Monday, November 30, 2015

Sunday, November 29, 2015

~ LUDWIG VAN BEETHOVEN ~



SYMPHONY NO. 5. Hanya untuk yang mahu rasa. Terapi yang sering membawa lari kala resah membuat singgah. Dan segenap ruang terisi dengannya.

Dan, aku masih orang yang sama.  Kalaulah kamu itu juga masih orang yang sama pernah tahu bagaimana lukaku larut dalan bunyian-bunyian ini.

[Menekuni..]

Saturday, November 28, 2015

~ MEMOIR ZURINAH HASSAN ~







Memoir Zurinah Hassan

TERBITAN: UKM Press
CETAKAN: Pertama (2003), Kedua (2005) & Ketiga (2015)
HALAMAN: 649
HARGA: RM25.00

[Cantom..]

Friday, November 27, 2015

~ SEL-SEL SENYAP ~


AKU tahu, dia tidak mudah untuk menerima kenyataan ini. Sementelah usianya masih muda dan barangkali tidak terfikir olehnya untuk menerima hakikat seperti ini. 

Namun, itulah yang telah ditetapkan untuk dia. Fasa menerima kenyataan itu, sudah dilaluinya degan baik. Dan, ya dia sememangnya seorang wanita yang kuat dan tabah. 

Selepas tiga hari menjalani pembedahan untuk membuang sel-sel kanser yang masih baru menghuni ovarinya, dia terlihat baik-baik sahaja. Malah lakunya seolah tiada apa yang terjadi. Berkongsi pengalaman bagaimana tubuh badan sempurnanya ditoreh pisau tajam dan diselongkar isinya selama beberapa jam di bilik bedah.

Ibunya mendengar ceritanya bersama kami dengan wajah yang sayu sekali. Sesekali menepuk-nepuk bahunya. Dan, aku juga mengangguk-angguk. Naun, jauh terlihat isi hatinya di dalam sana melalui anak matanya yang penuh cerita itu.

Ketakutan untuk seorang wanita menjadi suatu kekuatan juga dalam suatu hal yang lainnya.

Semoga segalanya kembali baik-baik dan mudah-mudahan kekuatannya tidak berkurang. 

[Senyuman yang tetap manis membuat sembunyi..]

Thursday, November 26, 2015

Wednesday, November 25, 2015

~ TULISAN JODOH ~


TAHNIAH untuk sahabat dekat yang bakal melangkah ke fasa baru bersama cinta hatinya hujung bulan ini. Semoga berpanjangan jodoh dan bermilik bahagia hingga ke jannah. Dan, sungguh aku menumpang gembira di atas perkhabaran indah ini.

Mudahnya tulisan jodoh yang Tuhan rancangkan untuk dia. Berkenalan dengan pasangannya itu sekitar Oktober lalu, mengikat tali pertunangan sebulan selepasnya, dan tidak lama lagi bakal diijabkabul sebagai pasangan suami isteri degan restu penuh daripada keluarga dan rakan taulan.

Indah.

[Yang kita tidak akan pernah tahu..]

Tuesday, November 24, 2015

~ YANG TERSEMBUNYI ~


SETIAP apa yang berlaku sememangnya ada hikmah yang tersembunyi. Cuma keberadaannya antara disedar kita atau tidak.

Meski pahit untuk aku telan hal yang jadinya semalam itu, perlu aku akui ada sesuatu yang dipelajari di situ. Sesuatu untuk memperbaiki diri agar menjadi lebih baik dari sebelumnya. 

Mungkin kita kadang-kala merasa sudah memberi laku yang terbaik untuk manusia keliling. Namun tanpa kita sedar barangkali ada sebahagiannya yang hanya betul pada perkiraan kita semata sedangkan begitu canggung di mata yang lain.

Justeru, ada baiknya sesuatu insiden sebegini berlaku untuk memberi kita mata yang luas bagi melihat dengan lebih jelas tentang hal-hal keliling dan menerima hakikat, manusia tidakkan pernah sama persepsinya terhadap sesuatu.

Terima kasih untuk pelajaran yang percuma ini..

[Hikmah..]

Monday, November 23, 2015

~ TIDAK AKAN PERNAH TAHU ~


ERAT dipeluknya aku sehingga basah air matanya menyentuh kulit bahuku. Aku hanya membiarkan dia melepas luluh hatinya untuk beberapa ketika. Diam aku tanpa sepatah kata ditutur. Dan, pada hujung sedu sedannya barulah aku menariknya duduk mengadap deru kenderaan yang keluar masuk di lapangan parkir rumah sakit yang berlimpah cahaya kelam itu.

Menerima berita dan hakikat sebuah kehilangan manusia yang dekat di hati kita sememangnya tidak pernah mudah. Aku yakin, semua antara kita jelas akan itu.

Justeru, aku tidak pandai untuk berbasa-basi menutur kata-kata untuk menyedap hati mereka yang bersituasi ini. Kerana aku sadar, semanis dan seindah mana sekalipun kata yang aku tutur, ia tetap tidak akan pernah mampu  menenang gelora rasa kehilangan yang membuak.

Pun begitu, aku akan ada dan sentiasa sedia ada di sisi untuk mendokong kesakitan itu. Itu janji yang sentiasa aku semat dalam hati untuk sebuah keberadaan.

Sahabat ini baru sahaja kehilangan sahabatnya yang terlibat dengan kemalangan maut tengah malam tadi. Kehilangan yang sangat mengejutkan. Seminggu lalu allahyarham ditahan di hospital kerana jangkitan kuman di paru-parunya. Sahabat ini tidak sempat bertemu membuat ziarah lantaran sikap menangguh lengahnya mencari hari yang benar-benar dalam kelapangannya. 

Dia tidak tahu, dan kami atau kita tidak akan pernah tahu akan suatu saat ajal yang ditentukan Tuhan untuk diberhenti. Dan begitulah allahyarham sahabatnya itu dipanggil pulang ke rahmatullah pada hari semalam. Bukan kerana sakit yang dideritainya seminggu yang lalu, tetapi kerana terlibat kemalangan kereta yang di luar duga. 

Allah...

Ermm... suatu yang aku pinjam hari ini agar tidak membuat lengah untuk apa jua pada saat niat dan rasa telah membuat detik. Kita tidak tahu dan tidak akan pernah tahu. Hargailah..

[Memejam mata...]

Sunday, November 22, 2015

Saturday, November 21, 2015

~ MENUNGGU KEMATIANKU ~






Menunggu Kematianku

KARYA: Dani Mahmoed
TERBITAN: Indoe Book Corner
CETAKAN: Pertama (April 2012)
HALAMAN: 108
HARGA: RM25.00

[Pada suatu saat yang tiba..]

Friday, November 20, 2015

~ KULIT JANTUNG ~


MENJADI resam manusia yang merasa luar biasa sakit apabila terlaku sesuatu yang canggung orang kepadanya. Sedangkan ketika dia menggerak perlakuan serupa, tidak pula dia fikirkan orang yang merasa.

Sepanjang malam tadi aku bersenyapan dalam monolog keras. Terawangan rasa kesal yang membenih pada suatu hal yang telah pecah dan tidak tertangkupkan. 

Meski dia bukan siapa-siapa yang harus aku memberi peduli, namun kekerasan kata dan kesepahan angkuhnya sangat-sangat mengores kulit jantungku. Oh manusia.. apakah kamu tahu ertinya adil yang paling benar untuk yang gelarnya manusia juga?

Doa kesejahteraaan untuk kamu. Mudah-mudahan dibukakan Tuhan pintu hatimu untuk berkasih sayang sesama manusia lainnya tanpa syarat. Amin.

[Luka..]

Thursday, November 19, 2015

~ SCORPIO YANG PALING ISTIMEWA ~


KAMI sebenarnya menuntut ilmu di pusat pengajian yang sama di Lembah Pantai. Namun ketika itu kami tidak saling mengenali. Mungkin hanya pernah terpandang kelibat saat membuat selisih di dalam kampus. Aku tidak pernah perasan atau ingat akan kelibatnya, tetapi dia sering berkeras mengatakan kami pernah beberapa kali bertemu, lantas dia mengenal kelibat aku meski tidak pernah bersapa apatah lagi punya urusan denganku.

Iya, mungkinlah.. tapi sungguh, aku tidak dapat mengingatnya dengan jelas.

Apatah lagi suatu ketika ketika itu, aku seorang yang penyenyap. Jauh lebih senyap daripada sekarang. Tidak punya ramai kawan, apatah lagi kawan yang bukan sebangsa. Kalau adapun, hanya mereka yang sekelas atau satu projek serta aktiviti yang sama. Selain itu, aku banyak bergaul dengan orang yang sama.. yang hanya terbilang jari.

Beberapa tahun selepas tamat pengajian, kami bertemu dan berkenalan secara tidak sengaja. Semuanya pada babak kebetulan di mana kami ditakdirkan berkongsi kenalan yang sama. Dan, ya... kecilnya dunia ini. 

Semenjak itu kami mula mengenal, menjadi rapat dan berada pada hubungan hari ini. Bukan sehari dua, dan pastinya tidak bersalut manis sepanjang masa. Pernah putus dan memutuskan, juga pernah  ke perancangan ijabkabul dan segala sesuatu yang pernah. Namun, hari ini begini juga kami. Ramai rakan-rakan dekat yang mengenali kami sering bertanya mengapa perlu menunggu terlalu lama. Malah pernah juga aku disoal adik perempuannya atas keraguan yang sama.

Sukarnya untuk membuat jelas. Namun aku percaya, segalanya telas tertulis di atas sana. Cuma, aku tidak tahu apakah yang telah ditentukan untuk kami itu. Meski pernah merungut, meski pernah ada rajuk dan mempersoal itu dan ini, perlu aku akui, lelaki sepet yang seorang begitu memahami. Aku tahu tidak mudah untuk dia, apatah lagi berdepan dengan tanya-tanya itu, namun dia masih mahu ada.

Ada denganku..

Selamat Hari Ulang Tahun kelahiran paling istimewa... Semoga kita sama-sama menjadi lebih baik daripada yang semalam. Semoga baki hidup yang ada ini terisi dengan hal-hal manis yang membahagiakan orang-orang yang kamu sayang dan mereka yang berkeliling. Dan, ajal jodoh dan pertemuan itu adalah rahsia Allah. Hanya Dia yang maha tahu dan berhak di atas segalanya.

[Sesuatu yang tidak selalu tentang kamu...]

Wednesday, November 18, 2015

Tuesday, November 17, 2015

~ DINDING PUTIH ~


KOPI Ampang. Antara tempat yang kini semakin akrab dan menjadi tempat lari aku. Saat mahu sendiri-sendiri, aku akan berada di sini. Saat mahu lari-lari, aku akan memilih untuk di kerusi ini. Saat mahu khayal ke dunia satu lagi tanpa ganggu dengan bahan baca yang dikelek, aku juga akan menyelinap senyap di sini.

Pernah suatu masa, sudut ini juga menjadi tempat perdebatan, bertegang urat dan tempat bermasam muka. Sederetan yang pernah-pernah.

Hari ini aku duduk di sini, di kerusi yang sama, tanpa berbuat apa-apa. Tanpa bahan baca, tanpa komputer riba, tanpa janji temu dengan sesiapa juga, malah tanpa telefon bimbit yang terselit cicir di unta hitam dan aku malas untuk berpatah balik untuk mengambilnya. 

Aku hanya duduk dengan secawan caffe late panas (dan tidak mocha seperti selalu), sambil mengadap dinding kosong di depanku. Sudut yang membelakangi manusia-manusia lain yang keluar masuk di ruang ini.

Isi cafe latte surut ke dasarnya. Panasnya yang aku sedut seperti menyentuh kulit jantung. Jari menguis-nguis cawan merah grande, menahan panas. Tiba-tiba aku bertanya sendiri, apa yaa rasanya latte ini? Aku lupa untuk merasa, apa rasanya.

Ermm..

Tiba-tiba satu kelibat manusia menarik kerusi di sebelahku. Senyum, mengangguk-angguk dan terus memelukku kemas. Terpinga-pinga, tetapi aku merasakan ada kasih sayang yang mengalir disebalik pelukan itu. Allah...

[Rasa..]

Monday, November 16, 2015

~ CANCER ~


DAN, dia beda dengan rakan-rakan tioghua lain yang aku kenal. Kami dikenalkan oleh seorang rakan yang sebangsanya kurang lebih setahun yang lalu. Bertemu keserasian kerana berkongsi kecenderungan yang sama dalam hal-hal seni.

Cancer... yang sedikit beda dari cancerian yang pernah didekat aku.  

Kelmarin kami membuat luang dalam satu sesi seni yang di luar rancang. Sesi pendek yang mengenalkan aku tentang sisi lain dirinya. Mudah leka kala menutur bual dengannya kerana kebijaksanaan dia melontarkan fikirannya. Tidak mendabik dada meski kelebihannya jelas terlihat siapa sahaja yang mendekat dengannya.

Cancer dan Scorpio selalunya punya hal-hal yang bertentang, namun lain pula dengan sahabat yang seorang ini. Kami rupa-rupanya banyak melihat dengan cara dan pendekatan yang sama. Dan, kami baik-baik sahaja.

Pernah aku menjadi hanya seorang wanita Melayu dalam sesuatu sesi dia, dan pernah juga dia menjadi hanya seorang wanita Cina dalam satu sesi aku. Banyak sekali cerita kehidupan yang terpinjam.

[Cancer.. yaaa, Cancer]

Sunday, November 15, 2015

~ THE SECRET LIFE OF MARILYN MONROE ~





The Secret Life Of Marilyn Monroe

KARYA: J. Randy Taraborrelli
CETAKAN: 2009
PENERBIT: Grand Centre Publishing
HALAMAN: 541
HARGA: UK$8.99

[Cherita kehidopan]

Saturday, November 14, 2015

~ LARI ~


SABTU, dan hari bekerja. Seawal jam sembilan pagi, aku sudah bersiap siaga di lantai pekerjaan. Sendiri. Segalanya tidak menjadi manis meski cuba berlapang dada. 

Cuma terima kasih untuk dua mereka terkenal namanya di dada akhbar ini yang memberi energi positif dan kerjasama yang terbaik dalam melancarkan sesi hari ini meski dicelah sesak nafas yang menekan.

Usai sesi sekitar 4.50 petang, unta hitam menghala ke bukit monyet. Mahu melerai ketegangan yang semakin ketat membuat belenggu. Malangnya tiba di kaki bukit, kawasan yang sering sahaja galak dengan riuh rendah haiwan yang membuat hibur itu masih ditutup kepada umum. 

Gara-gara pembakaran mercun yang menganiayai sekumpulan haiwan ini ketika bulan Ramadan lalu. Huh.. Lama aku merenung ke arah jalan yang ditutup dengan papan tanda besar itu.

Seketika kemudian, unta hitam sidah berada di perkarangan ke Masjid Darul Ehsan, Taman TAR Ampang. Tempat selalu yang menjadi saksi sesakku.

[Rasa yang berat..]

Friday, November 13, 2015

~ HITAM DAN PUTIH ~


DISIPLIN. Sepanjang kurang lebih tujuh tahun berkhidmat di lantai pekerjaan di mana duduknya aku saat ini, ini merupakan kali pertama seumpamanya aku di 'sabitkan' dengan masalah disiplin diri yang salahnya umpama melaku jenayah berat dengan memangsakan sederetan manusia yang tidak bersalah.

Aku ditegur encik ketua dengan nada yang cukup sinis dan menekan. Meski ia hanya melalui aplikasi whatsapp, namun ia sangat-sangat membekas di hati. 

Aku mungkin tidak mengambil hati jika teguran itu berkenaan salah silapku dalam soal-soal urus perkerjaan yang pastinya suatu hal rutin dalam membetul silap dan salah. Namun apabila ia menyentuh soal disiplin, aku menjadi malu sendiri kerana aku bukan dalam kalangan mereka yang bermasalah dalam soal begitu. Mungkin aku mudah dan banyak berbuat salah dalam urus pekerjaan, tetapi bukan dalam soal yang melibatkan disiplin.

Aku fikir, selama mengenaliku encik ketua sendiri sudah maklum akan keberadaanku dalam soal-soal seperti itu. Kerana dalam tempoh tujuh tahun ini aku bekerja di bawah ketua yang sama.

Dan, yaa.. drama ini berlaku akibat salah faham yang sengaja dan tidak disengajakan. Aku sendiri tidak pasti akan kebenarannya kerana semakin sukar untuk membaca hal-hal keliling meski manis wajah memayung hari dengan hampir sempurna. Sungguhpun kecewa dengan apa yang berlaku, aku cuba dengan sebaiknya untuk melihatnya secara positif. 

Belajar.. membetul.

[Bila kerusi dan meja ber-chakap..]

Thursday, November 12, 2015

~ TANGGUNGJAWAB ~


PROFESIONAL. Tidak kira siapa kamu atau bagaimana kamu, namun pada ketika dalam gelanggang kerja, maka berlakulah dengan cara yang sepatut dan sewajarnya kamu. Sementelah kerja-kerja yang melibatkan orang lain, mengertilah akan suatu hal yang disebut sebagai tanggungjawab.

Kita bukan di zaman anak-anak yang masih di bangku sekolah. Mampu bermain-main dengan segala laku tidak bertika masa asal sahaja membuah gembira untuk diri. Berdaya geraklah selaku orang dewasa yang punya akal yang bijaksana dalam membuat timbang soal-soal serius dengan penuh rasa tanggungjawab.

Tersepit, terkial, terpinga..

[Geleng..]

Wednesday, November 11, 2015

Tuesday, November 10, 2015

~ KE MIMPI ~


MIMPI. Tidak selalu aku mempunyai mimpi. Jarang, terlalu jarang. Namun semenjak galau membuat singgah dan mendekat umpama sahabat dekat, ada drama yang tercetus di mimpi.

Betullah kata ibu, kalau kita fikiran kita begitu tekun terarah kepada sesuatu itu sebelum lelapnya mata ke angkasa yang lepas menjengah ke dunia lagi satu, maka bertemulah kita di mimpi.

Dan, yaa.. setelah lama kebiasaan terhenti, entah kenapa aku seperti terkenang-kenang dan rindu akan kebiasaan-kebiasaan itu. Kebiasaan untuk mengadu dan duduk bercerita pada saat kecamuk membuat kacau seratus. Ya, kerana adu domba itu kana menjadi laju dan mudah pada yang sudah berada di lapis bawang yang paling dalam.

Lama...

[Ber-jaoh kebetolan..]  

Monday, November 09, 2015

~ FEELINGS - NINA SIMONE (1976) ~



[feelings....]

~ FEELINGS - VIGON BAMY JAY ~




FEELINGS 
by  vigon bamy jay

Feelings, nothing more than feeling. 
Trying to forget my feelings of love. 
Teardrops, rolling down on my face. 
Trying to forget my feelings of love.

Feelings, for all my life I'll feel it.
I wish I'd never met you, girl.
You'll never come again.
Feeling, woh, woh, woh, feeling,
Woh, woh woh, feeling,
Again in my arms.

Dis-lui,
Fais-ça pour moi, dis-lui,
Que j'ai bien fini, oui,
D'être malheureux,
Dis-lui,
Que plus jamais, dis-lui,
Je ne pense elle,
Quand tu la verras,
Dis-lui,

Dis-lui,
Que j'aime une autre fille,
Dis-lui tout ce que tu voudras,
Mais il faut qu'elle te croit,

Oh, oh, oh, dis-lui,
Oh, oh, oh, dis-lui,
N'importe quoi.

Dis-lui,
Oh, oh, oh, dis-lui,
Oh, oh, oh, dis-lui,
Qu'elle n'est plus rien pour moi.

[.............................................]

Sunday, November 08, 2015

~ ..................... ~




[whenever i'm alone with you..]

~ .................................................. ~




LOVESONG... Entah mengapa ada rasa yang menjalar halus setiap kali aku mendengarkan lagu ini. Yaaa, setiap kali. Diam-diam... senyap-senyap.. dan sesuatu di dalam sana itu sangat yang menyentuh hati.. 

Kembali mendengarkannya setelah sekian lama aku menutup bunyinya..

[Dan, saat ini aku menghadap dinding putih ke dunia lain dengan bait-2 lagu ini..]


LOVE SONG 
by the cure

Whenever I'm alone with you
You make me feel like I am home again
Whenever I'm alone with you
You make me feel like I am whole again

Whenever I'm alone with you
You make me feel like I am young again
Whenever I'm alone with you
You make me feel like I am fun again

However far away
I will always love you
However long I stay
I will always love you
Whatever words I say
I will always love you
I will always love you

Whenever I'm alone with you
You make me feel like I am free again
Whenever I'm alone with you
You make me feel like I am clean again

[Whenever I'm Alone With You..] 

Saturday, November 07, 2015

~ PERAHU KERTAS ~






Perahu Kertas

KARYA: Dee/Dewi Lestari
TERBITAN: Bentang Pustaka
CETAKAN: Pertama (2009)
HALAMAN: 442
HARGA: RM35

[Paket harapan..]

Friday, November 06, 2015

~ MERAH, DAN MARAH



RETAK seribu. Telefon bimbit kesayangan yang belumpun genap setahun usianya, hari ini mencium kerikil jalan gara-gara menahan amarah yang tidak terlepaskan.

Sedih.

Entah bagaimana. 

[Ter-surat dan ter-sirat..]

Thursday, November 05, 2015

~ SEMBILAN JAM, DAN AROMA KOPI ~


DARI lantai pekerjaan, meredah isi jalan raya yang melimpah dan ke kopi ampang. Memilih kerusi selalu, dan dari jam sembilan malam sehingga ke enam paginya aku dan sahabat mei dengan tenang-tenang bercerita sambil menopang dagu seolah di luarnya matahari sedang tegak di kepala.

Sembilan jam. Kami mengisi bual sambil menghirup kopi panas. Tiada apa yang mendesak, tiada apa yang serius dan berat.. hanya bual kosong. Hanya bual-bual cerita kehidupan yang remeh tentang kami dua. Dan, bukan suatu hal yang luar biasa kerana memang begitu selalu jika dua kami punya kesempatan. Jika tidak, berbulan tidak bertemu muka, bertahun juga ada, bertahun-tahun juga pernah. 

Dan, benarlah.. sebenarnya di antara sahabat yang membuat keliling, bukan semua yang kita mampu selesa membuat sesi begini. Paketnya mereka pastinya beda kerana kita tidak dijadikan serupa. Dan, dalam paket yang dipunya aku, sahabat yang seorang ini termasuk dari kalangan mampu tenang-tenang dengan hanya bual tanpa sadar akan berjalannya waktu. Hanya bual tanpa berbuat yang selainnya. 

Pulang ke rumah, sempat membuat lelap kurang lebih satu jam, dan aku kembali ke lantai pekerjaan. 

"Apa yang kalian bualkan selama jam yang begitu.." pernah disoal teman jiwa berbaur cemburu dan ingin tahu.
"Rahsiaa.." beracahan aku menjawab sambil ketawa kerana siapa mahu percaya kalau aku katakan bual kami hanya seputar hal remeh dunia dan tidak lebih..

Seorang lagi yang mampu serupa dia, kembarnya yang telah hilang dari radar itu. Takdir aku didatangkan mereka sebagai sahabat yang 'macam-macam' di tengah perjalanan hidupku.. :)

[Yang remeh-2 sering-nya men-jadi yang indah-2..]

Wednesday, November 04, 2015

~ TIGA TINGKAT KOSONG ~

HARI ini punya misi tidak terancang dengan sahabat mei. Justeru sebaik usai urus di lantai pekerjaan, unta hitam terus terhala ke rumahnya.

Sehingga ke awal pagi ini, kami menjalankan misi keras. Misi kerja-kerja buruh yang mungkin lucu jika terlihat orang lain yang barangkali sering melihat dia dengan mata yang sempurna dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Ya, hari ini aku mendedikasikan diri untuk sahabat yang seorang ini. 

Mengenali sahabat mei, si Taurus ini sangat tidak suka menyusahkan orang lain. Malah sepanjang kenal, dia tidak pernah mahu meminta-minta. Selagi ada larat dek tulang empat keratnya, segalanya mahu dilakukan sendiri.

Namun, kalau benar kita ini bersahabat dekat dengan seseorang, pastinya mudah untuk mengerti  apa yang mereka perlu dan mahu, meskipun tidak dia minta atau katakan dengan perkataan pada bila-bila masa dan ketikapun.

Dan, sebenarnya.. selain sahabat June, banyak kerja-kerja gila yang aku lakukan dengan si Taurus ini. Ya, segala sesuatu yang tidak aku lakukan dengan sahabat-sabahat lain. Dua manusia ini sering sahaja berjaya membuat aku bersetuju untuk melakukan perkara-perkara yang bukan aku.. Hahaha..

Dan, kalaulah sahabat june menyertai kami tadi.

[Esok lagi..]

Tuesday, November 03, 2015

~ RADAR ~


ENTAH masih di lantai yang sama ini atau mungkin sudah tidak di sini. Itu jawabku dalam keadaan yang teragak-agak dan teracuh-acuh saat disuakan soal itu oleh seseorang siang hari tadi. Jawapan itu membuatkan si yang bertanya menjengilkan matanya. Seperti pelik benar dengan bunyi barisan perkataan yang singgah di telinganya barangkali.

Lalu cepat-cepat aku ubah perkataan agar lain sedikit bunyinya setelah sedar jawapan jujur itu mungkin tidak sesuai aku tuturkan begitu. Tapi, yaa.. sememangnya benar, aku tidak tahu. Betul-betul hilang dari radar. 

Paling akhir kami menghirup secawan kopi sekitar Mei lalu.

Semoga semuanya baik-baik sahaja.

[Sudah November rupa2nya..] 

Monday, November 02, 2015

~ SESI ~


JARANG sekali mendengar dia bercakap tentang perkara lain, melainkan kerja, kerja, kerja dan kerjaaaa. Biarpun aku cuba mengalih perbualan kepada perkara lain, namun pada akhirnya isinya tetap akan menyentuh kerjayanya, juga impiannnya yang juga berkaitan kerjaya.

Namun hari ini perbualan kami sedikit lain. Meskipun sebahagian besar isi bualnya masih tentang kerjayanya, namun perisanya hari ini sedikit lain. Lebih santai, lebih kepada gaya berkongsi cerita kawan lama yang tidak bertemu. Ya, seolah-olahnya begitu walaupun sebenarnya tidak begitu. Perbualan siang tadi adalah perbualan paling lama dalam sejarah kenal kami.

Ya, lama kerana isi bualnya tidak hanya tersangkut pada soal kerjayanya semata-mata. Tetapi ia lebih kepada dirinya, sisi yang mungkin tidak terlihat pada pandangan orang lain selama ini. Yang jarang-jarang dia kongsi pada orang lain, dan dia buka hari ini.

"I seorang yang sangat degil dan teguh pada pendirian. Never give up selagi impian tidak tercapai atau selagi janji tidak ditepati. Malah I sanggup ambil risiko dan pertaruhkan nyawa demi usaha itu. I tahu u mesti faham sebab u pun scorpio juga kan," soal dia balik kepadaku.

Aku angguk-angguk setuju sambil ketawa kecil. 

Apatah lagi saat dia berkongsi pernah menangis kerana terharu pada sekeping surat dari ibunya yang penuh dengan kata perangsang bersulam kerinduan saat bertemu kembali setelah dua minggu dia keluar dari rumah untuk memberi tumpuan yang penuh kepada paket impian yang berlangsung Sabtu lalu itu. 

Ya, Scorpio tidak akan mudah menangis apatah di depan orang lain kecuali yang benar-benar terkesan dan menyentuh hatinya. Begitu jugalah dia. Lalu disebalik keras hatinya itu, kasih sayang ibu memang sentiasa akan mengusik mudah. Meski bercanggah hala, kasih sayang sering menjadi hal yang menyatukan.

Jiwanya begitu besar. Energi positifnya sering sahaja akan memberi tempias kepada sesiapa sahaja yang mengisi sesi dengannya. Memang begitu dia dari dulu, dari hari pertama kami menyua perkenalan sehinggalah ke hari ini.

Impiannya bukan hanya untuk diri semata, tetapi juga negara. Klise untuk kita terima kalau sekadar kata, namun wanita urat besi ini sering sahaja berkata dengan bukti. Termasuklah apa yang dilakukannya pada Sabtu lalu. Sejujurnya aku kagum dengan usaha, kesungguhan dan segala pengorbanan yang telah dia buat. Teringat bual kami dua minggu sebelum Sabtu lalu, di mana dia tiba-tiba berkongsi kesulitan yang sedang didepani ketika itu.  

Suatu yang paling aku senang tentang gadis bermata sepet ini adalah budi dan kebaikan hatinya. Dia sememangnya memiliki nilai itu dan ia bukanlah suatu yang dibuat-buat atau diada-ada. Mungkin disebabkan itu, sesiapa sahaja yang mengenalinya meski tidak kenal rapat dengannya akan mudah mendoakan yang baik-baik buatnya meski dia bukan seagama. Aku sering perhatikan itu. Dan, dia juga percayakan itu apabila sering mengatakan, kata-kata baik atau doa orang terhadapnya banyak kali menyelamatkan dia daripada banyak perkara yang tidak baik.

Soo Wincci, orang mendoakan yang baik-baik buat kamu kerana kamu itu sememangya mempunyai hati yang baik. Moga paket-paket mimpi yang sedang kamu cantum-cantum itu akan berhasil kenyataan dengan sebaiknya. Tahniah atas kejayaan luar biasa Sabtu lalu. 

[Meminjam energi positif]

Sunday, November 01, 2015