Sunday, June 28, 2015

~ SELAMAT HARI ULANG TAHUN KELAHIRAN NIMROD ~



HOBINYA suka mencuit kemarahanku untuk menjemput tsunami. Kemarahanku barangkali menjadi hal yang boleh menghiburkan dia. Justeru, kami ini boleh berhabis masa selama berjam-jam untuk bertikam lidah. Aku dalam bahasa senyapku, dia dalam bahasa lantangnya. Selagi salah seorangnya tidak terluka hati, selagi itulah tutur diacah-acah semana mahu. 

"Bapak ahlong, kita kahwin sudah 30 tahun... gaduh pun sudah 20 tahun. 
Berapa lama lagi kita mahu macam ni?"  
(dialog salah satu babak di dalam filem GUBRA (Yasmin Ahmad: 2006) sering sahaja terngiang di telinga kerana setepatnya menggambarkan kami dua.

Lebih sedekad bersahabat, hampir separuh atau lebih daripada itu juga kami saling bermasam muka atau tidak bertegur sapa. Ada sahaja yang tidak kena.. sakit hati dan kecil hati. Lagak seperti anak-anak kecil yang berbalah tanpa punca yang pasti. Hari ini bergaduh seperti US memusuhi Iraq, esok lusa boleh pula duduk bercerita seolah sekutu yang tidak pernah punya golak. Itu kami selama lebih sepuluh tahun.

Personaliti dan prinsip kami dua, terlalu berbeza bagai langit dengan bumi. Hampir tiada satupun persamaan antara kami, dari soal-soal yang besar sehinggalah kepada yang remeh-temeh. Namun, kami bersahabat atas dasar perbezaan itu. Pernah beberapa kali soal disua kepadaku, apa yang membuat kami mampu bersahabat baik sedang kelihatannya sangat jauh beza laku. Aku hanya mengangkat bahu.

Cuma yang aku tahu, dalam pada lagak kami bagai anjing dan kucing itu, kami masih boleh  duduk bercerita dan mengadu domba dari hal yang sekecil-kecil sehingga yang sebesar-besarnya sehingga kini. Serasi dalam koyak tampal yang tidak pernah habis. Dan, koyak tampal itulah yang membuat kami semakin kenal. Kurang dan lebihnya dia, aku terima dengan berlapang dada, meski mulut sering membilang-bilang marah kepadanya. Kerana aku percaya, yang kurang-kurang dari aku juga dia hadam dengan sebaiknya meski bahasanya sering menyakitkan hati untuk didengar. Ya, menyakitkan hati.

Itu cara kami bersahabat.

Dan, hari ini, 28 June adalah hari ulang tahun kelahirannya. "Selamat hari jadi Nimrod/tsunami.." Meski kita sudah lebih 10 tahun bersahabat, bergaduh pun sudah 8 tahun, kamu itu tetap sahabat dekat yang aku sayang sekali. Kerana kamu itu sering mampu buat aku bebas menutur apa mahuku. Justeru, meski sering sahaja sakit hati dengan bahasa dan tingkah kamu, aku masih sahaja ada bila mana kamu perlu atau cari. Semoga Allah permudahkan kehidupan kamu dunia akhirat. Insya-Allah didekatkan kamu dengan hal-hal kebaikan. Amin... 

Meski tidak aku kirimkan doa secara terus seperti selalu, itu tidak bererti aku aku tidak membuat peduli. Cuma, biar sahaja bahasa tsunami yang mengambil duduk tanda protes.

[Maseh dalam tsunami.. dan kamu itu Cancer yang sangat menyakitkan hati.. Tetapi sebati pada scorpio aku]

No comments: