Wednesday, January 13, 2016

~ CANCERIAN ~


PERKENALAN sama si cancerian ini terlangsung tanpa paket atur. Kenalan atas kenalan. Cantuman awalnya hanya atas dasar kecintaan serupa pada hal-hal seni. Lekat kerana kami punya isu yang sama untuk dibual-bual. Lalu kenal yang hanya cecah setahun itu kini lagaknya seperti telah bertahun.

Cancerian. Dan, yaaa..  dia cancerian. Mungkin kerana itu juga.

Dia lahir dan dibesarkan di sebuah negeri utara semenanjung tanah air dengan persekitaran yang sangat dilinkungi bangsanya. Selesai persekolahan, dia menyambung pelajarannya di negara Uncle Sam dan seusai itu dia kembali menguruskan perniagaan bapanya, juga tanah kelahirannya.

Jujur dia mengakui, dalam tempoh usianya kecil sehingga kini dia hampir tiada rakan-rakan apatah lagi sahabat baik dari kalangan orang Melayu. Malah dia juga tidak tahu berbahasa Melayu (kerana hanya fasih menggunakan bahasa ibundanya dan bahasa Inggeris, apatah lagi pernah menjamah makanan Melayu.

Aku nganga, menopang dagu. Dan, beberapa kali mengulang soalan yang sama minta dijelaskan kewajarannya. Dia lahir, menerima pendidikan, membesar dan bekerja di tanah air tercinta, Malaysia tetapi dari apa yang dia kongsikan seolahnya dia hidup di satu negara lain yang terpisah dari segala yang kita punya di sini.

Namun apabila dia bercerita tentang latar balakang keluarga, cara didikan dan persekitarannya, aku mula faham situasi yang dilaluinya. Dan bukan dia sahaja sebenarnya, tapi ramai lagi rakan-rakan sebangsanya juga melalui perkara serupa sebagaimana yang pernah dikongsikan teman jiwa seawal kami saling kenal beberapa tahun dulu.

Dua tahun lalu, dia terlibat dengan pekerjaan yang memerlukan dia bergaul di kalangan rakan-rakan Melayu. Menyedari dia terasing akan soal itu, dia mula belajar segala yang ada di sekelilingnya. Lucu, tetapi aku sangat-sangat bangga dengan kesungguhannya merobah persempadanan yang yang membentang dalam persepsi dan persekitarannya sebelum ini.

Nah, dia sekarang bukan sahaja sudah tahu berbahasa Melayu dan mempunyai rakan-rakan Melayu, tetapi juga lebih daripada itu. Keinginannya dan kesungguhannya untuk belajar merubah diri menjadikan dia begitu hebat di mata aku. Kecintaannya pada tanah air, pada 'semangat Malaysia' itu kini lebih daripada yang aku sendiri miliki.

'Berubah'.

Dan, yaa... seseorang itu hanya mampu berubah jika dia sendiri yang mahukan demikian. Keinginan yang bersungguh.

[Me-minjam cherita...]

No comments: