Tuesday, February 16, 2016

~ KIMIA ~


AKU tahu, sahabat yang seorang ini begitu bersungguh dalam persembahan ini. Siang malam pagi petang, dia berusaha keras untuk memberikan yang terbaik. Bukan kerana teruja mahu dilihat orang, tetapi kerana kecintaannya kepada dunia yang dia pilih ini. Pilihan yang sememangnya tidak pernah mudah dan bertembung duga yang bukan sedikit sehingga terheret pengorbanan yang begitu lekat dalam paket hidupnya.

Aku cukup mengerti itu.

Lalu, hari ini aku datang untuk memberikan sokongan. Ya, bukan kerana isi persembahan itu, tetapi seratus-peratus kerana dia. Lalu sebaik habis membuat lunas pada tanggungjawab yang tergalas di bahunya pada malam ini, dia terus menerpa saat melihat kelibat aku di ruang keraiannya itu. 

Namun, dalam situasi hingar manusia yang teruja membuat sapa, tidak mengizin kami untuk duduk semeja bercerita. Lucu melihat dia yang tidak senang duduk kerana mahu berkata sesuatu. Dari jauh, bahasa bisu yang digamit dengan penuh soal.

Lalu, setelah manusia lain membuat lerai, kami mengada sesi sendiri di luar ruang itu. 

Aku dengar, dengar dan dengar sehabis dengar. Penuh tumpu. Kekecewaannya jelas. Tidak sampai hati pula aku mahu berkata benar. Namun, mana mungkin sanggup aku mengada-adakan yang tidak ada. Dan, dia juga sememangnya tahu apa yang bermain di benakku hanya melihat kilas wajahku. Lalu, berceritalah kami sehabis jujur.

Dan, kejujuran itulah yang menjadikan kami dekat barangkali. Terima kasih kerana menaruh percaya. Membagi cerita tanpa ragu. Dan, barangkali juga kerana dia cancerian... Sebagaimana cancer yang pernah ada dekat suatu masa dulu.

[Radar..]

No comments: