dulukan. Tidak seperti mampunya aku mengawal diri saat pergi ayah kurang lebih 672 hari yang lalu.

Lebih menyedihkan, aku tidak sempat untuk mengiringi perjalanan terakhir sahabat ini pada hari yang cukup memilukan itu. Sukar untuk aku gambarkan di sini bagaimana ranapnya perasaanku saat itu. Nun di pantai timur semenanjung tanah air, aku hanya mampu membaca berita-berita yang dikemas kinikan oleh rakan-rakan di laman sosial mereka. Begitu juga dengan deretan pesanan dan ucapan takziah yang masuk di ditelefon bimbitku selain panggilan tidak berjawab yang memenuhi ruang notifikasi.

Sahabat ini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Ehsan, Kepong selepas solat Asar petang hari yang sama dengan diiringi hujan rahmat. Semoga Syurga tempatmu wahai sahabat yang terpaling amat aku sayangi.

Hanya sekitar jam 7.45 malam, barulah aku tiba di hiruk pikuk kota selepas meredah perjalanan yang sangat sukar dan cukup menghuru-harakan. Meski tidak dapat menatap kali akhir wajah sahabat ini, apatah lagi mengiringinya ke perjalanan akhir, aku percaya pasti ada hikmah yang terselindung disebaliknya. Sementelah emosi ini terlalu ranap tanpa mampu ditutup selindung. Tangisan tidak lagi berlaku dengan senyap, sebaliknya keras diperdengarkan kepada alam.

Demi Allah, aku sendiri tidak pernah menyangka betapa patahnya hati aku saat itu. Sesuatu yang belum pernah terlakukan aku sepanjang umur hayat hidupku. Dan, sungguh.. aku tiada jawapan untuk babak-babak itu sehingga saat jari-jariku bercerita di sini hari ini.

Terima kasih buat sahabat Leo yang sentiasa ada dan begitu mengambil tahu akan ranapnya aku pada ketika itu. Yang setiap selang beberapa minit menghubungiku untuk memastikan aku ada teman berbual meski isi bualnya tidak lebih dari esak tangis yang bersilih ganti. Dan, betapa aku semakin mengenal siapa yang mahu ada untuk saat payahku. Pada ketika aku mengharapkan sehabat dekat untuk datang mengambil tahu, tiba manusia lain yang tidak terjangkakan meminjamkan bahu. Terima kasih Tuhan, kerana menghadirkan mereka untukku. Terima kasih kerana membukakan mata hati untukku.

Pada ketika jarum jam bergerak ke angka sembilan malam, aku mengatur temu dengan teman terdekat sahabat ini di ruang selalu kami membuat sesi. Keras kaku aku di kerusi mendengar atur cerita kejadian satu persatu dengan pecah di dada. Beberapa jam kami di situ. Saling mengenang dan menangisi cerita yang telah menjadi sejarah. Bersusun sesal yang tumbuh, beribu kalau yang terluncur dari bibir. 

Namun, yang pergi, tetap pergi.. Allahuakbar.

Dan sungguh, sepanjang malam aku tidak dapat meletak lena. Meski hanya untuk beberapa saat. Akal tidak mahu berhenti dari terus membuat fikir, hati tidak mahu senyap daripada terus berkata-kata dan air mata tidak mahu berhenti dari terus membasahi wajah. Sungguh di luar akal fikir, bagaimana begini tindak yang terlakukan aku sebagai seorang yang sentiasa tenang mendepani segala kesakitan.

Seawal pagi esoknya (19 April 2015), aku terus menghalakan unta hitam ke tempat persemadian sahabat ini. Aku memilih untuk sendirian ke sana. Tidak mahu sesiapapun menyaksikan saat-saat ranapku ketika itu. Meski ada janji yang dipahat dalam diri untuk tidak lagi membenarkan tangis bersuara pada alam, apatah lagi membasahi pusara merah sahabat ini, aku gagal untuk berbuat demikian.

Langkah kaki yang diatur ketika itu terlalu lemah diasak getar. Hati yang berat menerima kehilangan itu terlalu pecah diusik rasa. Umpama diri terawangan tanpa arah dan tuju. Akal.. yaa, akal sudah tidak mahu duduk di tempat sepatutnya ia. Tuhan sahaja yang tahu.. Tuhan sahaja yang menyaksikan babak hiba awal pagi ahad itu.

Emosi terhenyak keras tanpa mampu aku bendung lagi. Malah tangis itu terlalu hiba sehingga mengganggu hadiah bacaanku untuk menyapanya di sana. Bergema tangisku mengisi segenap ruang senyap di atas bukit yang letaknya jauh dari kebisingan manusia itu. Sesekali saat tangis terhenti, aku membuat bual dengannya seolah ada dia di sebelahku. Berjanji untuk terus menjenguknya di sini, menemani kesendiriannya nun jauh di sana sebagaimana setia dan sanggupnya dia menemaniku setiap kali aku berdepan ranap dan tsunami rasa yang membeban. 

Ya, Allah.. apa ada lagi sahabat yang menyayangiku sebagaimana dia?

Beberapa jam aku mengadap pusaranya. Sehinggalah saat matahari tegak di atas kepala, dan beberapa orang yang tidak aku kenali turut membuat ziarah di pusaranya, aku terpaksa beredar dan mengundur diri. Meski hati masih berat untuk melangkah meninggalkan dia yang baru semalam membuat huni di situ, aku harus berlalu. Dan, melayan hati yang masih basah, aku menghabiskan pula masa beberapa ketika di unta hitam sambil memerhatikan dari jauh mereka yang masih berteleku di pusaranya. Berat hati... sangat berat hati.

Begitu jugalah yang berlaku pada hari kedua. Meski ranapnya tidak sehebat seperti semalamnya, kehilangan itu masih begitu membeban. Sehingga memaksa aku untuk bercuti pada hari ketiga kerana emosi yang begitu mengganggu. Empat hari berturut-turut aku datang membuat ziarah sehingga keadaan yang tidak mengizinkan pada hari kelima dan keenamnya. Dan, semalam serta hari ini aku kembali kepada rutin ziarah ke ruang sunyi ini.   

Ibu yang kebetulan ada bersama-sama kami sepanjang April ini, beberapa kali meluahkan kebimbangannya melihat keberadaanku. Aku tahu, ibu dapat membaca apa yang tersirat di hati, malah terlalu mengerti betapa payahnya aku berdepan saat itu. Berpuluh ratus kali dinasihatkan aku agar tidak pergi membuat ziarah sendirian di atas bukit sunyi itu. Hampir menitis air matanya saat menutur pesan yang tidak terendahkan itu. Ya, Allah... maafkan aku ibu.

Hari ini (25 April 2015), setelah genap seminggu pemergian sahabat ini, aku membawa ibu menemaniku untuk membuat ziarah. Buat pertama kalinya aku ke atas bukit senyap itu berteman. Bersama ibu, aku tenang-tenang sahaja. Dan, alhamdulillah akal dan hati sudah berada di tempat asalnya dia. Malah emosi juga semakin terpulih daripada membuat kacau. Terima kasih Allah.

Apapun, aku mula rindu dengan ajakan sahabat ini setiap pagi hari minggu untuk bersarapan sama dengannya. Rindu dengan bebelannya apabila aku sering memberikan alasan untuk menolak pelawaan itu kerana sayangkan waktu tidurku.. Rindu dengan ejekannya yang sering mengatakan aku satu-satunya perempuan dalam kenalnya yang memulakan hari dan melihat dunia ketika matahari sudah tegak di atas kepala setiap kali hari minggu...

Sahabat, keberadaanmu dalam hidupku sepanjang lapan tahun lalu akan aku kenang sampai mati. Jasa dan pengorbananmu dari yang sekecil-kecil sehingga yang tidak ternilaikan mata, hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya. Semoga aku mampu untuk menjadi sehebat kamu, menjadi sahabat yang terbaik kepada sahabat-sahabat yang dekat berkeliling denganku. Menyalurkan segala energi positifmu kepada mereka pula, insya-Allah. Mudah-mudahan Allah setuju.

[Kelibat lego tetap membawa aku kepada kamu selamanya..]

No comments: