Saturday, October 31, 2015

~ AKU BINATANG JALANG ~






Aku Binatang Jalang

KARYA: Chairil Anwar
TERBITAN: PT Gramedia Pustaka Utama
CETAKAN: Pertama (1986)
HALAMAN: 125
HARGA: RM25.00

[...aku hidop seribu tahon lagi..]

Friday, October 30, 2015

~ 30 OKTOBER, DAN RUTIN YANG BEDA ~


DISEBABKAN hari ulang tahun kami hanya berselang seminggu, dua kami akan mencari satu tarikh luang untuk membuat rai. Bukan parti berbisingan, tidak juga pada acara potong-potong kek.. tetapi lebih kepada melakukan hal-hal yang kami suka. Antara yang paling selalu adalah mencari tempat, sudut dan ruang untuk membidik. Sambil-sambil berlumba siapa punya hasil yang paling baik untuk dinilai pada hujung hari di kedai kopi.

Rutin saban tahun.

Dan, pada tahun ini.. buat pertama kalinya rutin menjadi lain. 

Pada hari ini, yakni 30 Oktober yang juga merupakan hari ulang tahun kelahirannya, dia sudah di dunia beda. Hilang jauh dari pandangku. Cuma dekat dalam rasa yang di dalam sana. Lalu, hari ini menitip sejarah lain bila mana hadiah ulang tahun kelahiran buat dia adalah bacaan surah Yasin dan siraman air mawar. Ermm..

Lama, aku tatap nisan yang tegak di pusaramu. Berkali-kali, aku baca tulis-tulis yang tertera pada batu putih itu. Terkumat-kamit aku berkongsi cerita sama kamu sebagaimana lakuku selalu saat punya sesi begini. Perlahan-lahan air mata turun dan kemudiannya deras bila terlihat wajahmu seperti senyum bagaimana selalu lakumu saat aku mengadu domba akan kisah-kisah remehku.

Kamu tahu kan... beberapa bulan ini aku begitu ranap dengan hal-hal yang membuat kelilingku. Dan, kalaulah kamu itu masih ada...

Selamat hari ulang tahun Mr Legoman, Mr Scorpio..

[Mahu bicara, mahu didengari... mahu berkongsi cherita2 remeh-ku..]

Thursday, October 29, 2015

~ BERLEBIHAN ~


MARAH, dan bukan sedikit. Setelah sekian lama aku tidak dalam keadaan seperti ini, Isnin lalu aku tewas dalam mengawal sabar dan tenangku. Tewas dengan perlakuan manusia yang aku kira tidak tahu apa itu erti saling menghormati. Malah terlalu selalu mengambil kesempatan di atas 'kesenyapan' orang lain untuk dipergunakan. Diinjak-injak rasanya sebagai bahan libur yang tidak bertempat.

Aku berdagang sabar yang banyak, namun lumpuh Isnin lalu.

Meski bertahun kami satu pasukan dan selantai pekerjaan, aku sangat tertutup dengan mereka dalam hal selain pekerjaan. Hanya permukaan terkongsi, selainnya umpama lompong puzzle yang tidak pernah terpenuhi. Berbanding rakan-rakan yang lain, karangan tentang aku sering sahaja mempunyai banyak tempat kosong yang perlu diisi dari halaman pertama sehingga ke lapannya. Tipikal Scorpio.

Justeru, mungkin disebabkan terlalu minimal tentang aku yang ditahu, mereka ditebak rasa ingin tahu yang banyak. Pantang ada ruang dan kesempatan, cuba diintai cari sama ada disua atau tidak. 

Lalu awal pagi Isnin lalu berlaku drama yang langsung tidak terjangka dan tercapai dek akalku. Kejadian sebenar berlaku Jumaat lalu, pada hari ulang tahun kelahiranku, namun cerita penuhnya terbongkar pada Isnin lalu bila mana salah seorang daripada mereka tidak semena membuka cerita dan meminta maaf tentang perbuatan mereka pada Jumaat.

Perbuatan sengaja yang kononnya dilakukan atas kapasiti 'rakan-rakan' itu aku anggap melampau dan tidak sepatutnya dilakukan oleh manusia-manusia matang yang tahu apa itu erti saling menghormati. Menceroboh tanpa kebenaran, menyelongkar tanpa izin dan segala satu yang seumpama dengannya adalah sesuatu yang sangat-sangat salah dan tidak sepatutnya dilakukan sewenang.

Sebaik sahaja tahu tentang itu, aku terus sahaja memalingkan muka dan berlalu tanpa sempat si pencerita menghabiskan ceritanya. Dan, ya.. semenjak itu sehingga ke hari ini, sepatah perkataan pun tidak mereka dengar dari aku. Jarang sekali atau sememangnya aku tidak pernah bersikap begini terhadap mereka selama ini. Dan, ya.. Mereka agak terkejut dengan reaksi tidak terjangka dari aku yang sebelum ini sering bersikap menerima apa sahaja perlakuan yang terberi.

Tapi, itulah.. Kesabaran manusia ada had dan batasnya. Sampai ketika jika ia berlebih dari sepatutnya, ia akan lebur juga. Justeru, usahlah terlalu diacah-acah. Scorpio akan menjadi tidak mudah untuk kembali ke asal.

Dan selama beberapa hari ini, aku duduk di kerusiku setepat jam 8.30 pagi dan berlalu sebaik sahaja jam menunjuk tepat 6.00 petang. Setiap hari, termasuk hari ini tanpa watak selalu yang mereka kenal.

Dan, esok aku memutus untuk tidak ke lantai pekerjaan. Cuti. Hati masih belum mahu sendik. Mahu ke bukit monyet.. mahu ke kopi ampang.. mahu ke supermoon.. mahu yang selain yang ada di lantai perkerjaan.

Ya... tanah badan Scorpio..

[yang penoh puzzle tentang aku di lantai itu mungkin hanya si sahabat june walaupun asyik berkoyak tampal..] 

Sunday, October 25, 2015

~ DARI YANG DEKAT-DEKAT ~


AKU membaca ucap selamat dari sahabat dan mereka yang mengenaliku dekat satu-satu. Ada diantaranya yang panjang lebar sehingga membuatkan aku juga senyum lebar dengan isi-isinya yang manis. Ada juga yang pendek ringkas tetapi cukup menyentuh hati.

Sekali lagi terima kasih atas ingatan dan doa-doanya.

Namun diantara yang sederet itu, muncul satu satu ucapan dari seseorang di lantai pekerjaan. Yang buat pertama kalinya mengirim ucapan kerana buat pertama kalinya berjaya 'dicurinya' hal-hal yang aku hanya simpan untuk mereka yang dekat-dekat sahaja.

Ucapan itu bukan dikirimkan ke telefon bimbitku, tetapi di laman sosial miliknya. Sering sahaja berlaga amarah dengannya. Malah kerap kali juga aku sengaja mendiamkan diri sepanjang hari agar tidak diacah-acah dia.. Tapi itulah..

[Hilang teros dari radar..]

Saturday, October 24, 2015

~ TULIP MERAH UNTUK DIA ~








Tulip Merah Untuk Dia

 KARYA: Mytun Abdullah
 TERBITAN: Karya Seni Sdn Bhd
 CETAKAN: Pertama (June 2014)
 HALAMAN: 1303
 HARGA: RM38.00

[Semerah-nya..]

Friday, October 23, 2015

~ PADA SAAT PAKET YANG TELAH DITULIS TUHAN ~

TERIMA KASIH ibu dan ayah yang membawa aku mengenal dunia. 23 Oktober kembali membawa kepada detik pertama menjadi kesayangan serta menjadi sebahagian dari hidup ibu dan ayah. Semoga mampu untuk terus mendokong kasih sayang ibu dan bersama ke Syurga.. Amin..

Terima kasih juga untuk teman jiwa dan sahabat-sahabat dekat yang sentiasa menerima keberadaanku. Juga untuk doa-doa manis yang tidak putus.

[Tidak begitu mahu serasi dengan hal2 yang bernama 'kejutan'..]

Thursday, October 22, 2015

~ MENJADI SEBAHAGIAN ~

SEPANJANG yang ada dalam ingat, aku tidak pernah tinggal sendiri melainkan ketika masih dalam pengajian di zaman uni. Itupun bukan menyewa bersama rakan-rakan di luar kampus sebagaimana orang lain, tetapi aku tinggal di kolej kediaman dari tahun pertama sehinggalah graduasi.

Seusai itu, aku kembali tinggal bersama keluarga sehinggalah sekarang. Justeru itu, aku tidak pernah punya pengalaman tinggal
menyewa di luar. Bukan tidak tercuit mahu, namun semenjak dulu lagi anak-anak perempuan ayah dimestikan tinggal bersama keluarga selagi tidak membina keluarga sendiri.

Huhu.. Mungkin ia boleh jadi kelebihan, atau juga satu kekurangan.

Lalu, bila mana siang hari tadi sahabat mei untuk kesekian kalinya mengusulkan aku agar menjadi teman serumahnya, aku terpaksa menolak lagi atas alasan yang sama.  Mungkin bunyinya seperti lucu untuk sesetengah orang menerimanya.. 

Apapun kami ini masih tinggal di kawasan kejiranan yang sama, jadi tidak terbeza banyak untuk hal-hal yang mengajak peduli. Cuma ada sedikit rasa terkilan bila mana kita terpaksa menolak untuk suatu hal yang diharapkan orang.

Dan, terima kasih seluruhnya atas ingatan dan pemberian tanda mata sempena ulang tahun kelahiranku menjelang esok hari. Juga untuk doa-doa yang manis sekali. Sungguh aku hargainya.. Meski letak duduk kami dalam hirarki masyarakat begitu jauh jurangnya, ternyata persahabatan telus mendekatkan kami. 

Sungguh syukur selalu atas apa yang terbagi Tuhan. Amin..

[Bukan kerana harga nilainya, tetapi tanda ingat yang sentiasa ada]

Wednesday, October 21, 2015

~ PAKET ~

TIBA-TIBA rindu untuk kebiasaan-kebiasaan yang telah terhenti. Paket-paket yang tercantum bukan disengaja mahukan. Tetapi indah, dan berakhir senyum.. dan, paling akhirnya pula dengan kesedihan..

[Bibir yang tidak sama dengan hati..]

Tuesday, October 20, 2015

Monday, October 19, 2015

~ BUKAN KERANA HARGA RINGGITNYA ~


TANDA ingat yang sampai dulu sebelum waktu tibanya. Apapun, terima kasih atas ingat dan berian yang memberi senyum panjang kepadaku. Panjang sehingga tidak lepas ditatap aku selepas bertukar tangan siang kelmarin. 

Tentu sekali bukan bersebab nilai dan harganya, tetapi atas kesudian memberi bahagia. Atas ingat dan doa yang tidak pernah cicir untuk saban tahun semenjak dalam kenalan.

Terserah Tuhan untuk membayarmu bagaimana.. :)

[yang mudah-2..]

Sunday, October 18, 2015

~ SEMOGA SEJAHTERA MEMBUAT DEKAT ~


DUA hari lalu, aku mendapat perkhabaran duka tentang keberadaan duduk kesihatan ayahanda sahabat Leo. Baru sahaja lepas operasi mengenal pasti sesuatu yang asing menghuni tubuh dalamnya.

Lalu sahabat yang selama ini kerap sekali menyuarakan kepadaku risau bimbangnya pada sesuatu yang tidak terjangkakan dia, hari ini terduduk dalam kacau bilaunya.

Mahu sahaja aku duduk mengadap dan mencari usul membuat senang akan dirinya dengan sehabis yang mampu. Sungguh aku mengerti akan selirat yang terkandung sementelah pernah dulu merasai peritnya pada saat berdepan babak ayahanda pada 848 hari yang berlalu.

Semoga ujian ini mampu dihadap dia dengan sebaik kewarasan yang ada. Dan, aku juga turut mendoakan agar sejahtera sentiasa membuat dekat kepada mereka sekeluarga untuk terus berkasih sayang. Mudah-mudahan Allah setuju. Amin..

[Doa.. dan ya doa..] 

Saturday, October 17, 2015

~ LAKI GARDEN ~






Laki Garden

KARYA: Fazleena Hishamuddin, Pnut Syafinaz & Sofia Rayland
TERBITAN: Studio Anai Anai
CETAKAN: Pertama (2015)
HALAMAN: 120
HARGA: RM20.00

[Simbung..]

Friday, October 16, 2015

~ SELAMAT HARI ULANG TAHUN KELAHIRAN WAHAI LELAKI LIBRA ~


SELAMAT hari ulang tahun kelahiran buat abang yang amat-amat kami kasih semenjak awal mengenal dunia sehingga hari ini pada saat masih untung  menghela nafas.

Duduk kamu saat ini sebagai pengganti ayahanda. Meski sebenarnya lebih lama dulu kamu telah mengalas segala sesuatu tentang adik-adik yang di bawahmu.

Seawal mengenal hidup, kami sering sahaja melihat kamu dengan sikap dominasi setiap kami yang kamu punyai. Menikus pada sebahagian yang terlaku hingga tersorok kasih yang ada.

Dan, saat hidup semakin matang dan mengenal dunia secara perlunya, kami mula mengerti sikap lakumu selama ini. Lalu kasih itu tumbuh semakin besar mendunia.

Abang, semoga Tuhan memberi sejahtera untuk hari-harimu pada masa akan datang. Mudah-mudahan terpelihara kasih yang dipunya kita pada keluarga kecil yang ditinggalkan bagi ayah. Agar berbahagia kamu memiliki kami pada dunia dan akhiratmu. Aminn..

Allah selamatkan kamu, abang..

[Lelaki Libra..]

Thursday, October 15, 2015

~ CERITA DI KUBURAN ~


LAMA aku tidak ke sini, dan hari ini langkah kaki tanpa dirancang pinta menghalakan diri untuk memanjat bukit tinggi terjauh dari hiruk pikuk ini untuk menziarah kamu.

Ya, kamu yang kurang lebih enam bulan lalu pergi ke dunia abadi.

Meski kamu itu sudah tiada pada dunia yang nyata, aku masih sukar meninggalkan kebiasaan serupa mencari kamu pada ketika-ketika payahku. Dan, aku sentiasa percaya kamu itu sentiasa mahu ada untuk mendengar aku meski tidak pada yang selalu dulu.

Dan, hari ini di kala payahku memujuk hati pada pecah seribu rasa  yang diasak laku manusia membuat hentak keras pada duduk kesenyapanku, aku mengharapkan kamu. Untuk dengar meski tanpa reaksi, untuk faham meski tanpa penyataan, untuk memberi tenang  meski tanpa apa-apa kejelasan.

Lama aku duduk bercerita di kuburanmu. Esak tangis yang memecah sunyi dudukmu. Sakit aku saat ini, Wan.. 

[Moga teros dengar aku..]  

Wednesday, October 14, 2015

~ SALAM MAAL HIJRAH 1437H ~


SELAMAT tahun baru hijrah 1437. Semoga hari ini menjadi permulaan dan pembuka langkah yang lebih memberi makna kepada perjalanan kita semua.

Pada yang lepas itu, biarlah lepas. Dan, aku juga sekeras mencuba itu meski terlihat masih ada wujud pada ikatan rasa yang di dalam sana.

Mudah-mudahan Allah setuju.

[Buku baru] 

Tuesday, October 13, 2015

~ TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK ~



TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK.. Lama sungguh aku menunggukan naskah indah hasil karya Allahyarham Prof Dr Hamka ini diadaptasikan ke pentas teater. Nah, pada Oktober yang sempurna ini karya yang sebelum ini pernah diangkat tonton ke layar lebar ini akhirnya berpentas di Panggung Sari, Istana Budaya.

Aku antara yang mengendong rasa teruja menunggu saat babak-babaknya dihidupkan. Tidak mengharapkan ia sesempurna karya yang duduknya dalam bentuk tulisan, namun cukup sekadar ia mampu memberi impak yang serupa pada rasa dan pasa utus cerita yang yang terkandung di dalamnya.

Namun, pada yang dihidangkan pada mata lewat hari semalam tidak memberikan segala sesuatu yang diharap mahu itu. Impaknya tiada pada rasa. Pemberian yang tidak sampai tercuit. Malah menyua rasa kecewa yang dalam kepada hal yang tidak pada kesampaian itu.

Tenggelam! Pemainnya, ceritanya, babaknya dan keterujaannya.

Timbul suatu tanya, apa bikinnya mudah kerana duduknya sudah lekat ada dengan baik pada sekalian yang pernah kenal dan telaahi? Mengapa berdegar untuk suatu yang di luar mampu dan mahu sehingga merendahkan tahap yang sudah tinggi duduk lakunya?

Dan, aku semakin tenggelam.

[Bung Hamka..]

Monday, October 12, 2015

~ JELAS-JELAS ~


BARA halus itu akhirnya telah membuat marak dengan kasar tidak terjangka. Aku melongo melihat babak yang tidak berskrip itu mengisi ruang-ruang yang senyap semenjak dua minggu lalu itu.

Apa yaa, yang aku harus reaksikan? Berkata sesuatu untuk sesuatu yang bukan perlunya dari aku? Atau terus menonton sahaja 'kebogelan' watak yang mula dipertonton satu demi satu?

Maafkan aku untuk segala satu yang canggung-canggung itu. Juga yang mengusik rasa meski seinci zarah terwujud. Tidak dengan niat diperlaku hal yang aku sendiri tidak pernah mahu.

Dan, yaa.. terpulang kamu.

[Men-diam]

Sunday, October 11, 2015

~ THE UNSUNG HERO ~






The Unsung Hero

 KARYA: Melur Jelita
 TERBITAN: Karya Seni Sdn Bhd
 CETAKAN: Pertama (September 2014)
 HALAMAN: 1156
 HARGA: RM38.00

[Dengan ada..]

Saturday, October 10, 2015

~ WATAK BATU ~


SEMPENA Hari Sukan Negara yang  jatuh pada hari ini, 10.10.15, pihak pengurusan di lantai pekerjaan buat pertama kalinya menganjurkan acara sukan santai untuk semua kami yang di lantai pekerjaan. Tiada pengecualian dan semua harus terlibat.

Mungkin kerana acara sukan yang sedikit beda dari acara sukan biasa sementelah diadakan buat julung kalinya, maka keterujaan sebahagian besar antara kami juga menjadi berlebih biasa. Apatah lagi saat pembarisannya juga terkandung sesi Hakka yang menjadi tumpu 12 kumpulan yang terbagi.

Lalu lebih dua minggu lalu, persiapan bermula dengan latihan yang hampir setiap hari mengisi jadual sendat yang ada rutin harianku ini. Dan, yaa.. banyak terpaksa aku tinggalkan kerana terhambat dengan urus-urus yang lebih perlu didulukan.

Nah, tiba pada dua hari terakhir kelmarin mahu mati aku dikerjakan. Dan, ya meski aku bukanlah orang baru di lantai pekerjaan, hakikatnya wajah dan keberadaanku terlalu asing kepada sebahagian mereka yang ada. Dan, yaa, watak batu sememangnya sering menjadi lekat dekat dengannku. Justeru atas sebab itu, aku ditolak-tolak untuk membuang rasa canggung yang sekian lamanya menjadi pengenalan diri. Haihh..

Sungguh, mahu menangis rasanya aku apabila dimestikan lakukan hal-hal yang bukan aku. Lagi ditahu tebalnya seganku, lagi ditolak aku mendepani riuh.

Haihlahhhh.... dan rakan-rakan sepasukan melihat lucu lagak canggung aku umpama tergalas beban yang sebenarnya tidak langsung ada bebannya.

[Pe-malu yang tidak ber-tempat..]

Friday, October 09, 2015

~ KEKOK, KAKU DAN KERAS ~


SENSITIF. Sering kita bentangkan tentu itu agar manusia lain tidak mempermudahkan itu. Namun mengapa seringnya kita menidakkan untuk diri sendiri agar terpakai serupa. Jika punya paket sensitif itu, mengapa tidak juga orang lain?

Dan, hanya untuk soal yang tidak bertujuankan akhirnya menjadi cantuman rasa yang kelat-kelat. 

Canggung.. ya, segalanya menjadi cantum-cantum yang sukar kini. Meski ia hanya yang paling mudah untuk disempurna, ia menjadi sebalik.

Kekok, kaku dan keras.

[Bayaran untok se-buah kedekatan]

Thursday, October 08, 2015

Wednesday, October 07, 2015

~ TIDAK KEPADA YANG RAMAI ~


SEDERET ucap-ucapan memenuhi laman sosial milik seorang sahabat ini tatkala dia berdepan babak pecah kelmarin. Sekajangan kata indah-indah dengan doa yang sepertinya terkarang sempurna dipersembahkan untuknya. Aku memilih untuk memerhati. Namun, di dalam hati sana mengharapkan agar mudah-mudahan ia mampu menyenangkan hatinya yang sedang gundah. 

Dan, cuma aku yang tidak termasuk dari kalangan itu. Dan terlalu selalu aku terkecuali akan itu serta tidak memilih itu. Bukan tidak mahu menyertai, jauh sekali tidak mambuat peduli, cuma aku ini mungkin tidak punya kelebihan ekspresi seperti mereka.

Ya, aku ini tidak pernah bisa dengan mudah mempertontonkan apa yang aku rasakan atau memberi rasa kepada yang selainnya secara terbuka untuk dibaca dan dinilai orang lain juga. Aku lebih selalu memilih untuk berkata segala sesuatu yang mahu aku ekspreskan kepada seseorang secara terus hanya untuk si tuan punya badan.

Baik untuk babak-babak manis, juga untuk yang perit tak tertanggungkan. Jika ditujukan untuk seseorang itu, maka untuk seseorang itu sahaja. Sama ada untuk lihatnya, dengarnya atau hadamnya. Lebih tepat dan telus begitu barangkali. Tidak aku maksudkan untuk orang lain, ia hanya untuk perkiraan aku yang tidak punya kelebihan sebagaimana mereka dan usah pula dibaca dengan maksud yang salah.

Pernah seseorang menyoalkan aku bila mana memerhati namaku tidak terlihat dari sederet yang banyak mengucap hal-hal manis yang serupa sedang aku juga antara kenalan yang terdekat. Dibacanya aku sebagai tidak peka atau membuat peduli, sedang hakikatnya aku antara yang terawal berada di sisi hati gundah sahabat yang ini. Cuma tidak aku khabarkan kepada semua dengan ucap-ucapan secara terbuka itu di laman sosial yang menjadi tatap semua orang. Itu bukan aku.

Justeru, usah mudah membaca mudah segala sesuatu itu hanya kerana dia tidak mengikut yang ramai.

[Bukan untok per-tunjokan untok di-nilai2kan..]

Tuesday, October 06, 2015

~ SEGANTUNGAN ~



LAMA aku tidak mengingat-ingat tentang cerita lalu ini. Lama membiarkan kesibukan menelan hal-hal ribut selerak. Lama juga aku cuba membiasakan diri dengan kebiasaan-kebiasaan yang terhenti. 

Lama.

Namun entah bagaimana, hari ini ada sesuatu yang tanpa sengaja telah membawa aku kepada yang lama-lama itu. Benarlah, amarah itu hanya keras pada tutur, di hati langsung terjauh walau secuit. Iyalah, mana mungkin segantungan yang sedekad itu tertelan mudah begitu sahaja.

Itu rasa yang di dalam aku. Dan, tidak aku tahu yang selainnya. Cuma doa untuk mereka yang ada dalam rasa kasihku, mudah-mudahan Tuhan sentiasa menjaga dan melindungi kamu dengan sebaik dan sejehtera yang terizin. 

[Baju baru..]

Monday, October 05, 2015

Sunday, October 04, 2015

~ TIADA MAAF BAGIMU ~



TIADA MAAF BAGIMU
by melly goeslaw


Seperti dalam cerita saja 

Ada yang baik dan ada yang jahat 
Tapi ternyata kita sama tak berhati 

Kau menipuku sesuka hati 

Hati ku perih jantung ku terkoyak 
Tak ada pernah aku menyangka 


Kau sekejam ini 

Kau dan aku tak berbeda 
Engkau manusia aku manusia 
Semua punya hati 

Punya perasaan bisa terluka 

Mungkin saja aku mendendam 

Biar pun ku manis tapi aku benci 
Dulu kita baik tapi kini lain 
Tiada maafku 

Jalan kita memang harus begini 

Tak usah menyesal kau kan yang mau 
Kau yang membuat kesalahannya 
Tiada maaf bagimu 


Kau menipuku sesuka hati 

Hati ku perih jantung ku terkoyak 
Tak ada pernah aku menyangka 
Kau sekejam ini 

Kau dan aku tak berbeda 

Engkau manusia aku manusia 
Semua punya hati punya perasaan 
Bisa terluka 


Jalan kita memang harus begini 

Tak usah menyesal kau kan yang mau 
Kau yang membuat kesalahannya 
Tiada maaf bagimu 


Mungkin saja aku mendendam 

Biar pun ku manis tapi aku benci 
Dulu kita baik tapi kini lain 
Tiada maaf bagimu 


[episod kehidopan..]

Saturday, October 03, 2015

~ PERAHU FANSURI ~






Perahu Fansuri

KARYA: Rahimidin Zahari
 TERBITAN: Sindiket Sol-Jah
 CETAKAN: Pertama (2011)
 HALAMAN: 59
 HARGA: RM15.00

[Cantoman rasa..]

Friday, October 02, 2015

~ MANUSIA ASING ~


SUGULKU barangkali tidak terselindungkan meski usahaku keras ke arah itu. Lalu terperosok aku ke ruang selalu tanpa sebarang bahan baca. Sekadar duduk menatap titik-titik bulat yang tumbuh pada dinding gelas yang mengisi mocha keras.

Berselang jarum jam pada angka seterusnya, datang seseorang yang tidak dalam kenalku bersapa. Tidak aku pelawa duduk kerana ia bukan dalam selesa kebiasaanku.

Namun aku sudi menjawab beberapa tanya umum yang dituturkannya. Aku percaya ia bukan suatu hal yang disusun-susun dia, cuma terbaris bersabit butir jawapanku.

Dari yang acuh tidak acuh itu akhirnya menjadi rancak. Halanya kepada paket-paket yang mampu membuat aku senyum. Yang bukan dikarang-karang, tetapi pada suatu hal yang dicantum rambang.

Dan, yaaa... jarang sekali aku membenar ruang diceroboh orang asing yang tidak langsung dalam kenalku. Apatah lagi mahu membuat bual panjang yang sememang-memangnya bukan aku.

Meski siapapun kamu itu, terima kasih kerana memberi sedikit rasa senang atas kegelisahanku yang bersarang. Babak dunia yang masih punya manis tanpa kita hitung-hitung.

[Di-hibor..]

Thursday, October 01, 2015

~ OKTOBER ~


OKTOBER datang membuat jengah. Pada saat ia dinanti dengan hal-hal yang manis, terlaku pula pada hal yang disebaliknya.

Di luar jangka dan lihatku. Lukanya seperti  kulit jantung yang tergores keras. Sakit, dan sungguh aku maksudkan itu.

Tuhan, terima kasih kerana mengenalkan aku pada segala sesuatu yang tidak aku bilang-bilang. Memberi pelajaran yang tentu-tentu tidak tergambar harganya.

Dan, yaa.. harus selalu ada dalam ingat,  bahawa hitam juga adalah warna yang wujud dalam kehidupan..

Dan, Oktober memberi isyarat lain..

.......................................................................................

[Tumpah..]