Friday, February 12, 2016

~ SOSOK ~


KAMI tidak pernah menyapa tutur. Cuma masing-masing saling kenal pada sosok kerana kami sering berkongsi ruang kosong kedai kopi ini. Selalu dia hanya seorang dengan komputer ribanya yang sering membuat ralit. Aku pula dengan buku yang sentiasa terkepit selain secawan mocha.

Berbanding yang lain, aku mudah mengingat sosok wanita mat salih separuh abad yang manis berhijab ini kerana sikap penyayangnya. Comel bila mana dia berusaha keras bertutur bahasa Melayu dengan penut kepelatan bila mana dia bersapa dengan anak-anak jalanan yang sering sahaja muncul menghulur tangan untuk 'meminta' seringgit dua (di sekitar kedai kopi ini sememangnya ramai anak-anak jalanan yang berkeliaran). Dan, dia sering mahu melayan dan memberi meski kadang-kala berselang lapan minit dia didatangi kanak-kanak jalanan yang berbeza.

Lama dia tidak kelihatan lagi di sini. Malah tidak pula aku sedari bila kali terakhirnya.

Namun hari ini, kala aku sama sahabat mei sedang rancak membuat debat, tiba-tiba ada suara dari tepi menyapa; 

"Hey.. assalamualaikum wbt.."

Wajahnya terlihat begitu teruja kala dia kami bertembung pandang. Aku anggguk-angguk sambil menjawab salamnya. Dia membalas dengan angguk juga dan terus menuruti lelaki kulit hitam yang seperti sedang punya urus penting yang harus terselesai.

Melihat terujanya wanita ini, sahabat mei pantas bertanya tentangnya. Dan, mana mungkin dia mahu percaya bila mana aku katakan kami tidak pernah berbual. Cuma hanya kenal sosok kerana sering berkongsi ruang yang sama.

Meski aku ini hanya punya bahasa bisu, sering keras membatu dalam dunia sendiri, namun masih juga terlihat orang. Bersoal seribu tanya.

[Perfect stranger..] 

No comments: