Tuesday, March 22, 2016

~ GELANDANGAN ~


DUA minggu lalu, aku dan adik terperangkap di dalam kesesakan jalan raya yang begitu teruk sekitar Dataran Merdeka dan Jalan Raya Laut. Ketika itu jam  menunjukkan sekitar satu pagi. Kesesakan yang tidak tahu di mana punca telah membawa kami tanpa sengaja ke sekitar kawasan yang sememangnya sering cuba dielakkan ketika malam minggu.

Unta hitam bergerak terlalu perlahan, malah lebih dari itu juga tidak bergerak langsung. Kurang lebih satu jam setengah kami di situ. 

Dalam pada menanti lampu hijau ke merah, merah ke hijau, hijau, merah, hijau, merah, merah, merah, merah dan merah mata aku dan adik tertancap pada suatu babak yang sama. Babak yang menghadap kami kepada beberapa orang gelandangan yang mahu memulakan mimpi mereka di sudut-sudut yang terpaling selesa dalam pilihan mereka. Tidak kurang yang masih menyelongkar isi tong sampah mencari sesuatu untuk di isi ke perut.

"Kalau kita ada banyak duit kan, bolehlah kita belanja diorang ehh.."
Adik memecahkan bingit hon kenderaan yang bersambungan di jalanan.
"Tunggu banyak duit, bila entah kita akan ada banyak duit.. kalau ikhlas, belanja sajalah ikut yang kita mampu sekarang ni.."
Adik angguk-angguk tanda setuju.
"Jom minggu depan, kita datang sini belanja diorang nak.."

Ya, ia bermula dari bual pendek itu. 

Dan, awal Ahad lepas aku dan adik mengotakan kata kami. Sekadar mampu, kerana kami tidak pasti bilakah kami akan punya banyak wang untuk membantu dengan penuh kesungguhan.

Oleh kerana kami hanya berdua (dan tanpa rancangan yang sempurna), kami memilih awal pagi untuk menjalankan aktiviti ini dan tidak memilih waktu malam sebagaimana yang lazim atas faktor keselamatan.

Semoga, mampu memberi sedikit senyum. 

Mudah-mudahan tidak terbaca salah.

[Hidop ini punya bahagian-nya masing-2]

No comments: