Tuesday, February 09, 2016

~ YANG BUKAN DONGENG ~


GAMAM. Dan, Yaa... sekali lagi Tuhan telah aturkan aku satu paket kebetulan yang tidak terfikirkan aku. Entah bila kebetulan terakhir yang pernah menyuakan kami. Empat atau lima tahun lalu, atau barangkali lebih lama dari itu.

Dan, kali ini,,, di ruang ini aku terlibat drama lagi. Selama aku berhabis masa di ruang meralitkan ini, tidak pernah walau sekalipun tersua wajah-wajah yang ada dalam kenalku. Namun, Sabtu beberapa hari lalu, ruang ini mencatat cerita yang tidak ingin aku hadapkan.

Pada saat aku ralit menelek buku acara sementara menunggu persembahan dimula, sahabat dekat pula sibuk dengan telefon bimbitnya yang tidak henti menyala meski dia tahu di dewan serba gah ini penggunaan telefon bimbit dilarang sama sekali.

Kedengaran penonton di sebelah berbisik-bisik mahu menukar tempat duduk. Pada mulanya aku tidak membuat peduli, kerana ia tidak menyangkupi aku. Namun disebabkan ruang keluar masuk itu tidak sebesar mana, aku terpaksa berdiri untuk memberikan laluan. 

Selang beberapa saat, kala aku kembali menyambung membaca informasi pada buku acara, ada satu nama yang menjengah telingaku. Terus sahaja debar membuat tembus tepat ke jantung. Manakan tidak, nama yang ditujukan kepada aku itu kini tidak lagi aku gunakan. Nama itu hanya wujud dalam babak kehidupanku sebelum ini. Beberapa tahun lalu. Dan, hanya mereka yang mengenalku pada beberapa tahun itu sahaja yang akan menyapaku dengan nama itu.

Aku toleh.. dan, ya... sebagaimana informasi yang dihantar ke minda, seseorang yang kenali dan wujud dari masa silamku berada di tempat duduk sebelah dengan senyum yang panjang. Terus sahaja seluruh darah yang mengalir di badanku ini turun naik deras seperti mengejar sesuatu. Lelaki itu ada di ruang yang sama. Dan, yaa.. kebetulan ini barangkali berpunca dari kecenderungannya yang sama denganku sejak dulu. Kecintaan kepada bunyi-bunyian ini.

Belum sempat dia menyoal-nyoal, persembahan dimula dan aku terus mengalih tumpu. Dia cuba untuk membuat tutur, tetapi adab di ruang ini sememangnya  tidak mengalu-alukan bunyi-bunyian lain meski detik jarum jam sekalipun selain yang berkumandang di pentas. Dan, aku pasti dia juga jelas tentang itu kerana dari gayanya, ini bukan kunjungan pertamanya.

Pada saat interval, aku bercadang untuk keluar meskipun itu bukan menjadi kebiasaanku. Sahabat dekat yang tidak menghidu babak ini, awal-awal lagi memberitahu mahu menyapa kenalannya di tempat duduk paling bawah apabila beberapa kali digamit wanita berambut perang itu.

Dan, drama bermula. 

Kalaulah, kalaulah..... symphony no. 7 tujuh itu boleh ditukar dengan permintaan, mahu sahaja aku meminta agar barisan pemain Malaysian Philharmonik Orchestra itu menukarnya dengan symphony no. 5!!! Symphony yang paling mahu aku dedikasikan untuk lelaki ini. Yaa, bunyi-bunyian yang mewakili segala yang bergenderang dalam hatiku untuk dia.

Bagaimana mungkin untuk aku berpura tenang untuk menyembunyikan detak-detak yang rancak membuat rentak di dalamnya sedang aku sendiri tahu akan kemampuan diri. Dan, dia juga tahu tentang itu.

Aku menjadi marah kepada diri sendiri kerana tidak mampu untuk memberi senyum-senyum kosong tanda aku OK2 sahaja.

Dan, yaa.. nombor telefon bertukar tangan meski bukan dengan mahu kerana tiada akal untuk melari.

Episod selirat. Dan bosan.

[Benar-lah, dunia ini ter-lalu kechil untok lari..]

No comments: