Thursday, January 14, 2016

~ DERAS ~


DOA kesejahteraan buat kamu sahabat. Dan, yaa... kita tidak akan pernah akan tahu bagaimana ujian Tuhan untuk kita pada hari ini ataupun esoknya. Apa yang termilik kita pada hari ini, mungkin sahaja akan menjadi sebaliknya pada jam, hari, bulan atau tahun yang berikutnya.

Justeru, hargailah... hargainya selayak ia perlu dihargai.

Beberapa hari lalu, seorang sahabat dekat bertarung emosi di rumah putih menelan satu kenyataan. Ya, tiba-tiba sahaja tanpa sebarang tanda, deria lihatnya berdepan masalah. Kabur tanpa ada sebab dan kemudiannya menjadi semakin merosot sehingga hanya garisan hitam yang terlihat pada pandang lihatnya.

Lalu, segala kebiasaan terhenti. Emosinya begitu keras terganggu sehingga berubah sikap dan pertimbangannya pada orang-orang di sekilingnya termasuk aku. Dia tidak mahu bertemu aku, tidak mahu menutur sepatah katapun walau hanya melalui teks kerana merasakan hidupnya seolah berakhir setelah lelaki berbaju putih itu memberi bayangan dia bakal hilang deria lihatnya itu secara kekal.

Lama aku menghabiskan masa di unta hitam di parkir rumah putih itu. Sendirian. Menahan rasa pedih yang membungkam sehingga tidak menyedari wajah sugul ini dihujani air mata yang tidak dimahu.

Wahai sahabat yang aku kasihi, aku tidak pernah hanya menyayangi kamu itu pada ketika senangmu sahaja. Tidak sekali-kali aku mendampingmu pada hanya saat ada senyummu. Sekali kamu itu aku gelarkan sahabat, selama manapun aku akan sentiasa ada.

Dan, ikrar itu tidak pernah dongeng.

Semoga, ada kesembuhan dengan izin-Nya. Mudah-mudahan terlembut hatimu untuk menerima kunjunganku. Amin..

[Pecah..]

No comments: