Friday, July 31, 2015

~ ROMBAK LAGI ~


BUKAN sahaja kabinet negara yang kini hebat menjadi perhatian serata masyarakat, tetapi kabinet kecil di lantai pekerjaan kami. Gosip dan spekulasi bertiup kencang. Itu dan ini sehingga tidak tenang semua orang dibuatnya. Khabarnya, rombakan yang melibatkan banyak pihak dan kakitangan. Lalu kecohnya tidak terkalah sebagaimana yang dilalui negara beberapa hari ini.

Isnin ini cukup ditunggu untuk menamatkan segala spekulasi dan provokasi yang mengisi ruang udara lantai kami sepanjang minggu ini. Pertemuan dan sesi pengumuman yang bakal dilakukan oleh sang kepala bakal menjawab segalanya.

Tunggu sahajalah..

Dan, aku tidak pernah mahu mengusutkan kepala untuk memikirkan soal itu. Sebaliknya lebih suka menunggu hitam putihnya. Suka mendengar yang jelas dan pasti. Manis atau pahit, kejelasannya pasti.

Pun begitu, sebelum meninggalkan lantai pekerjaan pada hujung siang hari tadi aku dikejutkan dengan berita yang mengatakan salah seorang daripada team kami mengambil keputusan untuk meninggalkan lantai pekerjaan yang kami kongsi ini kerana turut bertempias dengan rombakan Isnin ini.

Menopang dagu. Dan, yaa aku bingung dengan apa yang berlaku ini. 

Benar, satu pihak melakukan kesalahan. Namun kesalahan itu mungkin tidak terjadi apatah lagi terulang jika satu pihak lagi memainkan peranannya dengan betul. 

Keliru. Dan, prinsip kemanusiaan.

[Siap siaga..]

Thursday, July 30, 2015

~ PADA SUATU HAL YANG DIMENGERTIKAN ~


SEMENJAK semalam, bertalu soalan diajukan kepadaku tentang status terkini hubungan sahabat mei dengan sang kekasih hatinya. Manakan tidak, lelaki itu khabarnya bakal menamatkan zaman bujangnya kurang lebih seminggu nanti. Namun, apa yang mengejutkan, bakal pengantin perempuannya bukanlah sahabatku yang seorang itu.

Sebenarnya, aku telah lama tahu akan perkara ini. Cuma ia tidak dari mulut tuan punya badan, yakni sahabat mei. Mungkin rajuk panjang sahabat itu denganku sebelum ini membuatkan kami tidak punya ruang dan kesempatan untuk bercerita. Lama aku ketinggalan tentang perkembangan hubungan mereka. 

Pun begitu, aku juga tidak berhasrat untuk bertanya kerana percaya sahabat ini akan berkongsi segalanya bila mana perasaanya telah sembuh dan bersedia untuk membuka cerita. Sementelah perselisihan tempohari juga baru terpulih.

Lalu segala pertanyaan dan kesahihan yang diminta orang tentang berita pernikahan lelaki yang kini adalah bekas kekasih hatinya itu aku jawab dengan senyum. Sememangnya aku sedikitpun tidak punya hak untuk menjawab atau mencampuri soal yang menyentuh kehidupan peribadi orang lain, meskipun ia adalah sahabat dekatku.

Namun, aku sedikit terusik apabila membaca status-status terkini yang dikongsikan di laman sosial lelaki itu tentang kehidupan barunya. Seolahnya, sebelum ini ketika bersama sahabat mei, dia tidak pernah bahagia. Selama bertahun-tahun itu?

Ermm.. mudahnya dia lupa segala yang pernah mereka kongsi dan lalui bersama selama ini. Juga pengorbanan yang telah dilakukan oleh wanita yang duduknya begitu agung di hatinya sebelum ini.

Ohh lelaki... mudahnya kamu melupa.

Apapun, selamat pengantin baru. Barangkali sudah tertulis bukan jodoh kalian untuk bersama. Semoga ada hikmah besar yang menanti disebalik apa yang berlaku ini.

[Cuba peha kanan..]

Wednesday, July 29, 2015

~ SESI DI BANGUNAN PUTIH


HAMPIR separuh hari berada di bangunan putih ini untuk menyudahkan sesi imbasan di bilik gelap yang entah kenapa perlu mengambil masa begini lama.

Aku kira kejadian semalam itu tidaklah seberapa, resahnya terhambat. Dan, akhirnya tanpa disedari, aku menunjukkan muka yang bosan, bahasa badan yang bosan dan tutur yang bosan sekaligus menjelaskan apa yang ada di dalam fikiranku ketika itu.

Biografi Angelina Jolie di tangan yang kononnya untuk dibaca ketika mengisi masa menunggu sedikitpun tidak terbelek. Fikiran jauh menerawang kepada keputusan yang bakal masuk ke telinga selepasnya.  Dan, yaa.. ramalanku benar belaka.

Meninggalkan bangunan putih itu dengan dengus nafas yang kasar. 

[Penat...]

Tuesday, July 28, 2015

~ PUNYA KEBERADAAN ~


RAJUK. Ia tidak akan pernah mudah terbagi kepada seseorang yang bukan siapa-siapa kepada kamu. Pasti sekali kamu tidak pernah merajuk dengan pemandu teksi yang enggan menumpangi kamu, atau penjual tiket wayang yang lambat melayani kamu.

Rajuk itu untuk mereka yang dekat sama kamu, yang tahu kamu. Lalu, merasa beruntunglah bila mana ada yang mahu merajuk kerana kamu. Benarlah, rajuk itu seringnya bersekali dengan rasa kasih. Jadi, ia bukan untuk sembarangan orang.. Kalau tidak keluarga kamu, teman jiwa kamu, sahabat dekat kamu atau siapa sahaja yang punya kepentingan pada laluan hidup kamu.

Justeru, jangan pernah melihat rajuk itu pada sisi yang negatif semata..

[Tidak semberono..]

Monday, July 27, 2015

~ SETELAH RAJUK PANJANG ~


BEGINI... aku mungkin boleh dikategorikan sebagai seorang yang mudah merajuk bila mana tercuit rasa. Kalau mengikut lumrah, mereka yang mudah merajuk itu akan mudah juga untuk memujuk orang lain kerana dia arif untuk situasi seperti itu.

Tapi lain jadinya aku.

Aku seringkali memaharahi diri sendiri kerana tidak pernah tahu bagaimana cara terbaik untuk memujuk orang lain yang merajuk. Dan, ia tentunya terlihat sebagai tidak adil pada situasi yang terbagi. Bukan tidak mencuba, namun ternyata aku tidak pernah punya kelebihan di situ. 

Namun, dengan berlalunya rajuk panjang sahabat mei (entah di mana mulanya), aku sepertinya cukup-cukup terharu dengan diri sendiri. Akhirnya, usahaku (memujuk) meski sebenarnya tidak terlihat seperti memujuk berjaya memulih singgungnya. 

Meski tidak mudah, usaha itu terus kerana aku tidak mahu kehilangan sahabat-sahabat dekat yang sentiasa membuatkan aku rasa dimahukan. Aku lakukan untuk hal yang susah aku lakukan.

Lama tidak membuat rutin dengannya membuatkan aku bicara dan membuat laku tidak seperti aku. Namun kerana dia sahabat yang kenal aku, dia sendiri punya cara untuk mengembalikan aku pada asal aku yang dia kenal. Benarlah kata orang, hanya sahabat yang benar sahaja tahu bagaimana mahu menguruskan sahabatnya.

Meski kini berada di luar negara untuk suatu hal yang terbiasa dia, sahabat ini seperti sudah kembali asal dia. Malah pada suatu acara larian/berbasikal perdana yang disertai dia tidak lama lagi, dimintanya aku turut ada. Aku menggelengkan kepala, kerana sifat manisnya mula kembali pada saat rajuknya beransur pergi.

[Merasa gembira yang tidak semena-2 bila mana menyedari kegembiraan orang yang merajuk setelah dipujuk..]

Sunday, July 26, 2015

~ MASIH ADA ~


HARI ini genap 100 hari pemergian abadi mr legoman. Sekejapnya waktu berlalu, dan kamu itu sepertinya masih sentiasa ada denganku. Masih selalu dengan senyummu saat aku mengadu-adu cerita remehku. Masih juga dengan angguk gelengmu saat melihat aku dengan tangis.

Semoga tenang bersemadi di sana wahai sahabat yang aku kasihi. Selamat hari raya aidilfitri buat kamu. Tunggu ziarahku sebaik sahaja aku kembali ke hiruk pikuk kota beberapa hari lagi.

[Kelibat..]

Saturday, July 25, 2015

~ KASIH YANG TERCALAR ~





Kasih Yang Tercalar

KARYA: Norhayati Berahim
CETAKAN: 1-9 (2006-2008), Cetakan Ke-9 (Mac 2012)
PENERBIT: NB Kara Sdn Bhd
HALAMAN: 540
HARGA: RM21.00


“Segalanya sudah dimaafkan, walaupun terlalu sukar untuk dilupakan..”

[Tawar..]

Friday, July 24, 2015

~ HANYA KAMI-KAMI.. ~


GENAP seminggu merai Syawal. Lebaran yang sangat sederhana buat kami sekeluarga. Semenjak kecil lagi, kami sudah terbiasa beraya dengan keluarga asas yang kami punya ini sahaja. Dan sehingga sekarang, kami masih dalam keadaan yang serupa.

Raya kami sangat beda barangkali dengan raya kamu semua di luar sana. Raya kami, hanya kami sahaja. Tiada drama, tiada dentam dentum. Malah, tidak ada yang sedekat babak yang terlihat di kaca TV, tidak jugak sebagaimana besar sebagaimana cerita tersampai.

Kami ini merai aidilfitri dengan hal yang paling sederhana. Paling melihatkan kami.

[Tidak ter-jebak kesah dongeng..]

Thursday, July 23, 2015

Wednesday, July 22, 2015

~ SELAMAT HARI ULANG TAHUN KELAHIRAN LEO ~


DAN, 22 julai. Selamat hari ulang tahun kelahiran sahabat genius. Semoga dibagi Tuhan kemudahan dan keberkatan untuk kehidupanmu dunia akhirat. Insya-Allah dipanjangkan usia untuk hal-hal kebaikan, dan dilapangkan rezeki untuk amal kebajikan. Amin.

Terima kasih menjadi sahabat yang selalu ada.

[Selamat hari men-jadi kesayangan..]

Tuesday, July 21, 2015

~ TERPALING MANIS ~


LAMA kami tidak berbual panjang tentang soal-soal remeh sehinggalah ke isi hati. Senyumnya juga sudah lama tidak bertaut pada mata. Kesempatan bertemu hanya terbilang jari. Sesi yang ada sering sahaja dingin keberadaannya.

Kurang lebih tiga tahun ayah pergi, dan selama itu juga kami seperti hilang dia. Yaaa.. lelaki yang paling amat menjadi kesayangan kami sekeluarga. Adik yang sering menjadi tempat gantung harap kami. Lamaaaaaaaaaaaa... kami seperti hilang dia. Lama.

Dan, alhamduillah... Syawal ini menjadi paling manis kerana senyum dia sudah kembali dalam hatinya. Bicaranya sudah kembali letak pada asalnya dia. Dan, ia sangat-sangat manis dan membahagiakan ibu, aku dan tentunya seluruh kami.

Terima kasih Tuhan... kerana kembalikan adik kepada kami, kepada dulunya dia.

[Moga ayah juga senyom di-sana..]

Monday, July 20, 2015

~ SAYU ~


SALAM aidilfitri buat kamu juga sahabat. Terima kasih atas ingatan. Dan, kamu tahu ada rasa sayu yang panjang menjalar di hati saat aku membaca ucap selamat kamu pada petang 1 Syawal lalu. Sayu yang teramat sangat.

Mudah-mudahan Syawal kali ini lebih memberi erti kepada kita semua.

[Dan, aku ulang baca arkib mesej lama.. dan luka]

Sunday, July 19, 2015

~ SESEORANG UNTUK AKU ~







Seseorang Untuk Aku

KARYA: Rehan Makhtar
TERBITAN: Karya Seni
CETAKAN: June 2015
HALAMAN: 620
HARGA: RM25.00


[Mengerti..]

Saturday, July 18, 2015

~ RINDU ~


SELAMAT Hari Raya ayah. Salam aidilfitri dan semoga doa dan harapan kami didengari ayah di sana. Meski tidak lagi punya kesempatan untuk mencium tangan dan memeluk erat ayah pada pagi 1 Syawal, keberadaan ayah sentiasa kami kami rasakan ada bersama, selamanya.

Rindu pada segala rutin ayah, pada bising marah-marah ayah, pada tegas kata dan mahu ayah, pada kegemaran serta kemestian raya ayah.. pada segala-galanya tentang ayah yang hidup bersama kami seawal mengenal dunia.

Sayang ayah selamanya.. dan, rindu yang sungguh.

[Al-fatihah..]

Friday, July 17, 2015

~ 1 SYAWAL 1436H ~


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI... 
Terima kasih Tuhan kerana masih memberikan kesempatan untuk kami seisi keluarga meraikan hari mulia ini. Meski tahun tiga tanpa ayahanda, kami tetap menadah syukur kerana masih punya antara sesama kami. Mudah-mudahan kesempatan masih terbagi untuk Syawal akan datang. 
Amin..

[Pusara, dan rindu..]

Thursday, July 16, 2015

~ RAMADAN DUA PULUH SEMBILAN ~


ALHAMDULILLAH. Berkat Ramadan yang mulia dan Syawal yang bakal menyambut, sahabat mei kembali sebagaimana dia. Terima kasih atas kejernihan. Dan, yaa.. Tuhan mengambil sesuatu untuk memberikan sesuatu yang lain..

[Sesi selepas raya]

Wednesday, July 15, 2015

~ RAMADAN DUA PULUH LAPAN ~


SEBELUM memulakan perjalanan ke pantai timur semenanjung tanah air, aku sempat bertemu beberapa rakan taulan yang masih berada di ibu kota. Bertentang mata mengucap salam kemaafan atas segala yang terlaku salah untuk aman merai Syawal dan hari mendatang.

Dan, sekeping kad raya yang telah siap siaga ditulis seminggu yang lalu, masih belum bertukar tangan. Entah kenapa ia masih di tanganku dan tidak menjadi lazim sebagaimana selalu. uMungkin kerana ia tidak merobah apa dan tidak memberikan apa-apa.

Justeru, aku simpan. Lebih baik begitu barangkali.

Apapun, jauh di sudut hati ingin aku susun jari sepuluh memohon kemaafan di atas segala yang terlaku salah serta di atas himpun luka dan rasa yang menjatuh singgung. Semoga silaturrahim yang ini kekal ada. Ya, mudah-mudahan.

[Dari dalam hati...]

Tuesday, July 14, 2015

~ RAMADAN DUA PULUH TUJUH ~




KREDIT BERITA: ASTRO AWANI

Tiga cedera rusuhan dekat Plaza Low Yat

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya tiga orang cedera termasuk seorang wartawan manakala empat individu ditahan susulan kejadian rusuhan berhampiran Plaza Low Yat, Kuala Lumpur.

Polis turut membuka dua kertas siasatan melibatkan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Siasatan juga dibuat  di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan merusuh dan mencuri.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa turut memaklumkan, suspek yang ditahan adalah kerana disyaki cuba mencetuskan provokasi. Insiden yang dicetuskan oleh pergaduhan itu bermula kira-kira 12.05 pagi Isnin berhampiran sebuah hotel apabila kumpulan perusuh bertindak menyerang seorang mangsa dengan menggunakan topi keledar.

Keadaan menjadi tegang selepas tujuh lelaki didakwa mengamuk di Plaza Low Yat apabila seorang rakan mereka didakwa ditipu penjual telefon bimbit di pusat beli belah tersebut. Bagaimanapun, keadaan menjadi tenang semula selepas polis mengarahkan orang ramai bersurai dari kawasan tersebut kira-kira 12.40 pagi. Sehingga pukul 2 pagi polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan, FRU kekal berada di lokasi bagi mengawal keadaan.

Sementara itu Tajuddin turut meminta orang ramai tidak mempercayai khabar angin yang disebarkan di media sosial atau membuat sebarang kesimpulan yang boleh mengganggu kes berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai insiden kekecohan pada malam Ahad itu, beliau berkata sekumpulan lelaki berkumpul di hadapan pintu besar pusat membeli-belah tersebut pada sekitar jam 8.30 malam.
Beberapa anggota polis cuba menyelamatkan mangsa dan terpaksa mengeluarkan senjata untuk menghalang perusuh tetapi tidak berjaya. Tidak lama kemudian kedengaran beberapa bunyi letupan kuat dipercayai mercun. Pada masa sama sekumpulan lelaki turut dilihat cuba memasuki bangunan berhampiran dan melepaskan kemarahan dengan memecahkan pintu premis berkenaan.

Beliau berkata,  semua laluan berhampiran Plaza Low Yat termasuk Jalan Imbi dan Jalan Bukit Bintang dikosongkan sehingga keadaan benar-benar selamat.

*********

AKU pandang dia, dia pandang aku. Kami sama-sama angkat bahu. Malah bermula isu ini tercetus Sabtu lalu sehinggalah ke hari ini, aku dan lelaki sepet ini tidak pernah sekalipun membuka cerita tentang kekecohan yang berlaku di ibu kota ini. Aku tidak fikir perlu untuk kami bicarakan, dan dia juga begitu. Barangkali...

Namun, mungkin mereka yang berkeliling kami tidak berfikir begitu dan tidak mengambil soal itu dengan begitu mudah seperti kami. Rakan dan kenalannya, dan mungkin juga rakan dan kenalanku. Alangkah kurang cerdiknya mereka yang berintim dengan provokasi. Entah apa yang diharap mahu.

Soal agama, soal bangsa, maruah dan ketuanan adalah soal yang teramat sensitif. Jangan bicara dengan mudah. Justeru, bertindak bijaklah. Usah memangsai mereka yang tidak punya hala ke situ.

Aman..

[Ber-tindak dengan akal..]

Monday, July 13, 2015

~ RAMADAN DUA PULUH ENAM ~


BEBERAPA hari lagi Syawal menjelang. Masing-masing sibuk dengan urusan persiapan raya. Kakak sudah pulang ke kampung, sementara aku masih terikat dengan urusan pekerjaan yang masih berbaki. Mujur ada sahabat yang sering sahaja mahu mengisi masa atas rasa peduli.

Dan, dek kerana tersangkut dengan kesesakan lalu lintas  yang melampau di hampir kesemua jalan utama, kami yang pada mulanya ingin menghala ke pusat keramaian, menukar hala ke Istana. Duduk menghabiskan masa sehingga jam dua pagi, bersantai l menadah cerita sambil bersapa ramai manusia yang dalam kenalku di sini. Kebetulan yang manis.

Gerai-gerai kecil yang menjual segala keperluan raya dengan alun dendang lagu-lagu raya mengisi ruang, buat kami tenggelam di situ. Sesi yang jarang sekali terpunya seperti ini. Sementelah dengan sahabat ini yang sentiasa punya jadual kerja yang padat. 

Terima kasih untuk sedikit rasa senang ini.

[Sesi..]

Sunday, July 12, 2015

~ RAMADAN DUA PULUH LIMA : CINTA FATALE ~




Cinta Fatale


KARYA: Egy Azira
TERBITAN: Sang Freud Press
CETAKAN: 2014
HALAMAN: 110
HARGA: RM20

Kerana cinta yang terlalu bahagia mampirnya terlalu pantas dan diambil Tuhan juga dengan tegas.


[Lihat..]

Saturday, July 11, 2015

~ RAMADAN DUA PULUH EMPAT ~


KATA-KATA gurauan sahabat ini membuatkan aku terdiam seketika. Terus sahaja ingatan terhadap arwah mr legoman menerjah. Terngiang ayat-ayat serupanya setiap kali aku menolak ajakannya untuk bersarapan pagi kerana sayangkan tidur. Malah, kalau aku punya urusan lain juga, tetap dikata aku menolak kerana sayangkan tidurku. 

Aku tahu, sahabat ini hanya bergurau dan aku juga tahu gurauan itu dilafaz dia kerana dia juga rindukan arwah. Kami sama-sama rindukan arwah.. Rindu yang banyak.

[Alfatihah..]

Friday, July 10, 2015

~ RAMADAN DUA PULUH TIGA ~


RAMADAN hanya berbaki kurang lebih seminggu lagi. Aku cuma mengharapkan agar punya kesempatan untuk berbuka puasa bersama sahabat-sahabat dekat. Manalah tahu, kalau-kalau ia menjadi Ramadan terakhirku. 

Alhamdulillah, sehingga Ramadan dua puluh tiga ini, kesempatan bersama mereka terbagi dengan baik. Mudah-mudahan yang masih keciciran ini, turut diberi kesempatan serupa. Atau paling tidak, untuk secawan caffe latte..  

[Bila ter-henti kebiasaan..]

Thursday, July 09, 2015

~ RAMADAN DUA PULUH DUA ~


BERITA buruk untuknya, tetapi menjadi berita baik untukku. Itu katanya sambil mencebik dan menarik hot chocolate di meja kopi selalu kami. Aku ketawa tanpa henti sambil mengacah derainya. Siapa sangka, 'mulutku masin' dan apa yang aku harapkan untuknya (tanpa mahunya) menjadi kenyataan.

Permohonan sahabat genius untuk bertukar lantai pekerjaan telah memperoleh kelulusan. Insya-Allah, selepas Aidilfitri nanti, dia akan bertugas di tempat baru. Namun, bukan di tempat yang dia inginkan, sebaliknya di lantai yang aku harap-harapkan untuk dia.

Sebenarnya, kemanapun ditempatkan dia aku percaya sahabat yang seorang ini mampu menyelesakan dirinya dengan sebaiknya. Soal prestasi kerjanya, tiada siapa yang mampu mempersoal, kerana rekodnya sentiasa cemerlang dan semua yang pernah bekerja dengannya tahu akan itu.

Lalu atas dasar kecemerlangan itu dan ditambah dengan aliran pemikirannya  yang luar biasa tentunya, aku mengharapkan dia untuk merobah sesuatu di lantai pekerjaan barunya yang secara tidak langsung barangkali juga mampu merobah persepsi dan dasar yang di bawa di lantai itu (yang sentiasa dalam perhatiku).

Itu kata aku, dan dia membalas dengan cebik. Dan, aku ketawa.

[Ilmu sentiasa mem-beza-kan kita..]

Wednesday, July 08, 2015

~ RAMADAN DUA PULUH SATU ~


DIKEJUTKAN dengan kiriman sekeping gambar melalui applikasi whatsapp beberapa jam tadi. Sungguh, aku langsung tidak dapat mengecam wajahnya meski berkali aku telek  dan cuba mengingat kembali siapa dia lantaran si pengirimnya beria mahukan aku memberi jawapan.

Nah.. tetap juga gagal.

Pieces? Separuh menjerit aku saat si pengirimnya menamatkan teka-teki. Lama aku diam tanpa meneruskan perbualan yang masih tergantung bersama si pengirim tadi. Berbaur rasa membuat singgah. Dan, akhirnya aku menggelengkan kepala tanpa aku sedar apa yang aku maksudkan dengan gelengan itu.

Pangkatnya adik. Atas status dan pangkat itu, dia banyak berkongsi tentang sebahagian kehidupannya. Tanah badan Scorpio yang memangnya sentiasa terbuka dan bersikap menerima untuk suatu hal yang namanya kepercayaan. Aku dijadikan tempat untuk meminta nasihat dan pendapat. Tidak semua yang benar dari aku, namun persahabatan itu berlangsung baik. 

Dari statusya sebagai pelajar kolej, penganggur, bekerja makan gaji, bekerja sendiri, penganggur, bekerja makan gaji, usahawan, penganggur terhormat, bekerja makan gaji.. dan entah apa lagi, aku masih ada untuk mendengar dia. Cuma dek kerana perjalanan hidupnya yang pelbagai itu, dia mengakui segan untuk mencari aku lagi atas pelbagai sebab dan alasan. Nombor telefon bimbitnya juga tidak pernah tetap pada satu sehinggakan hilang dia tanpa jejak. 

Pelbagai cerita tentangnya membuat singgah, dan aku menganggap dia sedang belajar tentang kehidupan.

Namun, situasi duduk dirinya hari ini yang dikirimkan seseorang ini, membuat kejutan yaang begitu besar kepadaku. Daripada seorang anak yang naif, dia bertukar menjadi sebaliknya. Dan, aku langsung tidak dapat mengenalinya kini.

Sehingga jari-jari ini bercerita di sini, fikiranku masih tidak terkalih dari memikir tentang dia. Semoga dia kembali.. kembali kepada dia yang dulu. Amin..

[Utara semenanjung tanah air.. dan, kalau-lah ada kesempatan itu..]

Tuesday, July 07, 2015

~ RAMADAN DUA PULUH ~


MENJAGA hati dan cuba tidak berkira di dalam apa juga perkara. Kerana apa? Ya, kerana kita sayangkan sesuatu yang kita sayang. Dan, kasih sayang itu tidak akan pernah pernah mampu dibeli dengan wang ringgit.

Itu yang diajar dan dipahat dalam hatiku seawal mengenal manusia dan hidup.

Dan, hari ini aku dihadap satu pelajaran yang cukup besar untuk dicanai. Malah berkali muncul tanya di benakku, apa asas hubungan kemanusiaan itu sebenarnya? Bagaimana kita menerima nilai-nilai positif yang diberikan oleh kepada kita?

Menerima kejutan laku daripada seseorang yang tidak tersangka. Yang aku fikir, bagaimana mungkin sanggup dia berperilaku sedemikian terhadap seseorang lain yang tidak melihat dia pada harga wang ringgit. Malah, aku juga celaru dan keliru apakah yang dirasa ini adalah perasaan kecil hati atau sakit hati..

Hiduplah sebagai manusia yang mempunyai nilai manusia. Paling asas.

[Belajar... hal manusia dan kemanusiaan..]  

Monday, July 06, 2015

~ RAMADAN SEMBILAN BELAS ~


LELAKI sepet ini banyak tahu tentang aku, tetapi tidak semua yang dia tahu secara sepenuhnya. Ada sebahagiannya, bukan untuk tahu dia. Tidak aku bohongi dia atau membuat sembunyi, ada perkara yang hanya untuk aku atau memang bukan untuk dia.

Hari ini, dia tiba-tiba muncul hanya untuk bertanyakan satu perkara. Satu perkara yang membuatkan sesi buka puasa puasa kami menjadi sesi selainnya.

[Men-chari cafe latte..] 

Sunday, July 05, 2015

~ RAMADAN LAPAN BELAS ~


LAMA dia tidak mendengar aku. Dan, hari ini saat selirat membuat seratus, aku terlintas dia. Sememang dia adalah manusia yang mahu mendengar aku.  Sama ada dalam seriusnya, juga selorohnya atau dalam tidak pedulinya, dia tetap juga mendengar.

Awal pagi ini,, aku menghabiskan masa yang sama bersama sahabat ini. Bercerita dan berkongsi apa yang berlaku kepadaku beberapa hari terkebelakang ini. Meski aku tahu dia tidak mungkin mampu menyelesai, sekurang-kurangnya resahku berkurang. Lega kerana melepaskan kecamuk yang ada.

Terima kasih sahabat, kerana masih mahu mendengar aku.. meski kamu itu sudah tidak sama dunia denganku. Meski kamu itu hanya terbaring di bawah tanah sana. Dan, aku tetap akan sentiasa datang untuk bercerita sama kamu di sini,.

Al-Fatihah.

[Kongsi..]

Saturday, July 04, 2015

~ RAMADAN TUJUH BELAS : MOMENTO ~






Momento

KARYA: Adnin Roslan, Shukery Azizan, Qamarul Nazrin, Hakim Sufian & Muaz Fariz
TERBITAN: Little Caliph
CETAKAN: April 2015
HALAMAN: 166
HARGA: RM25

[Dan, persepsi..]

Friday, July 03, 2015

~ RAMADAN ENAM BELAS ~


SETELAH beberapa lama kebiasaan terhenti dan aku cuba menyesuai diri dengan sebaiknya, ada mesej yang menebar salam di skrin telefon bimbit. Mesej yang langsugnya tiada bunyi canggung meski telah tercanggung semuanya. Dan, ia kemudiannya membawa jari-jemariku menekan-nekan kembali segala yang ada di arkib sebelum ini. Lalu, ia seperti mencanai kembali sesuatu yang telah sejuk.

Barangkali, arkib itu tidak lagi harus ada.

[Fungsi]

Thursday, July 02, 2015

~ RAMADAN LIMA BELAS ~


SEPANJANG Ramadan ini, jdual kerja tidak menentu. Kami mengejar urus kerja yang punya tarikh mati mengikut rasa tanggungjawab yang ada pada diri. Ada yang memilih untuk datang pada Sabtu dan Ahad untuk menyelesaikan urus yang membeban dan ada juga yang memilih untuk bekerja lebih masa pada hari biasa sehingga lewat tengah malam tanpa disuruh atau diarah oleh sang kepala.
Misinya, menyudahkan urus kerja yang punya tarikh mati yang dipercepatkan berkali awal sempena citi panjang Adilfitri nanti.

Dan hari ini, setelah usai keraikan pemimpin no satu negara yang datang membuat kunjung ke lantai pekerjaan kami, aku berseorangan untuk menyelesai urus pekerjaan yang berkejaran dengan beban itu. Sementara rakan-rakan lain tidak memilih untuk tidak berbuat demikian kerana penat dengan rungutan terkilan atas beberapa perkara yang berlaku sepanjang hari ini.

Aghh.. rutin..

Rindu untuk sama-sama menyertai sahabat-sahabat dekat mengisi mahu dengan segala  yang menjadi kebiasaan pada waktu-waktu begini. Ermm..

[Galas..]

Wednesday, July 01, 2015

~ RAMADAN EMPAT BELAS ~


BAWA keluar unta hitam dari parkir Hotel Istana. Kurang tiga kilometer selepas itu, unta hitam diberhentikan di bahu jalan yang berlimpah dengan lumba kenderan mencari destinasi masing-masing.

Memuntahkan segala isi perut. Darah seolah berhenti mengalir. Peluh memercik seluruh badan sehingga kurung merah yang tersarung di badan menjadi gelap dek lencun. Gigil sehinggal mengetap gigi. 

Gelap.

[Pada bila2... barang-kali]