Monday, November 02, 2015

~ SESI ~


JARANG sekali mendengar dia bercakap tentang perkara lain, melainkan kerja, kerja, kerja dan kerjaaaa. Biarpun aku cuba mengalih perbualan kepada perkara lain, namun pada akhirnya isinya tetap akan menyentuh kerjayanya, juga impiannnya yang juga berkaitan kerjaya.

Namun hari ini perbualan kami sedikit lain. Meskipun sebahagian besar isi bualnya masih tentang kerjayanya, namun perisanya hari ini sedikit lain. Lebih santai, lebih kepada gaya berkongsi cerita kawan lama yang tidak bertemu. Ya, seolah-olahnya begitu walaupun sebenarnya tidak begitu. Perbualan siang tadi adalah perbualan paling lama dalam sejarah kenal kami.

Ya, lama kerana isi bualnya tidak hanya tersangkut pada soal kerjayanya semata-mata. Tetapi ia lebih kepada dirinya, sisi yang mungkin tidak terlihat pada pandangan orang lain selama ini. Yang jarang-jarang dia kongsi pada orang lain, dan dia buka hari ini.

"I seorang yang sangat degil dan teguh pada pendirian. Never give up selagi impian tidak tercapai atau selagi janji tidak ditepati. Malah I sanggup ambil risiko dan pertaruhkan nyawa demi usaha itu. I tahu u mesti faham sebab u pun scorpio juga kan," soal dia balik kepadaku.

Aku angguk-angguk setuju sambil ketawa kecil. 

Apatah lagi saat dia berkongsi pernah menangis kerana terharu pada sekeping surat dari ibunya yang penuh dengan kata perangsang bersulam kerinduan saat bertemu kembali setelah dua minggu dia keluar dari rumah untuk memberi tumpuan yang penuh kepada paket impian yang berlangsung Sabtu lalu itu. 

Ya, Scorpio tidak akan mudah menangis apatah di depan orang lain kecuali yang benar-benar terkesan dan menyentuh hatinya. Begitu jugalah dia. Lalu disebalik keras hatinya itu, kasih sayang ibu memang sentiasa akan mengusik mudah. Meski bercanggah hala, kasih sayang sering menjadi hal yang menyatukan.

Jiwanya begitu besar. Energi positifnya sering sahaja akan memberi tempias kepada sesiapa sahaja yang mengisi sesi dengannya. Memang begitu dia dari dulu, dari hari pertama kami menyua perkenalan sehinggalah ke hari ini.

Impiannya bukan hanya untuk diri semata, tetapi juga negara. Klise untuk kita terima kalau sekadar kata, namun wanita urat besi ini sering sahaja berkata dengan bukti. Termasuklah apa yang dilakukannya pada Sabtu lalu. Sejujurnya aku kagum dengan usaha, kesungguhan dan segala pengorbanan yang telah dia buat. Teringat bual kami dua minggu sebelum Sabtu lalu, di mana dia tiba-tiba berkongsi kesulitan yang sedang didepani ketika itu.  

Suatu yang paling aku senang tentang gadis bermata sepet ini adalah budi dan kebaikan hatinya. Dia sememangnya memiliki nilai itu dan ia bukanlah suatu yang dibuat-buat atau diada-ada. Mungkin disebabkan itu, sesiapa sahaja yang mengenalinya meski tidak kenal rapat dengannya akan mudah mendoakan yang baik-baik buatnya meski dia bukan seagama. Aku sering perhatikan itu. Dan, dia juga percayakan itu apabila sering mengatakan, kata-kata baik atau doa orang terhadapnya banyak kali menyelamatkan dia daripada banyak perkara yang tidak baik.

Soo Wincci, orang mendoakan yang baik-baik buat kamu kerana kamu itu sememangya mempunyai hati yang baik. Moga paket-paket mimpi yang sedang kamu cantum-cantum itu akan berhasil kenyataan dengan sebaiknya. Tahniah atas kejayaan luar biasa Sabtu lalu. 

[Meminjam energi positif]

No comments: