Tuesday, June 30, 2015

~ RAMADAN TIGA BELAS ~


PETANG hari ini aku berada di kalangan manusia-manusia kreatif yang cuba berkongsi tentang hasil kerja terbaru mereka bersempena Syawal yang akan datang. Semuanya mahu terlihat hebat dengan segala pendekatan pilihan subjek yang diketengahkan.

Meski ramai yang memberikan reaksi positif atas usaha itu, aku hanya keras di suatu sudut. Bukan kerana tidak sampai maksud yang dikirim mereka, cuma aku merasakan diri tidak sealiran dengan kesepakatan mereka. Itu sahaja. 

Satu soalan yang begitu terasak di kepalaku, mengapa mesti Aidilfitri itu mesti tersambut hadap babak-babak air mata yang dibuat dengan sengaja untuk menjerat emosi? Sedangkan hari kemenangan itu harus bersambut dengan keraian dan keriangan, namun dalam ruang sederhana pada atas batas berpada.

Untuk apa airmata yang ketertaluan? Atas tujuan apa memaksa hati orang lain untuk berduka-duka atas alasan yang duduknya pada faham yang kelabu?

[Ter-lalu me-maksa..]

Monday, June 29, 2015

~ RAMADAN DUA BELAS ~



BUKAN mahu menunjuk diri sempurna tiada sisi cela kerana pada hakikat aku adalah manusia yang serba tidak cukup seperti mana kebanyakan yang lainnya.

Cuma, tatkala waras masih duduk pada tempat sepatutnya dia, pasti sahaja aku akan melihat putih sebagai putih dan hitam tetap pada hitamnya.

Justeru, usah mengadili jika kamu sendiri hanya mampu melihat pada dasar kelabu dengan pertimbangan yang berolok.

Hari ini, aku ditarik ke tengah gelanggang. Menjadi pengantara untuk satu pertempuran profail tinggi yang tidak terjangkau pada fikirku sebelumnya. 

Menadah telinga pada satu hamburan panjang ke telingaku walaupun dedikasi sebenarnya adalah untuk rakan tempurnya. Dalam masa yang sama juga menyusun deretan kata manis positif untuk yang termangsa.

Aku bukan yang memusuhi atau dimusuhi, namun aku kini di tengah gelanggang.

[Akal yang ada untuk di-guna, hati yang sempurna untuk yang mengisi makna..)

Sunday, June 28, 2015

~ SELAMAT HARI ULANG TAHUN KELAHIRAN NIMROD ~



HOBINYA suka mencuit kemarahanku untuk menjemput tsunami. Kemarahanku barangkali menjadi hal yang boleh menghiburkan dia. Justeru, kami ini boleh berhabis masa selama berjam-jam untuk bertikam lidah. Aku dalam bahasa senyapku, dia dalam bahasa lantangnya. Selagi salah seorangnya tidak terluka hati, selagi itulah tutur diacah-acah semana mahu. 

"Bapak ahlong, kita kahwin sudah 30 tahun... gaduh pun sudah 20 tahun. 
Berapa lama lagi kita mahu macam ni?"  
(dialog salah satu babak di dalam filem GUBRA (Yasmin Ahmad: 2006) sering sahaja terngiang di telinga kerana setepatnya menggambarkan kami dua.

Lebih sedekad bersahabat, hampir separuh atau lebih daripada itu juga kami saling bermasam muka atau tidak bertegur sapa. Ada sahaja yang tidak kena.. sakit hati dan kecil hati. Lagak seperti anak-anak kecil yang berbalah tanpa punca yang pasti. Hari ini bergaduh seperti US memusuhi Iraq, esok lusa boleh pula duduk bercerita seolah sekutu yang tidak pernah punya golak. Itu kami selama lebih sepuluh tahun.

Personaliti dan prinsip kami dua, terlalu berbeza bagai langit dengan bumi. Hampir tiada satupun persamaan antara kami, dari soal-soal yang besar sehinggalah kepada yang remeh-temeh. Namun, kami bersahabat atas dasar perbezaan itu. Pernah beberapa kali soal disua kepadaku, apa yang membuat kami mampu bersahabat baik sedang kelihatannya sangat jauh beza laku. Aku hanya mengangkat bahu.

Cuma yang aku tahu, dalam pada lagak kami bagai anjing dan kucing itu, kami masih boleh  duduk bercerita dan mengadu domba dari hal yang sekecil-kecil sehingga yang sebesar-besarnya sehingga kini. Serasi dalam koyak tampal yang tidak pernah habis. Dan, koyak tampal itulah yang membuat kami semakin kenal. Kurang dan lebihnya dia, aku terima dengan berlapang dada, meski mulut sering membilang-bilang marah kepadanya. Kerana aku percaya, yang kurang-kurang dari aku juga dia hadam dengan sebaiknya meski bahasanya sering menyakitkan hati untuk didengar. Ya, menyakitkan hati.

Itu cara kami bersahabat.

Dan, hari ini, 28 June adalah hari ulang tahun kelahirannya. "Selamat hari jadi Nimrod/tsunami.." Meski kita sudah lebih 10 tahun bersahabat, bergaduh pun sudah 8 tahun, kamu itu tetap sahabat dekat yang aku sayang sekali. Kerana kamu itu sering mampu buat aku bebas menutur apa mahuku. Justeru, meski sering sahaja sakit hati dengan bahasa dan tingkah kamu, aku masih sahaja ada bila mana kamu perlu atau cari. Semoga Allah permudahkan kehidupan kamu dunia akhirat. Insya-Allah didekatkan kamu dengan hal-hal kebaikan. Amin... 

Meski tidak aku kirimkan doa secara terus seperti selalu, itu tidak bererti aku aku tidak membuat peduli. Cuma, biar sahaja bahasa tsunami yang mengambil duduk tanda protes.

[Maseh dalam tsunami.. dan kamu itu Cancer yang sangat menyakitkan hati.. Tetapi sebati pada scorpio aku]

Saturday, June 27, 2015

~ RAMADAN SEPULUH : KEMBALI KEPADA FITRAH ~




Kembali Kepada Fitrah 
(Kumpulan Puisi)

KARYA: Rosmiaty Shaari
TERBITAN: Institut Terjemahan & Buku Malaysia
CETAKAN: 2014
HALAMAN: 105
HARGA: RM20

Benar, kita tidak lebih dari sehelai daun yang pasti akan singgah ke tanah dan akan berubah menjadi zarah sebelum berangkat ke mahkamah Allah..

[Dan, pada keliling..]

Friday, June 26, 2015

~ RAMADAN SEMBILAN ~


video




MEMAKSA lena. Tidak di tilam empuk atau dalam dingin hawa yang mengulit rasa. Tetapi di ruang parkir Masjid Ar-Rahman yang letaknya di pintu kiri jalan masuk ke Universiti Malaya. Bukan dengan pilihan, sebaliknya kerana sakit kepala yang begitu berat menekan sehingga terganggu pemanduan pada separuh perjalanan menuju ke Jalan Maarof. Sangat menekan. 

Dari jam 6.45 petang sehinggalah azan maghrib berkumandang, aku memaksa lena untuk mengharapkan sendik. Sehingga muncul pengawal keselamatan separuh abad itu mengetuk tingkap kereta dan menjemput aku masuk berbuka puasa di dalam. Mungkin juga pelik melihat aku berkeadaan seperti itu selama beberapa ketika.

Dalam mamai dan bengkak urat kepala yang belum ke asal, aku menghabiskan masa di situ sehingga jalan 8.00 malam sebelum menghalakan unta hitam ke kedai kopi selalu untuk berbuka puasa. Janji untuk berbuka puasa bersama sahabat yang seorang itu entah ke mana. Mujur saja sempat jelas situasi duduk sebenar sebelum ke mimpi.

Ermm.. sudah dua kali kejadian serupa berlaku sepanjang June ini. Yang tiba-tiba tanpa sebarang signal pemberitahuan. Aku kira, barangkali jadinya babak begini kerana badanku menolak dengan kimia baru yang memasuk tubuh tempohari. Bosan.

[Harap tidak untok kali tiga..]

Thursday, June 25, 2015

~ RAMADAN LAPAN ~

TEMBUNG. Aku senyum, angguk dan berlalu pergi. Dia balas senyum, pandang dan diam.

Serempak. Dia senyum, pandang dan angguk. Aku balas senyum, tunduk dan berlalu pergi.

Adegan bisu semalam. 

Kalau dia tahu apa yang aku tahu, dan kalau aku tahu dia tahu apa yang sepatutnya tidak dia tahu... Maka, drama..!

[Air kosong..]

Wednesday, June 24, 2015

~ RAMADAN TUJUH ~

LENGKONG merah dan semangkuk susu. Ia menjadi hal yang paling cukup untuk aku. Cukup untuk perut, cukup untuk senyum, dan cukup untuk rindu.

Tidak hanya aku, tetapi juga untuk kami seisi keluarga. Semenjak anak-anak sehinggalah hari ini, juadah inilah yang paling intim sekali setiap kali berbuka puasa. Terlalu selalu.

Dan, hari ini lengkong merah ini dikirim seorang teman yang mahu memujuk. Manis sekali lakunya.. :)

[Dan, ter-pujok..]

Tuesday, June 23, 2015

~ RAMADAN ENAM ~


HARI pergi, dan 23 June tiba untuk kali dua. Sayu yang membuat singgah ini tidak tergambar pada kata. Hanya hati yang berbahas sendiri. Hanya jiwa menutur tanpa henti, betapa rindu yang tidak tertanggungkan.

Ayahanda, sudah genap dua tahun kami ditinggal abadi.

Dan, hari ini umpama mengadap sinema agung, babak-babak akhir yang langsung pada awal pagi 23 June 2013 yang lalu berputaran satu demi satu. Jelas dan masih basah pada rasa hati. Bagaimana aku yang dipertanggungjawab meletak duduk ayah pada keberangkatan akhir yang bersaksi aku. Getar itu masih terasa. 

Semoga syurga tempatmu wahai ayahanda yang terpaling amat aku kasihi...

Sukarnya aku mahu meletak lena pada hari yang namanya 23 June ini. Beratnya mata mahu memejam meski itulah yang amat aku inginkan, dengan harap ayahanda datang menyapaku di mimpi. Mahu sedikit bicara, mahu sedikit tatap... menunggu mimpi saban malam.

Nah.. kalaulah diikut selirat yang ada, seperti mahu aku mengejar ke langit merah untuk menjeritkan segala rasa yang ada di dalam sana. Yang aku simpan, simpan, simpan, simpan dan simpan... Dan, kalaulah rasa itu mampu terkongsi bagi..

Ermm.. Scorpio, dan itulah aku...

[Al-Fatihah ber-iring rindu..] 

Monday, June 22, 2015

~ RAMADAN LIMA ~


DEDIKASI. Aku tahu sahabat 148 ini dalam selirat seratus. Aku juga tahu tidak semua yang mampu dia simpan sendiri meski terlihat dia ingin memilih begitu.

Pernah aku katakan kepada dia, aku ada.. dan insya-Allah akan selalu ada sebagai sahabat bila mana dia perlu atas apa jua keadaan sekalipun. Meski barangkali aku tidak mampu menyelesai apa, namun aku sebaiknya akan cuba untuk mengerti. Aku ingat akan janji itu, dan tidak akan teringkar dengan kesengajaan.

Bermula dari Ramadan satu sehinggalah Ramadan tiga, sederet dia terlihat mahu aku ada mendengar bahasa senyapnya, namun kesempitan ruang waktu dengan selisih perjalanan menjadikan aku tidak punya kesempatan. Resah membuat singgah kerana aku tahu dia tidak akan sederetan begitu pada ukur waktu biasa.

Lalu, siang hari tadi aku mendedikasikan seruang yang ada untuk mengisi sesi. Tidak ada desak mahu mendengar, sekadar ingin meneman agar dilegakan dia dengan rasa dimahukan. Sebagaimana sering aku berbuat harap agar yang berkeliling dekat berbuat serupa .

Manisnyai, pada sesi pertama untuk Ramadan ini, dia meletak hijab di kepalanya. Aku senyum, tetapi tidak pernah dengan ingin mahu membuat soal tentang itu. Biar dia menetapkan hatinya tanpa belah bagi atau kuis tegur sesiapa. Dan, aku percaya dia lebih jelas tentang itu.

Aku tahu, dek kerana galau yang membuat singgah kepadanya semenjak berhari lalu, atau mungkin lebih dulu dari itu seleranya juga entah ke mana. Dia anggap biasa, tetapi aku melihat tidak. Justeru, meski hanya sandwich Starbucks yang dimahu sebagai juadah buka puasanya, aku melarikan dia untuk selera yang lebih pada untuk dia.

Nasi daun pisang. Meski tidak tercuit untuk aku, bisa saja aku meneman dia tanpa jamah. Sehingga berkali disua tanya si pelayan kedai apa mahuku untuk juadah buka kerana aku hanya memilih untuk duduk melihat dia mengisi seleranya. Ya, aroma daun pisang dan sekitarnya, bukan lazimnya aku dan sememang bukan aku. Mereka yang dekat, pasti tahu itu.

Cuma, seperti yang aku katakan tadi, dedikasi... kerana dia juga sering berlaku serupa sehingga membuat kita rasa dimahu sebagai sahabat.

[Minion... dan membawa kepada Nimrod..]

Sunday, June 21, 2015

~ RAMADAN EMPAT ~





Kembali Kepada Fitrah 
(Kumpulan Puisi)

KARYA: Rosmiaty Shaari
TERBITAN: Institut Terjemahan & Buku Malaysia
CETAKAN: 2014
HALAMAN: 105
HARGA: RM20

Benar, kita tidak lebih dari sehelai daun yang pasti akan singgah ke tanah dan akan berubah menjadi zarah sebelum berangkat ke mahkamah Allah..

[Yang di-dalam sana..]

Saturday, June 20, 2015

~ RAMADAN TIGA ~



SEPANJANG minggu pertama Ramadan, adalah menjadi rutin dan kebiasaaan kami untuk berbuka puasa di rumah, apatah lagi pada hari pertama. Ia seolah menjadi peraturan yang terpakai untuk semua kami. Terbiasa sehingga hari ini. Terngiang kata ayah dengan sederetan pesan arahya.

Masuk minggu kedua dengan kelaziman yang selalu, barulah mengisi kesempatan lain yang selainnya. Andai punya kesempatan yang terbagi, aku sebolehnya mahu memenuh sesi ini dengan semua sahabat-sahabat dekat yang ada. 

Mana tahu, kalau-kalau ini adalah Ramadan terakhir untuk aku, atau untuk kita.

Begitu hal yang sama pernah aku tutur jujurkan kepada mr legoman pada saat kami punya kesempatan berbuka bersama pada tahun lalu. Meski ketika itu hanya tawa yang menyambut, siapa sangka hari ini ada esak tangis yang berhujung di situ. 

Justeru, kalaulah sudah tiba detik masa yang dijanjikan, sekurang-kurangnya ia berakhir manis...

[Ku meng-harapkan Ramadan kali ini penoh makna..]

Friday, June 19, 2015

~ RAMADAN DUA ~


KEMAAFAN... Semoga menjadi yang terpaling indah. Tidak pada sua, bukan bererti tidak  juga pada ingat. Cuma membuat sesuai kepada kebiasaan yang terhenti. Doa tetap ada, meski bicara semakin terhenti. 

[Dan, kurong merah..]

Thursday, June 18, 2015

~ RAMADAN SATU ~


SALAM Ramadan 1436H untuk seluruh umat Islam sedunia yang merai bulan mulia ini. Alhamdulillah, masih diberikan kesempatan oleh Tuhan untuk merasai nikmat Ramadan yang tidak terbanding ini. 

Aku mengharapkan agar Ramadan kali ini lebih memberi makna kepada kami seisi keluarga, insya-Allah. Mudah-mudahan Allah setuju.

Untuk rakan taulan dan siapapun kamu yang bersilaturrahim di ruang tersorok, gobok ajaib ini, juga sahabat June dan Mei... mohon dimaafkan segala khilaf diri aku dari yang sengaja mahupun yang tidak, atau dari yang terang mahupun sorok. Semoga tenang dan berkat terberi dari kemaafan yang dihulur itu. Amin.

Ketiga tanpa ayahanda, dan pertama tanpa mr legoman. Semoga Syurga tempatnya kalian..

[Sahor per-tama untuk Ramadan kali ini ber-sama rakan-2 sepekerjaan sambil melangsaikan urus keja yang punya tarikh mati...]

Wednesday, June 17, 2015

Tuesday, June 16, 2015

~ CAFFE LATTE ~


SERINGKALI aku ini mempunyai hendak, tanpa tahu cara bagaimana mahu menyatakan kehendak. Terlalu selalu aku mahu meminta, tanpa mampu mendengarkan permintaan itu. Kerap kali juga memasang harap, tapi tanpa pernah diperlihat harapan itu.

Hanya yang dekat mampu membaca tepat, dengan mahu atau tidak.

Hari ini mengisi sesi dengan sahabat 148. Tahu aku dalam keadaan yang pecah, disuakan aku dengan ceritanya yang macam-macam. Begitu selalu dia menghiburkan aku dengan caranya yang tersendiri itu. Namun manisnya sahabat ini, bila mana dia mudah mengerti saat aku memesan latte dan tidak mocha.

Kurang lebih 400 meter untuk sampai ke kediamannya di kalangan orang bangsawan itu, aku kemudiannya membuka mulut..

"Awak, sebenarnya.. harini saya rasa tak best sangatt.."
Terus dia membuat sergah sebelum habis aku membuat tutur;
"Haaa.. saya dah nak sampai rumah baru nak bukak cerita..."

Hahhaha... dia sebenarnya sentiasa membaca aku tepat, cuma sengaja dia mahu mengajar aku supaya lebih mudah membuka mulut meluah rasa dan cerita.. 

[Dan, saat ini segar bugar dek penangan protes secawan cafe latte ..]

Monday, June 15, 2015

~ MENEMANI ~

(Tanah Perkuburan Islam, Taman Ehsan, Kepong)

AKU ke sini lagi untuk memenuh janji.. untuk menemani dia. Sebagaimana sentiasa dia menemani aku pada setiap rasa ranapku yang terhidu dia. Meski tidak menjadi penyelesai, cukup buatnya untuk sekadar bertanya aku kenapa, tanda dia mengambil peduli. 

Lalu, apalah kiranya aku melakukan hal yang serupa. 

"Assalamualaikum Wan.. aku datang nii.. "

[ALFATIHAH... Khamis ini, genap dua bulan dia peregi. Te-tapi tetap seperti kelibat-nya maseh ada...]

Sunday, June 14, 2015

~ MENONTON ~


AYAH mengadap aku tepat.  Namun tidak tertangkap pada kumat-kamit mulutnya menutur bicara tentang apa. Di kiri kanannya sederet seni bina lama yang mencuri tumpu. Indah seperti sedang disiap-siapkan dia. 

Dan, sahabat jun turut ada. Dengan seseorang yang sedang dimahunya, yang didedikasi seluruh dia. Sahabat julai juga berkelibat. Sepertinya di ruang stadium yang penuh sorak sorai. Dan, aku menjadi penonton. Tiba pada suatu ketika, aku cuba untuk lari meninggalkan sorak sorai itu. Bagaimanapun, sepertinya tidak bertemu pintu keluar.

Buka mata. Dan tersedarlah  aku dari mimpi yang panjang. Ayah.. dan mereka. Apa yang memungkin untuk berada di satu ruang yang sama.. ermm..

[Barang-kali mereka yang ter-akhir di-fikir aku sebelum menutop mata malam tadi.]

Saturday, June 13, 2015

~ ARISTOTLE ~






Aristotle


KARYA: Jonathan Barnes
TERBITAN: Institut Terjemahan & Buku Malaysia
CETAKAN: 2015
HALAMAN: 204
HARGA: RM20


[Dari yang sembunyi..]

Friday, June 12, 2015

~ PADA DUA PULUH EMPAT JAM ~


GELAP tanah ke gelap tanah. Dan, pada tepat jarum jam menunjuk ke angka 4.14 pagi, barulah aku mengadap bumbung rumah. Terhenyak dengan urus pekerjaan yang punya tarikh mati mengejar desak atur jadual yang langsung tidak mahu menyebelahi.

Tidak tertampung kudrat yang sekerat ini.

Dan, sepanjang hari ini setiap jam yang berganti terkejar dengan pelbagai urus. Bersusun tangga seolah esok sudah tidak punya. Kosong perut tidak terpedulikan, dering telefon bimbit juga tidak dileraikan. 

Owh.. semuanya punya tarikh mati..

[Tutop mata..]

Thursday, June 11, 2015

~ HANYA ADA DIA ~


IBU tidak sihat. Tutur adik saat aku menyambut panggilan telefonnya beberapa minit tadi. Dikongsikan juga beberapa foto ibu untuk lebih menjelas keberadaan ibu.

Hati terus patah. 

[Luloh..] 

Wednesday, June 10, 2015

Tuesday, June 09, 2015

~ BILA SANG BIJAK PANDAI MENGEPAK.. ~


PEMBUBARAN dan pertukaran posisi duduk di lantai pekerjaan kembali menjadi bahan bual di serata sudut. Khabarnya hujung minggu depan, sesi bersama kepala atas bakal berlangsung. Bertebaran teka sangka yang mengisi bual.

Dalam kalut cerita, aku dan seorang teman sepekerjaan dipanggil mengadap sang kepala kami. Dikongsinya informasi yang belum harus diketahui umum. Terpinga-pinga aku dan teman ini kerana tidak menduga rombakan begitu yang bakal berlaku kepada team kami.

Mahu atau tidak, suka atau sebaliknya, apa mampu terlakukan kerana ia sudah diputus mereka. Cuma aku kadang kala tertanya dengan banyak, apa benar mereka ini mengguna akal bijak pandai atau sekadar mengatur menurut indah mata dan mahu.

Benarlah... kuasa sering kali mampu membenar segala.

[Tunggu dan lehat..]

Monday, June 08, 2015

~ SALAH ~


SALAH jalan, salah tempat, salah orang, salah text, salah cerita... salah kongsi.. Segalanya menjadi salah dengan rasa pecah yang berlapis lapan.

Langkah kiri barangkali. Perjalanan menghala ke rumah baru berdepan beban rintang hari ini. Bukan yang sedikit, tetapi acah yang sungguh membuat resah. Manakan tidak, hala semakin hilang jauh dari titik tuju. Pada pekat malam aku terjauh di tengah hutan batu berselang tebal kelapa sawit dan kembali dengan lebuhraya panjang tiada hujung.

Untuk kamu, yaaa.. kamu.. Tidak aku meminta lebih, cuma cukuplah memberi dengar dengan harap untuk melega. Tidak pula aku duga boleh mendengar tutur jujur yang langsungnya tidak lucu dari kamu. Sedikitpun tidak! Dan, aku semakin jelas dengan hala kamu. 

[Kadang-kala, men-dengar sahaja sudah cukop untuk me-reda. Me-ngerti, meski ada-kala ia tidak me-robah apa..]

Sunday, June 07, 2015

~ DISEBALIK, SPY ~


MUNGKIN permintaanku terlalu tinggi, sehingga tidak mampu tertunaikan. Atau terlalu tiada apa sehingga terlalu diremehkan. Namun yang paling benar, bukan kerana isi ceritanya.. tetapi soal kesanggupannya untuk mengerti. Justeru, aku akur hakikatnya.

Untuk sahabat 148, terima kasih sudi menjadi galang ganti. Mahu mengerti, mahu ada dan tidak pernah dengan ingin untuk meremehkan saat aku dalam simpul seratus.

'Spy' hanya lorongan kepada kesanggupan dan bukan kerana isi  ceritanya. Dan, ternyata aku belajar menjadi semakin kenal.

[Pecah.. dan tawa]

Saturday, June 06, 2015

~ SOCRATES ~






Socrates
KARYA: C.C.W Taylor
TERBITAN: Institut Terjemahan & Buku Malaysia
CETAKAN: 2015
HALAMAN: 167
HARGA: RM20

[Larot..]

Friday, June 05, 2015

~ PUISI SEDERHANA ~


SEDERHANA
by fazleena hishamudin

Kanvas putih dicorakkan 
Dengan berus warna warni
Tak selamanya 
Kekal manis dan berseri
Dunia berputar 
Bumi kian merekah
Bunga tumbuh dan layu
Rumput menghijau dan kering
Angin jernih menjadi debu
Rumah jadi neraja
Keluarga jadi musuh
Duit jadi senjata
Maruah jadi murah
Sejadah sepi tanpa sujud
Al Quran berhabuk menangisi
Malam dingin meratapi
Siang hangat menjerit sunyi

Bisik mama, 
Tanam impian setinggi langit
Hati budi seluas bumi
Akar fikir secantik pelangi

Sederhanalah setiap segi
Sederhana menabur budi
Sederhana dalam memberi
Sederhana jujur berkongsi
Sederhanalah menyayangi
Sederhana tutur bicara
Sederhanalah dalam bekerja
Sederhana memberi cinta
Sederhanalah segalanya

Sederhana menabur budi
Sederhana dalam memberi
Sederhana jujur berkongsi
Sederhana menyayangi
Sederhana tutur bicara
Sederhana dalam bekerja
Sederhana memberi cinta
Sederhana... segalanya 
Oo..

Bisik mama lagi..
Jika nanti kita kecewa
Sederhana juga sakitnya
Kerana.. kita tahu bagaimana untuk merawatnya

[Cukop yang sederhana..]

Thursday, June 04, 2015

~ THAT BIG RED BUTTON THAT SOUNDS TETTTTTT ~


[Petikan dari buku puisi  Mimi Mortiaca - Cinta Dramatik Melawan Graviti..]

Wednesday, June 03, 2015

~ JEJAK KASIH ~


LEBIH 13 tahun mengenalinya. Meski kami kadangkala berada di hiruk pikuk kota yang sama, kesempatan bersua muka terlalu sempit. Bertanya khabar cara selainnya juga tidak lantaran kami benar-benar terputus hubungan. Cuma sesekali aku melihat ceritanya terpampang di dada akhbar atas urus kerjayanya.

Suatu masa dahulu, ketika aku baru sahaja tamat pengajian dan masih lagi menganggur, dia antara manusia yang banyak menyokong. Hal-hal postif sahaja yang terlihat dari dia. Meski aku bukan tidak punya apa ketika itu, dia tidak pernahpun mahu menjauh.

Saing hari tadi, setelah bertahun-tahun tidak bersua dan mendengar khabar berita, kami bertentang mata di satu ruang atas urusan pekerjaaan. Sungguh-sungguh diluar sangkaku. Ya Allah..

Awalnya, kami bertemu di parkir. Aku mencuri perhati sosoknya dari jauh tanpa sedar dia. Berkali aku amati, bimbang tersalah orang. Antara mahu dan tidak, aku membiarkan sahaja dia berlalu.

Namun tanpa disangka, rupa-rupanya dia berada di ruang tuju yang sama denganku. Sewaktu melintasi kerusinya, mata kami bertentang, senyumnya menyapa. Aku balas senyum dan angguk perlahan. Pada perkiraanku, dia mungkin sudah tidak mengingat aku, dan senyum itu mungkin hanya sapa biasa pada yang menjengah wajah.

Jauh di sudut hatiku, mahu saja aku menerpa dan memeluknya erat. Rindu. Namun, aku tahankan sahaja. Dan seolah tiada apa detik yang berdenting di hati. Bukan kerana ego yang membuat berat, tetapi statusnya sebagai orang yang namanya tersohor di dada akhbar, bimbang juga kala-kalau tingkahku terbaca salah dan berubahnya dia.

Namun usai majlis membuat hujung, ada suara halus yang menyapa di tepi telinga. Duduk dia di celah belakang kerusi untuk menyapa tepat kepadaku. Yaa Allah... katanya, dia memerhati aku tanpa lepas pandang, cuma tidak mahu membuat ganggu pada urus pekerjaan masing-masing sehingga usai urus pekerjaan.

Dan, di luar dewan gah hotel lima bintang itu, aku meminta izin untuk memeluk erat dirinya. Kakak yang seorang ini tidak pernah berubah semenjak bertahun dulu. Menitis air mata pada hangat pelukan jejak kasih yang akhirnya turut menarik perhati berpasang mata yang ada di keliling kami.

Terima kasih Tuhan... seperti banyak mengembalikan mereka yang pernah memberi hidup kepadaku sementelah semenajk akhir-akhir ini aku terlalu diseret luka mereka yang kuanggap dekat berkeliling.

[Selamat kembali kakak..]

Tuesday, June 02, 2015

~ 15 SYAABAN PADA TAHUN DUA ~


BABAK dua tahun lalu. Lembaran dan buku baru untuknya di sana, turut menjadi baru juga untuk kami seisi keluarga di sini. Dan sungguh, detik ini yang tidak pernah menjadi awal dan lewat untuk sesiapapun.

Ayahanda, kamu pergi tepat pada saat buku lama kamu ditutup. Moga Syurga yang menjadi janji.

[Sinema agung..]

Monday, June 01, 2015

~ KELILING BARU ~


CUKUP hanya lapan. Atas keperluan kepada mudahnya urusan, kami memilih persekitaran baru lagi. Justeru, setelah lapan bulan, kami mengulang rutin yang sungguh memenatkan.

Apapun, semoga persekitaran baru ini benar-benar mampu memberi rasa dan semangat yang baru. Jika ada izin, baju baru yang tanpa koyak dan tampal juga.

Makin jauh, dan semoga makin mampu melari.

[Keperluan baru..]