Sunday, January 31, 2016

~ SESIMPLE BAHAGIA ~


HARI ini disapanya dengan 'Hello' lalu diserta dengan ikon secawan mocha. Beberapa hari lepas dengan ikon bunga matahari berselang seli senyum manis. Sebelum itu juga, dikirimkan doa kesejahteraan sambil tanya khabar dengan ikon laut biru. Esok dan lusa barangkali dia akan melakukan hal yang serupa juga.

Dan, begitulah dia. Tidak setiap hari, tetapi seringkali bila ada ingat yang melintas di benaknya barangkali. Sesimple itu dia memberikan bahagia pada orang lain. Semudah itu juga orang seperti aku ini merasa bahagia dengan lakunya.

Dia yang aku maksudkan ini adalah salah seorang sahabat dekat yang aku punya. Yang sering mengacah-acah senyum aku pada ketika aku tidak punya hati untuk memberi laku demikian.

Kasih sayang itu, mudah.

[Pilehan]

Saturday, January 30, 2016

~ THE BOOK OF TOMORROW ~






The Book Of Tomorrow

KARYA: Cecelia Ahern
TERBITAN: Harper Collins Publishers
CETAKAN: Pertama (2011)
HALAMAN: 313
HARGA: USD$14.99

[Kecukupan]

Friday, January 29, 2016

~ MENJADI APA SAHAJA ~


MURAHNYA. Murahnya perempuan-perempuan cantik ciptaan Tuhan yang merelakan diri mereka rakus dalam dakapan lelaki yang entah siapa punya.

Keduniaan yang menjolok mereka untuk menjadi berani.

Dan aku hanya menggelengkan kepala. Bukan kerana bagusnya aku, atau buruknya mereka. Tetapi kerana mengenangkan betapa kerana wang dan harta benda, manusia boleh menjadi apa sahaja.

Dan, ia adalah sebahagian babak dari majlis orang kaya yang aku sertai tanpa tahu sebab musabab mengapa aku harus ada di situ.

[Malu]

Thursday, January 28, 2016

~ HORMAT ~


TELEFON bimbit. Tidak pernah aku nafikan kepentingannya apatah lagi saat ia kini menjadi satu alat penghubung yang fungsinya berlebih dari yang perlu.

Namun, aku masih tahu menghadguna.

Bila mana ada dalam sesi bersama manusia, aku akan menghormati sesi itu. Tidak kiralah siapa yang ada di dalam sesi itu. Aku tidak akan memilih telefon bimbit meski aku sendiri tidak punya banyak tutur untuk sesi itu.

Justeru, telefon bimbitku sentiasa di dalam keadaan mode senyap setiap kali aku dalam sesi bersama manusia. Malah aku jarang sekali menjawab panggilan atau membalas mesej yang masuk ke telefon bimbitku kecuali pada suatu hal yang benar perlu pada ketika itu.

Mereka yang dekat dan punya mata perhati, pastu sahaja tahu tentang kebiasaan itu. Kebiasaan bila mana aku hanya melihat telefon bimbitku memberi notifikasi sehingga selesai sesi. Ia kerana aku masih tahu membeza dan masih tahu menghormati manusia yang wujud di depanku.

Dan, masih juga sehingga hari ini.

[Notifikasi yang semakin mengerti]

Wednesday, January 27, 2016

~ TERJEBAK ~


USAI. Beberapa jam tadi baru sahaja berlangsung satu acara 'bising-bisingan' yang melibatkan aku dan rakan sepasukan di lantai pekerjaan. Dan, yaa.. Aku terjebak dengan babak-babak yang bukan aku.

Setiap antara mereka yang sudah bertahun mengenaliku, pasti sahaja tahu betapa payahnya aku berdiri sambil merelakan diri menjadi tumpu sekian banyak mata yang memandang. Betapa setiap kali pada situasi begini, aku akan mencari akal untuk tidak berada di dalam babak. 

Bukan tidak pernah mencuba, tetapi aku sememangnya tidak mampu untuk begitu dengan mudah. Berkali rakan-rakan di lantai pekerjaan pernah mengujiku dengan pelbagai cara, dan mereka akan mendapat hasil yang serupa. Hahaha..

Kali ini juga aku masih mencari akal untuk tidak di dalam babak. Bermacam cara aku lakukan untuk melarikan diri. Namun, kali ini aku gagal. Yaa.. kegagalan yang mungkin menjadi hal yang manis buat rakan-rakan sepasukan yang sering sahaja mahu melihat aku dengan watak yang selain aku. 

Dibahankan. Dan, mereka menang.

[Tumpu]

Tuesday, January 26, 2016

Monday, January 25, 2016

~ BERTENTANG ~


SAHABAT MEI. Dia kuat merajuk dan begitu sensitif. Dan, aku pula tidak pernah tahu untuk memujuk dan barangkali juga tidak begitu sensitif terhadap sesuatu yang mahu tidaknya. Namun, sedar tidak sedar sudah lebih satu dekad kami bersahabat baik. 

Sehingga hari ini, kami masih baik-baik sahaja meski tidak sering punya waktu untuk duduk menghirup secawan mocha. Dia masih jadi dia, meski di luar sana dirinya sering sahaja mencuri tumpu mata manusia juga mata lensa yang kadang-kala memerlu dia untuk tidak menjadi dia.

Dan, yaa.. pertentangan seringkali mudah mengikat aku dengan seseorang. 

[Taurus]

Sunday, January 24, 2016

~ PADA SEBUAH NYAMAN ~












LARI. Kerana mahu mengamankan hati seketika. Dengan hanya mendengar deru yang mudah benar lekat dalam ruangku.

Dari awan biru hingga ke laut biru, aku masih dengan tanya yang sama. Apa yang ada-ada ini masih punya untukku pada hari esok?

Apa mungkin berselang hari nanti, aku harus dengan perlu menelan sebuah hikayat tanpa tulis yang begitu tragik itu?

Tuhan, kamu tahu segala tentang aku. Mula dan hujungnya, dan aku berserah kamu.

[Terima kaseh bumi Langkawi kerana mem-beri sedikiet ketenangan untok be-berapa hari ini..]

Friday, January 22, 2016

~ MENGINGAT KAMU ~


APRIL ini genap setahun dia pergi. Sepantas itu masa berlalu meninggalkan segala memori manis dan pahit sepanjang ada dia dalam hidupku. Kamu itu tetap terkenang, biar selama manapun tidak ada di depan mata.

Alfatihah buatmu, Mr Legoman.

Hari ini aku lewat ke lantai pekerjaan. Unta hitam membuat ragam dan karenah. Selalunya, yaaa selalunya sahabat yang namanya mr legoman inilah yang akan menjadi orang pertama mengangkat tangan mahu membantu. Dia sentiasa tahu, setiap kali unta hitam berbuat onar, aku hanya akan duduk termenung mengenang nasib tanpa tahu berbuat apa. Hahaha..

Rindu.

Dan, saat kejadian tadi... aku menelek senarai nombor telefon yang dipunya aku. Dan ia masih juga mahu terhenti di nama kamu mr legoman. Nama yang tidak akan pernah aku padamkan dari direktori senarai kenalanku meski wujud kamu itu tidak lagi di dunia nyata ini.

Sangat rindu.

Dan, menjelang sambutan tahun baru cina tidak lama juga aku tidak akan henti membahas aku seperti selalu. Sementara memberi ruang kepada teman jiwa dengan keraiannya, kamu itu sentiasa mahu mencuri aku untuk bermundar-mundar sama kamu di celah-celah segala yang merah itu.

"Aku pun punya darah Cina tau..."

Hahahaha... dan kata-kata itu masih sentiasa terngiang di telingaku. Dan, masih juga aku mahu berketawa saat mengingat tentang bebelan comel kamu itu.

[Semoga kamu itu sentiasa di-limpahkan kaseh sayang dalam doa-2 kami wahai sahabat..]

Thursday, January 21, 2016

Wednesday, January 20, 2016

~ YANG HANYA TERBILANG JARI ~


KASIH sayang itu mudah mengalir di mana-mana. Pada yang tidak hanya mahu memberi senyum, tetapi juga meminjamkan bahu.

[Persahabatan]

Tuesday, January 19, 2016

~ TENTANG RINDU ~


BUKANNYA kerana aku semakin kurang mengingat ibu, tetapi ibu yang semakin banyak merindui aku barangkali. Setiap kali hati terdetik untuk memenuh rutin untuk menghubunginya, dia pasti akan terlebih dahulu berbuat demikian. Semakin kerap aku cuba untuk mendahului, semakin pantas pula dia memenangi. 

Jika sebelum ini dia tidak pernah menghubungiku di dalam waktu pekerjaan, kini dia tidak lagi melihat kepada batas waktu. Sikap ibu ini sangat-sangat membuat getar pada setiap urat sarafku.

Ibu, 
Al tahu ibu rindu.. Al tahu ibu sunyi.. Dan, ibu juga perlu tahu kami semua sayangkan ibu berlebih segala yang pernah kami punya.

[Rindu yang hanya Tuhan tahu ]

Monday, January 18, 2016

~ TANGAN YANG MENERIMA ~


HUTANG. Dan, aku sebenarya tidak pernah ada dengan mahu untuk menyentuh tentang soal yang satu ini. Dibimbangi silap mengatur kata atau memberi nada, akan menjurus kepada salah faham yang tidak terjangkakan.

Namun, sebagai seorang Islam yang berpegang kepada ajaran yang dikandungkan Al-Quran dan Hadith, kita pastinya tahu dan maklum dengan kebertanggungjawaban kita terhadap perkara ini.

Aku tidak tahu bagaimana mereka yang dikeliling melihatku, namun aku hanya jelas yang punya aku tidak pernah seindah yang mereka fikirkan. Koyak, rabak, senteng, bocor dan sebagainya. Namun, adakah perlu ia diperlihat tonton? Untuk apa, untuk siapa? 

Ya, aku memberi.. bukan kerana aku punya lebih. Tetapi kerana aku faham bagaimana rasanya tidak punya apa-apa. Bagaimana rasanya saat benar-benar perlu kepada suatu yang sesungguh amat diperlukan, tetapi kita tak punya. Aku tahu tentang rasa itu. Lalu aku sentiasa cuba memberi dengan rasa yang ada itu.

Namun, usah diambil kesempatan atas rasa mengerti itu. Usah dimudah-mudahkan secara keterlaluan atas kepercayaan mereka yang memberi itu pastinya sudi memberi kerana dia punya lebih.

Lalu, belajarlah untuk lebih bertanggungjawab kepada suatu yang dinamakan hutang. Usah menunggu si pemberi hutang bersuara kerana dia mungkin mahu menjaga air muka. Tidak juga dia bersuara kerana dibimbangi akan terarah kepada rasa yang tidak ikhlas dalam memberi. 

Dan aku.. terjerat dalam babak yang sama. Dan.. beberapa hari lalu dipermainkan dengan begitu rupa. Allah lebih tahu. Sejahtera hendaknya dan segalanya masih halal. 

[Moga tidak di-bacha salah..]

Sunday, January 17, 2016

~ HAMLET : RASUKAN DENDAM ~










AKU pernah beberapa kali membaca kisah Hamlet, dari sang pengkarya hebat, Shakespeare. Namun hanya pada kali ini bertemu kesempatan pertama untuk menonton pementasan dari karya ini. Meski pementasannya diolah semula dan dipersembahkan dalam Bahasa Melayu, keasliannya masih di situ.

Naskah 'Hamlet: Rasukan Dendam' ini merupakan hasil olahan saudara Ahmad Yatim dan di arahkan oleh saudara Fasyali Fadzly. Mereka adalah orang yang tidak asing dalam dunia pementasan teater dan hebat dengan sumbangan mereka yang tersendiri. Meski terdiri dari dua generasi yang berbeza, mereka sebenarnya mempunyai hala tuju yang sama dalam memartabatkan kembali dunia pementasan teater tanah air.

Aku suka cara Fasyali menterjemahkan karya ini. Setiap sudut diambil terliti. Baik dari segi jalan cerita, rekaan pentas, kostum dan paling penting energi yang dibawakan oleh para pemainnya. Meski mereka masih lagi bergelar pelajar (ASWARA), sebahagian mereka sebenarnya jauh lebih baik daripada pemain teater pentas komersial di luar sana.

Ternyata naskah teater di pentas-pentas kecil begini kini lebih berbaloi untuk ditonton berbanding pentas besar yang sepertinya semakin hilang arah dan hala tuju mereka. Paling nyata, jualan tiket kini seolah-olah menjadi penanda aras baru sama ada berjaya atau tidaknya sesebuah pementasan itu.

OK, itu cerita lain.

Apapun, tahniah untuk seluruh team yang terlibat dalam pementasan teater Hamlet yang sangat mencuri perhati ini. Semoga terus memberikan sesuatu yang lebih hebat dalam membangkitkan perkembangan seni teater tanah air.

[Semangat]

Saturday, January 16, 2016

~ THE SIGNATURE OF ALL THINGS ~






The Signature Of All Things

 KARYA: Elizabeth Gilbert
 TERBITAN: Penguin Books
 CETAKAN: Pertama (2013)
 HALAMAN: 607
 HARGA: USD$8.99

[Dari pandang..]

Friday, January 15, 2016

~ HATI-HATI ~




HATI-HATI
by amira othman

Ada dua jalan cerita
Duka atau bahagia
Mahu pilih yang mana
Hati masih bertanya
Lekas, aku mahu jawabnya

Jaga kau hati-hati
Takut ia dicuri
Kelak nanti kau kan patah hati
Mungkin akan terjadi
Tapi masih tak pasti
Harap engkau mengerti

Lihat pada indah bulan bintang
Namun hilang bila tiba siang
Dan kerna itu ku rasa bimbang
Untukmu cintaku

Angin membuaikan rasa rindu
Tapi tak seperti yang selalu
Dan kali ini ku biar berlalu rasaku
Jadi kau hati-hati

Dalam cerita ada rahsia
Rahsia engkau, aku dan dia
Masih aku tertanya apa pengakhirannya
Lekas, aku mahu jawabnya

Jaga kau hati-hati
Takut ia dicuri
Kelak nanti kau kan patah hati
Mungkin akan terjadi
Tapi masih tak pasti
Harap engkau mengerti

Lihat pada indah bulan bintang
Namun hilang bila tiba siang
Dan kerna itu ku rasa bimbang
Untukmu cintaku

Angin membuaikan rasa rindu
Tapi tak seperti yang selalu
Dan kali ini ku biar berlalu rasaku
Jadi kau hati-hati

Wahai merpati dua sejola
Jangan kau terlupa
Ikutkan hati engkau kan mati
Ikutkan rasa kau binasa

Lihat pada indah bulan bintang
Namun hilang bila tiba siang
Dan kerna itu ku rasa bimbang
Untukmu cintaku

Angin membuaikan rasa rindu
Tapi tak seperti yang selalu
Dan kali ini ku biar berlalu rasaku
Jadi kau

Jagalah kau hati
Takut kan patah hati
Dan kali ini ku biar rasaku
Jadi kau hati-hati

[Dua cherita..]

Thursday, January 14, 2016

~ DERAS ~


DOA kesejahteraan buat kamu sahabat. Dan, yaa... kita tidak akan pernah akan tahu bagaimana ujian Tuhan untuk kita pada hari ini ataupun esoknya. Apa yang termilik kita pada hari ini, mungkin sahaja akan menjadi sebaliknya pada jam, hari, bulan atau tahun yang berikutnya.

Justeru, hargailah... hargainya selayak ia perlu dihargai.

Beberapa hari lalu, seorang sahabat dekat bertarung emosi di rumah putih menelan satu kenyataan. Ya, tiba-tiba sahaja tanpa sebarang tanda, deria lihatnya berdepan masalah. Kabur tanpa ada sebab dan kemudiannya menjadi semakin merosot sehingga hanya garisan hitam yang terlihat pada pandang lihatnya.

Lalu, segala kebiasaan terhenti. Emosinya begitu keras terganggu sehingga berubah sikap dan pertimbangannya pada orang-orang di sekilingnya termasuk aku. Dia tidak mahu bertemu aku, tidak mahu menutur sepatah katapun walau hanya melalui teks kerana merasakan hidupnya seolah berakhir setelah lelaki berbaju putih itu memberi bayangan dia bakal hilang deria lihatnya itu secara kekal.

Lama aku menghabiskan masa di unta hitam di parkir rumah putih itu. Sendirian. Menahan rasa pedih yang membungkam sehingga tidak menyedari wajah sugul ini dihujani air mata yang tidak dimahu.

Wahai sahabat yang aku kasihi, aku tidak pernah hanya menyayangi kamu itu pada ketika senangmu sahaja. Tidak sekali-kali aku mendampingmu pada hanya saat ada senyummu. Sekali kamu itu aku gelarkan sahabat, selama manapun aku akan sentiasa ada.

Dan, ikrar itu tidak pernah dongeng.

Semoga, ada kesembuhan dengan izin-Nya. Mudah-mudahan terlembut hatimu untuk menerima kunjunganku. Amin..

[Pecah..]

Wednesday, January 13, 2016

~ CANCERIAN ~


PERKENALAN sama si cancerian ini terlangsung tanpa paket atur. Kenalan atas kenalan. Cantuman awalnya hanya atas dasar kecintaan serupa pada hal-hal seni. Lekat kerana kami punya isu yang sama untuk dibual-bual. Lalu kenal yang hanya cecah setahun itu kini lagaknya seperti telah bertahun.

Cancerian. Dan, yaaa..  dia cancerian. Mungkin kerana itu juga.

Dia lahir dan dibesarkan di sebuah negeri utara semenanjung tanah air dengan persekitaran yang sangat dilinkungi bangsanya. Selesai persekolahan, dia menyambung pelajarannya di negara Uncle Sam dan seusai itu dia kembali menguruskan perniagaan bapanya, juga tanah kelahirannya.

Jujur dia mengakui, dalam tempoh usianya kecil sehingga kini dia hampir tiada rakan-rakan apatah lagi sahabat baik dari kalangan orang Melayu. Malah dia juga tidak tahu berbahasa Melayu (kerana hanya fasih menggunakan bahasa ibundanya dan bahasa Inggeris, apatah lagi pernah menjamah makanan Melayu.

Aku nganga, menopang dagu. Dan, beberapa kali mengulang soalan yang sama minta dijelaskan kewajarannya. Dia lahir, menerima pendidikan, membesar dan bekerja di tanah air tercinta, Malaysia tetapi dari apa yang dia kongsikan seolahnya dia hidup di satu negara lain yang terpisah dari segala yang kita punya di sini.

Namun apabila dia bercerita tentang latar balakang keluarga, cara didikan dan persekitarannya, aku mula faham situasi yang dilaluinya. Dan bukan dia sahaja sebenarnya, tapi ramai lagi rakan-rakan sebangsanya juga melalui perkara serupa sebagaimana yang pernah dikongsikan teman jiwa seawal kami saling kenal beberapa tahun dulu.

Dua tahun lalu, dia terlibat dengan pekerjaan yang memerlukan dia bergaul di kalangan rakan-rakan Melayu. Menyedari dia terasing akan soal itu, dia mula belajar segala yang ada di sekelilingnya. Lucu, tetapi aku sangat-sangat bangga dengan kesungguhannya merobah persempadanan yang yang membentang dalam persepsi dan persekitarannya sebelum ini.

Nah, dia sekarang bukan sahaja sudah tahu berbahasa Melayu dan mempunyai rakan-rakan Melayu, tetapi juga lebih daripada itu. Keinginannya dan kesungguhannya untuk belajar merubah diri menjadikan dia begitu hebat di mata aku. Kecintaannya pada tanah air, pada 'semangat Malaysia' itu kini lebih daripada yang aku sendiri miliki.

'Berubah'.

Dan, yaa... seseorang itu hanya mampu berubah jika dia sendiri yang mahukan demikian. Keinginan yang bersungguh.

[Me-minjam cherita...]

Tuesday, January 12, 2016

Monday, January 11, 2016

~ MYSTERIOUS ~


AKU tidak pernah tahu atau mahu mengambil tahu bagaimana mereka yang di keliling terutamanya yang tidak pernah mengenal, menilai aku. Terpulang kepada mereka untuk melihat aku dengan cara atau sudut yang bagaimana.

Malam tadi, aku membuat singgah di kedai kopi ampang seperti biasa. Sementara si Leo mencari kerusi kosong, aku ke kaunter membuat pesan. Oleh kerana aku menambah nilai dalam jumlah berlebih biasa, si petugas yang sentiasa manis dengan senyumnya ini mempelawa aku menukar kad bereka letak baru yang mereka punya bagi menggantikan kad sedia ada. 

AKU: Ada beza dengan kad lama ker?
DIA: Tak ada. Cuma kad baru ni designnya lebih cantik. Mysterious.. macam u.
AKU: Macam i? (OK, aku tidak menyangka itu yang mahud dia katakan)
DIA: Err.. yerlah u datang sini selalu, tapi u jarang bercakap n jarang senyum juga. Mysterious. Tak macam ur friend kat luar tu.. hehehe.. dia banyak cakap walaupun jarang datang sini 
AKU: yer ker.. (sambil senyum, tapi menggelengkan kepala)
DIA: Kitorang selalu macam nak tegur tapi tak berani..
AKU: *Sengih.


Aku meletakkan Dark Mocha Frap dan Hot Chocolate di meja. Dan, berkongsi apa yang dikatakan si petugas di kaunter. Dsahabat Leo melepaskan tawa yang panjang. Tanpa henti.

Mungkin aku tidak tahu, jauh juga untuk menyedari bagaimana aku dilihat dan dinilai orang. Dan, yaa.. tapi bagaimana mudah menilai kamu yang jauh dari kenal mereka?

[Menopang dagu..]

Sunday, January 10, 2016

~ MACBETH ~



LEGASI 400 tahun William Shakespeare, dan, MacBeth. Tahu dan pernah membaca tentang perkisahannya, cuma kali ini berpeluang untuk menonton naskahnya menerusi sebuah pementasan teater.

Meski hanya sebuah persembahan dari kumpulan pelajar yang dinilai, pengkisahannya dan segala satu yang dibawa mereka sampai tepat kepada penonton. Lakonannya yang memberi impak dengan penghayatan yang langsung mengesankan membuatkan nilai naskah ini menjadi lekat.

Juga indah olahan skrip yang ditumbuhkan sehingga aku mengejar tafsir setiap butirannya dengan tekun.

Tahniah untuk setiap mereka yang terlibat dengan pementasan ini. Paling besar penghargaan tentunya untuk sang pengarahnya, Encik Ahmad Yatim yang sentiasa tumbuh dengan pesepsi yang berbeza mengikut caranya yang tersendiri.

Dan, bilakah karya-karya indah sebegini mampu lolos berpentas di pentas prestij Istana Budaya..

[Impak]

Saturday, January 09, 2016

~MERANTAU KE DELI ~





Merantau Ke Deli

KARYA: Hamka
TERBITAN: PTS Punlishing House
CETAKAN: Pertama (2015)
HALAMAN: 232
HARGA: RM15.00

[Cherita..]

Friday, January 08, 2016

~ CANTUM ~


SELIRAT. Dan, pada suatu ketika kamu mahu meringankan rasa. Dengan cantum-cantum kamu seadanya. Yang mungkin sampai pada tahu dan rasa, mungkin juga tidak.

[Tanah badan]

Thursday, January 07, 2016

Wednesday, January 06, 2016

Tuesday, January 05, 2016

~ TIDAK DARI PERKATAAN ~


EKSPRESI rasa. Dan, yaa.. scorpio tetap scorpio. Tidak mudah, tidak senang dan sentiasa secara bersenyapan.

Kesenyapan yang mengiring silang bersentiasa. Disalah baca, disalah lihat dan disalah cantum. Kamu tidak akan bertemu dari perkataanku, kecuali kamu mengerti perbuatan lakuku. 

Lalu ari ini, aku dilihat tidak membuat peduli pada suatu kegentingan yang menyangkupi babak air mata tidak terjangka. Sedang yang sebenar aku, ranap dalam emosi yang cukup dalam. 

Dan, Tuhan tahu itu.

[Bhaca-lah dengan mata hati kamu..]

Monday, January 04, 2016

~ DIPANJANGKAN ~


HARI yang cukup memenatkan. Fizikal, minda, emosi dan segala satunya. Yaa aku tahu, segala yang berpunya kita ini hanya pinjaman Tuhan. Bersifat sementara untuk hari ini, esok atau lusanya. Namun jauh di sudut hati, sungguh-sungguh aku berharap semoga dipanjangkan pinjaman yang ini untuk seketika dan sedikit masa lagi.

Doa.

[Semoga mendengar..]

Sunday, January 03, 2016

~ KEPINGAN PUZZLE TERAKHIR ~


SELAKAN hari kedua 2016 yang penuh tragedi. Debar keras yang tidak mahu berhenti. Rumah putih, dinding putih... dan, dua puluh empat jam. 

Degup kencang yang menerjah pada suatu hal di hujung nanti. Petanda menerusi kepingan puzzle terakhir barangkali..

Ya Allah...

Semoga dilapangkan hatiku menerima sebarang kebarangkalian.. 

[Pejam..]

Saturday, January 02, 2016

~ QUEEN ELIZABETH ~







Queen Elizabeth

KARYA: William Shawcross
CETAKAN: Pertama (2009)
HALAMAN: 943

[Biografi..]

Friday, January 01, 2016

~ SELAMAT TAHUN BARU 2016 ~


SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2016
Tidak di bawah percikan bunga api mahupun dikeliling bingar tawa manusia sebaliknya kami meraikan tahun baru ini dengan mengadap urus kerja yang punya tarikh mati sehingga jam empat pagi.

Apapun, semoga tahun ini mampu membaik pulih compang camping dari tahun yang terdahulu. Mudah-nudahan diizin Tuhan juga menjadi tahun yang memeluk aku dengan paket-paket indah tanpa sebarang syarat. Amin.

[Pantas-nya masa ber-lalu..]