Wednesday, September 30, 2015

~ SUDUT AKU ~


PESANAN yang sama, sudut dan kerusi yang sama. Tidak susah menjejak aku meski aku menjauhi dan berjauh-jauh. Meski dimatikan aku segala cara mengesani radarku, pada kamu yang tahu tanah badanku pasti sahaja tahu bagaimana mahu membuat dekat meski didolak dalikkan aku.

Dan, hari ini ada babak yang berlangsung di kedai kopi yang seringnya menjadi sudut persembunyianku selalu.

Dalam ralit aku mengadap bahan baca yang mendunia, dalam keras aku menolak peduli teks dan dering telefon bimbit yang bersusun menggamit, muncul wajah seorang sahabat yang beribut-ribut lewat hari lalu. Dijejaknya aku di sini setelah sedar dengan ketidakpedulianku kerana berbuah amarah.

Scorpio seperti aku, marahnya tidak ke mana bila bertentang muka. Tidak pernah sampai hati mahu menolak-nolak bila kesungguhannya datang begini rupa. Kerasnya sang scorpio ini hanya pada sengaja, bukan yang benar dari hatinya.

Lalu, terima kasih untuk hal yang dimengertikan.

[Ter-pujok..]

Tuesday, September 29, 2015

~ BAHAGIAN ~


RUMAH Jagaan Orang Tua.. dan, yaa suatu tempat yang begitu amat sensitif untuk kita dengar dan sebutkan tentangnya meski atas apa jua sebab dan alasan.

Dan, hari ini aku diajak membicarakan soal itu oleh seorang kenalan. Yang melakukan urusan di situ tanpa mahu dan relanya sebagai seorang anak. Persepsi, aggapan malahan pandangan kiri yang terberi tanpa diadilkan...

Aku tekun mendengar segala mula ceritanya tanpa sedikit prejudis meski banyak tanya yang tumbuh dalam hati. Sayu, sedih dan terkesan dengan babak-babak yang harus dihadap itu. Baik pada si bapa, mahupun pada duduk si anak yag sangat amat mengasihi dengan sepenuh kecintaan dunia dan akhirat.

Benarlah kata orang, berat mata yang memandang berat lagi bahu yag memikul. Aturan hidup kita pada hari yang gelarnya esok, tidak akan pernah terjelaskan dengan pasti.

[Sudot dunia..]

Monday, September 28, 2015

~ PIRING HITAM ~


HAL-HAL kecil yang menggembirakan. Terima kasih Leo untuk suatu paket yang cukup manis ini. Memberi senyum saat aku berwajah kelat diacah hal keliling yang tekan.

Tidak sempena ulang tahun kelahiranku pada Oktober nanti, bukan juga bersebab apapun yang istimewa, tetapi pemberian ini hanya untuk menyenang-nyenangkan hati yang gundah.

Tuhan, peliharakan sahabat yang seorang ini. Yang tidak pernah bersenang hati melihat sahabatnya berkelat-kelat. Amin...

[Terapi yang paling manis..]

Sunday, September 27, 2015

~ YANG DI DALAM SANA..~


LAPAN ratus dua puluh enam hari lalu, pemergian abadi itu kami relakan. Dengan esak tangis, dengan bungkam dada, dengan resah gelisah, dengan kecamuk penuh selirat dan dengan segala satu rasa yang tidak terungkapkan dengan kata mahupun laku.

Tuhan sahaja yang tahu, dan Tuhan sahaja yang mengerti. Baik pada saat pertamanya sehinggalah pada saat jari-jari ini bercerita di sini saat ini.

Jika tidak salah pada perkiraanku, hari ini merupakan kali pertama adik lelaki yang dikenal kami berhati keras itu berkongsi kerinduannya pada ayahanda tanpa sedikitpun selindung. Pertama kali!!!

Dia yang sememangnya jarang sekali mencampuri bual-bual berat mahupun kosong di ruang bicara grup whatsapp ahli kami itu secara tiba-tiba hari ini meluahkan rasa yang ada di dalam hatinya. Tidak ringkas perasaan yang terkongsi itu, malah terlihat dalam dan sarat yang dirasanya.  

Rindu, dan aku tahu bukan yang sedikit.

Aku hanya membacanya dengan penuh rasa, tetapi tidak aku katakan apa sebagai balasan kepada ayat-ayat sayu itu. Hanya kakak yang mengunyah-ngunyah rasa dan menjelas-jelas situasi.

Dan, ahh.. bagaimana yaa..

[Tidak pernah mahu surot..]

Saturday, September 26, 2015

~ TUAN DIREKTUR ~






TAJUK: Tuan Direktur
 KARYA: Hamka
 TERBITAN: PTS
 CETAKAN: Pertama (2015)
 HALAMAN: 129
 HARGA: RM13.00

[Paket cherita]

Friday, September 25, 2015

~ MEMELIHARA KEBERUNTUNGAN ~


KEBERUNTUNGAN hidup seringkali membuatkan manusia sering terlupa akan lumrah pusingan roda. Bertongkatkan langit mudah benar menjadikan manusia lupa pada rumpur hijau yang dipijaknya.

Kejadian dan hal yang begitu lumrah pada keliling.

Dan, hari ini aku menjadi pelakon tambahan kepada satu babak panggung yang tidak tersengajakan. Seorang pemuda yang jelas dengan keberuntungan hidupnya telah menyinggung salah seorang manusia yang memberikan khidmat buatnya pada suatu babak di depan mata kami di ruang selalu ini. Aku hanya mendengar bual babak tanpa mengangkat kepala kerana terlekap dengan bahan baca yang tidak mahu tertangguhkan.

Kurang lebih 38 minit kemudian, aku ke ruang depan, membuat pesan kepada mocha tambahan. Dan terlihat aku ada dompet tebal hitam likat terperosok di suatu sudut tidak terlihat. Lalu aku mengambilnya dan menyerahkan kepada sang pemberi khidmat yang sentiasa manis setiap kali berkongsi ruang dengannya.

Rupa-rupanya ia milik manusia yang jelas dengan keberuntungan hidup tadi. Kalut dia menjejak keciciran dengan gelimpangan resah yang bukan sedikit. Aku yakin bukan wang ringgit di dalam yang dirisaukannya, tetapi ia mungkin lebih daripda itu.

Lalu dihulurkan hal yang menjadi keciciran itu kepada tuan yang punya itu oleh sang pemberi khidmat tadi dengan wajah yang manis tanpa sedikitpun cela. Malah ditundingnya juga aku yang masih ralit dengan bahan baca di depan muka.

Lalu mengadaplah tuan yang jelas keberuntungannya ini memohon maaf bergantian ucap terima kasih berselang saat. Kejujuran jelas terlihat pada wajah kerasnya itu. 

Aku hanya mengangguk-angguk dan memberi seulas senyum. Dan, dalam hatiku menyampaikan pesan buatnya agar mengerti hidup ini bukanlah tentang kita seorang..

[Roda..]

Thursday, September 24, 2015

~ SALAM AIDIL ADHA ~


SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA 1436H. 
Semoga setiap pengorbanan kita terbina dengan ikhlas agar hujungnya menjadi indah. 

Selamat hari raya ayah, 
semoga ayah menerima rindu kami yang bukan sedikit ini. Allah bersaksi dengan  rasa yang maha mengerti. 

Selamat hari raya juga untuk semua kalian yang hadir di tengah perjalananku ini. Moga terpinjam kita sesuatu yang boleh dijadikan panduan dan sempadan dalam atur hidup ini. Amin..

[Juga untok kamu yang telah hilang dari radar.]

Wednesday, September 23, 2015

~ HARGA UNTUK SANG JUTAWAN ~


HAL yang mungkinnya terlalu kecil pada kita, tetapi besar dan penuh erti buat orang lain. Kepedulian yang barangkali hanya sedikit dari kita, tetapi sesungguhnya begitu memberi bahagia dan senyum yang panjang pada orang lain.

Dan, begitulah sebaliknya.

Belajarlah untuk mengerti, hidup ini bukan untuk kita seorang. 

[Semoga entri ini tidak di-bacha dengan nada salah... ] 

Tuesday, September 22, 2015

~ JAUH ~



[Ber-putar paket indah.. di sinema agong..]

Monday, September 21, 2015

~ PAKET RINDU ~


SENYAP... ada kesenyapan yang panjang mengisi rasa, mengisi ingat dan mengisi urat saraf.

"AL, Tadikan, mama nangis sangat.."
"Kenapa Mama nangis?"
"Sebab Tokma nangis.."
"Kenapa Tokma nangis?"
"Ntah... tapi masa Tokma nangis tu, Tokma tengok buku Tokki..

[Rasa yang ter-cantom...]

Sunday, September 20, 2015

~ SESI ~


RUANG-ruang kecil yang ada itu hanya terisi dengan sapa pendek tanda peduli. Hampir setahun kesempatan tidak terbagi luas sehinggalah skrin telefon bimbitku menerakan namanya lewat hari kelmarin.

Tanpa rancang yang panjang, kami terluang menghirup secawan mocha. Banyak tanya-tanya gantung yang aku simpan untuknya semenjak setahun yang lalu. Bukan tidak boleh aku tanyakan pada tekan hujung jari, cuma sesi begini tentunya lebih mengangkat peduli.

Dan, tanpa kami sedar, 9 malam  ke 6 pagi esoknya itu tidak terasakan. Sesi yang tidak terjangkakan. Aku renung dia lama-lama, cuba baca hatinya. Cuba juga teka apa yang ada di sebalik urat sarafnya. Apapun, terima  kasih untuk sebuah rasa percaya. 

Dan, esoknya dan pada pertemuan seterusnya, kami kembali kepada ruang-ruang kecil yang hanya terisi dengan sapa-sapa pendek lagi.

[Episod...]   

Friday, September 18, 2015

~ BADI AKIBAT ~


SUATU yang salah itu seringkali menjadi hal yang begitu menyeronokkan untuk dilakukan. Dan, hari ini aku memilih untuk melakukan itu. Memilih untuk berkata 'ya' untuk ajakan yang kemudiannya menjadi desakan si Leo agar aku menemaninya 'mencuri' waktu pekerjaan untuk bersuka-suka memenuh kegilaan.

Ya, untuk yang mengenali aku pada duani realiti, pasti sahaja tahu ini seringnya menjadi orang yang tidak pernah mahu dengan mudah atau menjadi yang paling akhir membuat angguk untuk hal yang ke arah itu. Bukan kerana lurus putihnya aku, tetapi ia lebih kepada penakutnya aku pada hal yang dinama akibat.

Percaya atau tidak, ia terlihat umpama badi, bila mana aku akan sering sahaja 'tertangkap' untuk pelanggaran soal-soal begitu. Justeru, kaki sentiasa menjadi terikat bukan kerana tidak ada mahu kepada hal yang begitu, tetapi kerana tidak beraninya aku.

Dan, hari ini aku ketepikan itu atas keyakinan manis si Leo ini. Hampir separuh hari kami bersahaja menyelongkar sebuah kedai lama dengan hal-hal yang mendorong kepada kesukaan dalam waktu pekerjaan.

Owhh..Benarlah, seronoknya bila mana kita mampu bersahaja melakukan suatu yang menjadi pelanggaran, sedikit atau banyak. Dan, aku raikan itu dengan hal yang penuh senang sebelum ketakutan akibat membuat singgah.. hahaha..

[Badi..]

Thursday, September 17, 2015

~ MEMILIH DENGAN MAHU ~


JANJI. Dan, bukan kerana apa-apa yang ada di sebalik urat saraf lainnya. Yang nipis itu sebenarnya sering sahaja cenderung memberi hal yang berat. Pada sedar atau tidak. 

Memungkiri janji dengan hal-hal yang tersengaja itu tergolong dalam mereka yang munafik. Aku pegang itu. Justeru, jangan pernah mudah mengungkap janji jika kemampuan menunaikannya hanya kabur pada mahu dan pertimbangan.

Ingat itu.

[Kepada satu, yang nama-nya harapan...]  

Wednesday, September 16, 2015

~ SELAMAT HARI MALAYSIA ~


SELAMAT hari Malaysia, untuk semua kita yang merasakan ada hidup jiwa Malaysia di dalamnya. Apapun keberadaannnya, semoga cinta yang tumbuh itu akan menghembuskan rasa dan perlakuan yang terarah kepada kesejahteraan dan keamanan negara yang menjadi tempat tumpah darah kita ini.

Mudah-mudahan Allah setuju..  

Baju Kuning, baju merah atau apa sekalipun warna baju yang menjadi pilihan kamu, jauhilah kebencian agar tidak terdekat kita dengan ranap antara sesama...

[Ber-laga rasa..] 

Tuesday, September 15, 2015

~ BUNYI-BUNYIAN INDAH ~


MUZIK klasikal itu terapi, bagi aku. Dan, aku sendiri tidak tahu bagaimana ia bermula. Sedar-sedar sudah ada timbunan himpunan muzik klasikal di dalam simpanan. Di rumah, di lantai pekerjaan mahupun di unta hitam. Ya, umpama kemestaian dan mana-mana..

Beethoven, Mozart, Vivaldi, Schubert dan banyak lagi. Kadang kala juga aku hanya mendengar tanpa tahu siapa yang pun alunan. Terapi untuk sebuah kesenyapan barangkali.

Hari ini, aku Dewan Filharmoik Petronas, tempat yang seringnya terizin gema klasikal yang sangat sungguh memikat. Menusuk sebuah kesenyapan dengan rasa tenang dan terjauh amarah yang membuat singgah. Umpama penawar sementara.

Selain gema indahnya yang memecah ruang, aku cukup gemarkan babak segerombolan mereka berjalan masuk ke pentas utama dengan  mengelek instrumen mereka. Momen yang sering aku tidak terlepaskan setiap kali berada berada di dewan menonton persembahan mereka. Entah mengapa aku melihat babak itu sebagai kemasukan segerombolan manusia pendamai yang mengubat lara.

Gila.. yaaa, anggapan yang mungkin diberi mereka yang tidak melihat apa yang terlihat kita. Manusia itu beda, dan kita sentiasa bersilang dalam apa sahaja tanpa ada salah dan benarnya selagi tidak terpangkah hukum yang satu.

[Bukan dalam kamu...]  

Monday, September 14, 2015

~ PEMARAH ~


SETELAH itu, aku merasa diri menjadi sedikit berbeza. Mudah marah dan lebih mahu sendiri. Agar kemarahan itu tidak memberi tempias kepada yang selain aku.

Episod terlantar itu sedikit mengubah diri, menjadikan aku begitu. Mungkin kerana ketakutan pada suatu kenyataan, atau juga kerana desakan hakikat yang tersimpan kemas dengan berat.

Semoga aku masih mampu dikawal aku sendiri.

[Silang...]   

Sunday, September 13, 2015

~ MAAFKAN AKU YA TUHAN ~







Maafkan Aku Ya Tuhan

KARYA: Jais Sahok
CETAKAN: Pertama (2013)
PENERBIT: Institut Terjemahan & Buku Malaysia
HALAMAN: 220
HARGA: RM25.00

[Nun di-dalam sana..]

Saturday, September 12, 2015

~ TERHENYAK LELAH ~


SAKIT itu penghapus dosa. Ya, lalu sesi kali ini aku anggap sebagai salah satunya. Lewat malam selasa lalu, aku kembali didatangi sakit yang miliknya aku. Fikirku singgahnya hanya sementara sebagai isyarat kerana badan terhenyak lelah yang panjang dek hambatan urus pekerjaan semenjak kebelakangan ini.

Namun tidak. Esoknya aku terlantar hampir hilang nafas sehingga tidak mengizinkan aku ke lantai pekerjaan. Meski pada hari itu merupaka satu-satunya hari untuk menyudahkan urus kerja yang dipercepat tarikh matinya atas ingin yang mudah dari mereka yang punya hak dan kuasa.

Pada hari yang seterusnya tanpa pilihan yang terbagi, aku terpaksa menyudahkan hal-hal yang menjadi tanggungjawab meski bunyi nafas membuat gerun kepada mereka yang berkeliling. Barangkali, hanya mati sahaja yang memisahkan tanggungjawab itu.

Dan, celik mata pada hari seterusnya, aku sudah di katil rumah putih. Ya, setelah sekian lama tidak membuat huni pada katil yang silih berganti menerima kematian itu. Ahh.. selirat wayar yang melintang pukang dengan kesan lebam bergantian kiri dan kanan tangan, mengingatkan aku pada episod beberapa tahun dahulu. Kembali bergantian mengisi ruang mata umpama cerita panjang yang sedang berputar di sinema agung.

Owh.. hidup lagi aku rupa-rupanya.. Terima kasih Tuhan untuk kesempatan yang terbagi. Masih bertemu meraka yang mahu aku.

[Pada satu tempoh..]

Monday, September 07, 2015

~ BAWANG ~


PERAHSIA. Hal yang dikaitkan dengan  mereka yang bernaung di bawah bintang Scorpio. Jika melihat pada diri sendiri, aku menyetujui itu. Betapa sang scorpio sebenarnya begitu sinonim dengan hal-hal kerahsiaaan. Untuk diri sendiri mahupun untuk orang lain juga. Namun kerahsiaan itu pada suatu hal yang benar pada akal, bukan pada kegilaan yang tiada sebab.

Tidak dinafikan, begitu banyak tentang aku yang tidak diketahui rakan-rakan meski telah saling mengenal lebih bertahun. Perkara-perkara mudah dan basic sekalipun (hal besar apatah lagi). Justeru ada kalangan mereka yang cenderung melihat aku sebagai seorang yang perahsia. Sehingga tumbuh satu minat atau keinginan dalam diri mereka untuk 'mengintai' hal-hal dianggap mereka sebagai rahsia itu.

Bunyinya agak lucu, tetapi itulah yang terjadi. Mahu diselidik siapa yang mengelilingi harianku, mahu mengetahui apa yang dekat denganku di luar lantai pekerjaan dan sebagainya. Rahsia? Aku tidak pernah mahu berahsia tentang segala satu itu. Cuma tanah badan seorang aku yang namanya Scorpio seringnya melihat keperluan untuk kongsi mengongsi itu seperti mana mengupas lapisan bawang. 

Justeru, adakah menjadi kesalahan untuk aku tidak membuka ruang cerita peribadi untuk tatapan keliling? Menghadkan laman sosial dengan menjarak jauh dari manusia-manusia yang dekat dalam hidup realitiku?

Lucu.. Semakin ramai manusia lucu aku kira.

[Rahsia murah..]

Sunday, September 06, 2015

~ GILA UNTUK SEORANG AKU ~


KERJA gila. Beberapa kali aku geleng kepala tidak mahu percaya apa yang telah aku lakukan pada hari ini. Tapi, ya.. aku sudahpun lakukan, yang bukan aku.

Melakukan sesuatu yang tidak pernah kita lakukan atau yang tidak pernah kita terfikir untuk melakukannya rupa-rupanya memberi seronok yang lain. Betullah kata Zara, buat kerja gila tidak bermakna kita sudah gila..

Terima kasih kerana seketika melarikan aku daripada selirat yang membuat simpul. Ada untuk ketika aku sangat merasa perlu meski dengan cara yang beda dan gilaa.. :)

[Sahabat yang mahu ada..]

Saturday, September 05, 2015

~ PEREMPUAN BULAN PEREMPUAN HUJAN ~





Perempuan Bulan Perempuan Hujan

KARYA: Ainunl Muaiyanah Sulaiman
CETAKAN: 2015
PENERBIT: Institit Terjemahan & Buku Malaysia
HALAMAN: 96
HARGA: RM20.00

[Madu dan rachon-nya..]

Friday, September 04, 2015

~ MUDAH-MUDAHAN ALLAH SETUJU ~

SELAMAT hari ulang tahun kelahiran buat kakak. Aku cuma mahu satu, semoga Tuhan terus panjangkan umurnya agar sempat dia hidupkan mimpinyanya menjadi realiti. Juga agar kasihnya dia kepada kami sentiasa besar dan selama-lamanya. 
4 September, hari mengingat mimpi.. :) 
[Mudah-mudahan Allah setuju..] 

Thursday, September 03, 2015

~ PEREMPUAN SIMPLE ~

AKU kenal dia hanya dari jauh. Tidak banyak yang aku tahu tentang dia selain paling jelas, dia berdarah campuran Melayu-Amerika. Kalau mengikut peraturan klise pandangan masyarakat setempat, dia adalah perempuan urban yang dengan sel-sel otak yang hanya berhubung untuk patah perkataan Melayu bila mana terpaksa menggunakannya, punya kelompok kawan-kawan yang bergaya hebat dan hidup dalam kalangan mereka. 

Tiga bulan lepas, entah bagaimana paket aturannya ditembungkan, kami duduk dalam satu babak. Atur bual panjang yang pada awalnya langsung tidak disangkakakan. Bagai biasa, aku tidak pernah bermula dengan menarik kerana kesenyapanku lebih mendominasi. Lalu dia yang seperti memahami mengacah-acah bual yang mudah tetapi menarik perhati untuk aku mengambil tahu. Prinsip-prinsipnya sangat berbeza tetapi begitu praktikal. Segalanya dimudahkan mengikut apa yang dia percaya. Maaf, kerana pernah terpengaruh dengan anggapan segelintir manusia yang menganggap dia sebagai bimbo. 

Hari ini kesempatan datang lagi. Dia kenalkan lagi sebahagian dirinya yang tidak pernah aku tahu sebelum ini. Dari soal hidup sehinggalah kepada kesukaan remehnya, aku merasakan dia adalah perempuan yang paling bersyukur dengan apa yang Tuhan bagi untuknya. Melihat dia secara fizikal, aku percaya modalnya begitu banyak untuk dia mendabik dada dan membesar diri. Aku tunggu kalau-kalau dia mempersembahkan itu. Ternyata tidak pernah sekali dia ke arah itu atau cuba untuk ke arah itu. 

Pernah katanya, hidup ini simple. Tapi ia tidak akan pernah jadi begitu kalau kita sendiri yang tidak mahu percaya untuk mampu jadi simple. Kenal dia, buat aku banyak belajar tentang simple. Tentang orang-orang yang simple dan perkara yang simple-simple. Malah betapa simplenya hidup jika kita juga tahu harga simple itu. Maaf juga adalah perkara simple yang paling membahagiakan.

[Kalau amu juga sesimple itu..]

Wednesday, September 02, 2015

~ PURA PURA ~

AKU teringin sekali untuk hebat berpura-pura untuk suatu situasi yang di mana rasa hati perlu disembunyikan. Pura-pura untuk hidup dengan begitu manis tanpa sedikitpun terkesan dengan apa yang pernah terjadi. Pura-pura untuk berjalan terus tanpa ada sedikitpun sangkut dengan hal-hal kebetulan. Pura-pura untuk tidak tercuit apa untuk paket-paket pahit yang pernah tertampi pada muka. Boleh, kan...? 

[Yang dalam hati, cukop aku sahaja yang tahu..] 

Tuesday, September 01, 2015

~ TATAP ~

SEPERTI detik terhenti saat si kecil kesayangan kami dikejarkan ke hospital seawal 3 pagi tadi. Tidak sanggup untuk aku terus merenungi wajah manisnya yang berselirat dengan wayar hidup dengan fungsinya setiap satu. Bernafas dengan menggunakan bantuan pernafasan yang tentunya bukan sesuatu yang mudah untuk sosok tubuh kecilnya. Ya, Tuhan.. mudah-mudahan kau dengarkan kami. Dengarkan isi hati dan kebimbangan kami yang sarat ini. Permudahkanlah anak kecil ini.. amin. 

[Pecah]